"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


08 Disember 2010

1432

"Meletakkan sesuatu pada tempatnya"

Nampak mudah, tapi ramai yang tak buat. Bahkan tidak dititik-beratkan. Zalim itu seperti minum milo ais atau semudah menghirup tom yam, amat mudah dilakukan. Bahkan berbangga pula!

"Setiap dari kamu ini pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpinnya"

Susah! Bahkan ianya satu gambaran berat. Tapi hal ini tidak bagi manusia. Kepimpinan itu direbut-rebut bukan kerana rasa tanggungjawab, tapi kerana suatu yang dipanggil kuasa. Kuasa yang tidak digunakan pada tempatnya. Bahkan digunakan untuk menzalimi. Lebih malang menzalimi mereka yang lemah.

"Tak semua yang Nabi lakukan itu kita boleh lakukan, dan tak semua yang Nabi tak lakukan itu kita tak boleh lakukan"

Walaupun tahun hijrah ini disusun di zaman Saidina Umar R.A, tak semestinya kita dilarang menyambutnya. Apatah lagi dilarang berdoa diwaktu ini. Siapalah kita nak dibandingkan dengan sahabat? Bahkan melarang umat berdoa di kala ini.

Allah pun menyuruh manusia berdoa kepadaNya tak kira masa atau tempat. Janganlah tiba-tiba kita dipandang sengal.

Salam Ma'al Hijrah 1432

19 November 2010

Tak semua orang awam wajib tahu.

Bila masuk sambutan Hari Raya Aidiladha, isu tarikhnya mesti menjadi perbahasan. Sedangkan semua mengetahui tarikhnya ialah 10 Dzulhijjah bukan 1 Dzulhijjah atau 17 Dzulhijjah. Ini dinamakan fiqh awam atau boleh dikatakan fardhu ain. Di mana penganut Islam wajib untuk mengetahui dan mengamalkannya.

Ulama akan menggunakan kaedah-kaedah fiqh yang mana tidak digunakan oleh orang awam bagi menentukan tarikh setiap bulan hijrah. Antara kaedah-kaedah ini ada yang dipanggil Usul Fiqh. Ada ilmu-ilmu lain yang tidak semua masuk dalam fardhu ain tetapi fardhu kifayah. Seperti ilmu falak, ilmu perubatan dan lain-lain yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah.

Bila ada yang dikatakan sebagai fardhu kifayah. Tak semua wajib mengetahuinya, memadai seorang atau beberapa orang dari satu-satu komuniti itu mengetahui untuk menyelesaikan masalah tertentu.

Seperti contoh doktor. Tak semua orang wajib jadi doktor. Atau semua nak jadi doktor. Tiada yang jadi buruh kasar. Siapa nak bina hospital? Kalau doktor buat pemeriksaan terhadap seseorang pesakit, dan keputusan dari pemeriksaan tersebut, beliau menyatakan "Pakcik disahkan mengidap kencing manis". Dengan ilmu yang telah dipelajari sebagai seorang doktor, dan kepakarannya dalam membuat pemeriksaan, tiba-tiba pakcik tersebut tidak percaya, bahkan mahu pula minta doktor tu ulas dengan baik dari sudut ilmu perubatan pula. Sudahlah tidak percaya dengan doktor, mahu membuang masa doktor pula.

Dalam hal tarikh hari raya ini, senang cakap ianya berkaitan dengan ilmu falak. Tak semuanya wajib untuk kita tahu, tapi bukanlah haram untuk kita nak tahu. Walaubagaimanapun jika kita yang tak tahu ni mahu bising-bising dan menganggap ianya pelik pula. Takut-takut nanti akan ditertawakan orang. Sebaik-baiknya serah kepada ahlinya.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

27 Oktober 2010

Tanggungjawab sebagai ahli PAS

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Maka wajiblah ke atas kamu berjamaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya" (Hadith Riwayat Nasa'i)

Sabda Rasulullah SAW kepada Huzaifah bin Al Yaman RA yang bermaksud:

"Kamu hendaklah bersama-sama jamaah muslimin dan imam mereka" (Hadith riwayat As Syaikhan dan Abu Dawud)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tangan Allah (keredhaan Allah) bersama-sama jamaah, barangsiapa keluar (mengasingkan diri) atau (menyimpang) daripada jamaah maka ia menyimpang ke neraka" (Hadith Riwayat At Tirmizi)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang mahu keluasan syurga, maka hendaklah berpegang kepada jamaah" (hadith Riwayat At Tirmizi)

Seorang muslim yang menggabungkan diri dengan gerakan Islam (jamaah) sudah selesai satu tuntutan agama yang besar, tetapi apabila seseorang itu berada dalam jamaah maka keanggotaan itu meletakkannya kepada satu tanggungjawab yang tertentu pula.

Sebagai anggota jamaah tugasnya tidak tamat dengan menjadi anggota semata-semata, di sana ada disusuli dengan beberapa kawajipan-kewajipan yang tertentu yang mesti dikerjakan dan ditunaikannya.

Imam Bukhari R.A meriwayatkan daripada Saidina Umar bin Al Khattab R.A, bahawa beliau berkata yang bermaksud:

"Tidak ada Islam melainkan dengan jamaah, dan tidak sempurna jamaah tanpa pemimpin , dan tidak ada erti kepimpinan tanpa ketaatan"

Di dalam jamaah ada ahli biasa dan pula ahli jawatankuasa (ketua, setiausaha, bendahari dan sebahagiannya) yang menjalankan tugas menurut bahagian masing-masing, menyusun kerja-kerja, mengatur tugas, mengeluarkan arahan-arahan atau menyampaikan arahan, mengatur segala langkah yang diperlukan.

Di sini betapa peri pentingnya ketaatan kepada ketua (amir). Ianya merupakan syarat penting dalam sebuah organisasi apatahlagi mereka yang menggabungkan diri dengan gerakan Islam seperti PAS. Demikian PAS itu sendiri terlibat dengan semua aspek ecoposial yang wajib menterjemahkan diri setiap anggota di tengah-tengah masyarakat Malaysia dengan akhlak yang terpuji dan kerja-kerja dakwah dan tarbiah yang tidak terhenti.

Ada sesetengah ahli anggota berhenti dari kerja-kerja jamaah setelah tamat tempoh sebagai Presiden, Pesuruhjaya, YDP Kawasan atau Ketua Cawangan atau sebagainya. Ianya merasakan seperti sudah pencen tanpa memikirkan tanggungjawab yang sebenarnya belum selesai hingga terputus nyawa dari badan.

Sepatutnya, walaupun mereka tidak berpegang dengan apa-apa jawatan penting, seperti digugurkan atau melepaskan jawatan tidak bermakna mereka berlepas diri dari melaksanakan tugas sebagai anggota harakah siasah, harakah tarbiah dan dakwah!.

Lebih teruk jika perebutan jawatan berlaku di dalam gerakan Islam ini. Ruh takutkan balasan Allah jika tak mampu memimpin itu sudah hilang. Sepatutnya rasa takut untuk memegang jawatan itu timbul, dan suasana ukhuwah itu terbit. Tetapi rasa diri itu mampu memimpin hingga ukhuwah itu menjadi renggang. Mengutamakan kepentingan sendiri dari kepentingan jamaah.

Melibatkan diri dengan gerakan Islam sepatutnya membantu diri untuk mengamalkan prinsip hidup Islam dalam semua aspek, baik ibadat, akhlak, muamalat yang termasuk dalamnya; pakaian, pergaulan, ekonomi, pentadbiran, politik dan lain-lain lagi.

Dari yang tidak kenal solat, menjadi tahu solat. Dari yang merokok dapat berhenti dari merokok. Dari yang mengamalkan muamalat konvensional kepada Islam. Dari tak kenal Al Quran jadi pandai membaca. Inilah sepatutnya yang berlaku apabila seseorang itu melibatkan diri dengan jemaah Islam seperti PAS!

19 Oktober 2010

Peranan Ahli PAS Dalam Organisasi dan Masyarakat

إياكم والحسد فإن الحسد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب

"Awas kamu daripada hasad, sesungguhnya hasad memakan amalan kebaikan seperti api memakan kayu yang kering" (Riwayat Abu Dawud)

Seseorang muslim tiada perasaan hasad dan dengki. Bahkan ianya diberi amaran keras oleh Rasulullah SAW. Sebagai ahli PAS perangai dan sifat begini amat-amat tercela dan ianya sepatutnya dibuang sejauh mungkin dari melingkari diri seorang pejuang.

Adalah menjadi sifat seorang muslim mempunyai jiwa yang bersih, bersih dari perasaan dengki dan menipu dan perasaan benci terhadap orang lain. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang seorang perempuan yang bangun solat malam dan berpuasa di siang hari, tetapi dia mengganggu jirannya dengan lidahnya, lalu Rasulullah SAW bersabda:

هي في النار 

"Dia di dalam neraka" (Riwayat Bukhari)

Setiap ahli PAS di dalam masyarakat adalah sebagai seorang penasihat "nasih" yang sentiasa setia sedia memberi pandangan yang membina. Dia adalah manusia yang positif, bukan negatif kerana agama itu keseluruhannya ditegakkan di atas semangat "agama itu adalah nasihat", diulangnya tiga kali berturut-turut! Lalu sahabat bertanya:

"Untuk siapakah, wahai Baginda?" Sabdanya:

لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم 

"Untuk Allah, untuk Al Quran-Nya, untuk Rasul-Nya, untuk pemimpin dan untuk orang awam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menyampaikan nasihat merupakan tugas yang amat berat, apatah lagi seorang itu menjawat jawatan kepimpinan , kecuaian dalam menyampaikan nasihat kepada rakyat menyebabkan seorang itu tidak masuk syurga, Rasulullah SAW bersabda:

ما من عبد يسترعيه الله, رعية يموت, يوم يموت وهو غاش لرعايته, إلا حرم الله عليه الجنة

"Mana-mana hamba Allah yang Allah telah menyerahkan kepadanya pengurusan rakyatnya, apabila dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, maka Allah haramkan masuk syurga" (Muttafaqun A'laih)

Di dalam riwayat lain. Aapabila dia tidak melindungi rakyatnya dengan nasihatnya, dia tidak akan mendapat bau syurga. Di dalam riwayat Muslim yang bermaksud:

"Mana-mana pemimpin yang mengetuai urusan orang Islam,kemudian dia tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya dan tidak menasihati mereka; melainkan tidak masuk syurga bersama-sama mereka"
Seorang muslim haraki (ahli PAS) mesti menunaikan janjinya kepada masyarakat, termasuklah menghadiri mana-mana majlis manurut masa yang telah ditetapkan. Allah berfirman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah janji kamu" (Surah Al Maidah, ayat 1)

Muslim haraki (ahli PAS) adalah baik akhlaknya, cukuplah kita mengingati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Orang yang paling sempurna imannya ialah orang yang baik budi pekertinya"

Ulama menyenaraikan budi pekerti yang mulia di antaranya seperti berikut:
  • Bersifat malu
  • lemah-lembut
  • pengasih
  • pengampun dan pemaaf
  • bertoleransi
  • manis muka
  • ramah mesra
  • menguasai diri ketika marah
  • menyimpan rahsia dan cacat-cela orang lain
  • tidak mengumpat
  • tidak buruk sangka
  • tidak sombong
  • suka membantu
  • suka ma'ruf benci mungkar
  • mudah mesra
  • berpegang pada akhlak mahmudah dan menjauhkan diri dengan akhlak mazmumah
Cubalah kita gambarkan setiap anggota harakh kita, di mana sahaja mereka berada rahmat kepada masyarakat, menjadi penyelesai kepada masalah masyarakat, menjadi nur, menjadi khair, menjadi qudwah, menjadi imam masyarakat akur merasai kehadiran ahli kita pembawa tuah dan berkat kepada mereka seperti yang dikehendaki oleh Allah dalm firmanNya yang bermaksud:

"Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan, tolaklah kejahatan dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba di antara kamu dengan dia ada permusuhan seolah-olah menjadi teman yang sangat setia? Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan tidak dianugerakan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar" (Surah Fussilat: Ayat 34-35)

Apabila ahli-ahli kita boleh dijadikan contoh kepada masyarakat dan kehadiran mereka di tengah-tengah masyarakat, membuat muafakat, membawa berkat dan membawa ilmu pengetahuan. Kita yakin harakah kita akan disenangi dan dirasakan sebagai keperluan seperti perlunya manusia kepada udara yang bersih, maka di saat itu tidak ada kuasa boleh menahan kemaraan kita dan wujudnya Baldatun toyibatun wa robbun ghofur

28 September 2010

Al Fatihah

ADUN Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang menghidap barah usus meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 4.30 petang semalam.

Perkara itu disahkan oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menerusi twitternya sebentar tadi.

Pada 26 Julai lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu, tetapi kemudiannya dibenarkan pulang.

Che Hashim dimasukkan Hospital Pakar Perdana itu, selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kemoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Allahyarham memenangi kerusi Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu dengan mengalahkan calon BN, Saufi Deraman.
Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN, Saufi yang mendapat 3,753 undi.
Galas adalah DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Sementara itu, di Rantau Panjang, Speaker DUN Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata beliau akan menulis surat kepada SPR sebaik menerima sijil kematian Allahyarham.
Tunggu sijil kematian

"Sebagaimana biasa laporan bertulis akan dibuat secepat mungkin sebaik menerima laporan kematian dari pihak keluarga atau pihak berwajib.

"Kita tunggu sijil kematian Allahyarham sebelum menulis surat kepada SPR bagi menyatakan kekosongan DUN Galas," katanya
Ini adalah kali ke-12 pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas pilihan raya umum 2008 berikutan kematian atau perletakan jawatan.

Sementara itu, jenazah Che Hashim sedang diuruskan di Masjid Jamek Kampung Baru, kata pembantu peribadinya Husin Embong.

Beberapa pemimpin tertinggi PAS dilihat menziarahi allahyarham di masjid itu, termasuk timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa, serta naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
"Selepas selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan, kita akan terus bertolak bawa jenazah ke Gua Musang," kata Husin ketika dihubungi.

Beliau menjangka, mereka akan bertolak membawa jenazah ke kampung halamannya di Kampung Kerinting, Gua Musang menjelang jam 7 malam.

Tambahnya, pimpinan PAS negeri serta warga Gua Musang akan menunggu ketibaan jenazah di Masjid Tengu Faiz Petra dan akan terus disemadikan di perkuburan berhampiran.

Allahyarham meninggalkan dua balu - Che Bongsu Jusoh dan Aida Zahari - serta 12 orang anak, yang turut berada di masjid itu hari ini.


Sumber: Malaysiakini

18 September 2010

Maaf Zahir dan Batin

Sejak pulang ke tanah air 6 September 2010 lalu, baru kni sempat mencuri masa meng-update blog. Masa dipenuhi dengan persiapan akhir Ramadan dan Syawal. Kebetulan hanya abang dan emak sahaja yang ada di rumah, adik beradik lain semua beraya di rumah mertua masing-masing. Namun ianya lumrah bernama hari raya. Hasil tarbiah di Madrasah Ramadan masih hangat terasa, Tak tahulah adakah sempat bertemu dengan Ramadan akan datang.

Namun di sebalik peristiwa-peristiwa Ramadan dan Syawal ini, aku dikejutkan satu peristwa yang mengubah landskap keluarga. Satu kejutan yang sangat berbekas di hati ini. Namun ianya satu pengajaran besar yang sangat-sangat berguna bagi yang mahu mengambil pengajaran. Tapi bagi mereka yang tidak melihat ianya tarbiah dari Allah, malah ianya bala yang menyesakkan dada, ianya sememangnya begitu dan terus begitu. Hati yang dibiarkan tanpa diubat, malah diracun pula.

Hidup perlu diteruskan dan sebaik-baiknya memalui jalan yang disediakan oleh Allah dan diajar oleh NabiNya. Supaya hidup ini tidak rosak dan terus sesat tanpa panduan. Ikut sahaja panduan. ianya dijamin Allah dan Rasul tidak sesat, bahkan tidak menyusahkan.

Manusia terus serabut memikirkan bagaimana memainkan peranannya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Mencipta teori dan pemikiran yang tersendiri, yang membelakangkan panduan Allah, yang mana akal itu pun anugerah Allah yang istimewa. Namun bila tidak mengikut "buku panduan" dan berbangga pula degan teori sendiri, jadi tidak perlulah kecewa dan buntu dengan hasil tersebut, yang sememangnya akan gagal dan tidak boleh berjaya.

Tidak kiralah anda di sektor mana, baik individu, institusi keluarga, masyarakat, pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain, apabila "teras" Islam itu ditinggalkan, tunggu sahaja bala Allah. Bala yang datang tidak semestinya berbentuk seperti bencana Alam. Masalah sosial, pembuangan bayi, pluralisme, sekularisme, umat yang jahil, penguasaan kafir atas sistem, semuanya ialah bala yang ditimpa kepada kita tanpa kita sedari. Ianya bagaikan anai-anai. Tapi, berapa ramai yang sedar mahu kembali kepada Islam? Malah ditambah dengan tekanan-tekanan lain, membuatkan kita lebih jauh dari Islam, apatah lagi mahu mempraktikkannya.

31 Ogos 2010

Bingung

"Bagilah apa yang kau ada!" terjah budak arab pengemis di sisi aku. Sambil membawa beberapa tisu mulutnya bersuara lagi. "Bagilah apa yang kau ada! Aku nak berbuka puasa!" pintanya lagi dengan muka yang agak berkerut.

"Ni berapa?" tanya aku sambil menunjukkan tisu yang di bawanya. "Ni 50 sen sahaja!" Jelas budak ini. "Nah! Aku beli ini!" Aku membeli tisu yang dijualnya.

***

Aku ke kedai "Makkah" yang selalu aku kunjungi untuk mendapatkan barang-barang harian kerana kedainya tidak menjual barang-barang boikot. Satu-satunya kedai di kawasan Gamik ini yang faham berkenaan dengan apa itu boikot.

Pernah aku bertanyakan pakcik pemilik kedai tersebut "Kenapa pakcik tidak menjual Pepsi?". "Aku boikot" jelas beliau. Pernah juga di hari lain, anaknya yang mengambil alih giliran berniaga. Sambil tangannya memegang setin Pepsi, aku bertanya "Magdi! Kau tak jual Pepsi ke?" "Tak!" jawab Magdi. "Tu kau minum Pepsi!" aku mempersoalkan tindakan Magdi. "Ni aku beli kedai sebelah." jawabnya. "Kedai aku boikot!" tambah dia lagi sambil tersengih. Aku kebingunan.

***

"Bagilah apa yang kau ada!" terjah budak arab pengemis lagi. "Eh! Aku dah beri tadi! Kau lupa kah?" jelas aku. "Tahu, tapi bagilah apa yang kau ada sekarang, aku nak berbuka puasa!" jelasnya lagi. "Ish, tak bolehlah bagini! Aku seorang tak mampu nak bantu kau. Baik kau minta orang lain juga. Di sini sahaja sudah ramai yang boleh kau minta." jelas aku lagi.

"Tidak-tidak!" budak pengemis yang tidak mahu mendengar cakap aku. Kemudian menarik-narik bajuku. "Kau tak dengarkah apa yang aku cakap tadi?" bentak aku, yang sudah mula tidak senang dengan tindakan aku. Beberapa arab sekeliling melihat aku dengan budak ini. "Begini, aku seorang tak mungkin boleh membantu kau. Aku boleh membantu apa yang sedikit dari apa yang aku ada. Aku juga pelajar, juga susah seperti kamu." jelas aku.

"Tidak-tidak!" sekali lagi budak ini membuat tidak faham. "Kau tidak dengar apa aku cakap tadi? Tidak dengar?! Tidak dengar?!" bentak aku beberapa kali. Barulah dia beredar. Tetapi beredar dan berlari sambil ketawa. Aku kebingungan kali kedua.

11 Ogos 2010

Madrasah Tarbiah

Tarbiah

Bagaimana "dunia tarbiah" sebenar? Adakah natijah sebuah perjuangan itu merupakan nilai berharga bagi sebuah tarbiah? Ataupun perubahan sikap itu nilai sebenar bagi sebuah tarbiah? Atau bukan kedua-duanya?

Ramadhan

Alhamdulillah, sempat bertemu Ramadhan kembali. Masjid Syarbini menjadi pilihan utama untuk bertarawih bagi malam pertama ini. Bagi mereka yang letih bekerja, atau berprogram, masjid ini sangat sesuai baginya. "Solat Kerehatan" yang dilaksanakan di sini menepati makna tarawih sebenar. Imam yang tenang dan sedap bacaannya, kemudian tazkirah ringkas yang mantap di pertengahannya menjadikan malam pertama "madrasah tarbiah Ramadhan" amat bermakna.

Kalau di tanah air sesetengah masjid mungkin baru berjinak-jinak dengan "amalan" tazkirah di pertengahan tarawih. Tetapi tidak di sini, ianya menhadi "amalan wajib" setiap kali tarawih. Makmum mengambil kesempatan berlunjur kaki membetulkan urat, menghelakan nafas sebelum Imam memulakan tazkirah. Tapi tak kurang juga mereka yang terus belunjurkan kakinya walaupun Imam sedang bertazkirah, bak kata orang sini "ma fisy adab".

Tenang dan tidak terkejar-kejar mahu menghabiskan rakaat tarawih.

Sedekah sudah mula mengenal siapa yang menjadi mangsanya. Berebut-rebut di pasaraya membeli makanan untuk disedekahkan kepada orang dan bukan untuk kegunaan sendiri. Sampai nak cari cube ayam pun habis 3 pasaraya, terkejut aku dibuatnya!

Sebahagian pelajar-pelajar Malaysia di sini sudah berfikir-fikir di mana "Maidah Ar Rahman" yang mahu diserbu untuk berbuka nanti. Tapi aku dulu semasa tinggal di Hayyu Thamin, "Maidah Ar Rahman" yang serbu ke rumah, Alhamdulillah!

Bazar

Terima kasih kepada Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir kerana memberi peluang untuk berniaga di Bazar Sri Warisan Johor. Terima kasih juga kepada para pelanggan dan pengunjung yang tak putus datang bagi memeriahkan Bazar Johor kali ini. Khusus kepada Ustaz Qistas dan isterinya Ustazah Renni kerana menjadi partner yang terbaik, Allah sahaja yang layak membalas jasa kalian. 

Juga kepada Ustaz Khadir, Ustaz Haron, Ustaz Aizuddin yang membantu membeli barang keperluan. Tak lupa kepada Ustaz Faizul Hadi yang menyalamatkan keadaan dengan gasnya. Juga kepada mereka yang membantu secara langsung mahupun tidak, tak ingat nak sebut semua. Allah sahaja yang layak membalas jasa kalian. Tahniah kepada BKPJM kerana berjaya dengan program ini. Semoga ianya menjadi madrasah tarbiah kecil sebelum masuk ke madrasah tarbiah Ramadhan!

Aku: Ramadhan Karim!. 
Arab: Wallahu Akram!

31 Julai 2010

Sofiyyatul 'ulya Memerlukan Sumbangan Anda

"Perumpamaan bagi orang yang menginfakan hartanya dijalan allah seperti sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai ,pada setiap tangkai ada seratus biji allah melipatgandakan bagi sesiapa yang dia kehendaki,dan allah maha luas lagi maha mengetahui”
(Surah Al Baqarah 261)

Saudara saudari yang dirahmati oleh Allah SWT. Dengan ini kami ingin memberitahu bahawa pada 16 julai 2010 menjelang subuh lebih kurang jam 5:00 pagi, telah lahir seorang bayi perempuan di Hospital Tibah Tanta Mesir. Bayi yang selamat dilahirkan walau tidak cukup bulan itu (7 bulan), terpaksa ditahan di wad dan dimasukkan dalam inkubator. Pada jam 8.00malam bapa bayi tersebut telah dipanggil oleh pihak hospital dengan Kadar yang segera. Setelah tiba dihospital bapa bayi tersebut diberi penerangan oleh doktor yang bertugas mengenai keadaan kesihatan bayinya. Antara lain bayi yang baru dilahirkan mengalami beberapa masalah seperti:


1. Saluran pernafasan dan saluran makan bercantum.
2. Tidak ada Saluran najis

Oleh kerana masalah diatas, bayi tersebut terpaksa menjalani pembedahan dengan segera untuk mengatasi perut kembung akibat tidak ada saluran najis untuk angin keluar. Semasa menerima berita keadaan tersebut, selaku wakil Unit Kebajikan dan Kemanusiaan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta , saya telah bergegas kehospital tersebut untuk sama-sama memberi sokongan dan bantuan kepada pihak keluarga bayi tersebut.

Antara halangan semasa yang kami hadapi adalah kos pembedahan yang diterangkan oleh pihak hospital dan Doktor di Hospital Swasta Tibah itu. Kami bersependapat untuk sama-sama ke Hospital University Tanta untuk berbincang jika rawatan itu boleh dijalankan di situ. Namun sekali lagi kami bertemu cabaran dimana kami diberitahu oleh pihak Hospital University Tanta bahawa semua alat bantuan pernafasan pembedahan telah digunakan oleh pesakit. 

Dengan bantuan Dr. Syafiq pelajar perubatan tahun lima Universiti Tanta, beliau telah menelefon Doktor di Hospital Tibah untuk memberitahu keadaan di Hospital University Tanta. Doktor itu kemudian dengan baik hati telah memberi nombor telefon Pakar Bedah kanak-kanak Hospital Universiti Tanta. Alhamdulillah, dengan berkat nya, setelah berbincang dengan Doktor tersebut beliau sanggup merawat bayi tersebut di Hospital Tibah tempat bayi tadi dilahirkan. 

Dengan selesai nya keadaan ini, kami kembali ke Hospital Tibah untuk berjumpa Doktor Pakar itu. Setelah sampai, Doktor Pakar itu telah menerangkan pada kami bahawa beliau akan memulakan semua pembedahan yang diperlukan untuk menebuk lubang diperut bayi untuk mengeluarkan angin dan membuat saluran najis diperut dengan kadar segera. Dimana, 24 jam kemudian, beliau akan akan merawat saluran pernafasan dan saluran makanan bayi.

Tepat jam 12.15 malam tersebut juga, bayi telah mula menjalani rawatan. Alhamdulillah sejam kemudian bayi tersebut telah selamat menjalani rawatan.

Pada hari kedua; iaitu pada 17 julai 2010 bayi menjalani satu lagi rawatan iaitu mamisahkan saluran makanan dan saluran pernafasannya. Allhamdulillah bayi kini selamat dan stabil. Walaubagaimanpun, bayi tersebut masih dalam penjagaan di Wad Jagaan Rapi di Hospital Tibah.

Kami juga ingin memberitahu bahawa Ibu kepada bayi tersebut stabil dan dibenarkan oleh doktor pulang selepas beberapa jam melahirkan.

Dengan ini kami ingin memberitahu bahawa kos rawatan sehari hampir LE250 dimana jumlah semua kos rawatan dijangka adalah sejumlah LE10,000 (RM5,500).

Saya selaku wakil kepada Unit Kebajikan Dan Kemanusiaan, menghulurkan tangan kepada semua memohon agar saudara dan saudari dapat bersama-sama meringankan beban yang ditanggung oleh ibubapa bayi. 

Asal: Terengganu 
Pengajian: Tahun Akhir, Kuliah Usuluddin Jurusan Tafsir, University Al Azhar Cawangan Tanta Mesir. Telefon: +20116534573 

Ibu: Siti Anisah Binti Haji Ahmad
Pengajian: Tahun 3, Kuliah Bahasa Arab, Universiti Al Azhar Cawangan Mansurah Mesir.

Semua sumbangan bolehlah dihulurkan melalui akaun tersebut:

Pemegang Akaun : Md Amin Zainal Abidin (kad pengenalan 850325-06-5365)
No Akaun : 062025879025
Bank : HSBC
No Tel : +20142252484
emel : maza_blada@yahoo.com.my

Hanya Allah SWT yang dapat membalas segala bentuk bantuan yang di hulurkan oleh semua. Sekian bagi pihak Unit Kebajikan dan Kemanusiaan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta Mesir. 

30 Julai 2010

Doktor itu memusuhi penyakit atau pesakit?

Pertemuan dengan Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi memberikan sedikit sebanyak ilmu dari pengalaman dia berjuang. Apatah sebagai tokoh pemuda Islam di Malaysia. Beliau sekarang yang memimpin Pemuda PAS Malaysia tidak nampak sedikit pun seperti mahu putus asa berjuang.

Kesempatan kehadiran beliau ke Mesir, aku dan Gerakan Suara Rakyat mengambil kesempatan untuk mengadakan program bersamanya. Kebetulan kehadiran beliau bersama rombongan pemuda lain termasuk Ustaz Yusni Mat Piah, Ketua Pemuda Pulau Pinang.

Isu yang mesti menjadi persoalan ialah semestinya perpaduan UMNO-PAS yang sering dimainkan oleh media. Namun ada ungkapan yang aku kira baik yang dilontarkan oleh Ustaz Din iaitu "Doktor itu memusuhi penyakit bukan pesakit". Aku kira, dah lama aku tidak mendengar ungkapan, kiasan-kiasan begini, menarik sekali!.

Ya, sebagai seorang doktor yang setiap hari menerima kunjungan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan semestinya berusaha merawat penyakit yang dihadapi pesakit tersebut! Bukanlah pesakit itu sendiri. Jika luka, akan dijahit, dibalut dan diberikan ubat yang sesuai kepada pesakit tersebut. "Eh pakcik ni busuklah! Kaki pakcik dah jahanam ni! pakcik baliklah!" bukan begini cara seorang doktor, malah seteruk mana penyakit seorang pesakit itu dia semestinya berusaha untuk merawatnya.

Begitulah, peranan yang perlu dimainkan bagi seorang pendakwah! Bagi yang menyertai Parti Islam SeMalaysia PAS semeetinya mereka faham, bahawa PAS merupakan gerakan dakwah, tarbiah dan politik! Iannya memainkan peranan sebagai doktor yang merawat pesakit tadi, iaitu merawat penyakit umat Islam sekarang. Bahkan lebih besar dari itu membawa kebaikan Islam untuk semua umat, tidak kita muslim atau non-muslim!



Tapi pada aku, UMNO ini nampaknya seumpama pesakit yang sudah nazak, bukan lagi pesakit yang mahukan rawatan. Bahkan 'doktor' pun sudah tidak boleh buat apa-apa, hanya menyerahkan kepada keluarga untuk menunggu saat-saat kematian. Sebelum sampai masa itu mati, baik kita ingatkan "UMNO" agar cepat bertaubat dan jangan lupa mengucap! 

25 Julai 2010

Tersekat

Sebenarnya entah kesekian kali berapa aku mengadap muka PC ni. Juga dah berapa kali juga aku menekan butang New Post ni, namun ini tiada juga apa yang terlintas di kepala untuk dikeluarkan di sini. Entah apa masalahnya, aku sendiri tidak tahu.

Banyak perkara seminggu dua ini yang berlaku, dan aku sememangnya mahu memberi ulasan mahupun pandangan. Juga dengan masalah-masalah ilmiah yang aku nak titipkan di sini, tapi bila siap semuanya depan mata, dan hanya mahu menyusun jari menaip, ianya tidak berjaya. Hanya memerhati sahaja.

Mungkin ini yang dinamakan writer block. Tapi tak tahulah sesuai tak aku ni dinamakan sebagai penulis. Hehe.

Puas aku membaca dan meninjau, namun ianya tetap tidak hadir. Keadaan seperti ini sangat-sangat tidak diinginkan oleh calon-calon peperiksaan. Aku antara mungkin yang "ter-block" ketika menduduki peperiksaan. Entah berapa ribu selawat yang aku zikirkan supaya ingat kembali fakta-fakta bagi menjawab soalan.

Mungkin juga ini penangan FaceBook, manakan tidak perbincangan yang banyak hala ini sangat menarik. Apatah lagi sekitar perbincangan yang sangat diminati. Ada sahaja hujjah aku yang disampaikan, seperti aku sahaja yang hebat!

Mungkin juga sebulan dua ni penuh dengan program yang perlu disertai. Malah ada program yang perlu aku seliakan. Tak kurang juga program yang terpaksa aku dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Jadi, hal-hal yang mengusutkan kepala ini mungkin memberi kesan buruk hingga tidak ter-update.

Bukan susah pun nak update blog seperti blogger lain, copy and paste adalah cara yang amat mudah untuk kita tidak menghampakan pengunjung blog. Bahkan blog-blog seperti ini banyak sekali, malah disukai.

Akhirnya aku berjaya menulis...

05 Julai 2010

Telefon mula berdering


Telefon bimbit mula berdering. Sejak tamat peperiksaan 28 Jun 2010 lalu, nampaknya hanset aku mula menerima panggilan dan juga beberapa mesej penting. Selama hampir dua bulan ia sunyi dari menerima panggilan mahupun mesej yang penting.

Tapi, aku menjadi serba salah. Kerana deringan dan mesej tersebut membuatkan aku bertanyakan diri sendiri. Sudah bersediakah aku? Ini semua tidak lain tidak bukan kerja-kerja yang terhenti sebelum peperiksaan sebelum ini mula berteriak kepadaku untuk diselesaikan. Bahkan ada kerja-kerja baru yang mungkin memerlukan keringat dan idea ini.

Bagi mereka yang hanya di Mesir duduk dalam kelompok kecil, di luar sana, tanpa menghiraukan hiruk pikuk kebersamaan dalam jemaah dia tidak merasakannya. Bahkan mungkin kehidupan mereka sama sahaja selepas melepasi kepompong peperiksaan. 

Bagi mereka yang berjawatan dalam persatuan. Sememangnya peperiksaan bagaikan waktu istirehat panjang. Cuti bagi mereka selepas imtihan bukan cuti dalam erti sebenar, tetapi mereka mula "punch card" untuk memulakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Syabas bagi mereka yang mempunyai tugas-tugas seperti ini. Ini kerana kehidupan mereka penuh makna di sisi mereka yang di bawah dan alangkah baik ianya juga bermakna di sisi Allah SWT.

Namun, ada juga yang sedang menghitung hari. Menghitung hari untuk pulang ke tanah air. Bahkan tiada sudah fikiran mereka di Mesir, hanya tubuh sahaja di sini. Malah ada yang sudah pulang pun ke Malaysia. Terutama sahabat-sahabat yang rapat, tidak ketahuan pun aku yang mereka telah pulang atau akan pulang. Yang ni nak kena nih!!!

Khusus kepada Badan Pengurus PMRAM dan AJKT BKPJM serta AJKT Cawangan PMRAM yang lain, semoga anda sentiasa di bawah lindungan rahmat, diberi pentunjuk untuk melaksanakan tugas.

21 Jun 2010

Militan: Kalimah yang dikambinghitamkan

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas. (lihat sini)

1. Militan (bahasa Inggeris: militant) berasal daripada perkataan Latin "militare" yang bermaksud "untuk berkhidmat sebagai askar". 

2. Dalam konteks moden, militan digambarkan sebagai seseorang yang suka berkonfrontasi, tak kira melalui keganasan fizikal atau cara yang aman. Seorang militan boleh jadi terlibat dalam keganasan untuk berjuang apa yang dia percaya menentang penindasan.

Penggunaan dalam media massa

Media massa menggunakan istilah militan dalam konteks keganasan. Wartawan selalu menggunakan istilah militan kepada gerakan menggunakan taktik keganasan. Mereka juga menggunakan istilah kumpulan militan untuk organisasi pengganas.

Akhirnya manusia melayu bebas menafsirkan perkataan MILITAN itu. Dari Perdana Menteri, Ketua Polis Negara juga kepada mereka yang sekepala membawa rakyat Malaysia salah dalam menggunakan perkataan militan dengan maksud sebenar.


Lihat sini , sini


Militan ada gerakan lembut?

Aku tak pasti samada ada atau tidak pergerakan seperti ini. Ianya lemah lembut tidak menggunakan senjata tetapi militan.

Atau Malaysia sudah terbawa-bawa maksud militan yang digunakan Amerika?

Palapes, Kadet Polis, Kadet Tentera pelopor pengaruh militan di pusat pengajian?

Seperti mana kita tahu, PALAPES, Kadet Polis, Kadet Tentera merupakan kelab bagi pergerakan militan di Malaysia. Ini kerana mereka mempelajari selok belok berjuang ala militan. Mempelajari bagaimana menggunakan senjata dan sebagainya.

Semestinya unsur ganas tu ada pada setiap pergerakan militan. Ya! Ganas tu unsur utama dalam militan. Ada mereka boleh dikaitkan dengan pergerakan militan yang dimaksudkan oleh Ketua Polis Negara?

Dikira militan jika tidak sehaluan dengan UMNO

Pas menjadi sasaran utama jika mahu dikaitkan dengan hal militan. Dahulu cubaan ini dilakukan dan As Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan yang bersamanya menjadi sasaran. Ianya juga mahu mengaitkan dengan PAS.

Cubaan kedua, penangkapan Kumpulan Al Maunah. Kumpulan silat yang merompak senjata di kem askar yang didakwa mahu berjihad menentang Yang DiPertuan Agong dengan cara militan. Hal ini sekali lagi mahu mengaitkan dengan PAS.

Cuba ketiga, penangkapan besar-besaran mereka yang dikenali sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) dan kemudiannya bertukar kepada Kumpulan Militan Malaysia. Ramailah mereka yang pernah belajar di Pakistan, India dan Afghanistan di tahan dan dikenakan ISA, termasuk guru sekolah aku dahulu.

Tak dinafikan, mereka ini kebanyakan menyokong perjuangan PAS. Namun ingin mengaitkan mereka dengan pergerakan militan dan keganasan ianya agak keterlaluan. Apatahlagi jika tidak sebarang perbicaraan dilakukan bagi membuktikan pertuduhan tersebut. Hanya mahu menunjukan kepada Amerika yang Malaysia juga berjaya membanteras pengganas.

Kajian Erica Miller berkenaan dengan PAS dan beberapa kumpulan Islam di dunia.
(Boleh download di ruangan Kongsi Bersama di bawah blog ini)

Bukanlah nak katakan 100% kajian dia ni benar. Tapi kita boleh nilai sendiri.






14 Jun 2010

Al Fatihah

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Sumber: Harakahdaily

12 Jun 2010

Puasa penuh bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan

Diriwayatkan dari Aisyah R.A "Sesungguhnya (Nabi SAW) tidak berpuasa penuh melainkan bulan Ramadhan. Ini bertentangan dengan apa yang diamalkan sesetengah negara Arab dan selainnya. Mereka berpuasa tiga bulan iaitu bulan Rejab, Syaaban ddan Ramadhan. Kemudian diikuti dengan 6 hari di bulan Syawal yang mereka namakan sebagai Yaum Baidh (hari putih).

Mereka berpuasa bermula di awal bulan Rejab hingga hari ke tujuh pada bulan syawal, kecuali sehari pada 1 Syawal. Hal ini tiada sandaran atau asalnya dari Nabi SAW, para sahabat R.A dan tabi'in.[1]

Dari Aisyah dia berkata “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Dia saw berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi saw berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadan. Aku tidak pernah melihat dia saw berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” -Sahih Muslim. [2]

Dan kadang-kadang Nabi SAW berpuasa hari Isnin dan Khamis, kadang-kadang tiga hari setiap bulan dan khasnya hari-hari putih bulan Qamariah.

Kadang-kadang Baginda SAW berpuasa sehari, berbuka sehari, sepertimana puasa Nabi Daud AS:

"Puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud, Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari" - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Bagaimanapun Nabi SAW tidak banyak berpuasa melainkan dalam bulan Syaaban. Ini adalah kerana persediaan Nabi SAW menyambut Ramadhan. [3]

Ada riwayat yang baginda pernah berpuasa sebulan sepnuh pada bulan Syaaban dan bukan pada bulan Rejab. 

Hadith yang bermaksud: 

Aisyah ra meriwayatkan kepadanya dengan berkata, “Nabi saw tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak dari bulan Syaaban. Nabi saw berpuasa bulan Syaaban semuanya." Nabi saw bersabda, “Beramallah dengan mengikut kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang jemu”. Aisyah ra menyambung, “Solat yang paling disukai Nabi saw ialah solat yang dikerjakan berterusan walaupun sedikit. Adalah Nabi saw apabila solat, dia mengerjakannya secara konsisten” [4]

Wallahua'lam

[1], [3] Fatawa Mua'sarah, Dr Yusuf Al Qaradhawi.
[2], [4] Fathul Bari, Darul Taqwa, 265.

07 Jun 2010

Kompleks PAS Impian Kita!

30 Jun lepas tercipta suatu lembaran sejarah baru buat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) apabila majlis pecah tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetlands, Dengkil dirasmikan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kompleks baru yang dianggarkan menelan belanja RM30 juta ini merupakan satu lagi mercu tanda yang menjadi titik tolak kesinambungan perjuangan Islam, yang dipelopori PAS sejak lebih setengah abad.

Kompleks yang bakal dibina, mengandungi Pejabat Agung PAS, Pusat Konvensyen, Kompleks kediaman dan perniagaan dan sebagainya.

Di majlis tersebut, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta sebahagian besar pemimpin tertinggi PAS Pusat, hadir sama menyaksikan majlis pecah tanah.

25 tahun lalu, di Lorong Haji Hassan, Jalan Batu Geliga, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar didirikan. Pada ketika itu seluruh kawasan tersebut di kelilingi dengan kebun getah dan kebun buah-buahan.

Mantan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri yang pada ketika itu menjadi Setiausaha Agung PAS menjadi peneraju utama atau arkitek pembinaan Markaz Tarbiyyah.

PAS tidak mempunyai sumber kewangan. Maka setiap ahli dan penyokong PAS bertungkus lumus mengumpul dana dan membantu pembinaan secara gotong-royong, termasuk membuat jalan masuk ke Markaz Tarbiyyah.

Penulis masih ingat sewaktu PAS menganjurkan ceramah kali pertama di situ. Dalam suasana gelap gelita kepekatan malam, kami bersila di celah-celah kebun getah untuk mendengar ceramah.

Dari situlah antara detik-detik mula kemanisan perjuangan dalam PAS.

Kami mengutip derma pada setiap kali ceramah. Mengumpulkan dana bagi membantu pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS sedikit demi sedikit.

Pembinaan Markaz Tarbiyyah dimulakan dengan membina sebuah pejabat dua tingkat, sebagai pusat operasi pentadbiran PAS Pusat. Bangunan dewan yang dinamakan Dewan Dato' Fadzil Noor dan perpustakaan Ustaz Yusuf Rawa dibina kemudian.

Dalam tempoh 25 tahun Markaz Tarbiyyah PAS Pusat begitu nostalgik dan amat besar jasanya kepada pembangunan serta perkaderan aktivis PAS.

Sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008, PAS membuat satu anjakan baru. Pejabat Agung PAS dipindahkan pada penghujung 2007, ke bangunan baru di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Namun bangunan 7 tingkat itu tidak mampu menampung kepesatan operasi PAS.

PAS menubuhkan sebuah jawatankuasa bangunan yang diketuai Dato' Husam Musa. Beliau beserta beberapa orang AJK bertungkus lumus mencari dana, mencari lokasi dan menyediakan pelan pembangunan Kompleks PAS.

Alhamdulillah dengan kegigihan mereka dan keprihatinan seorang usahawan, PAS memperolehi tanah seluas 20 ekar di Paya Indah Wetlands.

Namun yang ada hanya tanah, dana untuk membina bangunan masih belum ada. Maka hari ini, penulis yang juga sebagai Pemeriksa Kira-Kira PAS Pusat menyeru semua ahli, pemimpin dan penyokong PAS, agar berjihad membantu PAS merealisasikan impian besar ini.

PAS memang tiada duit. PAS selama lebih setengah abad ini, hidup dan subur dengan infak fisabilillah. Kita harus kumpulkan wang sejumlah RM30 juta, jika boleh kita kumpulkan RM50 juta.

Tiada orang kaya atau usahawan yang harus kita harapkan. Saudara saudari, semua bertanggungjawab menghulurkan RM1, RM5, RM10, RM50 atau berapa yang termampu, secara tetap setiap bulan kepada PAS sehingga tertegaknya Kompleks PAS nanti.

Marilah sama-sama kita mencatatkan sejarah, memberitahu generasi akan datang, bahawa kita turut sama membantu membina sebuah kompleks yang bakal memartabatkan perjuangan Islam di Malaysia.

Ayuh kita kumpulkan RM30 juta sebagai saham akhirat yang kekal selamanya untuk kita!

Sumber: HarakahDaily

06 Jun 2010

UMNO parti keramat?

Lepas subuh tadi, entah kenapa tiba-tiba jari ni "gatal" klik ke web Kelab UMNO Kaherah. Mungkin dah boring buka HarakahDaily kot. Mata aku terus tertumpu dekat gambar dalam entry terbaru web Kelab UMNO Kaherah. Gambar lama yang dipaparkan nampak seperti mahu menceritakan sejarah penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO. Cuma menariknya web ini menyebut UMNO parti keramat. Aku terfikir sejenak, apa yang keramat? Tak tahulah mungkin ianya singkatan dari KERA PAKCIK MAT=KERAMAT. Atau dalam bahasa arabnya karomah?


Maksud KERAMAT dalam kamus dewan:

1. kemuliaan (iaitu anugerah Allah kpd hamba-Nya yg dikasihi);

2. suci dan berkat drpd kemuliaan seseorang sehingga menyebabkan doanya diperkenankan Allah (spt penyembuhan penyakit dan perlindungan Allah): makam Habib Noh di Singapura diziarahi orang kerana dianggap makam yg ~;

3. tempat atau sesuatu yg suci dan (diper­cayai) dapat mendatangkan hikmat: banyak orang yg pergi ke ~ utk meminta sesuatu dan bernazar; minta ~ minta berkat (restu) dr tempat yg keramat;

4. orang yg sangat warak, orang yg benar-benar soleh: jikalau sungguh mati Chau Pandan, sungguhlah tuan ~; ~ hidup orang yg berperangai baik, ikhlas, dan jujur serta tidak suka melakukan sesuatu yg menyakiti hati orang; mengkeramatkan menjadikan (mengang­gap) spt keramat, meletakkan pd kedudukan yg amat disanjung; kekeramatan sifat keramat, kesucian dan keberkatan: Pawang Kri masih percaya kpd ~ manteranya utk menewaskan buaya.

Dari empat definisi yang diberikan kamus dewan edisi keempat ini. Aku tak tahu UMNO ni bagaimana yang dimaksudkan oleh Kelab UMNO Kaherah. Cuma aku tak boleh nafikan ke"keramat"an UMNO ni. 50 tahun orang melayu ni anggap UMNO ni segalanya, tiada UMNO, tiada rezeki, tiada kerja, tiada tempat tinggal, tak pangkah UMNO hidup susah, nak senang pangkah UMNO, nak kerja pangkah UMNO, nak main JUDI pun UMNO bberi lesen. Boleh jadi la, mungkin ni yang dimaksudkan KERAmat oleh Kelab UMNO Kaherah kepada partinya.

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai