"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"
Semalam aku sempat menonton filem My Name Is Khan. Filem arahan Karan Johar yang dibintangi oleh Shah Rukh Khan dan Kajol ini mendapat sambutan luar biasa di Amerika dan Eropah. Filem ini secara umumnya digarap dengan baik dan hasilnya boleh dikatakan memuaskan. Namun dari apa yang hendak disampaikan menyimpang dari realiti.
Ramai yang memberi komen positif dari filem ini. Ada yang mengatakan ianya telah mengangkat martabat atau memperbaiki maruah umat Islam terutamanya di Amerika. Setelah merebaknya penyakit Islamphobia yang menimpa ke atas rakyat Amerika selepas peristiwa 11 September.
Ada mesej yang kuat hendak disampaikan oleh filem ini. Iaitu kejahatan dan kebaikan manusia jangan dilihat dari segi anutan agamanya, kerana setiap agama tidak mendorong kepada kejahatan. Sekaligus memberi mesej bahawa semua agama adalah sama dan ianya bukanlah punca berlakunya sifat ganas dan melampau.
Apatah lagi adegan Rizvan Khan lakonan Shah Rukh Khan yang beragama Islam berkahwin dengan Mandira seorang janda yang menganut hindu. Sekaligus menimbulkan satu perspektif yang salah kepada Islam dan syariatnya. Walaupun pada awalnya mendapat tentangan dari adik Rizvan iaitu Zakir yang menghalang perkahwinan mereka kerana Mandira penganut hindu, namun hal demikian tidak diendahkan oleh Rizvan kerana cinta itu adalah segalanya. Ini tidak melampau jika aku mengatakan bahawa cinta, kasih sayang dan seumpamanya merupakan doktrin kristianisasi.
Mesej yang disampaikan oleh filem ini mungkin boleh diterima bagi mereka yang berfikiran liberal, dan mereka yang bersetuju dengan konsep pluralisme. Namun bagi umat Islam yang fundamental ianya sangat-sangat bertentangan. Jika Mandira seorang yang beragama Yahudi atau Nasrani ianya mungkin tidak menjadi persoalan besar, kerana ada perbahasan syariat berkenaan dengan Nikah Ahli Kitab, namun Mandira seorang penganut Hindu, dan hindu merupakan agama penyembah berhala dan bukannya dari kalangan Ahli Kitab.
Filem ini hanya menyampaikan mesej lapisan pertama dan gagal dalam negosiasi mesej lapisan kedua. Maksud aku, lapisan pertama berjaya disampaikan dengan baik mungkin dan tujuan pluralisme itu diterima mungkin. Walaupun ianya bertentangan dengan Islam sebenar. Ada juzuk-juzuk yang diajar Islam memang disampaikan dan diadaptasi dengan baik. Antaranya Islam bukan agama keganasan dan membantu manusia tanpa mengira warna kulit dan agama. Seterusnya berjaya menonjolkan Islam yang wajah satu lagi yang dimainkan oleh Dr Rahman, dan Rizvan mengaitkan Dr Rahman dengan aktiviti keganasan. Dan kelompok Dr Rahman digambarkan Muslim yang ekstrim dan Rizvan merupakan Muslim yang liberal.
Lapisan yang kedua, yang aku anggap gagal dinegosiasi oleh filem ini mungkin ialah teori berlakunya peristiwa 11 September. Sebenarnya sebelum berlakunya 11 September telah berlakunya apa yang dikatakan keganasan dari pihak Amerika dan Barat yang ditunjangi oleh Israel. Palestin telah bermula lama sejak tahun 1948, peperangan di Vietnam, Bosnia Herzegovina, Kashmir di India, Afghanistan yang tidak pernah aman sejak serangan Soviet Union, Perang Teluk di Iraq dan banyak lagi. 11 September pada aku merupakan perancangan licik Amerika dan Israel. Ianya merupakan kejayaan besar bagi Amerika dan Israel menjadikan batu loncatan mereka untuk memerangi Islam. Lihat sahaja selepas 11 September, istilah "Memerangi Keganasan" digambar dengan "Memerangi Islam" setelah mereka melancarkan perang terhadap Afghanistan dan Iraq, setelah manusia bernama Osama bin Laden dijadikan kambing hitam. Bahkan kes 11 ini masih tidak selesai dan Bush dianggap gagal, apatahlagi timbulnya kajian-kajian dari pemerhati bebas berkenaan dengan serangan pengganas terhadap WTC dan bangunan Pentagon bukan dari pihak yang dikaitkan bahkan ianya mungkin perancangan sulit dari Mossad Israel.
Terkini: Ustaz Hadi nafi laporan "God bukan Allah". Barulah keluar, sepatutnya Muzakarah tersebut diambil perhatian oleh HarakahDaily. Bila dah keluar ke akhbar lain, barulah terhegeh-hegeh nak buat berita tentang ni. Ini pun dah suam.
Keratan dari Mstar OnlineMuzakarah: Penggunaan Kalimah Allah Sebagai Terjemahan Kepada 'God' Tidak Tepat
KUALA LUMPUR: Muzakarah Pakar, yang disertai tujuh ilmuwan Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada "God" adalah tidak tepat.
Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai "God" juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia.
"Dalam perbincangan ini, kita semua setuju bahawasanya kita perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan beragama diteruskan dalam suasana aman dan harmoni," katanya pada sidang akhbar selepas muzakarah itu.
Tujuh pakar itu ialah Prof Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Mohd Nur Manuty; bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Md Asham Ahmad.
Muzakarah bertajuk "Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya" berlangsung selama lapan jam dari pukul 8.30 pagi, dipengerusikan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
Abdullah berkata muzakarah itu berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengenal pasti punca dan penjelasan latar belakang permasalahan daripada perspektif agama, bahasa, sosial dan undang-undang.
"Muzakarah ini juga dapat menegaskan kefahaman dan konteks penggunaan Allah dalam Al-Quran, memurnikan tafsiran ke atas sumber-sumber hukum Islam berkaitan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh agama dan budaya selain Islam dan membentuk kesatuan fikiran di kalangan tokoh agama serta pemimpin umat Islam," katanya.
Abdullah berkata pendirian muzakarah itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan dan akan dibincangkan dalam siri muzakarah akan datang bertajuk "Mengurus Krisis Antara Agama" anjuran IKIM pada 25 Januari ini.
Beliau berkata muzakarah yang membabitkan semua pemimpin agama serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST)bertujuan mengenalpasti krisis, jalan penyelesaian dan mencari persefahaman untuk keharmonian semua kaum di negara ini.
Abdullah berkata IKIM berharap agar semua penganut agama menghormati batas-batas agama masing-masing agar tidak berlaku lagi kekecohan seperti yang berlaku pada masa ini.
Kenyataan Presiden PAS sebelum ini.
Pendirian PAS berkenaan isu kalimah Allah.
Apa yang aku persoalkan. Berita ni tak keluar di Harakahdaily. Sama ada aku tak perasan, terlepas atau Harakahdaily dah jadi HarakahDelay? Sepatutnya di mana sahaja program yang disertai oleh Presiden PAS dilaporkan. Kerana para ahli PAS mahu mengetahui apa aktiviti Presidennya. Atau staff HarakahDaily lupa yang Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ni Presiden PAS?
Adakah kerana ini anjuran IKIM yang dinaungi Pak Lah, berita ini tidak diterima masuk? Atau ruh Harakah Islamiah hilang dalam HarakahDaily yang hanya ada HarakahSiasah (politik) sahaja?
Daripada situ, emosi Siti dicurahkan untuk memberikan hasil yang terbaik agar ia mampu meninggalkan impak yang besar kepada peminat mahupun pencinta muzik amnya.
"Jujurnya, merakamkan album Tahajjud Cinta memberikan kepuasan yang berbeza berbanding dengan album-album sebelum ini.
"Kepuasan itu dapat diukur dari sudut batiniah apabila menyampaikan lagu-lagu seperti Asma Ul Husna dan Selawat yang memberikan ketenangan yang cukup indah dan mendamaikan.
"Bukan itu sahaja, lagu-lagu sebegini juga mampu membawa kita merenung diri sambil memikirkan betapa besarnya kuasa Allah SWT dan mengenang betapa kerdilnya hidup kita ini.
"Inilah yang saya mahukan dan sampaikan kepada masyarakat dan peminat menerusi album ini kerana pada saya, tidak salah jika kita berkongsi bakat yang diberikan ke arah yang betul dan benar.
"Setidak-tidaknya, selepas ini saya tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur keagamaan jika dijemput ke majlis yang mengkehendaki saya menyanyi ritma ini," ulas Siti panjang lebar saat tentang album Tahajjud Cinta yang mula berada di pasaran sejak 9 September lalu.
Selanjutnya klik sini.
"Don't judge a book by it's cover". Mungkin hujah ini mudah terpancul dari mulut orang. Perkara yang baik sememangnya mengundang pujian. Namun kali ini aku nak betulkan persepsi apa yang dinamakan dengan perbuatan baik.
Al Ma'ruf adalah perkara-perkara yang baik yang banyak tercatat dalam Al Quran dan Sunnah. bahkan ianya boleh dilihat dari perspektif yang luas yang bukan hanya pada ibadah khusus seperti solat, zakat atau haji. Ianya berbentuk amalan atau perbuatan yang cenderung kepada ketaatan kepada Allah.
Bagaimanapun wajar diingatkan. Tidak sekali-sekali Allah s.w.t memberi kata tunggal kepada Al Ma'ruf ini. Bahkan ia berpasangan dengan Al Munkar. Ada perbuatan ma'ruf (baik) tapi ada juga perbuatan munkar (buruk, maksiat). Munkar ini ialah setiap amalan atau perbuatan yang cenderung kepada maksiat dan ingkar kepada Allah. Ianya banyak dan mungkin jelas dan tidak. Syirik juga ada yang khafi (tersembunyi) dan jali (jelas). Kita tak perasan yang kadang-kadang kata-kata kita membawa kepada syirik. Nau'zubillah.
Baik, berbalik kepada apa yang dikatakan oleh Siti Nurhaliza memang tiada salahnya. Bahkan dakwah perlu diterokai dari segenap pelusuk cadangnya. Hatta ianya bukan hak pada orang yang digelar ulama sahaja, ianya tugas setiap orang yang bergelar muslim. Tapi, dakwah atau dalam erti kata lain Al Amru bil Ma'ruf dan Nahyu A'nil Munkar (menyuruh manusia berbuat baik dan melarang mereka berbuat perkara buruk dan maksiat) mempunyai langkah dan uslub (cara) yang ditentukan.
Firman Allah bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk." Surah An Nahl ayat 125
Wasilah pertama ialah hikmat kebijaksanaan yang dikurniakan kepada kita. Ianya mestilah dari kata-kata yang benar dan jelas dengan kebenaran itu sendiri dan menghilangkan kebatilan. (Tafsir Al Wasit, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, 8/262)
Perlu kita sedar membawa kebenaran ini ialah amanah. Sepertimana yang disebut oleh Siti Nurhaliza. Jadi, kita wajar memberi seratus peratus perhatian dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Bahkan wajib yakin dengan jalan yang kita bawa dan syariat yang kita dokong. Dengan ini setiap kebatilan yang kita mahu memerangi akan ditenggelamkan. Lafaz bagaimana yang boleh mengatakan kita mendekatkan diri kepada Allah jika kita sendiri seperti tidak yakin dengan kebenaran yang kita dokong?
Wasilah kedua pula "Nasihat kepada pengajaran yang baik". Iaitu kata-kata yang syumul dengan nasihat dan pengajaran yang boleh melembutkan hati dan jiwa, dan ianya sangat bermanfaat kepada mereka yang didakwah dengan apa-apa yang benar kepada mereka. Juga mendorong kepada taat kepada Allah dan membawa mereka jauh untuk bermaksiat kepada Allah. (Tafsir Al Wasit, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, 8/262)
Nah, jika ini yang kita mahu. Tidak dapat tidak wasilah yang kita gunakan betul-betul murni dan bersih dari mana-mana unsur yang merosakan jiwa. Ianya uslub yang terbaik sepatutnya yang wajar kita fahami. Bukan setakat hanya cenderung kepada kebaikan tetapi menafikan kebenaran yang lain. Ini merupakan wasilah yang salah dan jauh dari nusrah (pertolongan) Allah. Kita tahu syaitan dan kerosakan itu musuh kita, tetapi kita sering menerima setiap "nasihat" darinya dan melakukan keburukan. Lebih buruk menonjolkan satu fahaman songsang yang akan membawa kerosakan fikrah kepada masyarakat.
Bagi aku, Siti wajar terlebih dahulu mendapatkan nasihat dan pandangan dari mana-mana para ulama sebelum melakukan sesuatu. Kerana tidak dinafikan dia adalah ikon yang menjadi tarikan utama masyarakat. Ia lebih baik dan jelas yang sepatutnya Siti lakukan kerana dari apa yang diucapkan bahawa ianya amanah. Amanah ini tanggungjawab berat yang bakal dipersoalkan oleh Allah.