"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"
Aku tak berapa kenal wahabi sebelum aku sampai aku ke Mesir. Semasa pengajian aku di KIAS pertentangan terhadap fahaman yang dikatakan wahabi ini tidak ketara sangat. Walaupun ada bibit perdebatan yang aku tidak ambil kisah sangat di antara kawan-kawan.
Tapi setelah aku sampai ke Mesir, aku dapati isu wahabi masih diperkatakan oleh pelajar-pelajar melayu di sini. Mereka yang sering bertalaqi dengan para ulama di sini adakalanya sering terpancul dari mulut mereka ini wahabi. Manakala yang pro-wahabi pun sering mengenakan pencaknya di tengah-tengah suasana itu.
Kadang-kadang masuk di dalam mana-mana mesyuarat pun ada isu wahabi yang terbangkit. Bahkan ianya datang dari mulut pimpinan yang sangat tidak berkenan. Ini belum lagi melihat blog-blog pimpinan yang menyerang wahabi dengan hebat, seakan-akan merekalah musuh sebenar. Yang pro-wahabi pula menyerang yang tidak sealiran dengannya sehingga menuduh dengan label yang bukan-bukan yang mendatangkan kemarahan. Walhal yang diperdebatkan semuanya dari ilmu yang tak seberapa.
Kedua-dua pihak ini percaya dengan sepenuhnya terhadap apa yang dibawa dari kitab-kitab dan apa yang sahih dari hadith-hadith yang mengemukakan sifat-sifat Tuhan. Semuanya tidak perlu diperdebatkan lagi terhadap kebenarannya dan tiada sebarang perselisihan. Firman Allah:
"kemudian Ia bersemayan di atas a'rasy" (Surah Al A'raf, ayat 54)
"tangan Allah di atas tangan-tangan mereka" (Surah Al Fath, ayat 10)
"tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan wajah Allah" (Surah Al Qasas, ayat 88)
"dan Dialah yang berkuasa atas sekalian hambaNya" (Surah Al An'am, ayat 18)
Kesemua ayat ini ada sahih dari Al Quran dan hadith yang perlu diimani, membenarkannya, dan kedua-dua pihak ini menerimanya.
Kedua-dua pihak ini percaya sedalam-dalamnya dengan firman Allah:
“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya” (Surah Al Ikhlas, ayat 4)
Semuanya hak yang tidak diperdebatkan. Tidak menyerupakan Tuhan dengan makhluk samada sifat, demikian juga sebaliknya.
Hakikat yang ketiga, kedua-dua pihak ini juga mempercayai bahawa zat Tuhan Maha Mulia dan Maha Tinggi dan sifatnya jauh dari jangkauan akal manusia yang kerdil, yang tidak mampu mengetahui hakikat sebenarnya di alam nyata ini. Lebih-lebih lagi alam ruh, demikian juga alam malaikat dan Zat Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi sifat-sifatnya.
Bahkan benarlah firman Allah:
"dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja" (Surah Al Israa, ayat 85)
Inilah dia hakikat yang telah ditetapkan dan ia diterima oleh kedua-kedua pihak tadi. Oleh itu, perselisihan ini adalah sesuatu yang tidak berfaedah. Lebih malang perselisihan ini hingga ke peringkat kafir-mengkafir, sehinggakan terbawa-terbawa kepada pengikut mereka yang tidak mengkajinya.
Sekali pandang memang Harakah. Dua kali pandang macam Roket. Bagi aku berita Lim Guan Eng ni tak perlu muka depan. Memang kita wajar mempertahankan dia selama mana dia dalam lingkungan kebenaran.
Apa yang aku lihat sikap Harakah agak kepelikan bila mana menimpa pimpinan utama PAS sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang dibelasah cukup-cukup oleh rakan sejemaah. Apakah Harakah merasakan isu ini JK Disiplin tidak memerlukan pembelaan dan penjelasan? Apakah asas-asas hukuman yang dijatuhkan kepada dua orang figura di Selangor ini terus dijadikan batu asas kebencian dan kemarahan ahli jemaah?
Barangkali alasan yang boleh digunakan oleh Harakah boleh rujuk pimpinan terus? Agak-agak berapa ribu ahli nak terus berjumpa dengan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man? Yang dihukum pun tidak berjumpa semasa dijatuhkan hukuman, apatah lagi mereka yang mahukan penjelasan? Sepatutnya PAS yang menjadi lidah rasmi PAS wajar mengenengahkan hal ini. Ini kerana ahli-ahli PAS yang tidak melayari internet, jadi dengan ini Harakah-lah yang menjadi rujukan utama mereka!
Bukanlah berita Lim Guan Eng menjadi masalah ini kerana atas sifat meraikan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, namun setelah beberapa insiden kefahaman dalam PAS menjadi membarah di kalangan ahlinya nampak seperti Harakah tidak memainkan peranan dengan sebaiknya, ini yang masalahnya. Apatah lagi ada dengar-dengar "virus-virus" telah menyerang pentadbiran Harakah. Setelah beberapa kali bertukar kulit dan bos, sebaiknya Harakah memainkan peranan yang lebih baik dalam memberi thaqafah dan ilmu kepada setiap ahlinya.
Pelawaan bermuzakarah antara PAS dan UMNO dah lama aku dengar sejak mula aku kenal PAS. Tajuk muzakarah pun dah bermacam-macam. Sebenarnya aku tak kisah pun tajuk apa, kerana Islam itu tertegah atas hujah. Tiada masalah bagi aku. Cuma masalahnya ada di kalangan mereka ahli PAS dan sesetengah pimpinan PAS agak fobia dengan muzakarah. Apatah lagi bila bermuzakarah dengan UMNO. Mereka membayangkan bahawa muzakarah itu akan timbulkan masalah kemudian hari.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan Yang (membuktikan kebenaran) apa Yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang Yang benar". Surah Al Baqarah, ayat 111.
Bila UMNO kata dia juga parti Islam, bahkan mengatakan parti Islam terbesar. Maka rakyat mahukan kepastian, apakah benar dakwaan tersebut. Apatah lagi, PAS juga mendakwa mereka parti Islam. Namun jelas pembawaan kedua-dua parti ini berbeza dan rakyat mahukan penjelasan. Maka penjelasan ini tidak lain tidak bukan melalui muzakarah.
Semasa Al Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor (mantan Presiden PAS) pernah bermuzakarah walaupun lebih kepada pidato perdana bersama Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad atas isu Palestin. Antara isi cadangan almarhum yang masih aku ingat ialah mewujudkan tentera pengaman peringkat OIC. Yang pada hari ini menjadi topik perbincangan di kalangan negara-negara OIC. Nampaknya cadangan tersebut sampai dan diperbincangkan pada hari ini, bukan pada ketika cadangan tersebut disampaikan.
Aku melihat, begitu juga dengan cadangan Kerajaan Perpaduan sebelum ini. Mungkin hari ini ramai yang membantah, tapi mungkin tidak pada waktu akan datang. Mungkin juga pada waktu itu yang mencadangnya tiada lagi di muka bumi ini.
Berbalik, kepada muzakarah ini. Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul AM PAS menjelaskan apa yang hendak dimuzakarahkan:
"Dalam perbincangan itu, kita menumpukan kepada dua perkara utama saja, iaitu kenapa Umno tidak boleh terima Islam sebagai dasar parti itu, dan apakah salahnya Islam yang diperjuangkan oleh PAS,"
Bagi permulaan, aku lihat dua perkara ini amat relevan sekali sebelum kita mulakan perbincangan-perbincangan yang lain. Ini kerana perkara ini dilihat perkara pokok untuk kita terus melangkah dengan perkara-perkara ranting-ranting yang lain.
Bagi aku, apabila perkara pokok ini selesai dan bertemu kata sepakat dan saling faham. Jadi perkara lain tiada masalah untuk dibincangkan. Kerana kedua-dua pihak sudah sepakat atas pekara pokok. Jika tidak sepakat pun, rakyat sudah faham siapakah UMNO dan siapakah PAS sebenarnya. Jika tidak kepada pimpinan pun, kepada rakyat dan ahli UMNO khususnya menjadi sasaran kebenaran.
Sepertimana Al Marhum Syeikh Ahmad Deedat yang sering berdebat dengan padera-paderi besar Kristian. Adakah sasaran utamanya paderi tersebut? Sudah tentu tidak, kerana sasaran utama ialah audien yang hadir pada majlis perdebatan tersebut. Apabila hujah-hujah paderi itu dipatahkan dengan mudah, apatah lagi hanya dipatahkan dengan hujah-hujah dalam bible sendiri, semestinya timbul kesedaran bagi para audien yang ramai untuk memikirkan tentang kebenaran Islam.
Wallahua'lam
Aku sangat tertunggu-tunggu kenyataan balas dari Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan dengan keputusan JK Disiplin PAS setelah "dibelasah" secukup-cukupnya oleh beberapa ahli termasuk pimpinan PAS.
Inilah akibatnya masing-masing nak jadi JK Disiplin dan masing-masing kononnya boleh adil kepada semua pihak. Tidak kurang juga mereka yang mempermainkan kalimah WALA'. Dijaja kalimah tersebut hingga nampak tarbiyah yang selama ini diperolehi boleh dipermainkan begitu sahaja. Tanpa segan silu mengherdik pimpinan yang dilantik secara rasmi dalam muktamar lalu. Merendah-rendahkan pimpinan hingga sanggup menyebut Ulama Kepala Lutut, JK Disiplin PAS sama sahaja dengan Lembaga Disiplin UMNO.
Adakah ini kesannya bila mana Pakatan Rakyat muncul? Apakah ini nilainya yang lahir dari hati sanubari mereka bila PAS bersama Pakatan Rakyat? Kerajaan Perpaduan yang secara terbuka ditarik balik oleh Presiden PAS setelah puas dimaki hamun mereka, nampaknya masih tidak puas. Giliran JK Disiplin PAS pula dimaki hamun mereka.
Cuba mereka ini fikir semula. Apa yang mereka harapkan dari orang lain dari tulisan mereka? Mereka ini aku maksudkan terutama ahli dan pimpinan PAS. Oleh : Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.
Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.
Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.
Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.
Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.
Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.
Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.
Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?
Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.
Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.
Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.
JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.
Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.
Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.
Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.
Wassalam.
Alhamdulillah, sejak selesai peperiksaan 23 Januari lepas, aku kemudiannya menerima kunjungan dari Ustaz Razali Jamil Al Hafiz, Abang Khalid dan isteri Kak Mariani. Kunjungan mereka ke Mesir ini atas beberapa tujuan. Bagi Ustaz Razali tujuan utamanya ialah Pameran Buku Antarabangsa, Kaherah Mesir yang bermula pada 28 Januari hingga 10 Februari 2010.
Ditakdirkan aku menemani mereka sepanjang mereka di sini pada 24 hingga 30 Januari, dibantu oleh Ustaz Hafizi dan juga Ustaz Mahbob. Apa yang aku sangat berterima kasih kepada mereka dan bersyukur kepada Allah dengan pertemuan singkat ini, dengan takdir Allah dapat juga hajat aku tertunai ke Sinai sebelum tamat pengajian. Walaupun atas kapasiti "meneman" itu sangat memadai walaupun tidak sempat untuk mendaki Bukit Tursina. Aku bersyukur kerana akhirnya termakbul harapan aku.
Begitu juga dengan Pameran Buku ni, setalah 2 tahun sebelum ini tidak menjejaki ke sana akhirnya tahun ini dapat juga ke sana dengan kapasiti sebagai "peneman" Ustaz Razali. Aku sangat berterima kasih kepada Ustaz Razali kerana menghadiahkan 2 kitab yang aku idam-idamkan (lihat gambar). Ustaz razali hanya sempat menjengah 2 booth sahaja. Walaupun kawasan Pameran Buku tersebut sangat besar dan bemacam jenis syarikat ada, dua booth ini sahaja membuatkan kami tidak larat untuk memikul kitab-kitab yang dibeli. Ikutkan hati Ustaz Razali mahu sahaja pergi ke satu booth ke satu booth. Tapi memandangkan kepayahan membawa dan jika ditinggal takut lesap pula, akhirnya hanya dia sahaja yang sempat.
Bagi Abang Khalid dan Kak Mariani perjalanan ini merupakan honey moon mereka barangkali, ini kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 5 Disember 2009 lalu. Diucapkan kepada mereka;
بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير
"Semoga Allah memberkati kamu berdua dan satukan kamu berdua dalam keadaan baik"
Mereka berdua dikhabarkan bertemu dalam lapangan dakwah. Semoga perkahwinan mereka kekal hingga akhir hayat.
Ustaz Razali pula diberitakan dalam perancangan membinan sebuah Madrasah Tahriz. Madrasah tersebut sedang dalam pembinaan dan masih memerlukan sumbangan dari orang ramai. Madrasah tersebut boleh layari di web rasminya www.tahfiz.net.