Perutusan Aidilfitri 1430 Tuan Guru Mursyidul Am PAS
Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)
Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.
Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.
Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.
Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.
Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.
Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.
Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.
Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.
Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.
Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.
Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.
Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.
Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.
Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.
Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.
Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.
Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.
Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.
Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.
Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.
Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.
Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.
Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.
Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.
Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam.
Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS
Ramadhan al-Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.
Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ia merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita: bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.
Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.
Sepanjang aku menyambut Ramadhan dan Syawal kat Mesir ni, tak pernah aku dengar lagu raya versi arab Mesir. Aku tak pastilah kalau korang yang dah lama kat sini pernah dengar. Mungkin aku yang jarang tonton tv arab ni (walaupun rumah ada tv, tapi lebih kepada bola dan berita) tak tahu kalau-kalau ada lagu raya versi arab Mesir.
Gambar 1:Lampu-lampu Ramadhan
Bila kali keempat menyambut Ramadhan dan Syawal InsyaAllah di sini. Ikhlas aku katakan pada tahun pertama sahaja aku macam meremang bulu tengkuk ni bila dengar lagu raya time-time bulan puasa. Masa tu teringat la, suasana-suasana beraya kat Malaysia , eceh. Berkobar-kobar nak buat panggilan ke Malaysia. Tanya itu ini begitu begini.
Ternyata di sini Ramadhan dan Syawal ternyata menidakkan segala budaya-budaya raya dari Malaysia. Kali ini aku menyambut Ramadhan dengan ahli rumah baru (kecuali Emon), dan rumah sewa baru (bulan 4 mula sewa) di Hayyul A'syir (Seksyen 10 la camtu). Sehari sebelum Ramadhan, rumah kami didatangi seorang lelaki arab tempatan, meminta LE5. Aku tanya untuk apa? Dia kata untuk persiapan lampu ramadhan. Aku mula-mula tercengang, tapi malas nak tanya banyak-banyak aku keluarkan LE5. Sebab Awis (jiran depan rumah dari Somalia) pun keluarkan LE5 tanpa banyak songeh.
Nak bertarawih malam kedua, suasana di luar apartmen kami dihiasi lintang-lintang lampu dan tanglung!! Berwarna warni!! Seronok pula melangkah ke masjid untuk bertarawih. Ramai yang melangkah ke masjid terbelek-belek lampu dan tanglung. Sebenarnya bukan di apartmen kami sahaja! Kebanyakan lumrah sambutan Ramadhan di Mesir ni dihiasi dengan lampu-lampunya. Kemeriahannya terasa.
Apa yang meriah sambut Ramadhan di Malaysia? Semestinya Bazar Ramadhan sampai jadi pesta makan pula. Padahal bulan puasa ni kena latih diri kawal nafsu. Namun lain pula di sini, ramai yang kaya raya berlumba-lumba bersedekah dengan mengadakan "Maidatur Rahman". Mereka ada yang melakukannya di masjid-masjid, dan setengah-setengahnya restoran persendirian dan khemah-khemah yang dipacak sendiri. Kadang-kadang tu siap hantar ke rumah-rumah. Nak tahu lauknya apa? 1/4 ekor ayam panggang beserta nasi, kuah kacang merah atau kentang, serta roti.
Gambar 2:Anuar dan Elina
Bila time dekat nak raya. Kami "cuba-cubalah" buat meriah. Gantung kad raya kosong, hahaha. Ada yang buat ketupat reben gantung kat pintu. Macam-macam gaya. Pagi raya kami bersolat dengan di padang! Bukan di masjid!Tak jumpa yang bersampin sakan. Hanya mengenakan jubah sahaja. Segan nak pakai baju melayu. Arab pakai t shirt dan jeans sahaja huhu. Setelah selesai solat sunat Aidifitri, balik rumah tido! Hahaha. Yang rajin sikit baca-baca quran. Ngadap-ngadap kitab. Perut lapar tak masak pun. Ada yang rajin, masak ler.
Meriah sikit bila hari kedua atau ketiga Syawal lah. Persatuan-persatuan negeri kat sini buat program raya. Adalah makan-makan, persembahan macam-macam. Masa tu nampak lah yang pakai baju melayu bersampin. Bidaah kan diorang? huhuhu.
Cuma ternyata lagu raya tak laku kat Mesir! Apatah lagi nak buat aku menangis dengar lagu raya!
P/S: Entry ini dibuat selepas mendengar lagu Anuar dan Elina di blog sahabat. (Apai ko kemaruk sangat nak beraya nih, hehehe) Doakan dia sehat sejahtera ya!