"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"
Tanggal 19 Mac 2008 ini merupakan satu lagi detik bersejarah buat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Muktamar Sanawi kali ke 75. Badan kebajikan yang tertetua ini di kalangan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir akan bertukar barisan pimpinannya. Bagi yang sedar atau tidak PMRAM boleh dikatakan satu anugerah Allah bagi kesatuan Melayu/Islam di rantau asia tenggara ini. Detik bersejarah pada tahun 1930 penubuhan rasmi PMRAM tercatat dalam logo rasminya.
Jika sesiapa yang berjaya menyelidik atau membuat kajian berkenaan dengan PMRAM secara terperinci akan dapat melihat bagaimana susur galur serta kesinambungan perjuangan mahasiswa di bawah panji PMRAM ini. PMRAM di awal penubuhannya boleh dikatakan tercetus atas rasa sifat nasionalis melayu asia tenggara ketika itu yang merasakan perlunya suara-suara anak-anak melayu ini disatukan di bawah satu naungan. Walaupun begitu di awal penubuhannya boleh dikatakan proses Islamisasi dalam pentadbiran agak tidak ketara, walaupun ianya digagahi dengan mahasiswa-mahasiswi Al Azhar. Saya tidak pasti samada pembaca boleh menerima apa yang saya tulis ini atau tidak. Ada yang mengatakan bahawa PMRAM lahir kerana kesan dari kejatuhan khilafah Islamiyah sekitar 1924 masehi, seterusnya membawa kepada penubuhan PMRAM.
Ada beberapa tokoh atau ustaz-ustazah senior yang boleh dikatakan datuk dan nenek zaman sekarang, pernah berpesan kepada anak, cucu mereka yang belajar ke Mesir supaya tidak menyertai atau mendekati PMRAM. Ini kerana PMRAM yang mereka kenali dahulu tidak sama dengan PMRAM yang ada sekarang. Corak dan gaya pentadbiran, biah atau suasana kepimpinan yang ada sekarang berbeza mungkin dengan PMRAM yang mereka kenali dahulu. Ikhtilat tanpa batasan, hiburan melampau, aurat tidak terjaga menyebabkan persepsi itu terbawa-bawa hingga kini. Boleh dikatakan inilah antara sebab-sebab generasi penuntut dahulu agak tidak menyenangi dengan PMRAM.
Namun realitinya berbeza dengan sekarang. Terdapat juga dalam lipatan sejarah proses Islamisasi dalam pentadbiran dan pembinaan biah atau suasana solehah berlaku sekitar tahun 70an. Dapat dilihat gambar-gambar dari awal-awal penubuhan hingga kepada proses islamisasi tadi membuktikan berlakunya proses tersebut. Angin perubahan serta revolusi Islam yang bertiup kencang juga melanggar organisasi PMRAM ini. Dari muslimatnya yang berskirt dan tidak bertudung kepada bertudung sehinggalah sekarang ternyata proses Islamisasi tadi berjaya. Para mahasiswa dan siswi sudah tidak segan atau merasa janggal dengan pakaian yang menjadi syiar Islam. Kalau berkesempatan mengunjungi Mukatamar Hewi PMRAM anda merasa sejuk mata memandang dengan suasana dan keadaan Muktamar Hewi PMRAM yang boleh boleh dikatakan "keputihan". Suasana ini terus kuat sehingga tercetus untuk menubuhkan sayap kiri PMRAM iaitu Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) dengan organisasinya tersendiri dibawah pantauan Presiden yang juga Pengerusi HEWI PMRAM.
Jika hendak diceritakan sejarah PMRAM ini memang panjang, rasanya elok sahaja lawat ke laman rasmi PMRAM.
PMRAM merupakan satu persatuan yang tua ni melalui zaman-zaman peralihan dan perubahan yang ketara. Semangat dan kekentalan mereka yang mendokong perjuangan PMRAM wajar diberi penghormatan. Generasi sekarang hanya merealisasi perjuangan suci ini perlu memikirkan dan menggembleng tenaga supaya kesatuan ini terus kekal hingga kiamat hendaknya demi merealisasikan hadaf suci untuk disemai di tanah air kelak.
Saya selaku anggota PMRAM secara ikhlas mendoakan kesejahteraan Badan Pengurus PMRAM serta AJK HEWI PMRAM samada yang bakal turun atau yang bakal menggalas tugas yang bakal mencabar. Namun jangan bimbang kerana KITA PMRAM. Yakinlah, Allah bersama orang-orang yang mendokong panji kebenaranNya.
Agak terkesima sekejap dengan apa yang baru saya tahu dari sebuah blog seorang graduan Mahasiswa Al Azhar. Saya agak berminat dengan tulisan beliau, menulis artikel-artikel yang menarik dan bagus untuk dibaca, namun terpulang bagi mereka yang menilai. Namun bagi saya blog beliau ada juga nilai.
Bagaimanapun artikel terbaru beliau kali ini, amat mengejutkan saya. Terutamanya muat satu perenggan berkenaan dengan saya. Saya tak pasti, kenapa dan mengapa, cuma yang saya amat pasti, ianya satu tindakan yang mahu melihat kesan dan implikasi selepas tersiarnya artikel yang seperenggan berkenaan dengan saya.
Tajuk artikel tersebut membicarakan berkenaan dengan pelajar-pelajar Al Azhar yang pro Barisan Alternatif. Perincian yang diberikan ternyata satu persepsi rambang dan ianya boleh dikatakan betul atau salah. Namun seperti yang saya katakan tadi, seperrenggan berkenaan dengan saya membuatkan saya terkejut dan sedikit tergelak. Namun saya tidaklah mahu menafikan apa yang ditulis ataupun tidak juga mahu meng-ia-kan. Bagaimanapun terima kasih daun keladi kepada beliau kerana secara tidak langsung mempromosi blog saya kepada umum.
Begitupun, saya sudah memberi respon terhadap artikel tersebut, juga artikel-artikel beliau sebelum ini. Namun banyak yang beliau padam. Entah mengapa tanya sendiri kepada beliau. Bagi saya, pelajar cemerlang seperti beliau tidak perlu ego dengan respon-respon yang diberi, langsung padam tanpa memberi sebarang respon. Mungkin hanya menanti respon yang blur dan mengampu hanya disiarkan.
Mungkin pelajar-pelajar di Mesir boleh memberi jawapan, sejauhmana saya berkempen untuk BA di Mesir? Ataupun rata-rata pelajar Mesir hanya melihat sebuah kelab parti politik sahaja yang mewarnai pelajar Malaysia iaitu Kelab Umno Mesir. Siapa yang tidak menghormati suasana pelajar di sini saya tak pasti, adakah saya yang menulis secara peribadi dalam blog sendiri atau Kelab UMNO yang tidak segan silu berkempen tak sudah di bumi Mesir ni?
Untuk akhirnya mungkin pembaca boleh menilai apakah bezanya antar blog saya dan blog beliau. Bagi saya sama sahaja, cuma wadah yang dipaut adalah berbeza. Beliau memilih UMNO dan saya memilih PAS. Mungkin bagi beliau hanya UMNO yang layak memerintah hingga kiamat dan hanya UMNO yang Melayu mesti ikut.
Saya ada buka laman web Harakahdaily, lebih-lebih lagi selepas isu DEB ini kembali diperkatakan oleh pimpinan negara kita, apabila Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru menyatakan Pulau Pinang "bebas DEB". Setelah itu ramailah bising apabila kenyataan itu dibuat, terutama pemimpin UMNO kerana itulah dasar yang selama ini mereka agung-agungkan.
Namun sejauhmana rakyat tahu tentang dasar ini? Kajian rambang saya terhadap pengetahuan rakyat Malaysia tentang dasar dasar ini terutama bangsa melayu menyatakan mereka tidak tahu. Kebanyakan mereka mebalas begini:
"30% utk melayu, ade ape ngan DEB, tak, boleh jugak, apa dia?, tak tau, tak kenapa? ade dengar jek, tak tau sangat, ermm, Pulau Pinang nak buat DEB baru?"
Inilah jawapan yang banyak saya terima dari orang-orang melayu berkenaan dengan pengetahuan mereka tentang DEB ini. Saya bawakan satu artikel yang saya rasa boleh menjentik fikiran kita dan pengetahuan kita tentang DEB ini.
DEB - Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu Umno
Mohd Rashidi Hassan
Jangan lupa bahawa Umno yang banyak mengkritik Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menjalankan dasar yang mendiskriminasikan orang-orang Melayu.
Akhbar Utusan Malaysia adalah antara media propaganda Barisan Nasional yang menyiarkan kenyataan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang, yang secara lantang mengkritik Tsu Koon sehingga memeningkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Hakikatnya semakin jelas kelihatan sejak berpuluh tahun kerajaan negeri diterajui Gerakan dari kelompok kaum Cina, Melayu Pulau Pinang semakin terhakis, mereka hanya menguasai dan memiliki aset di Seberang Prai, manakala di bahagian pulau, hanya tinggal di sekitar Balik Pulau.
Lain-lain tempat, Jelutong, Bayan Lepas, Georgetown, Melayu sudah semakin terpinggir dan semakin pupus. Hanya yang ada saki baki Melayu tinggal di kawasan flat. Rumah kampung sudah tiada, pangsapuri mewah pun tiada, kawasan elit pun Melayu hampir tiada. Jika ada pun Melayu dari kalangan Umno.
Penulis tidak pernah berhasrat untuk membangkitkan soal kaum. Siapa yang menjadi Ketua Menteri, siapa yang memerintah atau sebagainya.
Penulis sekadar mengharapkan rakyat berfikir, mengapa media dan Umno begitu jahat memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari DAP?
Apakah paparan bahawa kononnya kaum Cina dari DAP akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang boleh diterjemahkan sebagai semasa Cina Gerakan, DEB terlaksana dengan baik?
Jahatkah Cina DAP terlalu baikkah Cina Gerakan atau MCA pada pandangan Utusan? Media tidak harus cuba mengelirukan rakyat, kerana, mereka harus tanya kepada pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang, apakah mereka begitu puashati dengan Gerakan selama ini?
Jangan cetuskan api perkauman
Paparan seburuk ini, dibuat dengan nada yang begitu jahat, boleh mencetuskan ketidakstabilan hubungan kaum dalam negara. Utusan jelas 'bermain dengan api', meniupkan api perkauman yang boleh menjejaskan ketidakstabilan politik dalam negara.
Apa yang disebutkan Lim Guan Eng sebagai DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisyen sebenarnya memang betul.
Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditemuramah penulis dua tahun lepas (sebelum menganggotai KeADILan), tidak mempertikaikan DEB, yang dipertikaikan soalan perlaksanaannya. Soal delivery dan ketelusan yang dibangkitkan.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawa Islam tidak menerima sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai diskriminasi kepada mana-mana kaum.
Namun, PAS menerima beberapa keutamaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan terhadap orang-orang Melayu. Apa yang PAS pertikaikan ialah soal amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dilaksanakan oleh BN.
Hakikatnya PAS mempertikaikan DEB kerana ia digunakan sebagai alat politik untuk kepentingan segelintir puak yang dikenali sebagai Umnoputra, bukan untuk bumiputra.
Bukan soal DEB sahaja, lihatlah dasar untuk kepentingan orang Melayu Islam sebacara keseluruhan untuk orang Melayu/ Islam sewaktu Umno berkuasa dengan bongkaknya?
Di mana ukuran Umno/BN berjuang untuk Melayu?
Siapa yang merobohkan surau kegunaan untuk orang Islam, jika tidak dengan arahan Menteri Besar berketurunan Melayu dari Umno?
Siapa yang meroboh setinggan-setinggan Melayu seperti di Kampung Berembang atas alasan tujuan untuk pembangunan?
Siapa yang 'mengalibabakan' projek kerajaan yang diterima atas nama kontraktor Melayu Umno dan kemudiannya di sub-kon kan kepada kontraktor Cina?
Siapa yang menghapuskan pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, untuk digantikan dengan bahasa Inggeris?
Siapa yang menghapuskan bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat, yang rata-ratanya diwujudkan untuk pendidikan anak-anak Melayu/ Islam?
Siapa yang menindas dan menafikan hak ekonomi serta geran perkapita kepada kerajaan pimpinan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sewaktu PAS memerintah?
Sebenarnya bukan PAS, KeADILan atau DAP yang menolak DEB, hakikatnya pemimpin Umno sendiri yang mengkhianati DEB!
Justeru, pemimpin Umno tidak harus mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang Melayu tulen, walhal sebenarnya merekalah yang menindas orang-orang Melayu.
Jika Umno dan BN melaksanakan dasar-dasar negara dengan betul, sudah tentu orang-orang Melayu tidak akan menolak mereka.
Pilihan Raya Umum ke 12 menunjukkan orang-orang Melayu sudah menolak Umno/BN. Jangan salahkan rakyat, sikap pemimpin Umno sendiri yang menyebabkan penolakan besar-besaran berlaku.
Fikir dan renungkan. Rombak Umno, suruh Abdullah berundur, jika tidak masa depan Umno akan gelap dan tidak mustahil Umno akan tersimpan dalam muzium, menjadi bahan sejarah.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah dengan keputusan Pilihanraya Umum ke 12 ini. Pas dan BA telah menguasai 5 negeri, namun dua negeri target sebelum ini Terengganu dan Perlis Masih berada di tangan BN, namun Allah memberi Selangor dan Perak sebagai ganti.
Kejutan yang besar PRU kali ini ialah suasana tsunami politik rakyat Malaysia tidak sama seperti tahun 1999. Dilihat hanya bangsa melayu dan sebahagian kecil Cina dan India bangkit dan melihat Terengganu jatuh di tangan PAS dan Kedah hampir jatuh juga di tangan PAS. PKR sebelum ini dilihat masih belum menyerlah di beberapa kawasan, kali ini membuat kejutan besar di beberapa buah negeri terutama di Selangor. DAP dilihat sangat beruntung kerana walaupun tidak banyak kerusi yang ditandingi tetapi kerusi-kerusi tersebut menang, terutama di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan serta Johor.
Keadaan dilihat berbeza pada Parti Islam SeMalaysia, yang bertanding 19 Kerusi di Selangor tetapi hanya menang 8, juga di Perak sebanyak 21 kerusi PAS bertanding tetapi hanya menang 6 kerusi, Perlis 13 kerusi menang 1 kerusi. Berbanding DAP menyapu bersih 18 kerusi DUN yang mereka bertanding di Perak. Menang 13 kerusi dari 15 kerusi di Selangor. Kemenangan-kemenangan tersebut bukan sahaja menang dengan mejoriti sedikit, tetapi dengan mejoriti yang menjangkau hampir 1 ribu hingga 20 ribu.
Boleh dikatakan di sini, sebahagian besar rakyat dari golongan Cina dan India menunjukkan reaksi positif terhadap mana-mana parti oposisi. Tidak kira samada PAS, PKR mahupun DAP mereka memberi undi dengan tidak menoleh langsung terhadap Barisan Nasional. Bagaimanapun berbeza di kawasan mejoriti tinggi bangsa Melayu dilihat masih lagi tidur dengan angin perubahan ini sehinggakan mereka tidak peka dengan situasi semasa dengan tidak memberi undi kepada PAS di kawasan-kawasan tertentu seperti banyak di Perak dan Selangor.
Saya percaya DAP tidak boleh menafikan juga suara-suara hardcore dari PAS di kawasan-kawasan mereka memberikan mejoriti yang tinggi kepada DAP. Di sini DAP perlu bersikap realistik dalam menangani masalah setempat dengan tidak menafikan suara-suara tadi. Bagaimanapun Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana DAP Perak menepati serta meletakkan sikap berhemah yang tinggi dengan bersama-sama bermesyuarat bersama PKR dan PAS dan mencalonkan wakil PAS sebagai calon MB bagi barisan rakyat di Perak. Angin perubahan ini perlu dinilai dari banyak sudut oleh semua parti opsisi dengan tidak meletakkan suara rakyat dibelakang seperti apa yang dilakukan oleh BN dahulu.
PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu memainkan peranan penting di kerusi DUN di negeri-negeri yang ada kerusi yang dimenanginya. Suarakan dan bangkitkan isu-isu penting di negeri masing. Juga negeri-negeri yang dimenangi seperti di 5 buah negeri tadi sebolehnya menggabungkan manefesto-manefesto yang dijanjikan supaya ianya terlaksana. Jangan dilayan sangat dengan kejutan ini, tetapi kena fikirkan bagaimana negari yang bakal dibentuk. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS telah memberi peringatan awal kepada calon-calon PAS yang menang supaya kukuh dan berpegang dengan dasar dan agenda Islam yang dibawa. Walaupun tiada kerusi mejoriti PAS di Selangor dan Perak, namun isu-isu kepentingan Islam jangan dikesampingkan.
Apa yang telah PAS lakukan di Kelantan boleh dicontohi di negeri-negeri lain, namun 18 tahun PAS di Kelantan bukan mudah. Didikan rakyat dilihat dipandu oleh Menteri Besarnya sendiri. Minda Islam sememangnya ditanam cukup-cukup di Kelantan, peranan ini juga perlu dimainkan oleh negeri-negeri yang dimenangi PAS-BA.
Perkara-perkara penting yang saya lihat boleh diperjuangkan dan dilakukan perubahan di negeri-negeri pantai barat ini ialah berkenaan dengan kebajikan rakyat di sana. Isu-isu perkauman nampaknya tidak wujud, kerana dilihat perkongsian kuasa boleh dilakukan oleh PAS, PKR dan DAP. Perkara kebajikan yang penting ialah seperti:
1. Tol-tol yang berselerak di Selangor dan Kuala Lumpur
2. Kelab-kelab malam yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan juga kilang arak Carlsberg di Shah Alam
3. Jenayah yang terlalu banyak di Selangor
4. Memperbaiki institusi-institusi penting seperti perbankan Islam, Jabatan serta Majlis Agama Islam
Saya merasakan perkara-perkara ini perlu dilakukan dahulu oleh BA dalam menangani isu rakyat. Pihak berkuasa seperti Polis dan BPR janganlah masih mengikut telunjuk BN yang telah pun ternafi 2/3 kuasa mereka di Parlimen. Kabajikan pegawai-pegawai kamu lebih terjamin insyaAllah dibawah BA.
Bagi Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, perlu sedar dan insaf. Tiada lain untuk diungkapkan di sini tidak lain apa yang diperingatkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz "kembali kepada Islam yang sebenar". Yang sudah itu sudahlah. Dunia ini kita menumpang yang Allah menciptanya, pandai-pandai kita masih lagi memerlukan bantuan Allah, kerana pandai kita ini pun Allah yang beri. Terpulang kepada Pak Lah selepas ini bagaimana. Tepuk dada tanya iman.
Bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12, selain usaha berlipat ganda dan menunaikan kewajipan agama, calon-calon PAS disaran untuk menguatkan amalan solat sunat tahajud dan hajat setiap malam di samping bermunajat kepada Allah SWT.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud Al-Iraqi berkata amalan ini sangat penting supaya calon-calon PAS dapat memantapkan keimanan, ketakwaan dan akhlak seterusnya memberi kemenangan besar kepada PAS dalam pilihan raya umum akan datang.
"Dalam pilihan raya ini pelbagai anasir tidak sihat muncul seperti khianat, sabotaj dan tindakan provokasi yang boleh mengundang kecelakaan. Oleh itu, tiada ada jalan lain melainkan berdoa supaya Allah melindungi kita. Allah SWT sahajalah yang jaga kita" katanya ketika dihubungi.
Amalan-amalan itu juga katanya dapat membersihkan jiwa calon-calon PAS supaya sentiasa bermuhasabah, mendekatkan diri pada Tuhan serta masyarakat termasukmenghindari daripada terlibat perkara-perkara tidak baik yang boleh menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya nanti.