"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


26 Disember 2006

Aku hidup berpura-pura?

Adakah aku hidup berpura-pura?
Atau kepura-puraan itu kehidupan aku?

Kenapa sering berpura-pura tahu?
Atau sering tahu bagaimana mahu berpura-pura?

Di hadapan mereka, adakah aku berpura-pura?
Kenapa aku perlu berpura-pura?
Kan lebih elok mereka mengenaliku yang bukan berpura-pura.
Entah-entah mereka tahu aku berpura-pura.

Mungkin kerana aku mempunyai kepentingan.
Aku sendiri tidak tahu kepentingan apa yang aku cari.
Sedangkan berpura-pura itu suatu yang merugikan.
Kadang-kala menguntungkan.

Maksiat dengan tidak berpura-pura.
Melarikan darinya dengan berpura-pura.
Adakah iman aku juga sedang berpura-pura?
Mahukan syurga pun mahu berpura-pura?

Sesetengah orang tidak berpura-pura.
Malah seronok dengan kejujuran.
Tapi mereka ada dua talam di muka.
Seorang jujur dengan apa yang diimani.
Seorang lagi jujur dengan apa yang dikufuri.

Aku mahu hidup aku berjujur.
Mahukan kejujuran itu hidup aku.
Tetapi aku hanya berpura-pura bila berdoa.
Adakah aku minta kepada Yang Berpura-pura?
Maha Jujur yang mengetahui aku begini.
Maha Jujur yang mengkabulkan setiap hajat.

Tetapi Maha melihat tidak berpura-pura dengan aman syurgaNya.
Bahkan Maha Kuasa tidak berpura-pura dengan azab nerakaNya.

Adakah tulisan ini juga satu kepura-puraan?
Atau hanya meluahkan keinsafan?
Maha Jujur juga yang tahu akan kepura-puraanku atau kejujuranku.

17 Disember 2006

Menunggu Fatwa Dari Mufti Darus Sunnah

Setelah saya membaca Majalah I, keluaran kumpulan KarangKraf SDN BHD yang terbaru. Memaparkan gambar "sohibus samahah" Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meghiasi muka depan majalah tersebut. Tentunya kita semua dapat meneka apakah yang akan dibicarakan di dalamnya setelah melihat kulitnya. Jika yang baru pertama kali membacanya sudah tentu belum tahu apa-apa mengenai Majalah I dan siapakah Dr Mohd Asri?
Rasanya belum rasa terlambat jika saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada beliau, kerana kesudian menjadi mufti kepada Negeri Perlis "Darus Sunnah" yang diperintah oleh Shahidan Kassim. Juga rasanya berbaloi dengan penat lelah "berjuang" menegakkan "siapakah yang paling sunnah di antara ahli sunnah?". Dahulu negeri Perlis dekenali denga laqqab Indera Kayangan tetapi tidak lagi kini. Sudah bertukar dengan Darus Sunnah. Maka jangan pula negeri-negeri lain menjadi Darul Bida'ah. Maka yang baik kita ikut tak tak elok jadikan sempadan.
Sebelum tu, saya nak juga cerita sedikit berkenaan "siapakah yang Ahli Sunnah yang sebenarnya". Cerita ini berdasarkan pengalaman saya belajar di sebuah Kolej Islam di Negeri Kelantan Darul Naim. Ada satu hari semasa kuliyah subjek Tafsir Ayat Ahkam. Sebelum kuliyah bermula, pensyarah yang mengajar kami, mengajukan satu soalan. Pensyarah itu bertaraf Dr dan mengambil PhDnya di Universiti Madinah. Soalannya lebih kurang berbunyi begini, "siapa di dalam kelas ini bermazhab Hanafi? Sila angkat tangan!", maka sudah tentu tiada siapa yang mengangkatnya. Sekali lagi beliau melontarkan soalan yang agak sama maksudnya "siapa di dalam kelas ini bermazhab Syafei?" dengan soalan yang diajukan, kami semua dengan tidak teragak-agak mengangkat tangan. Setelah itu beliau memberitahu kami semua "saya bermazhab al Quran dan As Sunnah". Seterusnya, beliau memulakan pengajian seperti biasa, dan meninggalkan kami agak terpinga-pinga. Maka dengan itu saya memulakan berfikir dan terus berfikir sehingga habis kuliyah beliau. Lalu saya lontarkan soalan itu kepada rakan saya, "Imam Syafei tak ikut Al quran dan As Sunnah ke?". Soalan saya lontarkan kepada rakan itu saya tidak memerlukan jawapan. Biarkan sahaja dia berfikir bersama.
Berbalik kepada Dr Mohd Asri atau lebih dikenali di dalam dunia cyber ni sebagai MAZA. Saya mula mengenali tulisan-tulisan beliau di dalam majalah Tamadun. Jika siapa yang perasan, seingat saya berkisar persoalan Hudud dan Qisas. Wartawan Tamadun membuat sesi temuramah dan soal jawab berkenaan dengan masalah Hudud dan Qisas. Pada ketika itu rasanya dia belum ada title Dr. Bagaimanapun jawapan-jawapan beliau membuatkan saya tertarik, dengan berkopiah putih dan berbaju melayu, menjawab dengan tegas berkenaan dengan Hudud dan Qisas.
Sepanjang di Malaysia, beliaulah di antara "ulama" yang saya kagumi. Kerana kepetahan serta menggunakan sumber-sumber yang mantap, samada dari Al quran dan Hadith dan kitab-kitab rujukan lain. Pernah sekali saya mencadangkan kepada Naib Presiden Persatuan kami agar menjemput beliau untuk berceramah atau berforum. Tetapi tak kesampaian.
Sehinggalah kini saya di bumi Mesir, melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar. Suasana di sini agak berlainan apabila respond dari para ustaz dan tok-tok guru serta para mahasiswa sangat jauh dari sangkaan saya terhadap MAZA. Terutama mahasiswa yang "lahir" dari pusat pengajian pondok sangat amat tidak senangi dengan MAZA. Bahkan Syeikh Nuruddin Al Banjari Al Makki pun agak kurang senang dengan beliau. Maka sedikit sebanyak ia terkesan kepada diri saya dan method pengajian saya dalam ilmu-ilmu Islam. Saya rasa lebih berhati-berhati berbanding di kolej dahulu.
Apa yang saya nanti-nantikan dari pelantikan MAZA sebagai Mufti Perlis yang baru ini adalah fatwa-fatwa beliau. Fatwa atau apa-apa pendapat yang amat saya sangat tunggu-tunggukan adalah berkenaan dengan masalah-masalah pokok di dalam negara kita sekarang. Tidak lain tidak bukan ialah:
  • Akidah Negara
  • Perundangan Syariah
  • Islam Hadhari
  • Pertubuhan Sister In Islam
  • Demokrasi dan Pilihanraya
  • Sistem beraja
  • Sekularisme
  • Nasionalisme

Saya merasakan pemilihan MAZA amat tepat sebagai Mufti Perlis untuk membawa hal-hal seperti ini di meja para Mufti. Seperti mana yang dilakukan oleh SS Dato Dr Harussani Mufti Perak yang bertungkus lumus memerangi gejala murtad yang semakin parah. Ia juga berdasarkan kuliyah-kuliyah, ceramah-ceramah dan perdebatan-perdebatan yang sangat popular sekarang dan mempunyai pengaruh yang amat memberangsangkan. Rasanya inilah masa yang sangat sesuai untuk mencerminkan peribadi beliau sebagai mufti Darus Sunnah, dan amanah dan ikhlas terhadap apa yang telah banyak beliau sampaikan kepada masyarakat kini.

Jangan pula hanya berkisar tentang talqin, zikir, qunut, serta masalah lain yang dilihat sebagai masalah-masalah cabang dalam ilmu Islam. Saya bertanggungjawab atas tulisan saya, jika MAZA mahukan saya sebagai jurucakap berkenaan dengan masalah-masalah yang saya usulkan itu saya amat-amat alukan.

Teringat dengan kata-kata Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa menjawab pelawaan Tengku Razaleigh Hamzah, jika Kelantan berjaya diperintah UMNO maka mahu melantik Tuan Guru sebagai Mufti Kelantan. Jawapannya berbunyi "fatwa pertama yang saya akan keluarkan jika saya dilantik sebagai mufti negeri adalah, mengundi UMNO adalah HARAM".

16 Disember 2006

Hensem VS Tak Hensem, Cun VS Tak Cun

Entry kali ini agak santai rasanya. Tiada apa yang mahu disentuh, hanya sekitar persoalan yang sering berlegar di sekitar kita. Diri yang bergelar lelaki mahupun wanita. Apa status mereka pun termasuk dalam entry yang bakal ana sentuh ini.

Merujuk kepada tajuk di atas, mungkin sedikit sebanyak antum semua dapat mengagak bagaimana agaknya yang bakal ana sentuh ini. Tidak menjadi hal sekiranya antum dapat mengagak atau tidak, ana tetap akan menulis.

Jika kita perhatikan, renungkan kembali kepada peristiwa Israk Dan Mikraj, ketika mana Nabi SAW telah di izinkan oleh Allah SWT untuk melihat penghuni-penghuni syurga dan neraka, dan bagaimana suasananya berlaku. Selepas itu apa yang Nabi SAW menseritakan kepada ummatnya? Mungkin antum semua pernah mendengarnya dalam tazkirah atau mana-mana ceramah. Tak perlulah rasanya ana sebutkan di sini.

Persoalan ini sering menjadikan seseorang yang bernama wanita mahupun lelaki akan tertanya-tanya. Bagaimanakah jodoh mereka? Yang lelaki seringkali terbayang-bayang ataupun terfikir, yang cantik kah atau tidak? Begitu juga dengan wanita, sedikit sebanyak mesti terkesima dengan para lelaki yang dikategorikan dengan hensem atau segak serta paras rupa yang menarik dan "cantik". Tidak dapat menafikan bahawa inilah fitrah kita sebagai manusia. Perasaan seperti ini telah dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Bagaimanapun sejauhmana kita mengawalnya dan sejauhmana ianya betul-betul memberikan makna keikhlasan kepada kita?

Sesetengah daripada kita termasuklah dari kalangan mutadayyin/ustaz/ustazah yang agak memilih kriteria hensem dan cun itu sebagai batu asas memilih pasangan mereka. Bukan mahu memmerli golongan seperti ini. Tapi inilah yang berlaku. Tidak dinafikan juga bahawa hal seperti ini juga berlaku kepada diri ana sendiri. Seringkali melontar persoalan ini di dalam diri. Adakah ini yang perlu ada dalam kriteria seseorang calon untuk ana memilih sebagao seorang isteri? Bila difikir-fikir kembali dengan timbangan akal dan apa yang ana belajar selama ini maka persoalan ini bukanlah satu perkara yang besar dalam menentukan nilai usrah muslimah itu sendiri.

Mengikut dari survey yang ana lakukan secara tidak langsung, hampir seratus peratus lelaki mahukan isteri yang cantik dan sedap mata memandang. Menjadikan ianya menjadi ciri yang pertama dalam bab memilih pasangan. Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada si perempuan. Bagaimanapun ini adalah survey secara tidak langsung, jika antum semua tak termasuk dalam ketagori ini maka janganlah terasa ya!.

Maka di sini, ana mengajak antum semua kembali memikirkannya. Kepada yang merasakan dirinya hensem (walaupun tak sebutnya depan khalayak hanya dalam hati), cuba-cubalah cerminkan kembali diri antum dan kembali kepada fitrah kejadian antum semula. begitu juga kepada cik adik yang cun (walaupun tak sebutnya depan khalayak hanya dalam hati), cuba-cubalah cerminkan kembali diri antum dan kembali kepada fitrah kejadian antum semula.

Kepada para lelaki, cuba intai kepada wanita yang cun. Rata-ratanya mereka ini menjadi model, pelakon, pelayan GRO, suka tayang gambar kat dalam frienster, dalam blog pun kadang2 ada (jangan marah ini kenyataan). Orang yang cun juga sering mendapat perhatian ramai, samada di universiti, kolej, sekolah, pejabat atau mana-mana ruang yang membolehkan para lelaki meilhat mereka. Wanita yang dikategorikan sebagai wanita cun ini juga sering menjadi isu dalam mana-mana perdebatan. Dulu pernah kecoh sekali berkenaan dengan wanita cantik yang disentuh oleh Tuan Guru Dato Nik Abduk Aziz, MB Kelantan.

Sehinggakan waita cantik ini menjadi penghias kepada iklan-iklan yang ditayang. Samada di televisyen, papan-papan iklan di tepi jalan, produk-produk kecantikan. Mereka sanggup menjadi alat sebagai daya tarik kepada barang-barang kegunaan. tak kurang juga di Mesir ini, iklan pemanas air pun, disebalahnya kelihatan wanita cun yang gaya menggoda. Padahal nak jual "sakhonah" saja.

Begitu juga dengan pertandingan Ratu Cantik, apa kelebihan dari pertandingan ini pun ana tak pasti, sekadar menjadi pemuas nafsu para lelaki melihat mereka. Rata-rata yang menyertai pertandingan ini sudah semestinya yang cantik dan cun. Yang cun juga yang suka pakai ketat-sendat, tayang itu dan ini, "katanya anugerah Tuhan buat apa nak sorok?"

Begitu juga apa yang berlaku kepada industri seni negara kita. Mana-mana pelakon wanita yang "kurang" cun atau "tak" cun, kurang mendapat tempat dalam mana-mana filem. Tempat yang menjadi tempat bagi mereka sekitar file-filem lawak, sebagai tukang gaji, sebagai wanita gila. Hanya dijadikan mereka ini bahan lawak untuk menterbahakkan para penonton menontonnya. Begitulah sebaliknya yang berlaku kepada lelaki yang tak hensem. Inilah realiti yang berlaku (jika ada yang mahu menafikkannya silalah komen).

Seperti yang Nabi SAW pernah sebut, perempuan yang ramai masuk neraka, perempuan jugalah yang ramai masuk syurga. Tapi tak pastilah yang ramai ke neraka tu yang cun atau tidak. Tapi bila dalam syurga kesemuanya dijadikan cantik-cantik dan muda. Hal ini menjadikan kita sedar kembali cantik bagaimana yang sebenarnya yang dianjurkan oleh Islam. Cantik, hensem yang bagaimana yang Islam mahukan. Saya mahu menyeru kepada diri sendiri juga kepada antum semua supaya sedar bahawa kita dijadikan oleh Allah dari air yang hina, fitrah kejadiannya yang sama, taqwa yang menjadikan kita ada perbezaan di sisi Allah.

"Sapa yang lebih mulia antara yang cantik menyanyi depan orang ramai dan yang tak cun yang sering berdakwah"

10 Disember 2006

Hormatilah budaya kami - Nik Aziz

KOTA BHARU, 8 Dis (Hrkh) ? Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat meminta wanita bukan Islam menghormati budaya dan adat resam orang Kelantan dengan berpakaian sopan sesuai dengan masyarakat setempat.

Menteri Besar berkata, peraturan menutup aurat hanya melibatkan wanita Islam sahaja dan tidak melibatkan wanita bukan Islam.

Ini kerana katanya, majoriti rakyat Kelantan adalah orang-orang beragama Islam dan tidak suka memakai pakaian yang menjolok mata, yang jelas bertentangan dengan nilai agama dan budaya.





Mengulas mengenai bantahan daripada segelintir wanita, beliau berkata peraturan menutup aurat bagi wanita Islam merupakan suruhan agama maka amat tidak wajar jika wanita Melayu Islam sendiri membantah.

?Menjadi tanggungjawab bagi sebuah kerajaan Islam untuk memastikan setiap peraturan dan undamg-undang Islam terlaksana termasuk dalam soal peraturan menutup aurat bagi wanita Islam,? ujar beliau.

?Dalam kawasan rumah mereka bebas untuk berpakaian, tapi bila keluar rumah dan terbabit dengan orang ramai, perlu ada peraturan tertentu termasuk soal cara berpakaian,? jelasnya kepada wartawan selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini kelmarin.

?Lebih-lebih masalah rogol dan keruntuhan akhlak semakin banyak dan berkembang, bukannya semakin berkurang. Kerana itu Islam awal-awal lagi menetapkan peraturan berpakaian yang kita panggil menutup aurat sebagai langkah mencegah perkara tidak bermoral dalam masyarakat?.

?Peraturan ini peraturan Islam dan perintah Allah, bukannya peraturan yang dibuat PAS sepatutnya mendapat sokongan bukan bantahan,? ujarnya kesal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Haji Takiyuddin Hassan berkata, berkaitan peraturan berpakaian menutup aurat bagi wanita Islam ia bukan perkara baru kerana telah dikuatkuasakan sejak tahun 1989 lagi.

Menurut Takiyuddin, kenyataan atau dakwaan yang mengatakan berpakaian seksi akan didenda RM500 itu tidak benar. Kerana RM500 itu kadar maksimum, bukan denda mandatori.

?Kompaun atau denda itu bergantung kepada keadaan seseorang ia bukan mandatori, malah tidak ada lagi setakat ini yang didenda sehingga RM500,? katanya.
?Bagi kaum bukan Islam kerajaan negeri tidak berhasrat menguatkuasakan peraturan kerana kita lebih kepada pendekatan mendidik dan meminta kerjasama mereka untuk menghormati sensitiviti masyarakat.?

Katanya setakat ini tidak ada wanita bukan Islam yang dikenakan tindakan kompaun.
Kalami:
  • Peraturan yang baik dan wajar disokong!
  • Darul Sunnah bila lagi nak ikut? Bida'ah ke agaknya peraturan macam ini?
  • Harap negeri-negeri lain dapat ikut peraturan ini.
  • Syabas Kerajaan Kelantan

03 Disember 2006

Air Mata Berembang

Kronologi berlakunya penindasan ke atas rakyat oleh Kerajaan Islam Hadhari Negeri Selangor pimpinan Khir Toyo yang tak hadhari! -petikan dari http://harakahdaily.net/v061/index.php?option=com_content&task=view&id=5508&Itemid=50


Lokasi Surau Ar-Rahimah Kampung Berembang, jam 9.00 pagi...hujan gerimis
  • Renyai hujan pagi itu, menandakan kesuraman di suasana Kawasan Kampung Berembang sedang bersedia 'meratapi' kesayuan kerana rumah Allah yang dibina atas limpahan peluh dan jerih payah akhirnya bakal tumbang walaupun dihalang dengan kudart, darah dan air mata hamba-Nya.
  • Penduduk kira-kira 30 orang sudah mula berkumpul dan mundar-mandir sekitar surau dua tingkat yang tersergam gagah.

10.00 pagi
  • Secara perlahan-lahan empat buah jentolak mula memasuki kawasan berhampiran surau.
  • Tidak terkecuali, dua buah trak tunda untuk 'menarik' kenderaan penduduk yang menghalang jalan.

10.15 pagi
  • Ketumbukan pasukan 'angkatan pemusnah' yang terdiri daripada pasukan Majlis Ampang Jaya (MPAJ) lebih 100 orang, anggota polis berpakaian preman dan seragam termasuk FRU dan dua pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghampiri penduduk dan orang awam yang mula membenteng surau tersebut.
  • Dari jauh, kelibat beberapa orang daripada pihak pemaju sedang memerhatikan kerja-kerja yang bakal di lakukan oleh 'angkatan pemusnah'
  • Pegawai Jais cuba memujuk penduduk dan meminta penduduk mengosongkan kawasan surau tersebut
  • Penduduk dengan air mata merintih supaya pihak Jais berunding dengan pihak MPAJ akan menangguhkan perobohan surau tersebut.
  • Kata penduduk, jika keputusan tidak menyebelahi, mereka reda dan mereka masih mempertahankan surau tersebut kerana selain tempat solat dan beribadat, ia menjadi 'pusat perlindungan' sementara bagi penduduk kerana beberapa hari lalu MPAJ telah bertindak merobohkan lebih 50 kediaman dan penempatan mereka. Di sekeling surau, kelihatan khemah-khemah didirikan oleh penduduk kerana mereka tiada tempat berlindung.
  • Surau tersebut juga adalah tempat tidur bagi sesetengah kanak-kanak malang yang rumah mereka telah dirobohkan.

10.45 pagi

  • Rundingan gagal malah pegawai Jais tidak langsung berusaha untuk memujuk MPAJ dan tanpa hati kemanusiaan, MPAJ dengn keras hati memulakan kerja-kerja dengan mengarahkan supaya memasuki surau tersebut, namun pintu pagar hadapan dikunci oleh penduduk.
  • Sementara MPAJ mencari jalan, kira-kira 20 orang menunaikan solat hajat di hadapan pintu pagar tersebut. Selesai sahaja mereka kemudian berzikir dan berselawat secara beramai-ramai bersama penduduk kampung yang berada di situ kerana mahu mempertahankannya.
  • Seorang anggota MPAJ menghidupkan enjin gergaji besi untuk memotong pagar tepi surau tersebut dan melihat sahaja keadaan itu penduduk dan orang awam mula membina benteng - tangan bersilang tangan bagi menghalang daripada MPAJ merempuh masuk ke dalam surau.


11.00 pagi

  • 'Perang bermula' Tanpa sekelumit rasa simpati dan perikemanusiaan MPAJ dengan kasar merempuh benteng manusia dengan mengasari mereka, memukul, menyiku, mencekak dan menumbuk beberapa orang penduduk.
  • Asak-mengasak berlaku, dan dua daripadanya telah diheret daripada kumpulan benteng manusia itu ke satu sudut oleh enam orang MPAJ dan polis
    Kanak-kanak yang berada di atas surau menyanyikan lagu 'Negaraku'.
  • Pergelutan terus berlaku di empat penjuru yang berbeza dan keadaan menjadi tegang dan hilang kawalan. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila anggota polis dan FRU turut masuk campur dan bertindak memukul penduduk serta penyokong mereka yang berhimpun di situ.
  • Setelah pagar tepi dipotong, penguat kuasa MPAJ meluru masuk ke dalam surau dan merempuh kumpulan remaja perempuan dan kanak-kanak yang menjadi 'kubu manusia' di dalam surau tersebut.
  • Seorang wanita pengsan kerena diheret dan bergelut dengan anggota wanita MPAJ
    Di bahagian bawah surau, tiga beranak merantaikan diri mereka di tiang surau tersebut kerana tidak sanggup membiarkan MPAJ merobohkannya.
  • Peristiwa memilukan ini berakhir dengan MPAJ memotong rantai besi tersebut dan bergasak dengan tiga beranak itu yang mengakibatkan si suami tersebut muntah-muntah dan kemudiannya pengsan.
  • MPAJ menyelongkar, mengumpil cermin tingkap dan memecahkan bahagian dalam surau tersebut bagi memudahkan jentolak untuk 'memusnahkan' surau itu.
  • Di luar surau masih berlaku pergaduhan serta pergelutan kecil dan insiden kejar mengejar antara anggota dan beberapa penduduk di situ.
  • Teriakan, jeritan dan pekikan kaum wanita kerana meratapi perbuatan ganas MPAJ menyelubungi suasana
  • Di bahagian tepi surau kelihatan tiga remaja perempuan hampir pengsan dan longlai akibat bergelut dengan MPAJ
  • Kemuncaknya, 11 ditahan oleh anggota polis yang terdiri daripada pendudk kampung dan aktivis pelajar
  • Tragedi Kampung Berembang seolah-olah mengulangi situasi Memali apabila pihak berkuasa merempuh masuk ke madarasah untuk menangkap individu tertentu. Bezanya tiada tembakan dan gas mata mewarnai suasana kali ini. Bezanya pihak berkuasa kali ini merempuh masuk, untuk memusnahkan surau.

12.30 tengah hari

  • Sebuah jentolak merobohkan bahagian hadapan surau ketika para penduduk dan sukarelawan melaungkan "Allahu-Akbar","Hidup rakyat" dan "Hidup Islam" bergema di ruang angkasa Kampung Berembang.


01.00 petang

  • Akhirnya, 'Rumah Allah' roboh jua dan azan Zuhur sudah tidak berkumandang lagi...
    Kampung Berembang kelihatan seperti 'zon perang' dengan penduduk "bergelimpangan", antaranya menangis kesakitan, manakala sebahagian lagi pengsan dan cedera dipukul MPAJ dan polis.
  • Yang masih tersergam di surau tersebut ialah sebatang tiang elektrik yang dililit dengan bendera-bendera kecil Barisan Nasional.

Penutup

Menutup 'acara pesta' meroboh surau pada hari itu ialah, acara 'majlis makan nasi bungkus' anggota MPAJ dan polis secara beramai-ramai di dalam trak, di bawah dan di celah pokok sambil memerhatikan penduduk-penduk yang kesedihan, kepenatan apatah lagi kelaparan.
  • Dan yang paling menarik upacara nasi bungkus itu khabarnya ditaja oleh pemaju yang bakal membina projek di atas tapak surau...
  • Kalami

    • Kronologi Kg Brembang ni, saya tak dapat meneliti secara penuh, mengapa ianya berlaku, dan kenapa ianya berlaku secara tepat.
    • Dalam pada kerajaan selangor melancarkan kempen Setinggan Sifar, adalah salah satu proses pembangunan yang sepatutnya berstrategi dan mesti dirancangkan dengan baik. Jika berlaku hal2 seperti ini, dan pernah juga berlaku sebelum ini. Ia sebenarnya menggambarkan ada sesuatu yang berlaku yang kita tidak ketahui.
    • Yang hairannya, mengapa ada undang-undang yang membolehkan, pihak Majlis merobohkan rumah2 yang ada isi?
    • Yang hairannya, dari kenyataan ketua atau orang yang menghantar bantahan kepada kerajaan bahawa tarikh dirobohkan dilanjutkan, dan ianya diterima, Tetapi pihak majlis tetap melanggarnya.
    • Yang hairannya, walaupun ianya satu arahan dari kerajaan Negeri kepada pihak Majlis, tetapi dengan Ruh Kemanusian Islam, mengapa orang2 MPAJ tetap berkeras. Bahkan anggota wanitanya yang bertudung lengkap sanggup mengheret dan memukul wanita2 kampung berkenaan. Nak kata orang2 majlis ni orang kaya, selepas selesai hanya dibekalkan nasik bungkus ajer, nak kata diberi gaji berjuta takde pun sampai berjuta. Sebenarnya ada hati nak temuramah anggota2 majlis yang buat kerja2 camni. Na tanya isi hati mereka sebenar...
    • Lebih baik sebenarnya hidup di kelantan. Walaupun ada yang agak miskin tetapi, ada rumah ada tanah ada kebun. Di negeri Selangor luas lagi tempat2 yang mahu dijadikan kawasan pembnagunan, tetapi kawasan2 penduduk setinggan yang dijadikan mangsa.



    Rujuk pula kepada 10 prinsip Islam Hadhari:

    1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi.(wallahua'lam)

    2. Kerajaan adil dan beramanah.(mengikut kes yang berlaku totally out!!)

    3. Rakyat berjiwa merdeka.(mengikut kes yang berlaku totally out!!)

    4. Penguasaan ilmu pengetahuan.

    5. Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif.(mengikut kes yang berlaku totally out!!)

    6. Kehidupan berkualiti.(mengikut kes yang berlaku totally out!!)

    7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.(mengikut kes yang berlaku totally out!!)

    8. Keutuhan budaya dan moral.(mengikut kes yang berlaku totally out!!)

    9. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.

    10. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan.

    Di manakah hilangnya 10 gagasan ini??

    Related Posts with Thumbnails
    Kalami boleh dilanggan secara
    Email atau pun RSS.


    KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
    Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
    Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

    Credit untuk DIMAN

    Follow ibnuali1949 on Twitter

    Pro-Tajdid Segar

    Palestin & Tarbiah

    Wasiat Sepuluh


    1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

    2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

    3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

    4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

    5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

    6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

    7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

    8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

    9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

    10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

     

    Rukun Bai'ah

    1. Faham
    2. Ikhlas
    3. Amal
    4. Jihad
    5. Pengorbanan
    6. Ketaatan
    7. Thabat
    8. Tajarrud
    9. Ukhuwah
    10. Thiqah

    Solawat!

    My Days

    Komen-Komen

    Arkib

    Promo


    Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

    Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

    Blog Aku Juga

    Mata Rantai