"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


24 Februari 2010

Cintai Nabi?

Sempena bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam. Ramai di kalangan kita membuat persiapan untuk acara sambutan "Birthday" Nabi ni. Kalau di masjid-masjid ahli qariah masing-masing dengan bersiapan mereka. Pihak sekolah juga begitu. Bahkan ada badan-badan swasta yang menyambutnya. Masing-masing atas dasar menterjemahkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Dengan pembuktian seperti ini. Aku nak sampaikan dari apa yang aku baca dari Kitab Qawarib An Najah Fi Hayat Ad Du'ah karangan Syeikh Fathi Yakan R.H.A.

Sifat-sifat Keimanan Yang perlu Dijaga

Dalam merentasi perjuangan Islam para pejuang hendaklah memelihara dirinya setiap waktu agar mereka dapat melihat di manakah mereka dalam menghayati dan mentaati nilai ajaran Islam dari Al Quran dan Sunnah Muhammad S.A.W. Bagaimana iltizam dan komitmen mereka terhadap Islam, agar mereka tidak tergolong di kalangan mereka yang dinyatakan oleh Allah dalam Al Quran;

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?" (Surah Al Baqarah, ayat 44)

Firman Allah lagi;

"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak mau lakukan" (Surah As Saff, ayat 2-3)


Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

"Ada seorang lelaki pada hari qiamat kelak ia digiring ke neraka lalu dicampakan ke dalamnya. Isi perutnya terburai keluar dan ia berpusing-pusing melingkarinya sebagaimana berpusingnya keldai mengelilingi kinci air, berkumpullah penghuni-penghuni neraka melihat lelaki tersebut lalu mereka bertanya; Wahai di fulan tidakkan kau dahulu menyuruh orang melakukan yang makruf dan melarang mereka dari melakukan kemungkaran? Lelaki itu menjawab; Ya, memang benar aku dahulu menyuruh orang melakukan yang makruf tetapi aku sendiri tidak melaksanakannya. Aku melarang kemungkaran, sedangkan aku melakukannya"

Sesungguhnya taraf iltizam dan komitmen dan penghayatan pejuang Islam terhadap Islam mestilah jauh mengatasi tahap penghayatan dan iltizam orang awam yang menjadi sasaran dakwah. Sekiranya iltizam para pejuang sama sahaja dengan orang lain, maka mereka tidak mempunyai apa-apa kelebihan dari orang lain. Bahkan mereka seolah-olah menanggung dosa kepura-puraan.

Kita harus sedar, bahawa kita telah melakuan bai'ah dengan Allah;

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang beriman itu akan diri dan harta mereka dengan bayaran syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka gembiralah dengan jual=beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar" (Surah At Taubah, ayat 111)

Sesungguhnya kesetiaan para pejuang dan umat Islam khususnya dengan bai'ah ini bergantung sejauhmana iltizam mereka dengan sifat-sifat keimanan yang tersebut di dalam ayat yang menyusuli ayat bai'ah yang tersebut di atas. Lihat ayat ini;

"Mereka itu;

1. Orang-orang yang bertaubat

2. Yang beribadat


3. Yang memuji (Allah)


4. Yang mengembara (melawat)


5. Yang ruku'


6. Yang sujud


7. Yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat mungkar, dan


8.Yang memelihara hukum-hakam Allah.


Dan bergembiralah orang-orang beriman itu."
(Surah At Taubah, ayat 112)

22 Februari 2010

Projek Pluralisme dalam My Name Is Khan

Semalam aku sempat menonton filem My Name Is Khan. Filem arahan Karan Johar yang dibintangi oleh Shah Rukh Khan dan Kajol ini mendapat sambutan luar biasa di Amerika dan Eropah. Filem ini secara umumnya digarap dengan baik dan hasilnya boleh dikatakan memuaskan. Namun dari apa yang hendak disampaikan menyimpang dari realiti.

Ramai yang memberi komen positif dari filem ini. Ada yang mengatakan ianya telah mengangkat martabat atau memperbaiki maruah umat Islam terutamanya di Amerika. Setelah merebaknya penyakit Islamphobia yang menimpa ke atas rakyat Amerika selepas peristiwa 11 September.

Ada mesej yang kuat hendak disampaikan oleh filem ini. Iaitu kejahatan dan kebaikan manusia jangan dilihat dari segi anutan agamanya, kerana setiap agama tidak mendorong kepada kejahatan. Sekaligus memberi mesej bahawa semua agama adalah sama dan ianya bukanlah punca berlakunya sifat ganas dan melampau.

Apatah lagi adegan Rizvan Khan lakonan Shah Rukh Khan yang beragama Islam berkahwin dengan Mandira seorang janda yang menganut hindu. Sekaligus menimbulkan satu perspektif yang salah kepada Islam dan syariatnya. Walaupun pada awalnya mendapat tentangan dari adik Rizvan iaitu Zakir yang menghalang perkahwinan mereka kerana Mandira penganut hindu, namun hal demikian tidak diendahkan oleh Rizvan kerana cinta itu adalah segalanya. Ini tidak melampau jika aku mengatakan bahawa cinta, kasih sayang dan seumpamanya merupakan doktrin kristianisasi.

Mesej yang disampaikan oleh filem ini mungkin boleh diterima bagi mereka yang berfikiran liberal, dan mereka yang bersetuju dengan konsep pluralisme. Namun bagi umat Islam yang fundamental ianya sangat-sangat bertentangan. Jika Mandira seorang yang beragama Yahudi atau Nasrani ianya mungkin tidak menjadi persoalan besar, kerana ada perbahasan syariat berkenaan dengan Nikah Ahli Kitab, namun Mandira seorang penganut Hindu, dan hindu merupakan agama penyembah berhala dan bukannya dari kalangan Ahli Kitab.

Filem ini hanya menyampaikan mesej lapisan pertama dan gagal dalam negosiasi mesej lapisan kedua. Maksud aku, lapisan pertama berjaya disampaikan dengan baik mungkin dan tujuan pluralisme itu diterima mungkin. Walaupun ianya bertentangan dengan Islam sebenar. Ada juzuk-juzuk yang diajar Islam memang disampaikan dan diadaptasi dengan baik. Antaranya Islam bukan agama keganasan dan membantu manusia tanpa mengira warna kulit dan agama. Seterusnya berjaya menonjolkan Islam yang wajah satu lagi yang dimainkan oleh Dr Rahman, dan Rizvan mengaitkan Dr Rahman dengan aktiviti keganasan. Dan kelompok Dr Rahman digambarkan Muslim yang ekstrim dan Rizvan merupakan Muslim yang liberal.

Lapisan yang kedua, yang aku anggap gagal dinegosiasi oleh filem ini mungkin ialah teori berlakunya peristiwa 11 September. Sebenarnya sebelum berlakunya 11 September telah berlakunya apa yang dikatakan keganasan dari pihak Amerika dan Barat yang ditunjangi oleh Israel. Palestin telah bermula lama sejak tahun 1948, peperangan di Vietnam, Bosnia Herzegovina, Kashmir di India, Afghanistan yang tidak pernah aman sejak serangan Soviet Union, Perang Teluk di Iraq dan banyak lagi. 11 September pada aku merupakan perancangan licik Amerika dan Israel. Ianya merupakan kejayaan besar bagi Amerika dan Israel menjadikan batu loncatan mereka untuk memerangi Islam. Lihat sahaja selepas 11 September, istilah "Memerangi Keganasan" digambar dengan "Memerangi Islam" setelah mereka melancarkan perang terhadap Afghanistan dan Iraq, setelah manusia bernama Osama bin Laden dijadikan kambing hitam. Bahkan kes 11 ini masih tidak selesai dan Bush dianggap gagal, apatahlagi timbulnya kajian-kajian dari pemerhati bebas berkenaan dengan serangan pengganas terhadap WTC dan bangunan Pentagon bukan dari pihak yang dikaitkan bahkan ianya mungkin perancangan sulit dari Mossad Israel.

19 Februari 2010

Malaysia menuju pelaksanaan hudud?

Kes perbicaraan liwat Anwar Ibrahim dan Saiful bukhari sebenarnya mecetuskan polimik baru dalam sistem perundangan di nagara kita. Terdahulu kes liwat yang pertama juga dibicarakan di mahkamah sivil. Sehinggakan terpaksa diusung tilam ke mahkamah dan kes terbaru ini pula membuatkan hakim ke apartmen untuk melihat lokasi kejadian.

Rakyat Malaysia nampaknya dipersibukkan dengan masalah liwat ini. Naik turun mahkamah, kemudian tangguh dan tangguh. Kes ini semakin memeningkan dan bercelaru kerana sebelum ini doktor yang merawat Saiful mendedahkan bahawa Saiful tiada sebarang tanda-tanda diliwat. Hal ini kecoh sebelum kes ini dibacarakan. Sehinggalah Saiful sanggup bersumpah di masjid.

Kecelaruan dwi sistem ini,menjadikan rakyat Malaysia semakin bengong. Sementelah Anwar pula memfailkan kes tuduhan meliwat ini ke mahkamah syariah. Bagaimanapun mahkamah syariah memaklumkan tiada peruntukan untuk kes qazaf ini.

Anwar sepatutnya tidak perlu pelik atau terperanjat. Kerana Qazaf ini termasuk dalam kes hudud. Qanun jenayah syariah hudud dan qisas ini hanya pernah nak dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu. Mungkin jika Anwar failkan kes qazaf ini di Terengganu ianya boleh diterima dan ada peruntukan.

Bagi yang tak faham apa itu qazaf.

Pengenalan

Tuduh zina atau
qazaf dalam bahasa arab bermaksud lempar.

Istilah syarak pula ialah
melemparkan tuduhan berzina dengan tujuan mencaci dan memalukan.

Orang Islam diharamkan menuduh orang Islam lain melakukan perbuatan keji (zina), tidak kira sama ada yang dikatakan itu benar atau tidak. Sekiranya tuduhan itu palsu ia dianggap sebagai fitnah dan merupakan satu kezaliman. Berbohong adalah perbuatan haram yang paling buruk. Walaupun tuduhan tersebut benar sekalipun, ia tetap dianggap salah.

Ini kerana perbuatan ini akan mendedahkan rahsia dan mencemarkan maruah saudaranya. Apatahlagi Allah telah memerintahkan supaya kesalahan seperti ini disembunyikan oleh pelakunya apabila dia tergelincir dengan melakukan dosa. Malah perbuatan ini hanya akan menghebahkan berita yang tidak baik kepada masyarakat.

Atas alasan ini, syarak meletakkan tuduh zina sebagai dosa besar. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Jauhilah tujuh pemusnah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulallah, apakah ia? Sabdanya: Mensyirikkan Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan alasan yang dibenarkan, riba, makan harta anak yatim, melarikan diri ketika perang dan menuduh zina wanita yang beriman yang tidak terlintas untuk melakukan sebarang kejahatan" (Riwayat Bukhari)

Liwat juga kategori yang sama

Liwat ialah persetubuhan pada dubur, baik yang disetubuhi itu lelaki mahupun wanita. Maka hukum perbuatan ini ialah hukum zina bagi pihak pelaku seorang muhsan, dia akan direjam hingga mati. Sekiranya pelaku bukan muhsan, dia akan disebat sebanyak 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun.

Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang umum:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)" (Al Israa, ayat 32)

Firman Allah yang lain berkenaan kisah kaum Nabi Luth:

"Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?" (Surah Al A'raf: 80)

Sebuah hadith ada menyatakan orang yang melakukan perlakuan ini sama seperti zina.

Dari Abu Musa, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Apabila seorang lelaki mendatangi seorang lelaki, mereka berdua adalah penzina." (Riwayat Al Baihaqi)

Maka dengan ini ulama berpendapat liwat dikategorikan sebagai hukum zina. Maka sesiapa yang membuat tuduhan liwat sama seperti tuduhan zina bagi kesalahan qazaf.

Hukum Tuduh Zina/Liwat dan Dalilnya

Hudud wajib dilakasanakan kerana memelihara hak Allah, atapun hak manusia seperti hukuman tuduh zina.

Hukuman bagi kesalahan tuduh zina/liwat yang memenuhi syarat akan dikenakan 80 sebatan. Selain itu, hak pesalah untuk menjadi saksi juga akan digugurkan. Kecuali dia bertaubat.

Firman Allah s.w.t:

"Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka orang yang fasiq; - Kecuali orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah An Nur, ayat 4-5)

Syarat-syarat hukuman Tuduh Zina/Liwat

1. Baligh. Sekiranya pesalah telah mumaiyiz, dia boleh dihukum ta'zir.

2. Berakal.

3. Penuduh bukanlah dari luluhur pihak yang dituduh seperti bapa atau datuk ke atas. Termasuklah ibu dan nenek ke atas.

4. Sukarela. Orang yang dipaksa membuat tuduhan tidak akan dihukum. Sementara yang memaksa pula tidak dihukum dengan tuduhan zina kerana dia tidak membuat hukuman tersebut.

5. Penuduh mengetahui perbuatan tersebut diharamkan. Ini kerana orang yang jahil tentang hukum tuduh zina/liwat, sama ada baru memeluk Islam atau tinggal jauh dari ulama tidak akan dikenakan hukuman.

Lima Syarat pada Pihak yang Dituduh

1. Muslim

2. Baligh

3. Berakal

4. Berakhlak baik iaitu tidak pernah disabitkan dengan kesalhan zina sebelum itu.

5. Tidak memberi keizinan kepada penuduh untuk menuduhnya. Walaupun sebenarnya keizinan ini tidak boleh membenarkan tuduhan zina/liwat dibuat. Namun dengan adanya keizinan ini, ia mewujudkan keraguan. Menurut sebuah hadis yang bermaksud:

"Hindarilah hukuman hudud daripada orang Islam seboleh mungkin. Sekiranya ada jalan melepaskannya, lepaskanlah dia. Seorang pemerintah yang tersilap mengampunkan adalah lebih baik daripada tersilap menghukum" (Riwayat Tirmizi)

Hukuman Ta'zir Sekiranya Tidak Memenuhi Syarat Hudud

Sekiranya kesemua atau salah satu syarat tidak dipenuhi, hukuman hudud akan digugurkan. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna hukuman digugurkan sama sekali daripada penuduh. Sebaliknya penuduh akan dikenakan ta'zir.

Pemerintah boleh menghukum penuduh mengikut hukuman dirasakan setimpal seperti penjara atau sebat. Dengan syarat hukuman tersebut tidak mencapai had minimum hudud bagi hukuman sama jenis.

Contoh Tuduhan

"Engkau berzina"
"Wahai penzina"
"Wahai gay"
"Engkau telah meliwat"
"Engkau telah diliwat seseorang"
"Wahai peliwat"
"Wahai orang yang diliwat"
"Wahai perempuan sundal"

Pengguguran Hukuman Tuduh Zina/Liwat

Hukuman hudud bagai kesalahan tuduh zina/liwat boleh digugurkan melalui 3 perkara:

1. Tetuduh telah disahkan melakukan kesalahan zina melalui bukti atau pengakuan oleh tertuduh sendiri. Pembuktian dilakukan apabila penuduh disertai 3 orang saksi lagi. Keterangan yang dinyatakan pula adalah jelas. Begitu juga jika tertuduh mengakui kebenaran tuduhan tersebut. Maka, hukuman hudud bagi kesalahan tuduh zina/liwat akan digugurkan. Hukuman hudud bagi terduduh pula dikenakan.

Sekiranya tidak cukup tiga orang saksi yang menyokong tuduhannya, bukti tersebut tidak diterima. Dengan ini, penuduh dan semua saksi akan dikenakan hukuman sebagai penuduh zina/liwat.

2. Pengampunan oleh pihak tertuduh sepertimana pengamunan bagi pihak keluarga mangsa dalam kes bunuh. Ini kerana hukuman ini adalah hak manusia dan hukuman ini akan gugur apabila pihak yang berhak menggugurkannya.

3. Ucapan sumpah li'an (laknat). Ini apabila penuduh adalah suami dan yang dituduh ialah isteri. Ini berdasarkan Firman Allah yang bermaksud:

"Dan orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi, hanya dirinya sendiri, maka persaksian bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia di kalangan orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia di kalangan orang yang dusta." (Surah An Nur, ayat 6-7)

Syarat-syarat Saksi

Lelaki. Sekiranya terdapat empat orang saksi wanita, keterangan mereka tidak akan diterima dan mereka akan dikenakan hukuman hudud tuduh zina/liwat.

Merdeka.

Muslim. Jika yang menuduhnya kafir, tuduhan tersebut tidak boleh diterima. Malah mereka akan dikenakan hukuman hudud tuduh zina/liwat.

Baik, dalam penjelasan serba ringkas ini, ternyata proses penghakiman masalah ini menurut syariah amat memelihara kedua-dua pihak. Maruah merupakan satu hak manusia yang wajib dipelihara. Malah memelihara kedua-dua belah pihak.

Aku mahu ikuti dengan teliti nanti. Bagaimana agaknya proses mahkamah syariah ini jika kes Anwar ini diterima. Ianya mungkin salah satu faktor utama undang-undang jenayah syariah Hudud dan Qisas ini bakal terlaksana di Malaysia. Janji Allah, siapa tahu kan?

Rujukan: Fiqh Manhaji. Mazhab Syafei

18 Februari 2010

PAS perlu belajar dari Arsenal

Manajer Arsenal Arsene Wenger tak mau menyalahkan kiper Lukasz Fabianski usai timnya kalah 2-1 dari Porto pada Leg pertama babak 16 besar Liga Champions, Kamis (18/2) dinihari WIB.

Fabianski melakukan dua blunder sehingga menyebabkan The Gunners menelan kekalahan. Blunder pertama terjadi di menit ke-11. Umpan Silvestre Varela dari sisi kiri pertahanan Arsenal tak mampu dihalau Fabianski. Padahal, bola tersebut tidak mengalir deras, dan seharusnya kiper asal Polandia itu bisa menangkap dengan mudah.

Blunder kedua terjadi saat tercipta gol Porto di babak kedua. Umpan balik Sol Campbell seharusnya cukup ditendang melalui kaki Fabianski karena tidak ada pemain lawan yang mengancam. Tapi, justru ditahan dengan kaki sejenak dan memegangnya dengan tangan.

Meski terlihat jelas Fabianski tampil buruk dalam pertandingan itu, Wenger tetap tak bergeming. Pelatih asal Prancis itu justru masih mempercayai Fabianski untuk tetap menampuk posisi kiper selama Manuel Almunia absen.

"Saya tak mau menyalahkan secara individual terhadap permainan Fabianski, termasuk menyudutkannya di depan semua orang," ujar Wenger dikutip Tribalfootball.

"Kami harus menerima kekalahan sebagai tim dan juga menerima kemenangan sebagai tim. Penampilan individual tak perlu diungkap ke publik."


Sumber: Goal.Com


17 Februari 2010

Rupa-rupanya ia tidak berfaedah

Aku tak berapa kenal wahabi sebelum aku sampai aku ke Mesir. Semasa pengajian aku di KIAS pertentangan terhadap fahaman yang dikatakan wahabi ini tidak ketara sangat. Walaupun ada bibit perdebatan yang aku tidak ambil kisah sangat di antara kawan-kawan.

Tapi setelah aku sampai ke Mesir, aku dapati isu wahabi masih diperkatakan oleh pelajar-pelajar melayu di sini. Mereka yang sering bertalaqi dengan para ulama di sini adakalanya sering terpancul dari mulut mereka ini wahabi. Manakala yang pro-wahabi pun sering mengenakan pencaknya di tengah-tengah suasana itu.

Kadang-kadang masuk di dalam mana-mana mesyuarat pun ada isu wahabi yang terbangkit. Bahkan ianya datang dari mulut pimpinan yang sangat tidak berkenan. Ini belum lagi melihat blog-blog pimpinan yang menyerang wahabi dengan hebat, seakan-akan merekalah musuh sebenar. Yang pro-wahabi pula menyerang yang tidak sealiran dengannya sehingga menuduh dengan label yang bukan-bukan yang mendatangkan kemarahan. Walhal yang diperdebatkan semuanya dari ilmu yang tak seberapa.

Kedua-dua pihak ini percaya dengan sepenuhnya terhadap apa yang dibawa dari kitab-kitab dan apa yang sahih dari hadith-hadith yang mengemukakan sifat-sifat Tuhan. Semuanya tidak perlu diperdebatkan lagi terhadap kebenarannya dan tiada sebarang perselisihan. Firman Allah:


"kemudian Ia bersemayan di atas a'rasy" (Surah Al A'raf, ayat 54)


"tangan Allah di atas tangan-tangan mereka" (Surah Al Fath, ayat 10)


"tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan wajah Allah" (Surah Al Qasas, ayat 88)


"dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya" (Surah Al An'am, ayat 18)

Kesemua ayat ini ada sahih dari Al Quran dan hadith yang perlu diimani, membenarkannya, dan kedua-dua pihak ini menerimanya.

Kedua-dua pihak ini percaya sedalam-dalamnya dengan firman Allah:


“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya” (Surah Al Ikhlas, ayat 4)

Semuanya hak yang tidak diperdebatkan. Tidak menyerupakan Tuhan dengan makhluk samada sifat, demikian juga sebaliknya.

Hakikat yang ketiga, kedua-dua pihak ini juga mempercayai bahawa zat Tuhan Maha Mulia dan Maha Tinggi dan sifatnya jauh dari jangkauan akal manusia yang kerdil, yang tidak mampu mengetahui hakikat sebenarnya di alam nyata ini. Lebih-lebih lagi alam ruh, demikian juga alam malaikat dan Zat Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi sifat-sifatnya.

Bahkan benarlah firman Allah:


"dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja" (Surah Al Israa, ayat 85)

Inilah dia hakikat yang telah ditetapkan dan ia diterima oleh kedua-kedua pihak tadi. Oleh itu, perselisihan ini adalah sesuatu yang tidak berfaedah. Lebih malang perselisihan ini hingga ke peringkat kafir-mengkafir, sehinggakan terbawa-terbawa kepada pengikut mereka yang tidak mengkajinya.

10 Februari 2010

Roket ke Harakah?

Sekali pandang memang Harakah. Dua kali pandang macam Roket. Bagi aku berita Lim Guan Eng ni tak perlu muka depan. Memang kita wajar mempertahankan dia selama mana dia dalam lingkungan kebenaran.

Apa yang aku lihat sikap Harakah agak kepelikan bila mana menimpa pimpinan utama PAS sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang dibelasah cukup-cukup oleh rakan sejemaah. Apakah Harakah merasakan isu ini JK Disiplin tidak memerlukan pembelaan dan penjelasan? Apakah asas-asas hukuman yang dijatuhkan kepada dua orang figura di Selangor ini terus dijadikan batu asas kebencian dan kemarahan ahli jemaah?

Barangkali alasan yang boleh digunakan oleh Harakah boleh rujuk pimpinan terus? Agak-agak berapa ribu ahli nak terus berjumpa dengan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man? Yang dihukum pun tidak berjumpa semasa dijatuhkan hukuman, apatah lagi mereka yang mahukan penjelasan? Sepatutnya PAS yang menjadi lidah rasmi PAS wajar mengenengahkan hal ini. Ini kerana ahli-ahli PAS yang tidak melayari internet, jadi dengan ini Harakah-lah yang menjadi rujukan utama mereka!

Bukanlah berita Lim Guan Eng menjadi masalah ini kerana atas sifat meraikan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, namun setelah beberapa insiden kefahaman dalam PAS menjadi membarah di kalangan ahlinya nampak seperti Harakah tidak memainkan peranan dengan sebaiknya, ini yang masalahnya. Apatah lagi ada dengar-dengar "virus-virus" telah menyerang pentadbiran Harakah. Setelah beberapa kali bertukar kulit dan bos, sebaiknya Harakah memainkan peranan yang lebih baik dalam memberi thaqafah dan ilmu kepada setiap ahlinya.

07 Februari 2010

Dua isu dulu baru yang lain

Pelawaan bermuzakarah antara PAS dan UMNO dah lama aku dengar sejak mula aku kenal PAS. Tajuk muzakarah pun dah bermacam-macam. Sebenarnya aku tak kisah pun tajuk apa, kerana Islam itu tertegah atas hujah. Tiada masalah bagi aku. Cuma masalahnya ada di kalangan mereka ahli PAS dan sesetengah pimpinan PAS agak fobia dengan muzakarah. Apatah lagi bila bermuzakarah dengan UMNO. Mereka membayangkan bahawa muzakarah itu akan timbulkan masalah kemudian hari.


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan Yang (membuktikan kebenaran) apa Yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang Yang benar". Surah Al Baqarah, ayat 111.

Bila UMNO kata dia juga parti Islam, bahkan mengatakan parti Islam terbesar. Maka rakyat mahukan kepastian, apakah benar dakwaan tersebut. Apatah lagi, PAS juga mendakwa mereka parti Islam. Namun jelas pembawaan kedua-dua parti ini berbeza dan rakyat mahukan penjelasan. Maka penjelasan ini tidak lain tidak bukan melalui muzakarah.

Semasa Al Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (mantan Presiden PAS) pernah bermuzakarah walaupun lebih kepada pidato perdana bersama Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad atas isu Palestin. Antara isi cadangan almarhum yang masih aku ingat ialah mewujudkan tentera pengaman peringkat OIC. Yang pada hari ini menjadi topik perbincangan di kalangan negara-negara OIC. Nampaknya cadangan tersebut sampai dan diperbincangkan pada hari ini, bukan pada ketika cadangan tersebut disampaikan.

Aku melihat, begitu juga dengan cadangan Kerajaan Perpaduan sebelum ini. Mungkin hari ini ramai yang membantah, tapi mungkin tidak pada waktu akan datang. Mungkin juga pada waktu itu yang mencadangnya tiada lagi di muka bumi ini.

Berbalik, kepada muzakarah ini. Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul AM PAS menjelaskan apa yang hendak dimuzakarahkan:

"Dalam perbincangan itu, kita menumpukan kepada dua perkara utama saja, iaitu kenapa Umno tidak boleh terima Islam sebagai dasar parti itu, dan apakah salahnya Islam yang diperjuangkan oleh PAS,"

Bagi permulaan, aku lihat dua perkara ini amat relevan sekali sebelum kita mulakan perbincangan-perbincangan yang lain. Ini kerana perkara ini dilihat perkara pokok untuk kita terus melangkah dengan perkara-perkara ranting-ranting yang lain.

Bagi aku, apabila perkara pokok ini selesai dan bertemu kata sepakat dan saling faham. Jadi perkara lain tiada masalah untuk dibincangkan. Kerana kedua-dua pihak sudah sepakat atas pekara pokok. Jika tidak sepakat pun, rakyat sudah faham siapakah UMNO dan siapakah PAS sebenarnya. Jika tidak kepada pimpinan pun, kepada rakyat dan ahli UMNO khususnya menjadi sasaran kebenaran.

Sepertimana Al Marhum Syeikh Ahmad Deedat yang sering berdebat dengan padera-paderi besar Kristian. Adakah sasaran utamanya paderi tersebut? Sudah tentu tidak, kerana sasaran utama ialah audien yang hadir pada majlis perdebatan tersebut. Apabila hujah-hujah paderi itu dipatahkan dengan mudah, apatah lagi hanya dipatahkan dengan hujah-hujah dalam bible sendiri, semestinya timbul kesedaran bagi para audien yang ramai untuk memikirkan tentang kebenaran Islam.

Wallahua'lam

03 Februari 2010

Bila masing-masing nak jadi JK Disiplin PAS

Aku sangat tertunggu-tunggu kenyataan balas dari Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan dengan keputusan JK Disiplin PAS setelah "dibelasah" secukup-cukupnya oleh beberapa ahli termasuk pimpinan PAS.

Inilah akibatnya masing-masing nak jadi JK Disiplin dan masing-masing kononnya boleh adil kepada semua pihak. Tidak kurang juga mereka yang mempermainkan kalimah WALA'.
Dijaja kalimah tersebut hingga nampak tarbiyah yang selama ini diperolehi boleh dipermainkan begitu sahaja. Tanpa segan silu mengherdik pimpinan yang dilantik secara rasmi dalam muktamar lalu. Merendah-rendahkan pimpinan hingga sanggup menyebut Ulama Kepala Lutut, JK Disiplin PAS sama sahaja dengan Lembaga Disiplin UMNO.

Adakah ini kesannya bila mana Pakatan Rakyat muncul? Apakah ini nilainya yang lahir dari hati sanubari mereka bila PAS bersama Pakatan Rakyat? Kerajaan Perpaduan yang secara terbuka ditarik balik oleh Presiden PAS setelah puas dimaki hamun mereka, nampaknya masih tidak puas. Giliran JK Disiplin PAS pula dimaki hamun mereka.

Cuba mereka ini fikir semula. Apa yang mereka harapkan dari orang lain dari tulisan mereka? Mereka ini aku maksudkan terutama ahli dan pimpinan PAS.


Oleh : Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

02 Februari 2010

Syukur dan Syukran

Alhamdulillah, sejak selesai peperiksaan 23 Januari lepas, aku kemudiannya menerima kunjungan dari Ustaz Razali Jamil Al Hafiz, Abang Khalid dan isteri Kak Mariani. Kunjungan mereka ke Mesir ini atas beberapa tujuan. Bagi Ustaz Razali tujuan utamanya ialah Pameran Buku Antarabangsa, Kaherah Mesir yang bermula pada 28 Januari hingga 10 Februari 2010.

Ditakdirkan aku menemani mereka sepanjang mereka di sini pada 24 hingga 30 Januari, dibantu oleh Ustaz Hafizi dan juga Ustaz Mahbob. Apa yang aku sangat berterima kasih kepada mereka dan bersyukur kepada Allah dengan pertemuan singkat ini, dengan takdir Allah dapat juga hajat aku tertunai ke Sinai sebelum tamat pengajian. Walaupun atas kapasiti "meneman" itu sangat memadai walaupun tidak sempat untuk mendaki Bukit Tursina. Aku bersyukur kerana akhirnya termakbul harapan aku.

Begitu juga dengan Pameran Buku ni, setalah 2 tahun sebelum ini tidak menjejaki ke sana akhirnya tahun ini dapat juga ke sana dengan kapasiti sebagai "peneman" Ustaz Razali. Aku sangat berterima kasih kepada Ustaz Razali kerana menghadiahkan 2 kitab yang aku idam-idamkan (lihat gambar). Ustaz razali hanya sempat menjengah 2 booth sahaja. Walaupun kawasan Pameran Buku tersebut sangat besar dan bemacam jenis syarikat ada, dua booth ini sahaja membuatkan kami tidak larat untuk memikul kitab-kitab yang dibeli. Ikutkan hati Ustaz Razali mahu sahaja pergi ke satu booth ke satu booth. Tapi memandangkan kepayahan membawa dan jika ditinggal takut lesap pula, akhirnya hanya dia sahaja yang sempat.

Bagi Abang Khalid dan Kak Mariani perjalanan ini merupakan honey moon mereka barangkali, ini kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 5 Disember 2009 lalu. Diucapkan kepada mereka;

بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
"Semoga Allah memberkati kamu berdua dan satukan kamu berdua dalam keadaan baik"

Mereka berdua dikhabarkan bertemu dalam lapangan dakwah. Semoga perkahwinan mereka kekal hingga akhir hayat.

Ustaz Razali pula diberitakan dalam perancangan membinan sebuah Madrasah Tahriz. Madrasah tersebut sedang dalam pembinaan dan masih memerlukan sumbangan dari orang ramai. Madrasah tersebut boleh layari di web rasminya www.tahfiz.net.

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai