"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


21 Februari 2009

Musafir: Tersirat dan tersurat

Musafir adalah lumrah bagi ulamak-ulamak dahulu hinggalah kini. Banyak hikmah dan pengajaran yang boleh diperolehi dalam hal musafir ini. Lihat sahaja apa yang boleh kita pelajari dari Imam Syafi'e R.A. Dari tanah arab ke Iraq dan ke Mesir. Hingga lahirnya pendapat dan fatwa dari beliau yang qadim dan jadid. Besarnya hikmah yang boleh kita lihat dalam bermusafir ini. Walaupun dalam kumpulan yang sekecil tiga orang, Nabi SAW menganjurkan supaya dilantik seorang ketua.

Bermusafir dalam keadaan berjamaah, sangat-sangat menguji kita. Saya seringkali bermusafir secara berjamaah. Terutama semasa memegang amanah sebagai salah seorang exco dalam persatuan di sini. Yang dititik beratkan dalam hal bermusafir inilah ialah ketua. Kenapa perlu melantik ketua? Lebih-lebih lagi jika musafir kita itu mempunyai kerja besar atau hadaf yang penting. Apatah lagi urusan umat Islam.

Musafir dan kelana juga merupakan tuntutan jiwa. Allah SWT sendiri menyarankan kita bermusafir dan melihat permukaan bumi dan mengambil pengajaran dan iktibar. Nabi SAW juga menganjurkan kita bermusafir. Dengan musafir secara berjamaah boleh dikatakan kaifiat atau cara bagaimana kita boleh mengenali sahabat-sahabat kita dengan baik, samada sifat mereka, perangai mereka, karenah mereka, dan sebagainya. Bukanlah ia kunci mencari permusuhan tetapi kunci persefahaman dalam berjamaah.

Semestinya bermusafir ini mempunyai ujian dan halangan. Terutama musafir atas urusan umat. Ujian yang diberikan Allah itu merupakan hikmah terbesar dalam musafir. Tentunya ada pelajaran yang boleh kita mabil darinya. Tentu sekali akan memberi muhasabah terbaik buat kita.

Boleh dikatakan setiap gerakan Islam yang wujud sekarang tidak lari dari keluar bermusafir. Tak kiralah apakah definasi yang terbit dari kerangka gerakan Islam itu. Tentunya ia lahir dari ilmu dan sirah perjuangan Baginda SAW. Bahkan ada gerakan Islam yang meletak kadar hari-hari tertentu untuk bermusafir. Ternyata yang menjadi kuncinya ialah MUSAFIR.

Namun ramai di antara kita di zaman sekarang melihat musafir ini adalah perkara biasa yang tidak perlu melihat apakah hikmah yang boleh kita ambil darinya. Apatah lagi urusan untuk bermusafir ini tidaklah sesusah mana bagi sesetengah dari kita. Bergantung kepada kemampuan meterial, mudah sahaja untuk bermusafir ke sana-sini. Kapal terbang pun sekarang boleh dapatkan tiket serendah-rendah harga. Bagi sesetengah ahli perniagaan sarapan di Kuala Lumpur, lunch di Bangkok dan dinner di Jepun.

Mim Shod dan Raa. Tiga huruf arab ini menjadi perkataan bagi negara Mesir. Seawal ke tanah Mesir ini, telinga ini sering mendengar maksud yang terkandung di setiap huruf tersebut. Tak pasti sejak bila ianya timbul. Mim bererti masyaqqah (kepayahan, kesukaran), Shod bererti sabar dan Raa bererti redha. Ternyata selama saya di bumi mesir ini, inilah antara pengajaran yang saya terima dari kalimah-kalimah tersebut. Nampaknya ada kebenaran disebalik kalimah-kalimah tersebut. Ternyata saya telah mempelajari apa yang dinamakan masyaqqah, sabar dan redha itu.

Bagi yang telah bermusafir ke Mesir, mungkin 3 aspek tadi dapat diambil sebagai pengajaran penting. Bagi yang teringin ke Mesir, dinasihatkan supaya buatlah sedikit homework atau kajian sebelum ke sini. Supaya nanti anda bersedia dan boleh sabar dengan masyaqqah dan redha
dengan segala ketentuan Allah yang diberikan.
Gambar: Bersama seorang sahabat, saudara Khairul Faizi di Iskandariyah, Mesir

14 Februari 2009

Bijak Manusia Tak Ke Mana...

Kadang-kadang bingung memikirkan kemelut politik di Malaysia. Seakan manusia mencari-cari jalan penyelesaian, tap tak kunjung tiba. Mengapa? Sejak bermula dengan sperma hinggalah ke nafas yang terakhir, semuanya bertitik tolak dari kerja-kerja Allah. Allah yang ciptakan manusia, dengan itu Maha Mengetahui Allah bagaimana mengatur hidup manusia. Ada agenda. Ada tujuan. Ada kiriman surat-surat penyata melalui baginda Nabi Muhammad SAW. Surat-surat tersebut mengandungi cerita kehidupan manusia yang bermula dari 'Abul Bashar' AS.

Sejarah Islam juga menjadi pengajaran kepada kita. 'Firaq' demi 'firaq' muncul dari kelebihan akal manusia yang dianugerahkan Allah. Cantik perancangan Allah, sehingga membawa ke zaman ini. Menjelaskan sejauh dan sehebat mana manusia berfikir, merancang dan bertindak, namun jika menafikan 'Kebijaksanaan' Allah, ianya tidak ke mana. Bahkan jelas merancang untuk gagal.

'Moga-moga kamu berjaya' selalu kita jumpa dalam surat-surat kiriman Allah. Namun kejayaan tersebut mempunyai pra-syarat untuk dilaksanakan. Syarat-syaratnya pula, bukanlah baru. Bahkan telah pun dibuktikan sejak 1400 tahun dahulu. kejayaan-kejayaan umat terdahulu dibuktikan dengan mereka melaksanakan 'syarat-syarat' tersebut. Kegagalan-kegagalan yang pernah dilalui merupakan sketsa melanggar syarat-syarat.

Ada yang bongkak malah mencemuh pra-syarat tersebut. Menganggap ianya seperti mengongkong kebebasan manusia untuk merealisasikan apa yang lahir dari benda yang dinamakan OTAK. Otak yang merangsang manusia berfikir dengan sebebasnya tanpa had. Terlupa sendiri manusia, dari keunikan dan sebaik-baik kejadian. Susah sekali scan apa yang dinamakan nafsu. Mungkin x-ray juga tidak boleh melihat bagaimana rupa bentu nafsu.

Ingat! Untungnya umat Islam ini hujung jatuhnya ada akhirat. Dosa pahala dihitung. Syurga neraka sebagai balasan. Hal-hal ghaibiyat ini juga susah nak di-scan oleh alat-alat moden dari otak manusia.

10 Februari 2009

ISA: Ikut Suka Aku!

Oleh: Hermansamsudeen Olahan: Ibnu Ali


Nizar bakal dikenakan ISA, lucut gelaran Dato' Seri

"Dato' Syed Hamid Albar dikatakan sudah menandatangani surat arahan menahan beliau atas sebab alasan menimbulkan huru hara dan menderhaka pada Sultan."

Sebelum berangkat pulang dari Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak malam tadi seorang teman memaklumkan bahawa Menteri Besar Perak YAB Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan ditahan dibawah Akta ISA tak lama lagi.
Dato' Syed Hamid Albar dikatakan sudah menandatangani surat arahan menahan beliau atas sebab alasan menimbulkan huru hara dan menderhaka pada Sultan.

Perkara ini seolah-olah benar-benar akan berlaku dimana petang semalam Menteri Pelancongan,
Azalina Othman menyarankan agar Nizar ditahan di bawah akta ISA atas alasan mengingkari titah Sultan dan enggan melepaskan Jawatan. Semasa membuat kenyataan itu, Menteri Besar Haram, Zambry Abdul Kadir berada disebelah beliau.

Tidak cukup dengan itu, K
etua Umno Cheras pula mengusulkan agar gelaran Dato' Seri yang dianugerahkan oleh Sultan ditarik balik dalam erti kata lain dilucutkan segera kerana didakwa kononnya menderhaka pada Sultan.

Begitulah permintaan dan kehendak pemimpin Umno yang kini sudah kehabisan modal untuk menghapuskan pengaruh besar Nizar di Perak.

Umno harus memahami bahawa kebangkitan rakyat Perak untuk membela Nizar dan Pakatan Rakyat adalah disebabkan oleh tindakan biadap Umno pada rakyat.

Umno memainkan politik perkauman, menafikan hak kaum lain untuk mendapatkan layanan adil. Walhal Kerajaan Pakatan menjalankan tugas mereka dengan memberikan bantuan pada semua rakyat yang miskin dan tidak terbela tanpa mengira kaum. Ini berbeza dengan BN yang mengambil untung atas angin melalui program mengkayakan individu tertentu sahaja.

Seandainya gelaran Datuk Seri ditarik atau dilucutkan, i
anya tidak mengapa kerana perasaan hormat rakyat pada Nizar bukan datang atas gelaran itu tapi kerana sifat peribadinya yang begitu disanjungi.

Tapi kalau beliau ditahan dibawah akta ISA, maka satu lagi malapetaka besar akan melanda Umno di Perak. Rakyat secara keseluruhannya akan melihat bahawa itulah klimaks kezaliman Umno kepada Kerajaan Pakatan yang dizalimi melalui tindakan Kudeta yang tidak bermaruah.

Ini sekaligus akan memberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk Pakatan meraih sokongan khususnya Pas yang banyak berhadapan dengan Umno dikebanyakkan kerusi DUN dan Parlimen.
Rakyat kini jelas bahawa ISA adalah senjata terakhir BN untuk menzalimi lawannya.

Maka jika itu yang mereka ingin lakukan, laksanakanlah! Pemimpin Pas tidak takut kerana kami diajar bahawa penjara itu adalah tempat kami beruzlah dan mengumpulkan kekuatan. Mati Syahid itu cita-cita tertinggi kami.

Kepada ahli PAS dan Pakatan Rakyat diminta untuk bertenang dan tidak bertindak sembarangan. Kita ada pimpinan, dengar arahan mereka. A
pa jua yang berlaku kita serahkan pada Allah.

09 Februari 2009

Orang Mukmin Sering Diuji

Al Fatihah...


Dalam pada kemelut politik yang sedang berlaku di Perak. Sekali lagi Allah menguji hamba-Nya terutama ahli-ahli gerakan Islam PAS atas pemergian Allahyarham Hj Roslan Shaharum. Beliau merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak. Malah beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM, dulu ITM) di Perak. Beliau juga mempunyai Diploma Pengajian Islam UIAM.

Sebelum itu, aku baru bertemu dengan beliau di Mesir, selepas beliau dan rombongan Ahli Parlimen PAS yang diketuai oleh Presiden sendiri melawat ke Gaza, Palestin.


Semoga Allah menempatkan beliau bersama hamba-Nya yang soleh. Amin.


Dikejutkan dengan apa yang berlaku, aku terfikir, ada eloknya MB Perak Mohd Nizar Jamaluddin bertanding di kerusi Bukit Gantang ini. Dalam keadaan yang agak gawat. Mood rakyat yang menolak BN. Nizar yang nampak dizalimi dengan rampasan kuasa BN. Tentunya Pilihanraya Kecil ini dapat membuktikan kepada BN dan Sultan apakah benar tindakan mereka sebelum ini.

Nampaknya cadangan aku senada dengan Pemuda PAS Negeri Kelantan:

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang mencadangkan supaya Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dicalonkan bertanding pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Ini kerana sokongan rakyat Perak terhadap Nizar masih kuat kerana sikap amanahnya dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak selama 11 bulan.

"Dewan Pemuda PAS Kelantan berkeyakinan pengundi akan memberi sokongan padu kepada beliau sebagai seorang yang dizalimi.

"Inilah medium paling sesuai bagi rakyat Perak untuk menunjukkan sokongan kepada Pakatan Rakyat," ujarnya.

Selain itu kata beliau ia juga sebagai medan untuk rakyat menyatakan sokongan terhadap isu yang berlaku di Perak sekarang.

Oleh itu beliau berkata, Pemuda PAS Kelantan berdiri teguh di belakang Nizar bagi menghadapi kerenah politik cacar merba Umno sekarang.

"Beberapa hari lepas kami beberapa orang anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kelantan berada di Perak bagi menyatakan sokongan kepada Nizar," ujarnya.
Namun segalanya, terpulang kepada pimpinan. Apakah strategi pada kali ini. Namun secara pribadi ini merupakan platform terbaik bagi PAS dan Pakatan Rakyat membuktikan sokongan rakyat kepada mereka tidak luntur. Malah mungkin angin perubahan ini akan terus meniup hingga ke PRU akan datang.

Keputusan PRU 2008 Parlimen Bukit Gatang


08 Februari 2009

Durhakanya Jebat dan Izzuddin Abdul Salam

Durhaka. Mudah benar puak-puak UMNO mengungkapkan perkataan ini kepada MB Perak Mohd Nizar. Tak ketinggalan Mufti Perak. Mudah sahaja membuat kesimpulan mendakwa Nizar durhaka. Apakah dengan situasi 'politik tempoyak' (pinjam istilah MSO) di Perak, begitu mudah Nizar didakwa mendurkaha kepada Sultan Perak?

Dengan mood rakyat menolak Barisan Nasional setelah beberapa siri pilihanraya kecil membuktikannya. Tiba-tiba UMNO meletakkan Sultan Perak dalam keadaan seperti membelakangkan keadilan kepada rakyat. Situasi di Perak tidak sama seperti yang pernah berlaku di Kelantan dan beberapa buah negeri dahulu. Ini kerana BN tidak mendapat majoriti melebihi 2/3 dari Ahli Dewan Undangan Negeri. Bahkan kerusi yang dimiliki BN sama dengan PR masing-masing 28 kerusi. Manakala 3 orang ADUN yang mendakwa memberi sokongan kepada BN hanya sebagai ADUN bebas. Jika 10 atau 15 orang ADUN PR melompat ke BN munasabah Sultan tidak bubarkan DUN. Maka undi tidak percaya kepada MB dibuat.

Apakah hukuman Nizar jika durhaka dalam keadaan ini? Apakah moral yang boleh kita ambil dari peristiwa Jebat dan Tuah? Apakah dengan titah Sultan yang ternyata membelakangkan keadilan kepada Tuah membuatkan kita butakan mata dan memekakkan telinga? Begitu juga di Perak, apakah 54 peratus undi popular kepada PR dalam pilihanraya umum lalu tidak menjadi pertimbangan Sultan?

Lihat kepada penjelasan Tuan Guru Dato' Dr Haron Din:
Merujuk pada sejarah Islam bagaimana seorang alim ulama yang masyhur Izzudin Abdul Salam yang berani menyatakan kebenarannya walaupun di hadapan Sultan sehingga beliau akhirnya dibuang daerah.

Menurutnya, keberanian ulama di zaman ini amat diperlukan khususnya untuk menangani kegawatan suasana politik dunia dan tempatan yang semakin meruncing.

"Hanya golongan ulama sejati yang berani mengeluarkan kenyataan yang benar walaupun sedar diri terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan,"
Apakah hak melayu, Islam tergugat sepanjang 11 bulan? Benar, Sultan menjadi payung kepada rakyat. Jika di zaman dunia tanpa sempadan, dan dunia di hujung jari kita. Apakah perkiraan Sultan perak itu benar-benar menyenangkan hati rakyat Perak? Malah saya yakin, juak-juak UMNO pun merasa tidak patut berlaku begitu. Bahkan ada sebahagian mereka telah memikirkan kesan pada PRU akan datang.

Bab-bab durhaka ini, saya tidak mahu membawa kepada
cara dan corak pemerintahan Khilafah Islam sebenar. Oleh kerana Malaysia dilingkungi dengan Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, Sultan dengan sifat monarki-nya perlu berpijak di dunia nyata. Sultan dan Raja zaman sekarang jangan menganggap diri tu selamanya atas istana kayangan. Anak beranak dilimpahi kesenangan yang selagi sistem monarki ini berjalan. Lihat sahaja bagaimana kejatuhan Khilafah Uthmaniah dijatuhkan. Mungkin sejarah-sejarah Islam jauh dari mata orang-orang istana.


07 Februari 2009

Pengorbanan Kamu Tidak Sia-Sia!!!

"Kamu di saff paling hadapan bila kerajaan dilanda musibah.
Kamu menjadi tentera Islam bila negeri dijajah.
Hanya pada Allah segala kurniaan bagi kamu semua rakyat Perak.
Yakinlah setiap pengorbanan kamu tidak sia-sia."








05 Februari 2009

Raja dan demokrasi

Oleh: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat


1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

2. Status Institusi Raja akan terjejas di mata rakyat kalau Raja mendengar dan akur menerima nasihat (advise) dari orang lain.Di zaman Tun Dr. Mahathir, Institusi Raja terjejas teruk dan jangan-jangan ia terjejas lagi di kali ini. Ucapan saya ketika di Parlimen di masa itu antara lain berbunyi: "Orang politik akan menjadi Raja/Presiden di masa hadapan. Puncanya kerana peribadi sebahagian Raja-Raja itu sendiri."

3. Sistem Beraja tidak menjadi semakin bertambah. Hendaklah diingati benar-benar bahawa sistem Beraja semakin hari semakin berkurangan. Bertambah tidak. Dunia boleh saksikan sendiri bagaimana Raja Nepal di Katmandu, Sultan Hussein di Singapura, Hamingkubuwono di Indonesia, Sultan Kudrat di Filipina, Al-Malik Farouk di Mesir, Shah Iran di Iran, Maharaja China di Negeri China, Maharaja Yaman di Yaman, Iraq, India dan seluruh Benua Eropah. Kini, mereka hanya tinggal sejarah.

4. Jadi, Institusi Raja di Malaysia perlu berhati-hati benar.

5. Saya sayangkan Institusi Raja kerana saya tahu bahawa rakyat hormatkan Rajanya. Saya sendiri dapat merasakannya kerana saya sendiri juga daripada keturunan Raja Jembal. Selain daripada menghormati saya dari aspek-aspek yang lain khususnya dari hal agama, mereka hormat saya kerana saya juga datang dari keturunan ini.

6. Tegasnya semua pihak perlu berhati-hati dalam menangani krisis yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di luar dari Negeri Perak.Ingatlah, Allah Maha Berkuasa diatas segala sesuatu dan Allah tidak akan berpihak kepada pihak yang berbuat kezaliman.

Sebaliknya, Allah akan menurunkan bantuan kepada mereka yang dikhianati dan mereka yang ditindas. Firman Allah S.W.T. bermaksud :

"Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala Puji Bagi Allah Tuhan semesta Alam." (Surah Al An'aam: Ayat 45).

Sumber: Harakahdaily

04 Februari 2009

Najib! Ko Tak Ke Mana!!

Tak mahu sebut pasal moral. Hal berkenaan dengan moral semuanya terbatal dek kerana undang-undang. Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat masih sah sehingga Sidang Dewan Undangan akan datang, sehingga dewan yang ada sekarang dibubarkan atas kehendak YAB Menteri Besar bersama ADUN yang ada sekarang, atau dibubarkan atas kehendak dan Perkanan DYMM Tuanku atau ada usul tidak percaya dalam dewan dalam sidang akan datang akan datang.

Dalam isu Perak ini, bagaikan politik "nasik kerabu". Haru biru dibuatnya oleh "Parti Biru". Apakah ini yang Najib harapkan bentuk pemerintahan negara yang bakal dia pegang bulan Mac ini? Mungkin sekarang beliau senyum dan tersengih dengan 3 orang ADUN Perak yang terdiri dari mereka yang bermasalah. Namun jangan ini pada Pilihanraya Umum akan datang Najib boleh tersenyum. Kerana rakyat yang bijak boleh menilai bagaimana dengan corak pemerintahan Najib akana datang dek kerana situasi baru di negeri Perak.

SPR sekali lagi diperbudak. Walaupun telah menunjukan prestasi agak baik sebelum ini. Dalam suasana trend rakyat menolak UMNO. Logikkah Najib untuk menghadapi pilihanraya kecil? Tindakan paling baik ialah 'melompat'!! Kerana ia sah di sudut perundangan, walaupun mempersetankan mandat rakyat melalui pilihanraya. Seperti negara ini UMNO yang punya. Seperti negara ini Malaysia BIN UMNO.

Nah! Lihatlah perancangan licik Najib! Aku boleh simpulkan ADUN Bota sengaja disuruh melompat ke BN, supaya rakyat tidak perasan dengan dua ADUN bermasalah PKR yang diculik! ADUN DAP yang menafikan melompat. Tajol Rosli menghadap Sultan Perak. Akhirnya keempat-empat ADUN tersebut sertai BN. Dalam keadaan MB Perak meletakkan sedikit harapan untuk tidak membubarkan DUN. Maka sidang akhbar dibuat untuk mengisytiharkan sokongan BN dari keempat-keempat ADUN tersebut membuatkan MB terlambat untuk membuat pengisytiharan DUN.

Sekarang nyawa Kerajaan Perak terletak atas kebijaksanaan Tuanku Sultan Perak. Samada perkenan sembah Nizar dan membubarkan DUN atau perkenaan Najib untuk membentuk Kerajaan BN Perak.

Bagi Nizar, Exco PAS dan ADUN-ADUN PAS anggaplah ini ujian paling berharga buat kita selaku pejuang Islam. Anda semua telah meletakkan kepentingan rakyat lebih utama dan telah menunjukkan prestasi yang baik di khalayak. Anda juga telah mempamirkan kualiti kepimpinan yang dipandang tinggi oleh rakyat. Walaupun kita sekadar merasa kuasa selama 11 bulan, namun yakinlah kita telah melakukan yang sebaiknya. Terus yakin dan istiqomahlah dalam perjuangan. Semoga kesemuanya istiqamah dan teguh dengan perjuangan suci ini.

Mereka Merancang, Allah juga Maha Perancang. Demi Allah sebaik-baik perancangan...

*Jangan putuskan berdoa dan munajat kepada Allah!!

03 Februari 2009

Tajdid Muslimah ii: Apa nilai niqab bila wangian meleret?

Persoalan berkenaan tabarruj muslimah sering menjadi perdebatan di antara kita. Namun sedarkah kita, kenapa ianya tercetus? Dari sudut mana ianya dibahaskan? Apakah yang menjadi kayu pengukur tabarruj seseorang muslimah itu? Apakah sempit dan sesak sangat pandangan Islam terhadap tabarruj?

Benar, persoalan-persoalan di atas bukan mudah untuk dibahaskan dengan semuka lembaran atau dengan lembaran muka blog. Namun bila manusia khususnya muslimah itu sendiri, merealisasikan definisi Hamba Allah dengan sebaiknya, mungkin ianya tidak rumit. Malah terlalu mudah. Jadi, apa yang menjadi payah?

Saya bukanlah orang selayaknya utuk bercakap tentang hal ini. Tetapi bila sering berlaku di hadapan saya dan saya sendiri sering terkena degan situasi ini. Justeru, saya merasakan paling tidak saya menulis sesuatu berkenaan dengan hal ini.

Tak semua senang dengan cara penyampaian saya, tetapi itulah saya dan mungkin sesempoi nahu bahasa saya gunakan.

Berselisih

Seriing saya berselisih dengan muslimah yang lengkap menepati syarak berpakaian. Tetapi sering itu juga saya seperti ditarik hidung ini dengan haruman-haruman yang mencucuk. Kenapa? Saya bertanya kepada diri. Apakah mereka tidak faham? Saya lihat dari hujung kaki hingga hujung kepala, agak mustahil mereka tidak faham bagaimana anjuran Islam terhadap kaifiat berketerampilan. Bagaimana kondisi mereka bila bersama bukan mahram dan bukan mahram.


Nah! Wahai muslimah, apakah yang mendorongkan kamu bergentayang begitu? Apakah yang manjadikan kamu sukar memahami visi berketerampilan Muslimah itu sendiri? Terbataskah tangan dan kaki kamu bila dibaluti kafiat seseorang mukminah?

Busuk

Mungkin, kurang selesa dengan keadaan busuk? Wangi lawannya busuk. Wangi menyenangkan dan busuk membuatkan tidak selesa. Berjanjikah kamu akan sering berwangian da berketerampilan menarik di hadapan suami-suami nanti? Kecil sangatkah dosa mewangi bersama bukan mahram atau kecil sangatkan pahala bila berwangian dan berketerampilan menarik bersama suami?

Lebih bimbangkan kritikan orang lain berbanding suami yang berkecil hati? Tak bernilai rasanya kutukan para malaikat berbanding kutukan rakan-rakan sepejabat, setugas dan lelaki-lelaki bukan mahram.

Melaram

Wah, bukan main melaram nampaknya. Mengalahkan raja sehari. Tetapi sedarkah kamu mata-mata yang melihat kamu? Mungkin nilai orang lain melihat lebih berharga dari mata suami sendiri. Bagi yang bujang, inilah masa melaram, bukan milik sesiapa pun.
"Mungkin ada yang tertarik dengan tabarruj aku?"

Nilai sehelai niqab

Hilang nilai niqab dan purdah bila wangian meleret. Bagaikan berbogel yang menyerahkan tubuh kepada bukan mahram begitu sahaja. Ahh, buangkan sahaja niqab-niqab ni! Lebih baik perca-perca kain itu dibuat kain buruk untuk membersihkan meja!

"Aku dah tutup semua! Hanya mata dan dua telapak tangan! Wangi sedikit apa salahnya? Hidung orang lain pun tak terseksa"

Mungkin dua video yang saya sisipkan di sini sedikit sebanyak membantu...

Hijab, Niqab or Nothing

Muslim Women are Beautiful!
Wallahua'lam

02 Februari 2009

Selamat Pengantin Baru

Sekadar gambar hiasan

Serba ringkas dan mudah. Itu yang saya boleh simpulkan kepada majlis pernikahan kawan saya Majdi bin Zakaria dengan muslimah pilihan Hanisah binti Muslim di Surau Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah. Walaupun nampak ringkas tetapi akan membawa makna besar kepada mereka. Ini merupakan perintis kepada membina Baitul Muslim yang membawa kepada kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Paling penting tiada dosa yang dicari dalam perkahwinan, tiada bersanding, tiada mendedah itu ini, tiada dan tiada yang melanggar syarak. Apa yang diharapkan dengan majlis seringkas dan semudah ini? Semestinya mardhatillah dan rahmat Allah yang paling utama. Dari definisi mereka mungkin inilah kaifiat walimah.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Surah Ar Ruum ayat 21)


وبارك الله لكما, وبارك جمع بين كما في الخير, ورزقكما ذربية طيبة تنفع الإسلام والمسلمين

"Semoga Allah membarakahi kalian dan melimpahkan barakah kepada kalian, dan mengumpulkan kalian dalam kebaikan, serta mengurniakan kalian zuriat yang memberi manfaat kepada islam dan muslimin keseluruhannya"

Kejutan yang mengejutkan

Pulang dari Tanta (salah sebuah negeri di Mesir) malam tadi kira-kira jam 11.30 malam, terkejut dengan keadaan dapur yang seperti berlaku kecurian. Tetapi nampak yang lain tidur nyenyak seperti tidak berlaku apa-apa. Juga respon baik dari Saufi berkenaan dengan hal dapur ini. Juga sekembalinya Ishaq dan Basir yang malas saya nak tanya dari mana mereka. Tidak mahu melengahkan masa, terus sahaja mengemas dapur yang berantakan. Rasa tak lena nak tidur bila mata ni nampak hal sedemikian.

Selesai dapur, buka komputer melihat berita yang tertinggal sejak awal pagi. Kesemua rangkaian berita internet dari media arus perdana dan alternatif membuatkan aku terkejut dan bingung. Apa sudah jadi? Nampak seperti tidak menentu di Perak. Sebelum itu ADUN Bota berhijrah ke Pakatan Rakyat. Tapi kini, dua ADUN PKR di Perak yang sebelum ini didakwa atas kesalahan menerima rasuah diberitakan hilang yang timbul banyak spekulasi.

Diberitakan lagi, speaker DUN Perak menerima surat perletakan jawatan 2 ADUN tersebut, bermakna akan berlaku lagi pilihanraya kecil. Kemudian, dinafikan lagi oleh dua wakil rakyat tersebut dan mahu mencabar speaker atas kesahihan surat tersebut. Tetapi, speaker terus menjalankan tugas seperti biasa dengan menghantar notis kepada SPR atas kekosongan dua kerusi DUN iaitu di Behrang dan Changkat Jering. MB Muhammad Nizar pun telah mengadap Sultan Perak. Dengar-dengar MUNGKIN DUN PERAK DIBUBARKAN.

Hal ini, membuatkan aku hanya boleh memerhati dalam masa ini, tanpa mahu membuat apa-apa kesimpulan. Namun isu Perak, benar-benar menguji kebijaksanaan Pakatan Rakyat untuk menguruskannya.

Apa yang aku harapkan, segala yang berlaku dan akan berlaku mungkin ada hikmah besar.

Wallahua'lam

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai