"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


29 September 2007

Solat bezakan Muslim, kafir

KATA Saidina Umar, sesiapa memelihara solat dan tetap mengerjakannya bererti dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya ia mensia-siakan kewajipan agama yang lain.

Solat adalah tiang agama dan semulia-mulia rukun Islam yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat runtuh agama seseorang itu.

Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak berkepala tidak akan hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang yang tidak mengerjakan solat.

Dalam kitab at-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah berkata: Solat amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat. Kerana itu Allah berfirman, maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai amalan paling mulia, katanya: “(Semulia-mulia amal) ialah solat yang dikerjakan pada waktunya.”

Baginda juga bersabda maksudnya: “Orang yang mengerjakan solat adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya.”

Perintah terhadap solat dan gesaan supaya memeliharanya banyak dijelaskan dalam al-Quran. Sudah pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam keadaan apa sekalipun.

Antaranya terkandung dalam surah al-Baqarah, maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” (al-Baqarah:238)

Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang cukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda.

Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu dengan isyarat.

Penegasan ini menunjukkan solat adalah perkara yang besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya.

Malah, solat juga adalah syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.

Kita harus berwaspada dengan sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengerjakan solat. Oleh itu sesiapa yang tidak solat, sesungguhnya termasuklah dia dalam hukum orang kafir.”

Al-Quran turut memberikan amaran terhadap mereka yang meninggalkan solat, seperti dalam surah Maryam, maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab di dalam neraka. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.” (Maryam: 59-60)

Ibn Abbas berkata, seperti yang disebutkan as-Syams az-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: “Mencuaikan solat yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan solat sama sekali, tetapi maksudnya, mereka mentakhirkan (melengahkan) solat sehingga keluar waktunya.”

Perkara itu dijelaskan Said bin Musayib, dengan menyatakan: “Orang itu tidak solat Zuhur melainkan selepas masuk waktu Asar (dan seterusnya mengenai waktu lain).

Justeru, sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan dia tidak bertaubat, balasan ditetapkan baginya azab seksa di neraka.

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah) sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi.” (al-Munafiqun:9)

Menurut sesetengah ahli tafsir, mengingati Allah (zikir kepada Allah) di sini ialah solat lima waktu. Sesiapa yang cuai kerana harta benda, anak pinak dan segala urusan hidupnya, jadilah dia orang yang rugi.

Menjadi tanggungjawab bagi Muslim juga mengambil berat terhadap ahli keluarganya, mengajar dan menyuruh mereka mengerjakan solat, malah menasihati mereka supaya sentiasa memelihara solat fardu yang lima.

“Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun sabar menunaikannya....” (Taha:132)

Nabi sendiri sentiasa mengambil berat dan mengawasi keluarganya khusus berkaitan solat. Baginda dan keluarga apabila menghadapi kesukaran, lazimnya mengerjakan solat sebanyak-banyaknya.

Cara seperti ini juga sebenarnya menjadi amalan nabi sebelum Baginda dan ia sewajarnya menjadi sunnah ikutan kita kerana banyak kelebihannya, malah menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala bencana.

22 September 2007

Takziah Dari Warga PMRAM di Bumi Mesir Buat Keluarga Adik Nurin

Pilu hati saya apabila membaca kisah sedih yang berlaku kepada keluarga sepasang suami isteri, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman apabila Allah menguji kedua pasangan ini dengan kes kematian anak kesayangan mereka berdua, adik Nurin Jazlin yang telah dibunuh dengan begitu kejam. Saya pasti seluruh warga PMRAM akan turut tersentuh dengan kejadian yang begitu menyedihkan.


Saya selaku wakil seluruh para mahasiswa Islam di Mesir mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nurin Jazlin dengan harapan seluruh ahli keluarga adik Nurin Jazlin khususnya ayah dan ibu beliau agar bersabar di atas ketentuan Allah Taala.

Saya suka untuk mengirimkan kalam Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad buat keluarga adik Nurin Jazlin yang berbunyi:

لاَ يَزَالُ الْبَلاَءُ بِالْمُؤْمِنِ أَوِ الْمُؤْمِنَةِ في جَسَدِهِ وفي مَالِهِ وفي وَلَدِهِ حتى يَلْقَى اللَّهَ وما عليه من خَطِيئَةٍ
yang bermaksud:

Akan berterusan seseorang mukmin dan mukminah itu menerima bala pada jasadnya, hartanya dan anaknya sehinggalah dia menemui Allah dalam keadaan dia tidak mempunyai langsung sebarang dosa (disebabkankan kesabarannya yang telah mengundang keampunan Allah Taala).


Inilah antara beberapa siri kekejaman yang berlaku di Malaysia walaupun Malaysia terus bergerak dalam dunia kemodenan yang semakin pesat. Saban hari kira mendengar dari jauh berita-berita kekejaman yang tidak berperikemanusiaan sedangkan angka kezaliman ini terus membuak-buak.

Bagi saya, kes-kes yang berlaku khususnya yang melibatkan jenayah seksual adalah berpunca dari sikap masyarakat Malaysia itu sendiri yang terus lalai dalam hiburan. Malaysia hari ini masih lagi belum mampu untuk menyahkan penyakit hedonisme. Malaysia masih lagi melampau dari sudut hiburan yang sebenarnya telah berjaya menyumbang kepada seks bebas dan gejala sosial di kalangan muda-mudi khususnya.

Lihat saja bagaimana cara rakyat Malaysia menyambut merdeka. Merdeka yang disambut adalah dengan konsert hiburan dengan iringan lagu-lagu para artis yang telah menyumbangkan kepada perhimpunan muda-mudi yang pastinya telah membawa kemurkaan Allah Taala.


Bagaimana kita perlu untuk bersedih dengan jenayah rogol, bunuh, zina dan liwat yang semakin berani menunjukkan belangnya di Malaysia sedangkan kita masih bersikap acuh tidak acuh dengan punca kesuburan kemungkaran itu.

Iklan-iklan yang memampangkan gambar wanita yang semestinya akan membuka auratnya yang seboleh-bolehnya mesti mampu untuk menggiurkan nafsu sang lelaki adalah dibenarkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Majalah-majalah separa lucah seperti Mangga, URTV dan kawan-kawannya adalah disebarluaskan kepada seluruh warga Malaysia tanpa ada salahnya.

Kenapa filem-filem yang memaparkan susuk tubuh sang wanita seperti filem GUBRA dibenarkan dalam negara Malaysia yang agama rasminya adalah ISLAM?
Bukankah penyubur-penyubur gelora seks seperti mana yang saya sebutkan di atas adalah punca utama kepada berlakunya kes-kes rogol yang disusuli bunuh, zina dan seribu satu maksiat yang sememangnya sudah cukup untuk melayakkan Malaysia dimusnahkan oleh Allah dek kerana kebejatan akhlak para muslim di Malaysia yang terlalu parah?

Kenapa para pemimpin di segenap lapisan tidak memandang serius kepada budaya-budaya hiburan yang terlalu menakutkan ini?


Usah kita bersedih dengan kematian adik Nurin Jazlin sedangkan kitalah yang telah redha untuk memberikan laluan kepada si penjenayah dengan cara kita benarkan program-program maksiat terus mendapat tempat di Malaysia tanpa sekatan. Silakan kepada penganjur maksiat untuk terus merosakkan akhlak muda-mudi dan silakan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk terus memberikan kebenaran kepada agensi perfileman, majalah dan para penyanyi untuk terus mempamirkan tubuh wanita kepada rakyat dengan harapan akan lahir ribuan penjenayah seksual yang keseterusnya yang telah mendapat semangat untuk terus menjalani aktiviti dosa setelah mana mereka dighairahkan dengan program berunsur lucah atau separa lucah yang terlalu murah di Malaysia.


Teruskan untuk kita saksikan adik-adik kita yang tidak berdosa yang bakal dibunuh kejam setelah mana kita melatih manusia untuk menjadi seorang pendosa.
Nurin Jazlin adalah salah seorang mangsa yang tidak berdosa yang hidup dalam dunia kesuburan jenayah maksiat yang cukup meruncing.

Selagi mana aktiviti-aktiviti yang menyumbangkan kepada dunia seks tidak dicegah, saya pasti akan muncul buat yang keseterusnya Nurin Jazlin yang kedua, ketiga dan angka yang seterusnya yang akan menjadi mangsa atas kesilapan kita yang redha untuk terus membiarkan agenda penyuburan maksiat hidup tanpa sebarang sekatan.


Teruskan untuk melihat mangsa yang keseterusnya sekiranya anda masih lagi menyokong konsert yang tidak mengikut aturan syarak, para penyanyi yang melalaikan masyarakat, filem-filem separa seks dan majalah-majalah hiburan.
Teruskan dan anda akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak.

Saudara anda,

Hairul Nizam Mat Husain
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2007

20 September 2007

Dari Meja Tok Guru

Secara kebetulan, sewaktu bajet 2008 sedang dibentangkan, saya sedang mentelaah maksud Surah Al Ahqaaf Ayat 29 – 35 mengenai kisah serombongan jin.

Walaupun kesemua ayat-ayat ini cukup menarik, mari kita mukadimmahkan artikel ini dengan petikan Ayat Ke 29 surah berkenaan untuk renungan:

“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al-Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaannya (lalu) mereka berkata: “Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)”. Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.”

Belanjawan adalah satu pelan perancangan. Ia adalah “planning tool”. Dalam mana-mana pelan perbelanjaan untuk masa hadapan, tidak dapat tidak ia adalah pengisytiharan untuk memberitahu apa yang akan dilakukan di tahun seterusnya.

Ini projeknya dan ini jumlah wangnya. Di mana, untuk siapa dan faedah-faedah jangkaannya. Ini perkara biasa. Bagaimanapun, dalam asyik bercerita itulah, orang yang berada di atas boleh leka memukul canang bahawa ini dari saya dan itu dari saya untuk kamu kepada kamu.Ini yang saya fikir perlu diperbetulkan.

Mengagih-agihkan nikmat Allah

Sepatutnya dalam masa ucapan belanjawan, kita jangan dilihat putus dengan tali Allah Yang Maha Kaya dan Maha Memiliki seluruh Kerajaan Langit dan Bumi. Kita cuma perancang dan pengatur dalam meramukan apa jua anugerah yang sedia ada. Sehabis boleh kita dakwa hanyalah kita membuat penemuan.

Kita “discover” satu kaedah baru misalnya dalam mengagih-agihkan nikmat Allah SWT. Ini baru dinamakan syukur dalam erti kata yang sehabis asli.

Persoalan yang penting ialah sama ada belanjawan itu membawa keadilan atau tidak kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bulu?

Dimanakah misalnya faedah-faedah hiliran yang mungkin dapat dikutip oleh kontraktor-kontraktor kecil dari kek baru belanjawan 2008 yang bernilai RM159 bilion itu? Apakah nasib sebahagian penduduk Melaka yang diancam oleh kekotoran bau dan air najis khinzir boleh terbela dengan ucapan Belanjawan itu? Apakah langkah strategik untuk membendung kenaikan harga barang-barang yang boleh dijanjikan oleh belanjawan kali ini

Ertinya di sini, belanjawan harus berbicara dan berkomunikasi secara langsung dengan kehidupan dan hati nurani rakyat. Bertolak dari keadilan berasaskan Ayat 90 Surah An Nahl Allah SWT ada berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Ayat ini sangat dituntut oleh Allah SWT sehingga ia dibaca oleh semua Tok-Tok Khatib di Mimbar Jumaat secara mingguan.

Belanjawan Negara 2008 mesti mampu membuat “spiritual address” yang begini. Bersifat mesra kebajikan, berpaksikan keadilan. Adil pula bermakna meletakkan segala sesuatu sesuai dengan tempatnya.

Di Kelantan misalnya, apa erti belanjawan negara yang ada menyediakan sejumlah peruntukan tertentu untuk negeri ini tetapi ia ditadbir, diurus, dipantau dan dilaksanakan oleh JPP tanpa melalui Kerajaan Negeri. Tentu semua orang boleh bersetuju bahawa Kerajaan Kelantan ini adalah sebuah kerajaan demokratik yang sah. Membuat “political bypass” melalui JPP adalah sebuah pencolekan kuasa (power hijack) atau coup de’ tat yang nakal dari pemilik khazanah di Pusat.

Kelantan dizalimi berbelas kali dalam belanjawan negara

Maka, tinggallah kami bermata putih, terkelip-kelip bagaikan tikus kurus yang cuma memerhati wang dan peruntukan, one-off dan subsidi lalu hilir mudik di depan tangga kami.

Tidakkah pembentang belanjawan negara sedar bahawa JPP yang diwujudkan di Kelantan telah meletakkan mercu tanda keangkuhan yang membibitkan pula penindasan, penyelewengan kuasa, pembaziran dan pertindihan fungsi?

Bagaimana boleh kita bayangkan seorang Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri yang sah tiba-tiba dinafikan hak untuk mengikuti perancangan dan mengikuti pemantauan pelaksanaan semua projek yang diatur didalam rumah tangganya.

Ini bukan berlaku setahun dua, bahkan sudah memasuki pusingannya bagi kali yang ke-17. Ia dikitar kezalimannya sudah berbelas kali.

Jika kami takdirnya salah, tolong jelaskan di mana salahnya Kerajaan Kelantan sekarang.

Salahkah dengan demokrasi atau dengan Islam sehingga semua peruntukan pembangunan daripada Pusat mesti diserahkan melalui JPP yang lengkap dengan kerajaan sendiri.
Sekali difikir-fikir, seakan-akan Kerajaan Kelantan yang ada ini tidak sah. Ia dibatalkan keabsahannya oleh Kerajaan Pusat melalui JPP.

Bagaimanapun, terkini, apa yang mula kelihatan ialah adanya sedikit kerjasama dan keterbukaan sewaktu bajet dibentangkan.

Kelantan juga turut merasai adanya cadangan-cadangan seperti mengadakan Universiti-Universiti, jalan-jalan raya termasuk Jambatan Kedua Sultan Yahya. Saya berharap, keterbukaan kedua-dua belah daun pintu ini akan dapat hidup subur, disegera dan dikekalkan.

Ia terbuka untuk meraikan kerjasama dan dapat dirapatkan semula jika keadaan memerlukan.

Keadilan bukan sahaja tuntutan demokrasi bahkan kewajiban Islam yang akan dibalas dengan syurga dan neraka.

Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan

*Copy-Paste dari HarakahDaily.net

15 September 2007

Alhamdulillah


Alhamdulillah, suasana begini masih boleh nampak lagi di Kuala Lumpur. Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan ini, warga kota tak melepaskan peluang mencari redha Allah. InsyaAllah Islam kan menang.

Masjid Jamek jadi tumpuan: MASJID Jamek Kuala Lumpur, Jalan Tun Perak Kuala Lumpur sering menjadi tumpuan setiap kali waktu solat Jumaat. Gambar yang dirakamkan menunjukkan orang ramai bersesak untuk berjemaah dan melimpah ke kawasan kaki lima sehingga ada yang memasuki sehinggga ke kawasan ruang legar stesen transit aliran ringan Star-LRT. Masjid tertua di Kuala Lumpur ini dibuka dengan rasmi pada 1909 dan mampu menampung sehingga 4,000 jemaah pada satu-satu masa.





Seorang itu...

14 September 2007

Bicara puasa

Ramadhan kali ini di bumi Mesir lagi. Anak saudara dari Malaysia bakal tibal insyaAllah di sini 24 September nanti. Pakcu-nya tak balik-balik Malaysia lagi. Berangan agaknya kat Mesir ni. Bila buat panggilan ke Malaysia, orang Malaysia sering tertanya-tanya bila nak balik? Satu soalan yang semakin sukar untuk dijawab. Tetapi rasa mudah nak jawab sebelum ke sini dahulu. Tak silap jawapannya "setahun jer". Tapi nak masuk tahun ketiga tak balik-balik lagi.

Kadang-kadang memang terasa risau juga dengan diri sendiri. Rupanya di Mesir ni tak boleh jangka kita bagaimana. Namun di sini juga sebenarnya tempat yang pengalamannya tak boleh dicari ganti. Ada sahaja suara-suara sumbang yang masuk menusuk corong telinga ini. Tetapi hati ini tetap teguh takkan berganjak selagi mana belum melepasi sasaran. Peluang di bumi para Nabi ini memang terbuka luas, dan sememangnya sedang merebut peluang ini. Tetapi bukan mudah seperti yang dikata. Tanggungjawab semakin banyak dan kadang-kadang diri sendiri tak perasan dengan tanggungjawab yang digalas.

Berbicara tentang tanggungjawab, dan semua orang boleh bercakap tentang tanggungjawab. Melaksanakan tanggungjawab adalah satu amanah, dan amanah inilah yang sebenarnya kita terlepas pandang. Kadang-kadang sangsi mana sebenarnya tanggungjawab kita. Kadang-kadang ada orang membahagikan tanggungjawabnya. Pada saya semua yang tergalas sekarang adalah tanggungjawab yang perlu diselesaikan. "Kewajipan lebih banyak dari masa". Kita boleh melihat orang itu melaksanankan tanggungjwab dengan baik apabila dia dapat menguruskan masa dengan baik. Berjayanya dia menguruskan masa dengan baik sebenarnya bukan terletak dalam kuasa atau tangan dia sendiri. Sebenar "ada" yang mengaturnya. Kadang-kadang kita lihat seorang itu sibuk dengan tanggungjawabnya memimpin, tetapi kerana keberkatan yang diberikan Allah SWT pada dia, dia juga boleh menulis dan menerbitkan banyak kitab dan buku ilmiyah. Boleh mengambil masa untuk mengajar dan mencurahkan ilmu.

Kadang-kadang masa bertegas dengan kita, kadang-kadang kita kena bertegas dengan masa. Kadang-kadang masa menjadi alasan terbaik untuk kita, namun sebenarnya banyak beralasanlah, membuang masa kita.

Selamat Berpuasa




04 September 2007

Takkan Nak Pasang 24 jam Ngaji Quran?

Kalau 50 tahun masih muda, masih baru nak berubah, agak-agak berapa tahun lagi Common Law akan digantikan dengan Syariah Islam? Kali ini sambutan hari kemerdekaan Malaysia kali ke 50 di Mesir agak meriah. Kerana apa? Kerana ada dua kali sambutan hari kemerdekaan Malaysia. Satunya sambutan yang dianjurkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir dan satu lagi sambutan yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Kenapa ianya boleh berlaku? Tak perlu saya ulas di sini, mungkin anda dapat mengagak kenapa ianya berlaku. Namun pihak PMRAM tetap menyambut baik dengan program yang dianjurkan oleh pihak kedutaan. Bahkan satu-satunya kontinjen yang mendapat tepukan paling gemuruh oleh hadirin di Stadium Tertutup Kelab Sukan Bandar Nasr, Kaherah, Mesir. Satu-satunya kontinjen yang hampir-hampir diboo oleh kontinjen lain dan para hadirin ialah Kelab UMNO Mesir. Mengapa ianya berlaku? Juga tidak perlu saya sebutkan di sini dan merasakan anda semua boleh mengagak.

Apa yang saya hendak ulaskan pada entri kali ini ialah berkenaan dengan wakil khas Perdana Menteri YB Senator Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib yang dihantar khas oleh kerajaan bagi memenuhi jemputan dari pihak kedutaan di sini atas acara Sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke 50. Kehadiran beliau dikatakan tidak disenangi oleh sebahagian besar mahasiswa-mahasiswi Al Azhar di Mesir. Mana tidaknya, tiadakah tokoh lain yang boleh dikirim oleh kerajaan Malaysia untuk menjadi wakil khas PM kita untuk sambutan hari kemerdekaan kali ke 50 kali ini di Mesir? Rata-rata soal selidik secara rambang yang saya lakukan menunjukkan bahawa rata-ratanya mahasiswa mahasiswi di sini tidak bersetuju dengan wakil khas PM kita bahkan, terkejut dengan apa yang diputuskan oleh kerajaan Malaysia.

Semangat sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia seperti terbantut bila dikatakan wakil khas PM kita ialah beliau. Paling tidak hantarlah mana-mana ulama yang berada di dalam kerajaan sebagai wakil khas. Seperti Dato Dr Abdullah Mat Zain atau sesiapalah yang agak "bersih" sedikit rekodnya dalam kerajaan. Saya masih ingat lagi dengan masalah-masalah, kes-kes pertuduhan ke atas beliau dahulu. Walaupun ketika itu saya masih bersekolah menengah.

Bagaimanapun ada yang menarik dengan kehadiran beliau dan agak menggelikan hati saya. Saya adalah antara orang yang menghadiri jemputan untuk bersidang ringkas bersama beliau. Di antara lain yang hadir ialah pimpinan dari beberapa badan-badan kebajikan anak negeri, Kelab Munatada Islam Hadhari dan lain-lain. Dalam pertemuan ringkas ini lingkungan selama 2 jam di sebuah rumah badan kebajikan anak negeri di Mesir ini, membuatkan saya tergelak seorang walaupun tidak dipamerkan dari memek muka. Apa tidaknya, rasa seperti salah seorang majlis tertinggi UMNO yang menghadiri mesyuarat. Tak tahu kenapa, apakah Mat Taib perasan atau tidak siapakah yang hadir dalam perjumpaan tersebut? Saya hanya duduk selang dua orang dari tempat duduk beliau.

Kenapa saya sebut saya seperti ahli MT UMNO sedang bermesyuarat? Mengapa tidak, pertamanya kami yang hadir diberikan sebuah buku kecil sedutan dari buku Pendita Za'ba, yang tertera dibelakangnya "Disusun oleh Bahagian Penerangan UMNO Malaysia" bukan dari Jabatan Perdana Menteri atau mana-mana jabatan kerajaan. Keduanya sepanjang perbincangan tersebut segala masalah yang dihadapi oleh UMNO, kemudian apa yang digusarkan dengan pihak pembangkang terutamanya Keadilan dan PAS, seperti memberitahu kegusaran tersebut kepada ahli Mesyuarat UMNO. Masalah-masalah kerajaan yang dibangkit oleh Anwar Ibrahim adalah sangat dibimbangi, terutama pengundi cina. Kerana UMNO hanya masih mengharapkan undi kaum cina. Jika berlaku apa-apa undi cina akan berpecah, maka peluang untuk PAS terutama di negeri-negeri utara memang cerah. Apatah lagi sekarang PAS telah ada Kelab Penyokong PAS Bukan Islam.

Itu antara isu-isu yang dibangkitkan oleh beliau. Antara lainnya seperti biasa projek-projek kerajaan. Tapi rata tak terkesan dengan cerita-cerita begitu. Ada juga komen-komen terhadap negara-negara Islam lain. Lanjutan dari cerita cadangan Ketua Hakim Negara berkenaan dengan saranan menggantikan Common Law kepada Undang-undang Syariah. Juga isu-isu bangsa melayu yang ketinggalan dari pengusaan ekonomi. Sebenarnya isu ini bukan sekali bahkan agak beribukali juga dah diperdengarkan. Sekaligus memperlihat kejelekan pemerintahan UMNO.

Bersambung...

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai