"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


20 Disember 2007

Mereka Memerlukan Kita


Dua cahaya mata saudara Mohd Razi bin Musa, adik Hajar dan Khaulah telah mengidap penyakit GLAUKOMA KONGENITAL yang boleh mengakibatkan buta pada mata dua anak beliau.

Saudara Mohd Razi bin Musa yang merupakan penuntut M.A. Usuluddin Pengkhususan Tafsir, American Open University, Kaherah Mesir akan pulang ke Malaysia pada 25 Januari 2008 atas tujuan pembedahan mata kedua-dua anak beliau. Lokasi pembedahan yang dicadang adalah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras Kuala Lumpur.

Kos rawatan untuk kedua-dua cahaya mata beliau dianggarkan berjumlah RM 12,000.00.
Justeru,saya melancarkan kutipan derma kilat khusus untuk mengumpulkan sumbangan bagi membiayai kos rawatan dan pembedahan ke atas kedua-dua anak saudara Mohd Razi bin Musa.

Saya menggesa kepada seluruh pengunjung blog ini untuk memberikan sumbangan ikhlas kepada saudara Mohd Razi bin Musa bertepatan dengan roh pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim sekeluarga yang telah diabadikan dalam sambutan Hari Raya Idul Adha.


Kepada mana-mana individu yang bermurah hati untuk memberikan sumbangan kepada saudara Mohd Razi bin Musa, boleh terus berhubung terus kepada saudara Mohd Razi bin Musa di talian +20106592769 @ +20166764502 atau terus menyumbang ke akaun HSBC milik saudara Mohd Razi bin Musa NO AKAUN: 032 036 832 011.

18 Disember 2007

Selamat Menyambut Idul Adha

Assalamualaikum

Selamat menyambut I'dul Adha 1428. Di Mesir sambutannya pada hari Rabu, 19 Disember 2007. Bagaimanapun saya difahamkan Malaysia menyambutnya pada Khamis 20 Disember 2007. Tak dapat diketahui kenapa berlaku demikian. Rasanya dah lama perkara ini berlaku, tapi hingga kini masalah ini tidak selesai. Agaknya payah ke nak ikut taqwim yang dirujuk terus apa yang berlaku di Makkah pada musim haji ini?

Majlis Raja-Raja, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Mufti-Mufti perlu lakukan sesuatu. Kerana ini melibatkan ibadah besar ummat Islam. Para alim ulama perlu segera menyelesaikan masalah ini, dan pihak kerajaan perlu sedia menerima apa jua bentuk fatwa yang akan dikeluarkan. Umara dan Ulama perlu berganding rapat dalam hal ini. Bahkan bukan hanya hal-hal tertentu sahaja ulama diguna pakai.

Saya di sini mengucapkan Selamat I'dul adha kepada seluruh ummat Islam yang singgah ke blog ini. Terutama ibu dan keluarga yang berada di Johor, Malaysia. Juga didoakan kepada para hujjaj mendapat haji yang mabrur dan diterima Allah insyaAllah. Semoga kita diberi hidayah Allah dan digolongkan bersama golongan yang benar. Amin

Wassalam

11 Disember 2007

Artis Muslim Tak Hormat Agama?

Melihat senario kini, nampaknya artis kita sudah mula menjadi icon yang tidak menghormati agama.Agama bagi mereka seumpama bukan perkara tunjang dalam diri. Bila nak guna, mereka guna. Bila nak tolak tepi mereka tolak.

Sebelum ini kecoh dengan sikap Rosnah Mat Aris dalam rancangan Sensasi yang diterbitkan oleh TV3 suku, isu menghina isteri Rasulullah SAW yang tercinta. Nasib ramai yang perasan dan Rosnah cepat-cepat minta maaf. Taubat kepada Allah tu hal dia lah. Tapi dari lahiriyahnya mcm belum, rambut masih karat alat minah inggeris.


Tapi sekarang, jika kita sama-sama perasan. Dalam akhbar-akhbar harian jika dihighlightkan upacara perkahwinan para artis. Terutama artis wanita sudah mula mengenakan tudung. Menutup aurat semasa hari pernikahan. Nampak ayu, sopan dan cantik. Masa tu hati aku berdetik, siapa bilang gadis melayu tak menawan? Sejuk perut mak dia bila tengok anak perempuan diorang camtu. Bukan perut mak diorang jer, perut aku pun sejuk, huhu.

Senario ini rasanya bermula sejak wedding of the year Siti Nurhaliza. Artis perempuan paling top di Malaysia ni. Kemudian mula diikuti oleh artis-artis wanita lain seperti Erra Fazira dan yang terbaru Sharifah Aleya. Contoh yang baik wajar diikuti. Tapi semestinya faham apa yang diikut dan bukan sekadar menjadikan ianya trend masakini atau sebagainya.

Artis adalah icon hiburan kepada masyarakat. Buka tv muka diorang sana sini. Hatta bulan pose pun artis yang mengaji. Siti juga yang mengaji, elok juga bertudung. Tapi apabila diperhatikan ianya seolah-olah menjadi trend dan sering dipertontonkan satu dunia, maka ianya boleh dianggap seperti menghina agama. Ini kerana apa yang nampak dipermainkan ialah hukum yang qati'e sifatnya. Jelas disebut dalam Al Quran yang bermaksud "Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)"

juga ayat yang bermaksud "Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir" (an-Nur: 31)

Tiadakah peruntukan undang-undang bagi mereka yang menghina hukum-hukum Allah ini? Nampak seperti kecil. Tapi besar di sisi Allah. Hukum wajib menutup aurat seperti hukum-hukum wajib yang lain. Jika kita lihat ada peruntukan undang-undang bagi pesalah-pesalah yang tidak meghormati bulan ramadhan. Adakah tidak ada peruntukan undang-undang bagi mereka yang menghina hukum Allah? Terutama dalam isu ini? Tunjuk satu dunia elok bertudung, kemudian bila masa bersanding tunjuk satu dunia aku bebas buka tudung. Tapi teringat aku berkenaan dengan kes penangkapan ratu cantik. Ratu dibebas mufti dipecat. Haru biru.

Cacamarba pengetahuan Islam di Malaysia amat parah. Tidak dinafikan jika di sekolah-sekolah dahulu dah diajar bagaimana cara menutup aurat. Namun penekanan pemakainan terhadapnya tidak terlaksana. Cuma ada diperingkat sekolah-sekolah menengah agama. Bahkan menutup aurat ini merupakan salah satu aspek besar dalam syariah Islamiyah. Banyak kitab-kitab ilmiyah yang kadang-kadang membicarakan persoalan aurat sahaja. Hingga beratus-ratus muka surat, pandangan ulama dahulu dan kontemporari kebanyakan tidak jauh berbeza. Bahkan perkara ini ialah perkara usul, dan bukan perkara yang khilaf. Cuma khilaf dari aspek anggota mana yang boleh dibuka bersama mahram dan bukan mahram dan sesama jenis.

Lihat sahaja muda-mudi di Malaysia, berapa ramai yang berpakaian ketat sendat tapi memakai tudung. T Shirt lengan pendek nampak pusat, tapi bertudung. Bertudung tapi nampak leher. Difahami hanya rambut sahaja yang aurat. Lengan bukan aurat. Mungkin rambut mereka berbau busuk atau tidak cantik, lurus berkilat maka tudung menjadi mangsa. Bukan menutup kerana aurat. Tapi kerana sebab lain. Ini belum masuk bab bertudung atas tapi bawah tak bertudung! Kena sambar petir baru tahu!!

10 Disember 2007

Memusuhi UMNO bererti menikam orang melayu?

Hari ini aku baca utusan meloya. Rasa nak tergelak ada, rasa hairan ada. Apabila Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata "walaupun Hindraf mendakwa bekerjasama erat dengan orang Melayu tetapi ia tidak mengubah fakta bahawa UMNO adalah parti majoriti orang Melayu". Kata-kata ini adalah respon dari kenyataan terbuka peguam dan aktivis Hindraf, P. Uthayakumar yang menyatakan bahawa musuh Hindraf bukan orang Melayu tetapi UMNO.

UMNO sekarang seperti cacing kepananasan. Biarlah samada mendakwa Hindraf diperalat pembangkang atau menuduh Hindraf sebagai pengganas tapi bukan bermakna UMNO terus nampak telus dalam pemerintahan. Kenyataan memperlekeh, menidakkan dan menafikan pandangan suara rakyat menunjukkan UMNO tidak bersama rakyat. Kenyataan-kenyataan atas angin tanpa menyebut fakta yang jelas menunjukkan UMNO merasakan hanya mereka sahaja yang benar.

Bagaimanapun kenyataan Muhammad tadi sangat angkuh dan menafikan keberadaan parti-parti politik lain yang turut sama memajukan Malaysia. Menjadikan Malaysia sebagai ketuanan melayu teramatlah bermasalah. Jika dilihat suasana politik di Malaysia.

PAS sebuah parti politik yang wujud sebelum merdeka. Adakah UMNO juga mahu mengatakan orang-orang yang berada dalam PAS sebagai menikam orang melayu? "piiii giiii daaaa!!!" Bagaimanapun kenyataan Muhammad tersebut dilihat sangat berbahaya seakan berbau hasutan. Menikam bererti mahu membunuh seperti ayat menikam dari belakang. Adakah cara Muhammad mengungkapkan ayat tersebut untuk menaikkan rasa marah orang melayu supaya tidak berpuashati juga dengan kaum lain?

Penangkapan pimpinan parti-parti pembangkang tidak ubah seperti zaman negara kita diperintah oleh British dahulu. Tangkapan pimpinan Hizbul Muslimin dan pengharaman pertubuhan tersebut menunjukkan UMNO sekarang terdidik dengan penjajah dahulu.

03 Disember 2007

Beberapa Hari

Kesekian Kali

Lama sudah rasanya, tidak menambah entry dalam blog sendiri. Banyak perkara yang berlaku, baik atas diri sendiri mahupun dunia sekeliling. Bagaimanapun saya tidaklah seperti penulis-penulis blog yang mendapat perhatian atas tulisan-tulisan mereka. Samada tulisan berilmu-ilmi, kritikan, gaya bahasa, panorama atau sebagainya yang menjadi tatapan harian pelayar internet. Saya sekadar memenuhi kehendak keperluan semasa saya, dan ini tidak menjadi aktiviti utama saya. Mungkin ada juga yang tertanya-tanya dan juga mahu mengetahui apakah pandangan, pendapat saya tentang isu-isu sekeliling. Namun saya kurang pantas untuk mengulasnya.

Al Fatihah

Sedih. Itulah yang boleh saya katakan terhadap apa yang berlaku kepada salah seorang sahabat seperjuangan di Bumi Anbiak ini saudara Mohd Rasul Amat yang baru kehilangan ibunda tercinta. Ibunya telah kembali ke rahmatullah pada 3 petang waktu Mesir pada 2 November 2007. Berita ini memang amat hiba, siapa yang tidak sedih? Ibu tercinta, mengandungkan 9 bulan, menyusukan kita, yang membuangkan hingus kita, yang berjaga malam ketika kita meragam, dan rasanya susah nak sebut begitu banyak jasa ibu membesar dan mendidik kita.

Teringat sebuah lagu yang pernah saya dengar semasa sekolah menengah, yang dinyanyikan oleh sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah Islam Al Masriyah (sekolah lama). Liriknya begini:

"Bonda, terima kasih..
Atas segalanya..
Kerana kau telah mengenalkan kami..
Kepada Tuhan Yang Maha Esa..
Kau tunjukkan jalan untuk ke sana..
Dunia Akhirat yang kekal abadi..

Betapa..
Mulianya hatimu..
Betapa..
Murni kasih sayangmu..
Dapatku balaskah bonda?
Kasihmu kasih sejati..
Moga sentiasa Allah rahmati..
Moga Sentiasa Allah redhai.."
MECC '07

Middle East Career Carnival 2007, sejarah baru dalam dunia mahasiswa Islam Malaysia di Mesir. Samada dari azhari atau tibbian's sama-sama mendapat pendedahan awal, tentang program ini. Program yang dirasmikan oleh YAB Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.

Banyak syarikat-syarikat swasta yang menyertai karnival ini, yang diketuai oleh Permodalan Nasional Berhad. Begitu juga dengan IPTA dan IPTS dari Malaysia yang mengambil peluang mempromosi kelebihan masing-masing. Samada menawarkan bantuan-bantuan pelajaran dan sebagainya.

Memang, tidak dinafikan banyak positifnya. Namun janganlah kita seperti pejam sebelah mata terhadap apa yang negatif yang dibawa. Apa yang saya nak tekankan di sini ialah, berkenaan dengan tindakan licik balaci-balaci UMNO di Mesir ini, yang memanupulasikan mahasiswa-mahasiswi yang tidak perasan dengan taktik mereka. Mahasiswa-mahasiswi di sini seperti terperangkap dengan taktik ini dan seolah-olah menerima dengan logo UMNO yang tergantung di dewan di kerusi penonton. Saya tak kesah jika ada di antara rombongan tersebut dari UMNO seperti Dato Noraini selaku ketua putri UMNO pusat, juga Dato Pirdaus si penendang peti undi. Walaupun masih juga rasa tak senang dengan kehadiran mereka. Datang atas kapasiti apa? Menteri? Timbalan Menteri? CEO? Dekan IPT?

Juga rasa ringan tangan ni apabila melihat beberapa azhariyah yang terhegeh-hegeh membuntuti Sang Ketua Puteri, sambil memanggil manja "dato' Noraini" beberapa kali. Saya tak kesah jika yang mengekorinya orang-orang parti mereka. Tetapi bila si tudung labuh, si ustazah pula, rasa seperti ringan sahaja tangan ni. Cuma masih dapat mengawal rasa sabar ini. Mana maruah mereka sebagai Azhariyah? Jika dakwah yang kamu sampaikan kepada mereka, alhamdulillah. Tapi bodek dan pujian kepada mereka, sedarlah kamu sedang menanggalkan sedikit demi sedikit maruah yang ada dari helaian kitab yang kamu pelajari.

Jamal Abdillah dan lagunya berkumandang di bumi Anbiak. Untuk hari ini saya tidak pergi. setelah saya tahu, program ini 100% memprogram kami yang bukan dari ahli Nadi UMNO Mesir. Jamal...Jamal, baru balik Umrah. Terpampang sekali lagi di atas pentas lambang UMNO. Untuk hari kedua ini, saya hanya melihat gambar-gambar yang dipetik oleh roomate saya, rasanya cukup menceritakan segalanya. Kalaulah lagu pujian kepada Allah dan RasulNya yang dinyanyikan, rasanya hamburan pujian yang bakal diterima.

Zam (Dato Zainuddin Maidin), Menteri Penerangan Malaysia berucap dalam majlis penutup MECC ini sangat memalukan. Walaupun saya tidak pergi, namun respon dari sahabat telah menceritakan segalanya. Zam mengulas tentang soalan-soalan yang diajukan oleh Presiden PMRAM kepada PM di hari semalamnya. Saya tidak mahu sentuh isu lain, hanya mahu sentuh isu Palestin. Antara ulasannya,

"Apa yang awak semua sibuk-sibuk tentang Palestin? kat sini awak belajar sahaja sudah"

Mungkin lebih kurang begini ayatnya, tapi inilah gambaran yang saya perolehi dari cerita-ceriti dari MECC. Di sini timbul persoalan, di manakah Zam dalam isu Palestin? Palestin duduk dalam rangking ke berapa dalam hati Zam? Soalan Presiden PMRAM amat munasabah, memandang Malaysia selaku Pengerusi OIC yang dipimpin oleh PM. Maka munasabah dengan soalan yang ditanya. Adakah soalan seperti ini membuatkan telinga Zam merah? Berbulu ke dengan tentang Palestin? Apakah Zam lupa apa yang berlaku sekian lama tentang Palestin, merupakan bandar ketiga suci kepada ummat Islam?!! Palestin seumpama nadi ummat Islam. Tinggi rendah kayu pengukur kekuatan ummat Islam terletak di Palestin yang ada padanya kiblat pertama ummat Islam.

Perhimpunan HINRDAF

Banyak persoalan yang wajar dibangkitkan dalam hal ini. Cuma saya tertarik dengan apa yang dibangkitkan oleh kumpulan ini kepada Suruhanjaya British. Terutama dalam isu perlupusan etnik. Mereka mendakwa Malaysia dalam proses ke arah itu. Jika kita baca sekali jalan, seperti melampau dan merbahaya. Samada ia diada-adakan atau kenyataan, tertakluk kepada kajian mereka.

India merupakan antara suku kaum yang besar dalam negara kita. Namun Hindu merupakan pilihan utama dalam beragama. Selebihnya Kristian, Budha dan Islam. Namun seperti sinonim India dan Hindu, HINDRAF jika diteliti tidak boleh dikategorikan sebagai mewakili masyarakat India di Malaysia, kerana India merupaka bangsa yang mempunyai pelagai penganut agamanya. Bahkan Negara India pernah diperintah oleh Islam.

Polis dan FRU seperti biasa, walaupun perhimpunan kali ini tidak seperti 10 November lalu namun impaknya seperti mahu menenggelamkan himpunan BERSIH. Kerana isu yang dimainkan adalah perkauman dan agama. Satu isu yang sensitif dalam negara berbilang kaum. BERSIH seperti tenggelam setelah perhimpunan ini. Tuntutan-tuntutan BERSIH seperti dilupakan setelah tuntutan HINDRAF dibual bicarakan. Perhimpunan ini mendapat liputan meluas akhbar pro-kerajaaan. Apa yang berlaku?

Namun, pemuda UMNO melalui ketuanya, mempersoalkan pendirian PAS dalam hal ini. Kenapa PAS? Kenapa tidak UMNO sendiri? Atau MIC? Mereka telah memerintah 50 tahun. Kenapa ini berlaku? Dan sepatutnya ditanya kepada pihak pemerintah. Adakah UMNO-BN mahu memerangkap PAS dalam isu ini? Tak mustahil. UMNO dalam perangkaan saya akan melakukan apa sahaja jika kuasa mereka tergugat. Menjaga kesetabilan UMNO lebih penting dari menjaga kestabilan negara.

20 November 2007

Surat Untuk MAZA

SEJARAH BUKAN SEKADAR MELIHAT
-Azizi Hj Abdullah

Mengimbau sejarah memang baik. Tapi sejarah bukan saja untuk diimbau melainkan memetiknya lalu dijadikan iktibar. Iktibar tidak boleh diklasifikasi atas sebab status atau kedudukan. Apabila dikatakan iktibar, ia tidak sekadar imbauan dengan catatan nama dan fakta tetapi ia perlu menjadi asas teguran masa kini.

Jika di zaman sahabat, Mu`awiyah (sekadar sebutan contoh) dianggap melakukan hukuman dan tindakan melampau, ia bukan sekadar sebuah cerita menganggap Mu`awiyah melampau tetapi mereka yang melakukan seperti Mu`awiyah masa kini mesti juga dianggap melampau dan diperlukan tindakan. Dan sebutan bukan lagi ‘mereka’ tetapi mestilah A atau B.

Mahu menyalahi kesalahan Mu`awiyah mengikut cerita sejarah tentulah mustahil kita hendak menggali kubur Mu`awiyah untuk membuktikan batang tubuh itu salah. Tetapi jika yang melakukan seperti Maayiwah kini, ia bukan sejarah tetapi ia mengulangi sejarah seperti Mu`awiyah maka ia perlulah disebut siapa dan perlu dihukum.

Saya melihat tulisan Dr.Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Perlis di dalam MM muka 6, keluaran 28 Oktober 2007 sangat tidak adil, mempunyai unsur ketidakberanian menyatakan melalui imbauan sejarah, tidak berani berterus terang dan mempunyai agenda yang berat sebelah.

Saya melihat sejak akhir-akhir ini tulisan Sahibussamahah seakan membodek pihak tertentu dan menyalahkan pihak tertentu dari tiupan nafas politik yang disenangi dan tidak disenangi, dari roh politik yang terjamin dan tidak terjamin.

Jika atas niat ingin menyatakan ramai manusia yang teraniaya disebabkan berita palsu yang direka, kemudian memberitahu penderitaan atau kezaliman, cerita bohong, penyelewengan fakta melalui imbauan sejarah Nabi Isa, sesungguhnya malang fakta dan hujjah ini bukan saja diketahui umum tetapi seakan nampak Sahibussamahah ingin menyatakan sesuatu yang terkini tetapi agak takut pernyataan itu melantun ke muka kembali.

Sepanjang setengah muka surat akhbar Mingguan Malaysia yang lebar itu, tidak ada satu contoh, sebutan kes, fakta, pembohongan, penyelewengan, kezaliman yang disebut berlaku masa kini, yang tentunya belum lagi menjadi pekasam sejarah. Sepatutnya inilah yang mesti disebut, diberi peringatan dengan hujah dan dalil Al-Qur`an serta hadis.

Misalnya penyelewengan hakikat Nabi Isa, penyelewengan tentang Saidina Ali sampai lahirnya fahaman Syiah, apakah relevannya kes beribu tahun itu sedangkan masa kini penyelewengan tentang konsep, dasar Islam termasuk penambah baik Hadhari yang masih dipertikai? Mengapa tidak ada sebutan dan ganjaran pembalasan terhadap si anu dan si dia yang melakukan penyelewengan itu.

Ini bukan kes CIA atau SB. Ini bukan sejarah tapi realiti.

Dinukilkan surah Al-Baqarah ayat 79, dipetik juga Al-Hujurat ayat 6 tentang dosa penyelewengan, pembohongan dalam sejarah yang lalu. Ayat 79 surah Al-Baqarah, ayat 6 surah Al-Hujurat sememangnya mempunyai sebab turunnya ketika itu, tetapi ayat-ayat ini relevan, menjadi peringatan, panduan hingga akhir zaman. Tulisan Sahibussamahah hanya menyebut permulaan para nabi, sahabat sedang ayat tersebut boleh diguna pakai, bagaimana penyelewengan wang negara, perbelanjaan yang tidak telus seperti yang dilaporkan oleh Audit Negara. Kenapa tidak disebut langsung?

Kenapa tidak menyebut kementerian itu, jabatan ini dan anu-anu yang bertanggung jawab dalam sesuatu jabatan atau kementerian tersebut?

Kenapa pula mesti disebut Syiah zaman lampau sehingga memetik kata-kata Al-Ghazali sedangkan pakar-pakar ekonomi kita, ulama, agamawan sudah membongkar tentang berlaku tidak telusnya golongan tersebut. Apakah dengan menyebut Al-Ghazali, kita seperti tidak ada apa-apa yang berlaku?

Al-Ghazali dan imam-imam yang empat menulis dan menegur pemerintah atau khalifah di waktu itu dengan menyebut si polan – si polan, penguasanya tetapi kita tidak pernah menyebutnya. Kita hanya mengimbau sejarah dan memberi gambaran sejarah ribuan tahun yang lalu sedangkan di depan mata kita, kita tidak berani. Bukankah Al-Ghazali telah menegur Sultan Sanjar anak Raja Seljuk Gavenor Wilayah Khurasan di dalam satu majlis, di hadapan pengiringnya?

Ghazali juga menulis kepada seorang menteri, Fakhrul Mulk, Mujiruddin. Ghazali tidak menulis mengesahkan sejarah. Ghazali menghala tulisannya kepada individu.

Tapi malangnya tulisan seorang yang berkedudukan tinggi, yang tulisan tersebut mempunyai nilai yang tinggi, yang mempunyai kesan yang kuat, tidak mampu dilakukan seperti sejarah yang diceritakan.

Di zaman pemerintahan Dr. Mahathir selama 21 tahun bukan tidak ada penyelewengan, korup dan kezaliman dan bukan kita tidak tahu siapa yang telah ditentukan oleh pengadilan, mengapa kita ‘sereyau’ hendak menyebutnya?

Para sahabat, ulama, para imam-imam sering menegur dan menulis surat secara peribadi dan mengkritik secara terbuka tetapi kita masih juga memetik kisah sejarah ribuan tahun. Masalah pembunuhan beramai-ramai tahun 1985 di Mamali memerlukan orang-orang seperti Sahibussamahah mengkritik, menegur, kerana ia melibatkan umat Islam, tetapi kita tidak pernah membaca buah fikirnya. Penutupan sekolah agama, juga tidak pernah cuba memberi pandangan.

Kita tidak mendesak para Sahibussamahah seperti Mufti Kerajaan Perlis membuat hukuman di atas peristiwa yang berlaku. Tapi sebagai agamawan yang berstatus, kita ingin mendengar sesuatu; sama ada benar atau salah perkara tersebut. Tidak pernah ada sepucuk surat dari kalangan Sahibussamahah menulis kepada Perdana Menteri, baik kepada Dr. Mahathir atau sekarang menyatakan itu tidak betul, ini tidak betul berdasarkan surah dan ayat Al-Qur`an, seperti Al-Ghazali menulis kepada Sultan Sanjar., sedangkan kebobrokan dan penyelewengan berlaku berbilion-bilion.

Ini bukan soal politik. Al-Ghazali pernah menulis minta rakyat menjauhi pemerintah yang zalim, yang tidak adil. Tetapi kita, walaupun kezaliman dan tidak adil berlaku di depan mata, kita tidak pernah menulis seperti Al-Ghazali.

Dalam tulisan itu juga Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis menulis tentang kebohongan di zaman Harun Aminurrashid. Tapi sayang sekali beliau tidak menyentuh langsung bagaimana saksi-saksi bohong bersepah-sepah dalam perbicaraan zaman kita, terutama di zaman pemerintahan Dr. Mahathir. Apa ertinya imbauan sejarah kalau realitinya kita membisu?

Lupakah kita bagaimana pendakwaan dan saksi mengubah tarikh-tarikh, saksi-saksi fasik, tuduhan liwat dan zina tanpa ada saksi syarak. Mengapa tidak disebut sedangkan imbauan sejarah disebut panjang lebar. Apakah saksi dan tuduhan di abad ini tidak ada nilai buruk seperti yang berlaku di zaman Aminurrashid? Apakah sesuai disebut imbauan sejarah sahaja?

Memang benar apa saja yang berlaku kini dilihat sebagai isu politik. Mungkin para mufti dan ulama, cerdik pandai tidak mahu mencampuri politik. Tetapi apakah kita mesti memejam mata tentang ketidak adilan, kezaliman, penyelewengan dalam politik? Apakah kezaliman, ketidak adilan, penyelewengan dalam politik menghalal cara, termasuk soal hukum agama?

Apa relevannya kisah kaki buli di zaman Abu Nawas ratusan tahun yang lampau sedangkan kaki belit dan penipun, penyelewengan sekarang ini berlambak-lambak? Jika kebenaran itu perlu dinyatakan mengikut persepsi agama, kenapa mesti dilindungi sebutan si A dengan sikap belitanya sehingga berjuta-juta. Di dalam Umno berlambak-lambak kaki belit, penipu. Di dalam kementerian juga ramai. Di dalam jabatan juga ramai, malah dalam urusan pembinaan masjid juga ramai.

Kenapa mesti disebut tentang dendam dan kebencian Yazid bin Muawiyah ratusan tahun yang lalu, sedangkan dendam dan benci yang berlaku di tahun 2000-2007 seperti tidak ada sebutir dosapun dilakukan oleh orang-orang seperti Yazid? Apakah tidak ada Yazid bin Muawiyah sekarang, seperti tidak adanya Abu Lahab sekarang?

Kenapa memetik ‘kod’ Ibn Taimiyah bagaimana tidak adilnya hakim-hakim ketika itu, sedangkan hakim-hakim yang tidak adil, hakim diperlekeh, hakim boleh dibeli tidak disebut masa kini.

Kenapa kita berkata pembunuhan Hussain bin Ali tidak ada bukti keterlibatannya sedangkan berapai ramai yang tidak terlibat dengan jenayah dan rusuhan merengkuk di dalam penjara hingga kini?

Saya secara peribadi tidak menafikan ilmu dan sejarah untuk dijadikan pengajaran sepanjang zaman. Tapi dengan hanya menyebut sejarah kemudian kita memejam mata apa yang berlaku sekarang, ia tidak membawa apa-apa makna.

Ulama, agamawan, apa lagi yang berkedudukan tinggi tidak sekadar memiliki ilmu tetapi kita memerlukan juga keberanian. Keberanianlah yang tidak ada kepada ulama dan agamawan sekarang. Sepanjang penulisan ulama, agamawan ataupun ceramah, kuliah, yang disebut hanyalah sejarah bukan realiti.

Dr. Mahathir yang melakukan kesalahan banyak perkara yang bersangkutan dengan agama, apabila ada golongan yang mengkritik, mereka dianggap ‘pembangkang’. Mana dia golongan yang berkedudukan tinggi dalam institusi agama, para mufti melainkan hanya seorang dua yang sanggup dipecat. Jika begitu keadaan, apa perlunya mengimbau sejarah?

Oleh yang demikian, bagi saya mengimbau sejarah tentang dosa penyelewengan, kezaliman dengan hujah Al-Qur`an dan fakta tidak membawa apa-apa faedah, melainkan untuk melengkap sebuah tesis kesarjanaan. Akan tetapi jika kritikan, teguran berdasarkan seperti apa yang berlaku dalam sejarah kemudian diikuti apa yang berlaku kini secara ‘khusus’ adalah lebih bermakna. Yang berlaku sekarang umum, bukan khusus. Disebut kezaliman tapi tidak disebut siapa yang melakukannya. Di sebut tidak adil tapi tidak disebut siapa. Disebut dosa penyelewengan, walaupun Laporan Audit Negara menyatakan berlaku, tapi tak siapa berani menyebut sebagai contoh.

Apabila kes di bawa ke mahkamah, disebut pula biarlah mahkamah yang menentukan. Tetapi apabila didapati bersalah, sepi semuanya. Tidak pun di sebut si A sama sejarahnya dengan Yazid bin Muawiyah yang memiliki sifat benci dan dendam.

Kita hanya berani menyebut, ‘sesetengah pihak, di antara mereka, mereka yang melakukannya.’ Tidak ada yang berani menyebut si A atau si B. Para ulama, agamawan, mufti, cerdik pandai yang mengimbau hal-hal sejarah buruk tidak berani membuat penilaian masa sekarang, sedangkan dalam soal ibadah merekalah yang selalu membuat penilaian dan perbandingan; misalnya solat berjemaah 37 kali pahala dari solat seorang diri.

Sampai bila kita hendak jadi berani? Memetik kata-kata Dr Sidek Fadil di Perhimpunan NGO Islam di Kelantan baru-baru ini; Kita tidak ada ‘jantan’ lagi.

17 November 2007

Ahli SunnahWal Jamaah larang ithbat tempat bagi Allah

SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan kepada beliau?

JAWAPAN:

Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.

Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat. (Al-Mujadalah: 11)

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

13 November 2007

Tahniah Peserta 100K BERSIH


10 November 2007 yang lalu telah mecatatkan sebuah lagi sejarah politik tanahair. BERSIH adalah satu jawatankuasa gabungan parti-parti politik dan beberapa buah NGO telah mengadakan perhimpunan raksasa demi menuntut sebuah pilihanraya demokrasi, bebas dan adil. Demonstrasi ini berjalan dengan baik walaupun ada beberapa siri halangan dari pihak polis. Namun satu-satunya pihak yang mendapat pujian ramai dalam perhimpunan tersebut adalah Unit Amal Malaysia. Sebuah unit yang di bawah seliaan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Bagaimanapun tahniah kepada rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan 100K tersebut, anda telah menjalankan satu tanggungjawab besar sebagai rakyat yang perihatin terhadap masa depan negara. Walaupun tidak kurang ada yang menempelak perhimpunan ini, dan membesar-besarkan ia sebagai perhimpunan haram. Namun sebenarnya ia tidak. Kerana ianya termaktub dalam undang-undang.

Perhimpunan ini dikatakan haram oleh pimpinan UMNO, hendaklah dihalang dan digagalkan. Bagaimana dengan kilang arak? Pub, disko dan kelab-kelab malam? dan banyak lagi yang haram-haram yang masih bebas dan "dihalalkan" oleh Kerajaan UMNO dan BN selama mana mereka telah memerintah negara dalam 50 tahun ini.

Saya dan rakan-rakan diluar negara masing-masing mendoakan perhimpunan ini berjaya, mengenangkan kami di perantauan, ini tidak bermakna kami langsung tidak mengambil hal tentang ini. Akhirnya perhimpunan ini berjaya dan berharap pihak Istana Negara berbuat sesuatu dan tidak menghampakan harapan sebahagian besar rakyat Malaysia yang masih normal menjalankan kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

06 November 2007

Malaysia bukan negara junta - Salah apa demonstrasi aman?

Tunjuk perasaan adalah satu tajuk yang sangat berkaitan dengan fitrah manusia. Kanak-kanak boleh merajuk. Isteri kadang-kadang boleh menangis. Anak lelaki atau perempuan kita juga biasa menunjukkan pernyataan sikap mereka sama ada suka atau duka melalui perlakuan dan tutur kata.

Semua ini adalah manifestasi perasaan. Apa yang ditunjukkan dinamakan tunjuk perasaan.

Di dalam Islam, kita menunjukkan perasaan kecintaan dan ketundukan kita terhadap Allah S.W.T. melalui sembahyang lima waktu beramai-ramai (berjemaah) yang lengkap dengan aksi duduk, sujud dan tunduk bangunnya.

Kita juga ada solat Jumaat sekali seminggu dan solat sunat dua Hari Raya untuk tiap-tiap tahun.

Kemuncak demonstrasi dapat kita saksikan melalui pertemuan sekali seumur hidup (sekurang-kurangnya) untuk berhimpun di Padang Arafah, melontar iblis di ketiga-tiga Jamrah, Saei di antara Safar dan Marwah dan Tawaf untuk mengEsakan Allah S.W.T. di Kaabah, satu-satunya Kiblat seluruh umat Islam.

Ini semua adalah manifestasi demonstrasi sebenar yang telah dituntut oleh Allah S.W.T. seawal-awal wujudnya Adam Alaihissalam lagi.

Sebagaimana kita dibolehkan berdemontrasi untuk perkara-perkara maaruf, begitulah juga kita dituntut untuk menunjukkan perasaan protes dan penentangan kita terhadap apa juga kezaliman, jika berlaku kezaliman.(Amar maaruf nahi mungkar).

Boleh berdemonstrasi kerana Malaysia negara demokrasi

Dalam konteks demontrasi di Malaysia, bagi yang sudah-sudah atau yang akan diatur, saya melihat ianya tidak bercanggah dengan perintah kebebasan bersuara dalam Islam.

Perhimpunan aman sekadar menyatakan sikap melalui corong-corong pembesar suara semata-mata untuk menjelaskan asas dan hujah adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan apa jua acuan demokrasi atau Islam.

Kita bukan kerajaan junta. Myanmar dilanda perarakan aman sami-sami Buddha lebih 100,000 orang di Dataran Yangon dua minggu yang lalu adalah manifestasi perasaan rakyat yang telah lama terpendam.

Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti.

Bagi saya, saya tetap merestui sebarang perhimpunan aman untuk sekadar menyatakan sikap dan membangkitkan semangat kesedaran untuk menolak kezaliman.

Jika saya tiada masalah kesihatan, saya akan turut bersama dalam mana-mana kesempatan untuk menyatakan protes terhadap apa yang tidak betul dengan syariat Allah S.W.T.

Sungguhpun pihak berkuasa ada mempunyai hak untuk menghalang dengan tidak mengeluarkan permit tetapi biarlah seboleh-bolehnya semua pihak mendahului kaedah perundingan.

Cubalah mencari formula yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak.

Suasana "win-win" ini perlu ada dalam segenap ketika.

Inilah juga apa yang selalu disebut-sebut sebagai semangat permuafakatan.

Jika tak boleh demonstrasi secara berdiri, maka duduklah.

Jika tak boleh berhimpun di Masjid Jamek, maka tak bolehkah bersolat hajat di Masjid India atau berpidato secara tenang di Dataran Merdeka? Jangan sampai tak boleh langsung.

Di Kelantan, suasana di sini sangat tenang. Alhamdulillah. Pihak polis di sini cukup pandai menyesuaikan diri antara undang-undang dan peraturan dan kehendak agama yang turut difahami oleh rakyat.

Setiap ceramah dan perhimpunan awam di sini tidak diganggu kerana masing-masing pihak tahu sempadan dan hak masing-masing.

Kelemahan kerajaan punca protes rakyat

Kadang-kadang isu harga barang yang tidak terkawal, harga minyak yang diuar-uarkan akan naik, tuduhan skandal dalam kes pita rakaman video V.K. Lingam, teguran KDYMM Sultan Perak ke atas sistem kehakiman yang bercelaru, tuduhan rasuah yang melibatkan RM puluhan juta wang rakyat.

Juga pendedahan Ketua Audit Negara mengenai pelbagai salah laku dan pengkhianatan terhadap wang pembayar cukai dan kekhuatiran rakyat yang menyeluruh terhadap SPR dalam Pilihan Raya Umum Kali Ke 12 yang akan datang - ini semua adalah haba.

Ia adalah sesuatu yang hangat. Larva dan magma daripada sebarang gunung berapi boleh meletus jika ditutup mulutnya dengan tudung periuk dan gunung berapi boleh diam buat sementara, tetapi dia akan meletus juga satu hari nanti.

Oleh kerana rakyat merasakan mereka mempunyai fakta dan fakta ini pula tidak dilayan walaupun telah disampaikan melalui saluran demokrasi, maka mereka wajar diberikan laluan untuk berhimpun secara aman.

Selagi mereka memohon dan berjaya untuk menyampaikan protes dengan hujah secara tertib secara aman dengan premis dan masa yang telah diberikan, maka tugas pihak berkuasa ialah untuk memantau.

Bukankah akrabnya kesetiakawan polis dan rakyat itu ada terlambang dalam lencana polis yang berjabat tangan? Dan, hak-hak ini turut diakui oleh pihak SUHAKAM.

Ia adalah hak yang tersedia di dalam Perlembagaan dan boleh dinikmati oleh setiap warganegara seperti yang disebut di dalam Perkara 10 Ceraian 1 A & B iaitu (Every citizen has the right to freedom off speech and expression. All citizens has the right to assemble peaceably and without arms).

Demonstrasi sebenarnya sama juga dengan pernyataan perasaan.

Dalam prinsip dakwah, kita ada 3 saluran iaitu Bilhikmah yakni segala hikmah, nasihat dan tegur menegur atau membangkang secara beradab dan ketiganya bermujadalah yakni bersemuka untuk menyatakan pandangan.

Ketiga-tiga saluran ini dibenarkan oleh Islam. Kenapa pula tiba-tiba dengar khabar, ia akan ditutup semuanya?

Polis patut ikut kata PM, lupakan perkara lama

Dalam pelancaran ECER pada 29 Oktober lalu, kita telah mendengar seruan Perdana Menteri supaya lupakan perkara-perkara yang telah lama.

Beliau mengajak kita untuk memandang ke hadapan dan lupakan perkara-perkara yang lepas.

Cerita tidak memberikan permit ini adalah cerita lama. Oleh itu, kita hendaklah meninggalkannya.

Kita mulakan mulai sekarang, kita perlu membuka agenda baru dengan memulihkan demokrasi dan kembalikan hak rakyat seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan yang saya sebutkan.

Ini hak setiap rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kalau mahu ambil petikan hak orang Islam seperti yang dijaminkan oleh Allah S.W.T., ia ada disebutkan dalam al-Quran Surah Yaasiin ayat 19 (sebahagian ayat) yang bermaksud, "Apakah sekadar jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas."

Adakah sekadar mahu memberikan peringatan kepada masyarakat pun tidak boleh, sedangkan Islam berkata boleh.

Ringkasnya, beri layanan yang adil kepada semua rakyat.

Jika pemuda Umno pun boleh diberikan permit untuk berdemonstrasi semasa Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice membuat lawatan ke Malaysia, maka apa salahnya membenarkan pemuda PAS membuat demonstrasi di atas sesuatu isu rakyat yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Pokoknya aman tanpa provokasi.

Jika inilah syaratnya dan ini telah dipatuhi oleh parti pembangkang maka saya mahu bertanyalah "salahnya dimana?"

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

28 Oktober 2007

Alahai Malaysiaku

Apa yang hendak dikatakan? Inilah realiti yang berlaku. Sedih bila saya membacanya. Lebih sedih bila tujuan si ayah menjual anaknya. Agak boleh diterima jika si ayah menjual anak kerana terdesak untuk menampung sara hidup keluarganya.

Mungkin dek kerana kemiskinan, anak pun ramai, nak tanggung itu dan ini. Tetapi menjual anak kerana dadah amat menyedihkan. Mendapatkan RM 500 untuk dadah setelah menjual anak amatlah tidak bermaruah. Benarlah, bahawa dadah ini adalah antara musuh utama negara. Namun apakah tindakan kita?

Saya nak melihat menteri-menteri memberi komentar dalam hal ini. Hal ini bukan perkara remeh. Sejauh mana keseriusan kerajaan dalam menangani gejala dadah ini? Hendak menuding kepada siapa berlaku hal-hal begini? Kerajaan mempunyai segala-segalanya untuk bertindak. Takkan nak mengharapkan rakyat setempat sahaja. Boleh, tetapi sejauhmana ianya boleh bertahan?

Teringat satu ketika, Kahlifah Islam Umar Abdul Aziz RA yang menolak duit pinjaman baitul mal untuk membeli pakaian baru untuk anak-anaknya menyambut Aidilfitri. Bayangkan bukan menggunakan duit itu sebagai gaji, hanya meminjam sahaja. Tetapi Umar tetap menolak. Ketika itu juga rakyat yang diperintahnya tiada yang layak untuk menerima zakat.

Bayangkan tiada yang layak untuk menerima zakat? Bagaimana kualiti pimpinan yang dicorakkan oleh Umar Abdul Aziz sepatutnya menjadi panduan penting setiap pimpinan Islam. Negara kita apa yang tiada? Segala nikmat Allah telah kurniakan. Tetapi kufur dengan nikmat tersebut dan tidak membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Tak Sokong TG Nik Aziz Sertai!!

Saya menggesa pihak pimpinan PAS dan BERSIH agar tidak mendesak Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyertai perhimpunan ini.


Memadai dengan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong penuh perhimpunan ini. Tanpa melibatkan batang tubuh beliau untuk menghadirkan.

Saya selaku seorang penuntut ilmu di Mesir amat menghormati beliau selaku seorang Ulama Rabbani yang Mursyid. Namun dalam hal-hal ini tidak perlu terlalu mendesak.

Kita sedari bahawa kesihatan Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga tidak boleh dijangka. Kemungkinan-kemungkinan yang diluar jangkaan juga tidak boleh diduga. Keselamatan seorang Ulama bernilai dari matinya 1000 penyokong.

23 Oktober 2007

UMNO Israel?

Gambar Istimewa Untuk Yang Masih Menyokong UMNO!!!

Gambar asal.

Selepas aku edit.

Korang agak-agak paham ke ni?

22 Oktober 2007

Al Fatihah

21 Oktober 2007 (Kaherah, Mesir) - "kalau saya mati, kebumikan saya di sini", Demikian gurauan yang dibuat oleh Allahyarham Zaid bin Muhamad dihadapan sahabat-sahabat dua hari sebelum kemalangan ngeri yang menimpa arwah. Kejadian berlaku di lebuh raya Solah Salim bersebelahan dengan jalan Darrasah. Allahyarham dikatakan sedang dalam perjalanan pulang daripada Masjid Syeikh Zaki Ibrahim selepas selesai menghadiri majlis tadarus Al-Quran yang dijemput oleh Syeikh Abdul Azim Sulthan Sya'aban.

Allahyarham adalah mahasiswa muadalah (twinnig-program KIAS dan Al Azhar) yang baru sahaja sampai ke Mesir. Merupakan pelajar muadalah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) jurusan Syariah dan berasal daripada jitra Kedah. Berumur 22 tahun dan telah pun menduduki peperiksaan tahdid mustawa samada berada di tahun 3 atau 4 jurusan Syariah Islamiah, Kaherah. Allayarham Zaid bin Muhamad tiba di Mesir pada tanggal 18 Septembar 2007 bersama rombongan KIAS, Nilam puri.


Kemalangan berlaku selepas solat Zohor. Allahyarham dilanggar sebuah chevrollet ketika cuba melintas jalan bersama dengan seorang teman yang bernama Mohd Ridhuan Abdul Razak. Allahyarham dikatakan bersungguh-sungguh mengajak kawannya melintas lebuh raya Solah Salim meninggalkan kawan-kawan yang lain yang sedang berjalan dibelakang bersama Syeikh Abdul Azim Sulthan Sya'aban.

Ketika melintas Allahyarham memegang tangan Mohd Ridhuan dan apabila berada ditengah-tengah jalan besar tersebut beliau melepaskan tangan sahabatnya dan sedikit terkebelakang daripada sahabatnya Mohd Ridhuan. Ketika itulah datang sebuah Chevrollet yang dipandu laju lalu melanggar allahyarham sehingga melayang 10 meter dari tempat kejadian. Allahyarham Zaid Muhamad meninggal dunia serta-merta sejurus kemalangan di tempat kejadian akibat hentakan kuat dikepala.

Jenazah allahyarham dibawakan ke tempat bedah siasat di Muqattam 2 jam selepas kejadian. Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam A'syir dan disembahyangkan di dataran Kompleks Melayu Hayyul A'sir selepas solat Zohor, keesokan harinya.

Tertulis kematian Pada suratan kehidupan
Namun hanya ALLAH yang tahu

Bilakah ajal bakal bertamu

Detiknya menghampiri

Tanpa petanda yang menanti

Bila tiba saatnya nanti
Tak siapa dapat melarikan diri


Itu hakikat dan kepastian

Hadirnya tidak pernah kita alukan

Tua dan muda, miskin dan kaya

Semua insan pasti melaluinya


Sakit dirasa tidak terkata
Tika dipisahkan jiwa dari jasadnya

Hanya amalan bisa redakan
Bebanan derita di ambang kematian


Denyutan nadi akhirnya terhenti

Bersama nafas yang tak terhela lagi

Kerana jiwa meninggalkan pergi

Pulang kembali untuk menghadap Ilahi


Dari ALLAH kita datang,

KepadaNya kita pasti pulang

Detiknya pasti tiba

Adakah kita bersedia?

20 Oktober 2007

Terjah Minda

Bagi saya mengharapkan sesuatu yang terbaik buat diri adalah satu perkara yang menyenangkan. Namun ianya bukan mudah. Terutama apabila perkara yang baik itu bakal mengundang kritikan pedas. Tekad memilih satu jalan untuk mendapatkan yang terbaik, kadang-kadang mengundang seribu satu masalah, samada dari dalaman mahupun luaran.

Bagi saya tiada yang lebih baik dari mengharapkan satu perubahan diri dan mentaliti yang terbuka selagi ianya berlandaskan dengan syarak. Benar, ianya bukan sesuatu yang mudah. Namun ia tetap menjadi satu harapan. Usaha ke arah itu mengalami pelbagai rintangan.

Sifat thabat dalam memegang satu pendapat yang sememangnya benar sekali pun terkadang membuatkan kita timbul keraguan apabila berdepan dengan satu perkara yang bersifat fleksibel. Kadang-kadang mudah sahaja kita menolak pendapat yang selama ini kita pegang apabila bertembung dengan perkara tadi.

Keyakinan dan konsisten dalam diri sememangnya ada kaitan rapat dengan iman. Ketika inilah sebenarnya iman kita di"main"kan dalam situasi-situasi berbeza. Terkadang kita merasakan perkara yang kita alami perlu diberikan ruang dalam hati, namun sebenarnya ianya bakal mengurangkan iman. Terkadang kita merasakan perkara yang kita alami perlu diabaikan, namun sebenarnya ia bakal menambah keimanan kita. Benar, susah untuk merasakan kemanisan iman apabila kita belum teruji. Manisnya rasa memperjuangkan iman apabila kita teruji.

Kadang-kadang kita terasa tersangat berdosa setelah menjalani satu ujian, namun ada keuntungan disebalik ujian tersebut, membuktikan bahawa Allah tidak melupakan kita. Sejauh mana kita tidak melupakan Allah dalam saat-saat kita diuji.

Namun kita tetap sukar untuk menduga. Apa yang boleh dibuat, tetap redha dengan ketentuanNya, usaha menyelesaikan masalah yang diberikanNya. Natijah yang bakal diperolehi sememangnya bakal adalah ujian sekali lagi bagi kita.

14 Oktober 2007

29 September 2007

Solat bezakan Muslim, kafir

KATA Saidina Umar, sesiapa memelihara solat dan tetap mengerjakannya bererti dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya ia mensia-siakan kewajipan agama yang lain.

Solat adalah tiang agama dan semulia-mulia rukun Islam yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat runtuh agama seseorang itu.

Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak berkepala tidak akan hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang yang tidak mengerjakan solat.

Dalam kitab at-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah berkata: Solat amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat. Kerana itu Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai amalan paling mulia, katanya: “(Semulia-mulia amal) ialah solat yang dikerjakan pada waktunya.”

Baginda juga bersabda maksudnya: “Orang yang mengerjakan solat adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya.”

Perintah terhadap solat dan gesaan supaya memeliharanya banyak dijelaskan dalam al-Quran. Sudah pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam keadaan apa sekalipun.

Antaranya terkandung dalam surah al-Baqarah, maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” (al-Baqarah:238)

Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang cukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda.

Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu dengan isyarat.

Penegasan ini menunjukkan solat adalah perkara yang besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya.

Malah, solat juga adalah syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.

Kita harus berwaspada dengan sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengerjakan solat. Oleh itu sesiapa yang tidak solat, sesungguhnya termasuklah dia dalam hukum orang kafir.”

Al-Quran turut memberikan amaran terhadap mereka yang meninggalkan solat, seperti dalam surah Maryam, maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab di dalam neraka. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.” (Maryam: 59-60)

Ibn Abbas berkata, seperti yang disebutkan as-Syams az-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: “Mencuaikan solat yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan solat sama sekali, tetapi maksudnya, mereka mentakhirkan (melengahkan) solat sehingga keluar waktunya.”

Perkara itu dijelaskan Said bin Musayib, dengan menyatakan: “Orang itu tidak solat Zuhur melainkan selepas masuk waktu Asar (dan seterusnya mengenai waktu lain).

Justeru, sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan dia tidak bertaubat, balasan ditetapkan baginya azab seksa di neraka.

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi.” (al-Munafiqun:9)

Menurut sesetengah ahli tafsir, mengingati Allah (zikir kepada Allah) di sini ialah solat lima waktu. Sesiapa yang cuai kerana harta benda, anak pinak dan segala urusan hidupnya, jadilah dia orang yang rugi.

Menjadi tanggungjawab bagi Muslim juga mengambil berat terhadap ahli keluarganya, mengajar dan menyuruh mereka mengerjakan solat, malah menasihati mereka supaya sentiasa memelihara solat fardu yang lima.

“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya....” (Taha:132)

Nabi sendiri sentiasa mengambil berat dan mengawasi keluarganya khusus berkaitan solat. Baginda dan keluarga apabila menghadapi kesukaran, lazimnya mengerjakan solat sebanyak-banyaknya.

Cara seperti ini juga sebenarnya menjadi amalan nabi sebelum Baginda dan ia sewajarnya menjadi sunnah ikutan kita kerana banyak kelebihannya, malah menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala bencana.

22 September 2007

Takziah Dari Warga PMRAM di Bumi Mesir Buat Keluarga Adik Nurin

Pilu hati saya apabila membaca kisah sedih yang berlaku kepada keluarga sepasang suami isteri, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman apabila Allah menguji kedua pasangan ini dengan kes kematian anak kesayangan mereka berdua, adik Nurin Jazlin yang telah dibunuh dengan begitu kejam. Saya pasti seluruh warga PMRAM akan turut tersentuh dengan kejadian yang begitu menyedihkan.


Saya selaku wakil seluruh para mahasiswa Islam di Mesir mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nurin Jazlin dengan harapan seluruh ahli keluarga adik Nurin Jazlin khususnya ayah dan ibu beliau agar bersabar di atas ketentuan Allah Taala.

Saya suka untuk mengirimkan kalam Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad buat keluarga adik Nurin Jazlin yang berbunyi:

لاَ يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ أَوِ الْمُؤْمِنَةِ في جَسَدِهِ وفي مَالِهِ وفي وَلَدِهِ حتى يَلْقَى اللَّهَ وما عليه من خَطِيئَةٍ
yang bermaksud:

Akan berterusan seseorang mukmin dan mukminah itu menerima bala pada jasadnya, hartanya dan anaknya sehinggalah dia menemui Allah dalam keadaan dia tidak mempunyai langsung sebarang dosa (disebabkankan kesabarannya yang telah mengundang keampunan Allah Taala).


Inilah antara beberapa siri kekejaman yang berlaku di Malaysia walaupun Malaysia terus bergerak dalam dunia kemodenan yang semakin pesat. Saban hari kira mendengar dari jauh berita-berita kekejaman yang tidak berperikemanusiaan sedangkan angka kezaliman ini terus membuak-buak.

Bagi saya, kes-kes yang berlaku khususnya yang melibatkan jenayah seksual adalah berpunca dari sikap masyarakat Malaysia itu sendiri yang terus lalai dalam hiburan. Malaysia hari ini masih lagi belum mampu untuk menyahkan penyakit hedonisme. Malaysia masih lagi melampau dari sudut hiburan yang sebenarnya telah berjaya menyumbang kepada seks bebas dan gejala sosial di kalangan muda-mudi khususnya.

Lihat saja bagaimana cara rakyat Malaysia menyambut merdeka. Merdeka yang disambut adalah dengan konsert hiburan dengan iringan lagu-lagu para artis yang telah menyumbangkan kepada perhimpunan muda-mudi yang pastinya telah membawa kemurkaan Allah Taala.


Bagaimana kita perlu untuk bersedih dengan jenayah rogol, bunuh, zina dan liwat yang semakin berani menunjukkan belangnya di Malaysia sedangkan kita masih bersikap acuh tidak acuh dengan punca kesuburan kemungkaran itu.

Iklan-iklan yang memampangkan gambar wanita yang semestinya akan membuka auratnya yang seboleh-bolehnya mesti mampu untuk menggiurkan nafsu sang lelaki adalah dibenarkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Majalah-majalah separa lucah seperti Mangga, URTV dan kawan-kawannya adalah disebarluaskan kepada seluruh warga Malaysia tanpa ada salahnya.

Kenapa filem-filem yang memaparkan susuk tubuh sang wanita seperti filem GUBRA dibenarkan dalam negara Malaysia yang agama rasminya adalah ISLAM?
Bukankah penyubur-penyubur gelora seks seperti mana yang saya sebutkan di atas adalah punca utama kepada berlakunya kes-kes rogol yang disusuli bunuh, zina dan seribu satu maksiat yang sememangnya sudah cukup untuk melayakkan Malaysia dimusnahkan oleh Allah dek kerana kebejatan akhlak para muslim di Malaysia yang terlalu parah?

Kenapa para pemimpin di segenap lapisan tidak memandang serius kepada budaya-budaya hiburan yang terlalu menakutkan ini?


Usah kita bersedih dengan kematian adik Nurin Jazlin sedangkan kitalah yang telah redha untuk memberikan laluan kepada si penjenayah dengan cara kita benarkan program-program maksiat terus mendapat tempat di Malaysia tanpa sekatan. Silakan kepada penganjur maksiat untuk terus merosakkan akhlak muda-mudi dan silakan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk terus memberikan kebenaran kepada agensi perfileman, majalah dan para penyanyi untuk terus mempamirkan tubuh wanita kepada rakyat dengan harapan akan lahir ribuan penjenayah seksual yang keseterusnya yang telah mendapat semangat untuk terus menjalani aktiviti dosa setelah mana mereka dighairahkan dengan program berunsur lucah atau separa lucah yang terlalu murah di Malaysia.


Teruskan untuk kita saksikan adik-adik kita yang tidak berdosa yang bakal dibunuh kejam setelah mana kita melatih manusia untuk menjadi seorang pendosa.
Nurin Jazlin adalah salah seorang mangsa yang tidak berdosa yang hidup dalam dunia kesuburan jenayah maksiat yang cukup meruncing.

Selagi mana aktiviti-aktiviti yang menyumbangkan kepada dunia seks tidak dicegah, saya pasti akan muncul buat yang keseterusnya Nurin Jazlin yang kedua, ketiga dan angka yang seterusnya yang akan menjadi mangsa atas kesilapan kita yang redha untuk terus membiarkan agenda penyuburan maksiat hidup tanpa sebarang sekatan.


Teruskan untuk melihat mangsa yang keseterusnya sekiranya anda masih lagi menyokong konsert yang tidak mengikut aturan syarak, para penyanyi yang melalaikan masyarakat, filem-filem separa seks dan majalah-majalah hiburan.
Teruskan dan anda akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak.

Saudara anda,

Hairul Nizam Mat Husain
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2007

20 September 2007

Dari Meja Tok Guru

Secara kebetulan, sewaktu bajet 2008 sedang dibentangkan, saya sedang mentelaah maksud Surah Al Ahqaaf Ayat 29 – 35 mengenai kisah serombongan jin.

Walaupun kesemua ayat-ayat ini cukup menarik, mari kita mukadimmahkan artikel ini dengan petikan Ayat Ke 29 surah berkenaan untuk renungan:

“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaannya (lalu) mereka berkata: “Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)”. Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.”

Belanjawan adalah satu pelan perancangan. Ia adalah “planning tool”. Dalam mana-mana pelan perbelanjaan untuk masa hadapan, tidak dapat tidak ia adalah pengisytiharan untuk memberitahu apa yang akan dilakukan di tahun seterusnya.

Ini projeknya dan ini jumlah wangnya. Di mana, untuk siapa dan faedah-faedah jangkaannya. Ini perkara biasa. Bagaimanapun, dalam asyik bercerita itulah, orang yang berada di atas boleh leka memukul canang bahawa ini dari saya dan itu dari saya untuk kamu kepada kamu.Ini yang saya fikir perlu diperbetulkan.

Mengagih-agihkan nikmat Allah

Sepatutnya dalam masa ucapan belanjawan, kita jangan dilihat putus dengan tali Allah Yang Maha Kaya dan Maha Memiliki seluruh Kerajaan Langit dan Bumi. Kita cuma perancang dan pengatur dalam meramukan apa jua anugerah yang sedia ada. Sehabis boleh kita dakwa hanyalah kita membuat penemuan.

Kita “discover” satu kaedah baru misalnya dalam mengagih-agihkan nikmat Allah SWT. Ini baru dinamakan syukur dalam erti kata yang sehabis asli.

Persoalan yang penting ialah sama ada belanjawan itu membawa keadilan atau tidak kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bulu?

Dimanakah misalnya faedah-faedah hiliran yang mungkin dapat dikutip oleh kontraktor-kontraktor kecil dari kek baru belanjawan 2008 yang bernilai RM159 bilion itu? Apakah nasib sebahagian penduduk Melaka yang diancam oleh kekotoran bau dan air najis khinzir boleh terbela dengan ucapan Belanjawan itu? Apakah langkah strategik untuk membendung kenaikan harga barang-barang yang boleh dijanjikan oleh belanjawan kali ini

Ertinya di sini, belanjawan harus berbicara dan berkomunikasi secara langsung dengan kehidupan dan hati nurani rakyat. Bertolak dari keadilan berasaskan Ayat 90 Surah An Nahl Allah SWT ada berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Ayat ini sangat dituntut oleh Allah SWT sehingga ia dibaca oleh semua Tok-Tok Khatib di Mimbar Jumaat secara mingguan.

Belanjawan Negara 2008 mesti mampu membuat “spiritual address” yang begini. Bersifat mesra kebajikan, berpaksikan keadilan. Adil pula bermakna meletakkan segala sesuatu sesuai dengan tempatnya.

Di Kelantan misalnya, apa erti belanjawan negara yang ada menyediakan sejumlah peruntukan tertentu untuk negeri ini tetapi ia ditadbir, diurus, dipantau dan dilaksanakan oleh JPP tanpa melalui Kerajaan Negeri. Tentu semua orang boleh bersetuju bahawa Kerajaan Kelantan ini adalah sebuah kerajaan demokratik yang sah. Membuat “political bypass” melalui JPP adalah sebuah pencolekan kuasa (power hijack) atau coup de’ tat yang nakal dari pemilik khazanah di Pusat.

Kelantan dizalimi berbelas kali dalam belanjawan negara

Maka, tinggallah kami bermata putih, terkelip-kelip bagaikan tikus kurus yang cuma memerhati wang dan peruntukan, one-off dan subsidi lalu hilir mudik di depan tangga kami.

Tidakkah pembentang belanjawan negara sedar bahawa JPP yang diwujudkan di Kelantan telah meletakkan mercu tanda keangkuhan yang membibitkan pula penindasan, penyelewengan kuasa, pembaziran dan pertindihan fungsi?

Bagaimana boleh kita bayangkan seorang Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri yang sah tiba-tiba dinafikan hak untuk mengikuti perancangan dan mengikuti pemantauan pelaksanaan semua projek yang diatur didalam rumah tangganya.

Ini bukan berlaku setahun dua, bahkan sudah memasuki pusingannya bagi kali yang ke-17. Ia dikitar kezalimannya sudah berbelas kali.

Jika kami takdirnya salah, tolong jelaskan di mana salahnya Kerajaan Kelantan sekarang.

Salahkah dengan demokrasi atau dengan Islam sehingga semua peruntukan pembangunan daripada Pusat mesti diserahkan melalui JPP yang lengkap dengan kerajaan sendiri.
Sekali difikir-fikir, seakan-akan Kerajaan Kelantan yang ada ini tidak sah. Ia dibatalkan keabsahannya oleh Kerajaan Pusat melalui JPP.

Bagaimanapun, terkini, apa yang mula kelihatan ialah adanya sedikit kerjasama dan keterbukaan sewaktu bajet dibentangkan.

Kelantan juga turut merasai adanya cadangan-cadangan seperti mengadakan Universiti-Universiti, jalan-jalan raya termasuk Jambatan Kedua Sultan Yahya. Saya berharap, keterbukaan kedua-dua belah daun pintu ini akan dapat hidup subur, disegera dan dikekalkan.

Ia terbuka untuk meraikan kerjasama dan dapat dirapatkan semula jika keadaan memerlukan.

Keadilan bukan sahaja tuntutan demokrasi bahkan kewajiban Islam yang akan dibalas dengan syurga dan neraka.

Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan

*Copy-Paste dari HarakahDaily.net

15 September 2007

Alhamdulillah


Alhamdulillah, suasana begini masih boleh nampak lagi di Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ini, warga kota tak melepaskan peluang mencari redha Allah. InsyaAllah Islam kan menang.

Masjid Jamek jadi tumpuan: MASJID Jamek Kuala Lumpur, Jalan Tun Perak Kuala Lumpur sering menjadi tumpuan setiap kali waktu solat Jumaat. Gambar yang dirakamkan menunjukkan orang ramai bersesak untuk berjemaah dan melimpah ke kawasan kaki lima sehingga ada yang memasuki sehinggga ke kawasan ruang legar stesen transit aliran ringan Star-LRT. Masjid tertua di Kuala Lumpur ini dibuka dengan rasmi pada 1909 dan mampu menampung sehingga 4,000 jemaah pada satu-satu masa.





Seorang itu...

14 September 2007

Bicara puasa

Ramadhan kali ini di bumi Mesir lagi. Anak saudara dari Malaysia bakal tibal insyaAllah di sini 24 September nanti. Pakcu-nya tak balik-balik Malaysia lagi. Berangan agaknya kat Mesir ni. Bila buat panggilan ke Malaysia, orang Malaysia sering tertanya-tanya bila nak balik? Satu soalan yang semakin sukar untuk dijawab. Tetapi rasa mudah nak jawab sebelum ke sini dahulu. Tak silap jawapannya "setahun jer". Tapi nak masuk tahun ketiga tak balik-balik lagi.

Kadang-kadang memang terasa risau juga dengan diri sendiri. Rupanya di Mesir ni tak boleh jangka kita bagaimana. Namun di sini juga sebenarnya tempat yang pengalamannya tak boleh dicari ganti. Ada sahaja suara-suara sumbang yang masuk menusuk corong telinga ini. Tetapi hati ini tetap teguh takkan berganjak selagi mana belum melepasi sasaran. Peluang di bumi para Nabi ini memang terbuka luas, dan sememangnya sedang merebut peluang ini. Tetapi bukan mudah seperti yang dikata. Tanggungjawab semakin banyak dan kadang-kadang diri sendiri tak perasan dengan tanggungjawab yang digalas.

Berbicara tentang tanggungjawab, dan semua orang boleh bercakap tentang tanggungjawab. Melaksanakan tanggungjawab adalah satu amanah, dan amanah inilah yang sebenarnya kita terlepas pandang. Kadang-kadang sangsi mana sebenarnya tanggungjawab kita. Kadang-kadang ada orang membahagikan tanggungjawabnya. Pada saya semua yang tergalas sekarang adalah tanggungjawab yang perlu diselesaikan. "Kewajipan lebih banyak dari masa". Kita boleh melihat orang itu melaksanankan tanggungjwab dengan baik apabila dia dapat menguruskan masa dengan baik. Berjayanya dia menguruskan masa dengan baik sebenarnya bukan terletak dalam kuasa atau tangan dia sendiri. Sebenar "ada" yang mengaturnya. Kadang-kadang kita lihat seorang itu sibuk dengan tanggungjawabnya memimpin, tetapi kerana keberkatan yang diberikan Allah SWT pada dia, dia juga boleh menulis dan menerbitkan banyak kitab dan buku ilmiyah. Boleh mengambil masa untuk mengajar dan mencurahkan ilmu.

Kadang-kadang masa bertegas dengan kita, kadang-kadang kita kena bertegas dengan masa. Kadang-kadang masa menjadi alasan terbaik untuk kita, namun sebenarnya banyak beralasanlah, membuang masa kita.

Selamat Berpuasa




04 September 2007

Takkan Nak Pasang 24 jam Ngaji Quran?

Kalau 50 tahun masih muda, masih baru nak berubah, agak-agak berapa tahun lagi Common Law akan digantikan dengan Syariah Islam? Kali ini sambutan hari kemerdekaan Malaysia kali ke 50 di Mesir agak meriah. Kerana apa? Kerana ada dua kali sambutan hari kemerdekaan Malaysia. Satunya sambutan yang dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir dan satu lagi sambutan yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Kenapa ianya boleh berlaku? Tak perlu saya ulas di sini, mungkin anda dapat mengagak kenapa ianya berlaku. Namun pihak PMRAM tetap menyambut baik dengan program yang dianjurkan oleh pihak kedutaan. Bahkan satu-satunya kontinjen yang mendapat tepukan paling gemuruh oleh hadirin di Stadium Tertutup Kelab Sukan Bandar Nasr, Kaherah, Mesir. Satu-satunya kontinjen yang hampir-hampir diboo oleh kontinjen lain dan para hadirin ialah Kelab UMNO Mesir. Mengapa ianya berlaku? Juga tidak perlu saya sebutkan di sini dan merasakan anda semua boleh mengagak.

Apa yang saya hendak ulaskan pada entri kali ini ialah berkenaan dengan wakil khas Perdana Menteri YB Senator Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib yang dihantar khas oleh kerajaan bagi memenuhi jemputan dari pihak kedutaan di sini atas acara Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke 50. Kehadiran beliau dikatakan tidak disenangi oleh sebahagian besar mahasiswa-mahasiswi Al Azhar di Mesir. Mana tidaknya, tiadakah tokoh lain yang boleh dikirim oleh kerajaan Malaysia untuk menjadi wakil khas PM kita untuk sambutan hari kemerdekaan kali ke 50 kali ini di Mesir? Rata-rata soal selidik secara rambang yang saya lakukan menunjukkan bahawa rata-ratanya mahasiswa mahasiswi di sini tidak bersetuju dengan wakil khas PM kita bahkan, terkejut dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan Malaysia.

Semangat sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia seperti terbantut bila dikatakan wakil khas PM kita ialah beliau. Paling tidak hantarlah mana-mana ulama yang berada di dalam kerajaan sebagai wakil khas. Seperti Dato Dr Abdullah Mat Zain atau sesiapalah yang agak "bersih" sedikit rekodnya dalam kerajaan. Saya masih ingat lagi dengan masalah-masalah, kes-kes pertuduhan ke atas beliau dahulu. Walaupun ketika itu saya masih bersekolah menengah.

Bagaimanapun ada yang menarik dengan kehadiran beliau dan agak menggelikan hati saya. Saya adalah antara orang yang menghadiri jemputan untuk bersidang ringkas bersama beliau. Di antara lain yang hadir ialah pimpinan dari beberapa badan-badan kebajikan anak negeri, Kelab Munatada Islam Hadhari dan lain-lain. Dalam pertemuan ringkas ini lingkungan selama 2 jam di sebuah rumah badan kebajikan anak negeri di Mesir ini, membuatkan saya tergelak seorang walaupun tidak dipamerkan dari memek muka. Apa tidaknya, rasa seperti salah seorang majlis tertinggi UMNO yang menghadiri mesyuarat. Tak tahu kenapa, apakah Mat Taib perasan atau tidak siapakah yang hadir dalam perjumpaan tersebut? Saya hanya duduk selang dua orang dari tempat duduk beliau.

Kenapa saya sebut saya seperti ahli MT UMNO sedang bermesyuarat? Mengapa tidak, pertamanya kami yang hadir diberikan sebuah buku kecil sedutan dari buku Pendita Za'ba, yang tertera dibelakangnya "Disusun oleh Bahagian Penerangan UMNO Malaysia" bukan dari Jabatan Perdana Menteri atau mana-mana jabatan kerajaan. Keduanya sepanjang perbincangan tersebut segala masalah yang dihadapi oleh UMNO, kemudian apa yang digusarkan dengan pihak pembangkang terutamanya Keadilan dan PAS, seperti memberitahu kegusaran tersebut kepada ahli Mesyuarat UMNO. Masalah-masalah kerajaan yang dibangkit oleh Anwar Ibrahim adalah sangat dibimbangi, terutama pengundi cina. Kerana UMNO hanya masih mengharapkan undi kaum cina. Jika berlaku apa-apa undi cina akan berpecah, maka peluang untuk PAS terutama di negeri-negeri utara memang cerah. Apatah lagi sekarang PAS telah ada Kelab Penyokong PAS Bukan Islam.

Itu antara isu-isu yang dibangkitkan oleh beliau. Antara lainnya seperti biasa projek-projek kerajaan. Tapi rata tak terkesan dengan cerita-cerita begitu. Ada juga komen-komen terhadap negara-negara Islam lain. Lanjutan dari cerita cadangan Ketua Hakim Negara berkenaan dengan saranan menggantikan Common Law kepada Undang-undang Syariah. Juga isu-isu bangsa melayu yang ketinggalan dari pengusaan ekonomi. Sebenarnya isu ini bukan sekali bahkan agak beribukali juga dah diperdengarkan. Sekaligus memperlihat kejelekan pemerintahan UMNO.

Bersambung...

30 Ogos 2007

Malaysiaku Gemilang?

Adakalanya aku berfikir sejenak, adakah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan sudah layak dengan gelaran atau istilah "Malaysiaku Gemilang"? Bagaimanapun terpulang kepada individu menilainya dalam hal ini. Samada istilah yang digunakan ini hanya sekadar istilah kerana tak tahu dah nak letak apa kah istilah yang sesuai setelah mencapai 50 tahun merdeka ataupun di zaman pemerintahan Pak Lah ini kaya dengan istilah-istilah. Almaklumlah, beliau merupakan graduan agama dan berlatar belakangkan keluarga agamawan. Mungkin atas sebab tersebut banyaknya istilah-istilah yang digunakan oleh zaman Pak Lah. Hasil daripada tersebut, diawal kenaikan beliau sebagai PM, Islam Hadhari adalah satu istilah yang hangat diperdebatkan. Bukan setakat lughawiyun yang memperdebatkan istilah berikut hatta orang awam atau bukan profesional agama pun sama naik untuk bercakap hal tersebut.

Dalam kita juga bersyukur dengan kemerdekaan negara kita selama 50 tahun ini. Kita hanya melihat dan selalu terngingau dengan pencapaian Malaysia. Samada ekonomi, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Namun sering kita terlupa selama 50 tahun ini juga, kemana sebenarnya kita dibawa. Di awal-awal kesultanan melayu dahulu rakyat mulai nampak, mengapa raja mereka memeluk agama Islam dan mempunyai satu matlamat jelas kemana mereka dibawa dengan Islam yang dianuti. Di mana satu ketika dahulu tanah melayu ini pernah mandaulatkan undang-undang Islam sebagai undang-undang utama negara. Tak kira dalam segala hal, Islam menjadi rujukan utama pemerintahan. Islamnya tanah melayu bermula dari seorang raja. Perubahan juga bermula dari pemerintahan baginda.

Namun setelah ummat Islam melayu dijajah dengan pelbagai penjajah dan rupa bentuk penjajahan. Islam sudah mula dicorakkan semula. Islam yang dibentuk semula ialah Islam yang hanya pada kes-kes atau ruangan-ruangan tertentu. Nampak seperti Islam juga mendapat tempat setelah ianya diletak di bawah penguasaan raja-raja melayu. Tetapi hakikatnya tidak seperti yang disangka. Ramai dikalangan kita sudah mula nampak helah penjajah dalam hal-hal ini. Namun memang betul, benggali putih bukanlah sekejap menjajah, mentaliti sebahagian ummat melayu tidak seperti awal kebangkitan dahulu. Kemerdekaan menjadi agenda utama, tidak kiralah apa syarat, apa yang dikenakan oleh pihak inggeris oleh kita tidak penting, yang penting merdeka.

Banyak perkara-perkara yang kita tidak ketahui, apakah begitu mudah kita dimerdekakan. Banyak perkara-perkara yang tersirat yang kita tidak ketahui. Yang tersurat tidak perlulah kita ceritakan di sini. Namun rupanya setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan seperti kita ketahui sekarang apakah perkara tersirat yang kita tidak ketahui. Mungkin bagi sesiapa yang perasan dan mengambil penting tentang hal ehwal negara kitam dia akan perasan. Tapi jika dia hanya orang yang seperti sifatnya "adanya ia seperti tiada" dia tidak akan perasan.

Hmmm... Malaysiaku Gemilang....

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai