"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


30 Disember 2009

Kesian Tiz Zaqyah

Kadang-kadang menyampah, kadang kesian pun ada kat pelakon Nur Kasih. Nampaknya betul-betul dia nak lari dari watak Nur Amina yang dilakonkannya dalam Nur Kasih. Bila baca tajuk di Kosmo "Realiti Tiz, bukan Nur Amina" menjadikan aku bertambah kesian kat dia. Nampak bersungguh-sungguh untuk lari dari watak "solehah" sebagai Nur Amina. Dengan mengenakan pakaian yang agak seksi yang sangat-sangat 100% terbalik dari watak Nur Amina.

Umum mengetahui yang Tiz Zaqyah bukanlah Nur Amina. Cerita Nur Kasih pun dah lama tamat. Rasanya tak perlulah nak bersungguh-sungguh menjelmakan "wajah sebenar" di khalayak ramai sebagai bukan Nur Amina. Sehinggakan mereka yang membaca dan mengetahui hal ini semakin menyampah dan meluat.

Sudahlah watak Nur Amina tak terkesan langsung dalam diri, kemudian bersungguh-sungguh pula nak masyarakat tahu dia "sebegini tolehah". Apa perlu begitu? Adakah rasa terbatas pergerakkannya? Hmm Allah sahaja yang tahu disebalik niat tindakanya ini.

Kesian Tiz Zaqyah...

Aku dedikasikan ayat ini buat nya,




“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Az-Zumar: 22)

29 Disember 2009

Langkah Tercipta - UNIC

Aku dedikasikan lagu ini buat para pimpinan PAS di semua peringkat!

Semalam aku kelukaan,

kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan.

Mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

ALLAH..
inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untukku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya.

Haruskah aku mengalah,
namun jiwaku berbisik,
inilah dugaan.

Dan mataku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),

Tak dilontarkan-Nya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

ALLAH..
pimpinlah diriku,
tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku.

Kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
PadaMU ku meminta.

Daku mohon agung kudratMu,
Wahai Tuhan yang Satu,
Segalanya dariMu.



28 Disember 2009

Dinamis tarbiah Hassan Al Banna

Aku bukanlah pakar sejarah. Bahkan semasa SPM dahulu pun tak dapat A. Mungkin subjek sejarah di sekolah aku tak minat tapi aku minat sejarah. Ada orang kata dah maju ke hadapan jangan toleh belakang lagi. Macam nasihat sesetengah orang kepada Pakatan Rakyat "jangan pandang belakang". Pada aku tak wajar nasihat itu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak gagasan Kerajaan Perpaduan kerana Mursyidul Am PAS ini amat terkesan dengan sejarah PAS dalam kerajaan BN sehingga tak dapat membezakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Tuan Guru Presiden. Baik ni cerita lama, PAS pun dah tutup buku mengenai isu UG ni.

Bukan cerita UG yang aku nak sebut dalam entry kali ni. Tapi isu yang boleh terkait dengan masalah harakah Islamiah.
Gambar 1: Imam Hassan Al Banna
Sejak aku libatkan diri dengan gerakan Islam PAS dalam ertikata mengenali PAS ini sejak sekolah rendah lagi. Kerana pada ketika itu isu Hudud bergema, aku pada masa itu hanya tahu hudud curi potong tangan. Aku mempertahankan habis-habisan Hudud ini hingga berdebat di kelas mahupun di padang permainan. Semasa berdebat-debat di padang permainan dulu, ada seorang kawan aku, dia sebut "kalau pakai seluar pendek kena potong kaki la ye?" lepas tu dia ketawa terbahak-bahak sambil melarang melancong ke Kelantan.

Aku tidak mengenali PAS dengan susur galur yang baik, mungkin. Dalam ertikata yang mengikut teori tarbiyah dan thaqafah yang perlu dilalui oleh setiap ahli gerakan Islam ini. Sehinggalah sampai satu tahap aku mengenali PAS dengan teori dan disiplinnya, mungkin. Dikenalkan dengan kitab Risalah Ta'alim, yang membahaskan tentang usul 20 Mujaddid Imam Hassan Al Banna
yang menjadi tunjang dalam teori mengenali gerakan Islam. Boleh dikatakan semua di kalangan mereka yang menggelarkan mereka dari gerakan Islam baik PAS dan yang wujud selepasnya (seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ) biasa dengan ungkapa Usul I'syrin (Usul 20) ini. Usul 20 ini pun sebenarnya pecahan dari rukun bai'ah pertama dari 10 rukunnya iaitu Faham.

Selepas kejatuhan Khilafah Islamiah 1924 (sebenarnya lebih awal dari itu), boleh dikatakan jemaah-jemaah Islam bangkit dengan peranannya masing-masing dan yang paling terkesan pada dunia Islam ialah Jemaah Ikhwan Muslimin di Mesir. Mereka yang lahir dari jemaah Ikhwan ini kembali ke negara masing-masing dengan mengembangkan kaedah perjuangan ikhwan ini.

Di Malaysia, mereka yang mendapat tarbiah secara langsung dari Ikhwan ini ada yang menyertai UMNO dan PAS untuk membina fikrah yang sama lalu menyatukan umat dengan satu fikrah yang sama. Namun mereka yang menyertai PAS untuk niat ini nampak lebih berjaya dari mereka dari UMNO.

Gerakan Islam pembawakan Ikhwan ini sebenarnya boleh dikatakan gerakan wasatiah (sederhana). Ianya bukanlah gerakan ekstremis seperti yang digembar-gemburkan. Gaya dan kelicikannya dalam menyesuaikan akidah dan syariat dalam negara dan masyarakat amat terkesan.

Namun sekarang, nilai yang dibawa oleh mujaddid Imam Hassan Al Banna ini semakin terhakis dalam jaringan gerakan Islam. Apatah lagi jemaah yang menerima manhaj Ikhwan ini terpecah kepada beberapa jemaah dan akhirnya menimbulkan masalah umat.

Sejak zaman awal penubuhan Ikhwan Muslimin sendiri, pada ketika itu ada di kalangan mereka yang keluar dari Ikhwan dan menubuhkan jemaah mereka seperti Syeikh Taqiyuddin Nabhani yang mengasaskan Hizbut Tahrir yang berpengkalan di Palestin.

Baik, kita boleh katakan sebenarnya pembawakan Imam Hassan Al Banna sangat cantik dan menarik. Ianya pendekatan yang boleh diterima segenap lapisan dan latar belakang. Baik mereka yang berfahaman salaf mahupun khalaf. Mereka disatukan dengan obor ikhwan ini, dan pada awal penubuhan PAS pun kejayaan yang berjaya PAS bawa ialah menyatukan mereka di kalangan "kaum muda" dan "kaum tua".

Tapi, hakikat yang perlu diterima teori dan pembawakan yang dibawa oleh Imam Hassan Al Banna ini tetap mempunyai kekurangan dan inilah hakikat manusia selain Nabi Muhammad SAW.

Di Malaysia, ada di kalangan kita yang;

Akidah ahli sunnah wal jamaah, tariqat, ahli sufi dan PAS.

Akidah ahli sunnah wal jamaah, tariqat, ahli sufi tapi UMNO.

Pure Wahabi, dan PAS.

Pure Wahabi, tapi UMNO,

dan ada akidah ahli sunnah wal jamaah, tariqat, ahli sufi atau wahabi tapi terkecuali dari dua kumpulan ini.

Lima level ini aku utarakan yang pertama. Namun banyak lagi yang kalau dimasukkan dalam list mahu panjang jandnya. Manakan tidak mereka yang tak solat tapi sokong PAS. Masjid tak tinggal tapi sokong UMNO. Ada yang menyertai PAS atas kepentingan akidah. Tapi ada yang menyertai PAS atas kepentingan peribadi. Tak kurang juga ada yang hanya taa'sub kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz sahaja. Ini bukan aku sebut fasal teori demokrasi, jangan pening ya.

Cuba kita perhatikan kepada seorang ulama tersohor ini; iaitu Dr Yusuf Qardhawi. Secara umumnya semua di kalangan yang aku sebut di atas boleh menerima beliau dan pendekatan beliau. Tapi ada yang tidak boleh menerima beliau. Rata-rata mereka tidak sealiran dan tidak mendapat tarbiyah dengan Ikhwan.

Gambar 2: Ada tangan bawah pusat, atas dada, bawah dada, tengah. Tapi...

Aku dah mula pening, harap-harap korang boleh faham apa yang aku nak sampaikan.

(Bersambung, mungkin)

27 Disember 2009

Tugasan baru & curi

Tugasan Baru

Aku mendapat tugasan baru. Tiada tugasan lain, blog juga. Mini Pavilion yang dahulunya terbengkalai kini berpindah di url yang baru. Namun bagi pengarah Mini Pavilion sendiri mahukan template yang ada sekarang dilihatnya perlu sedikit touch-up. Tugasan ini baru diterima dari Ustaz Abdul Muin sendiri sebagai pengarahnya 2 hari lepas.



Cuma...

Bila nak mula ni? Exam dah dekat. Walaupun semester ini hanya satu kertas, tapi dua subjek.

Hmm alasan...

Selalunya exam ini menjadi alasan kita tidak melakukan kerja-kerja sampingan. Macam main futsal semalam. Selama 2 jam diperuntukan dalam masa hampir sebulan kaki ni tak sentuh bola. Tapi ada sahabat-sahabat yang aku pelawa untuk join futsal kata mereka "exam dah dekat". Tapi aku tengok lebih dua jam mereka peruntukan untuk tidur di waktu pagi. Yang futsal ini hanya 2 jam yang mungkin dalam masa sebulan. Alasan kan?

Curi-curi Pencuri

Semalam selepas penat ziarah maqam-maqam sekitar Kaherah. Aku dikejutkan dengan berita kecurian yang berlaku di Asrama Pelajar Johor yang lama. Lima laptop hilang termasuk laptop anak saudara aku yang dibelinya di Malaysia. Huh, muailah pencuri tu. Agak-agaklah lepas payment nak angkat GEN-2.

Tapi yang aku tak perasan, aku antara orang yang tahu lambat tentang hal kecurian ni. Padahal semasa dalam tramco perjalanan balik, budak-budak ni dah tahu rupanya. Macamana aku boleh miss plak fasal ni? Dalam kecoh-kecoh dalam tramco sikit pun tak terpancul dari mulut diorang pasal laptop atau apa-apa fasal ni.

Kejadian berlaku pasa waktu solat Jumaat. Dahlah hampir semua penghuni ikut ke maqam, bila time solat jumaat semualah ke masjid. Time tulah pencuri buat dajjal. Fuh, Jumaat kali ini memang "rezeki" dia. Tapi kejadinya seperti ini bukan pertama kali, ianya dah banyak kali. Sebelum ini mesin ABC, periuk belanga semua dicurinya. Memang lubuk pencuri betul asrama ni. Ape ke hal? Hmmm...

Aku rasa setiap kali solat Jumaat student perempuan kena jadi pak guard la kat asrama ni. Apa pendapat Ketua HEWI BKPJM?

Bila masuk bab curi-curi ni, kat Malaysia pun tengah kecoh pasal kehilangan 2 enjin jet pejuang. RM50 juta. Dulu, kumpulan Al Maunah curi senjata di kem tentera. Kali ni enjin jet. Agaknya lepas ni kapal selam Malaysia pun boleh hilang. Hmm dah lama tak berperang, gini ke jadinya?

23 Disember 2009

Aku pijak di medan bumi

"Di mana bumi ku pijak, di situ Islam ku junjung!"

Aku selalu dengan sebelum ini "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung". Tapi selepas duk sekolah arab, bergaul dengan ulama dan para ustaz. Bidalan ini berubah dan lebih bermatlamat. Tidak menafikan maksud asal dari bidalan melayu tadi, cuma kerangka yang ditambah kemudian menjadikan ianya lebih bermakna dan nampak segar!

Aku masih di Mesir. Walaupun nak menghabiskan Tahun 3 dan 4 memakan hampir lima tahun lamanya. Ramai sahabat-sahabat yang datang saing dulu dah balik Malaysia. Malah dah beranak pinak. Yang mati belum dengar lagi.

Ramai yang suruh aku balik cepat ke Malaysia. Ya, aku sedar dan aku pun nak balik cepat. Siapa nak balik Malaysia jalan kaki? Mesti lambat punya! Tapi Zaki pernah jalan kaki balik rumah dari kuliah di Hussin. Aku tak pernah buat macam Zaki, kerana aku bukan Zaki. Ya, aku akan balik dengan kapal terbang yang memakan masa hampir 12 jam di langit! Macam Kota Bharu ke Johor Bahru. Cepat bukan?

Ramai yang bilang (beritahu) kat aku, "di Malaysia-lah medan sebenar". Terutama yang berada di Malaysia selalu mengulang-ngulang "Malaysia medan sebenar". Aku fikir lama ayat-ayat ini. Agak-agaknya medan aku di Mesir sekarang ni hanya fatamorgana atau ianya medan selera dan medan-medan lain yang bukan medan sebenar.

Ramai yang dah balik Malaysia menarik nafas lega (mungkin) kerana akhirnya mereka diberikan rezeki Allah dapat balik dengan ijazah masing-masing. Namun sedarkah kita bahawa bidalan melayu yang aku sebut tadi menafikan sekeras-kerasnya teori korang yang "Malaysia medan sebenar".

Kalau nak sebut tentang medan sebenar (dakwah, platform) sebenarnya tempat bukanlah ukuran. Yang menjadi ukuran ialah istiqamah (konsisten). Perlahan, laju, bijak, cerdik, lembab semua ini bukanlah ukuran, kerana sememanya boleh berubah-ubah mengikut suasana. Bahkan iman pun adakalanya bertambah dan berkurang.

Ada satu tahap, dia hanya boleh bekerja dengan menaip. Sampai satu tahap dengan berceramah. Sampai tahu tahap dengan tenaga kemahiran yang ada. Semua ini bergantung dengan kemampuan masing-masing.

Yang berada di Mesir ini juga "medan sebenar". Tiada medan "main-main" dalam kamus hidup seorang yang menggelarkan diri mereka "pendokong Islam". Cukuplah dengan teori korang nak ajak ke "medan sebenar".

Gambar : Sekadar hiasan. Berita mengenai gambar klik sini.

21 Disember 2009

Blog aku dan mereka

Aku berkecimpung dalam dunia blogger bermula akhir tahun 2005. Pada mulanya aku hanya berjinak-jinak kerana terpengaruh dengan sahabat blogger lain seperti Ustaz Mohamad Fairuz Tamjis. Lama-lama kelamaan minat itu berkembang dengan tulisan-tulisan dari cetusan hati ini. Sehingga hari ini blog yang aku bina ini tidak mati. InsyaAllah ia akan terus hidup sehingga aku mati.

Bak kata Dr Abu Hassan Hasbullah dalam Konvensyen Blogger semalam. Bahawa "blog ini tidak akan mati". Yang mati tuan blog la kan.

Cuma kalau kita lihat pada awal kemunculan blog ini merupakan sebuah web log untuk memudahkan mereka membina web pribadi bagi menulis jurnal kehidupan seperti diari dan dikongsikan bersama umum. Namun sejak akhir-akhir ini dengan kemajuan internet dan dunia tanpa sempadan fenomena blog ini semakin menggila. Pengaruhnya sangat tinggi sehingga mempu membina pengaruh tersendiri samada dalam sektor politik, agama, sosial mahupun ekonomi.

Dalam pilihanraya umum yang lalu boleh dikatakan peranan blog ini digunakan sebaik mungkin sebagai alternatif selalin media-media elektronik lain. Boleh dikatakan mereka yang digelar wartawan sukarelawan ini tidak jemu-jemu menyampaikan yang terbaik. Sehinggakan terdapat suara-suara yang mahu melaksanakan etika-etika dan undang-undang tertentu kepada para pemblog.

Bagi aku web log ini menjadi pencetus aku mengenali apa itu kod-kod HTML yang mungkin dipelajari secara khusus di kuliah-kuliah sains komputer di universiti-universiti. Tapi aku hanya mempelajarinya sendiri dan antara mereka-mereka yang dianggap sifu blogger aku sebelum ini ialah Ustaz Mohd Zaki Md Noor dan Ustaz Asmuni Hasbullah.

Sebelum ini aku menceburi bidang Adobe Photoshop. Juga mempelajarinya tanpa kaedah khusus, hanya menghadap komputer berjam-berjam dan mereka-reka design sendiri. Sehingga ini dua aplikasi ini dapat aku satukan dalam dunia blog.

Dan sepanjang aku memblogger, ada juga beberapa template blog dari air tangan aku. Tapi sekarang telalu banyak laman web yang memberikan perkhidmatan template percuma yang menarik tanpa kita memeningkan kepala untuk merekanya sendiri.

Antara blog dari air tangan aku:

Blog Al Jauhar. Web Rasmi Badan Kebajikan Plajar Johor di Mesir.


Syarikat MyClean. Syarikat cuci anak Malaysia di London.


Blog Dana Syaqah PMRAM versi lama. Sudah terbengkalai, kerana tak ingat password.


Blog Mini Pavilion yang telah dipadam BLOGGER. Tak tahu kenapa. Sekarang berpindah di sini.


Dan yang terbaru Web Rasmi PAS Kawasan Pulai, Johor.


Semua blog ini dibina dengan percuma. Kecuali MyClean yang pemiliknya beri "hadiah". Dan aku pun tidaklah menjadikan mereka blog ini sebagai medan mencari peluang lain. Ini kerana dengan kerja-kerja seperti ini menambah pengalaman dan ilmu-ilmu baru dari "pengajian membina blog" ini dan aku seronok membantu.

17 Disember 2009

Salam 1431

Agar tahun baru ini terpelihara iman kita yang kadang-kadang bertambah dan berkurang.
Agar tahun baru ini menambah kecintaan kita kepada Islam.
Agar tahun baru ini menjadikan kita terus istiqamah dengan perjuangan.
Agar tahun baru ini menambah kefahaman kita terhadap gerak kerja berjemaah.

Agar tahun baru ini beroleh kebaikan kepada Islam dan umatnya.




Buku terbaru Tuan Guru Presiden PAS

11 Disember 2009

Husnul Khatimah

Kematian sememangnya akan berlaku, samada tidak diminta atau memang diminta. Setiap yang bernama makhluk itu akan merasai mati. Namun semuanya mahukan husnul khatimah.

Bila membaca berita ini, apatah lagi meilihat wajah pilu seorang isteri. Aku tidak terkata apa sekadar sedekahkan al Fatihah buat suaminya yang bertemu Allah selepas 4 jam diijabkabulkan.

Tak terbayang apa yang boleh oleh "puan" Teh Afifah. Kegembiraannya selepas digelar isteri hanya bertahan 4 jam, tetapi dukanya selepas itu hanya Allah yang tahu. Didoakan agar dia diberikan ketabahan dengan ujian ini.

Mungkin ujian ini paling besar bagi puan Teh Afifah, namun ianya memberikan seribu makna kepada yang masih hidup. Teh Afifah seorang yng diuji dan seribu yang lain boleh mengambil iktibar darinya. Seribu yang lain juga insyaAllah mendoakan husnul khatimah.


اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

"Ya Allah! Khatamkanlah kami (matikanlah kami) dengan sebaik-baik kesudahan dan janganlah Engkau tamatkan (matikan) ke atas kami dengan seburuk-buruk kesudahan"

Banyak lagi doa-doa yang boleh diamalkan agar kita dipilih Allah sebagai hamba yang husnul khatimah. Seramai-ramai umat Muhammad ini, tidak semua yang menerima husnul khatimah. Namun kita sebagai hamba Allah sewajarnya berdoa dan berusaha semoga mendapat husnul khatimah.

Bila baca berita tentang ini. Teringat dengan sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Hanzalah bin Ar Rabie'. Ketika peperangan Uhud meletus beliau baru saja dinikahkan. Oleh kerana itu Rasulullah SAW mengecualikan beliau dari turut serta ke medan peperangan.

Namun ketika Hanzalah terjaga dari tidurnya, beliau mendengar gendang panggilan perang. Melalui seorang sahabatnya beliau mendapat berita bahwa tentera Islam mendapat tantangan yang hebat, dan dalam keadaan terlalu genting tanpa membuang waktu lagi Hanzalah pakaian perang lalu mengambil pedang. Dia menuju ke medan tempur tanpa sempat mandi junub.

Maka terjadilah pertempuran hebat sehingga banyak dari pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut menjadi korban dalam keadaan masih berjunub.

Maka Rasulullah SAW pun melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana dalam sabdanya:

“Aku melihat di antara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak.”

Para sahabat tercengang-cengang mendengar ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhada menjadikan dia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab.

Bagi Hanzalah selayaknya mendapat layanan sebegitu kerana pengorbanannya berperang menegakknya kalimah Allah. Hanya kita umat akhir zaman ini yang matinya kadang-kadang bukanlah kerana berperang atau apa, bahkan ada yang mati kerana terlebih makan. Mungkin lain suasana Malaysia jika nak dibandingkan dengan Palestin sana.

Bagi puan Teh Afifah, sedihlah kamu dan selayaknya kamu bersedih. Namun kita yang masih menghirup udara kurniaan Allah inilah selebih-lebihnya berdoa agar mendapat husnul khatimah! Amin Ya Rabbal A'lamin.

Sumber: Berita Harian, Kosmo

08 Disember 2009

Selamat Pengantin Baru Dayat




Selamat Pengantin baru buat sahabat Dayat dan Nisa.

"Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan atasmu serta mengumpulkan kamu berdua (pengantin laki-laki dan perempuan) dalam kebaikan" - HR Tirmizi

Musim cuti sekolah ni boleh katakan musim "bercucuk tanam", masing-masing nak "berkebun". Tapi baguslah, nanti cuti sekolah tahun hadapan pula "musim menuai". Semoga beroleh "hasil" yang baik.

Tak terlepas sahabat aku seorang ini. Sahabat yang aku kenal sejak tingkatan satu. Sekolah sama di Madrasah Al Masriyah, Kluang dan Madrasah Khairiah, Pasir Putih, Kelantan.

Terima kasih hantar kad jemputan yang comel ni (sepatutnya bersertakan tambang flight sekali, baru boleh datang, hehe).

07 Disember 2009

Sembelihan Ahli Kitab


Ahli Kitab yang dimaksudkan ialah orang Yahudi dan Nasrani. Sekiranya penyembelih itu bukan di kalangan Muslim atau Ahli Kitab seperti orang murtad ataupun penyembah berhala atau majusi maka sembelihannya tidak halal dimakan.

Dalil halalnya sembelihan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:

إِلَّا مَا ذَكَّيۡتُمۡ


"Kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawa)."" - Al Maidah ayat 3

Perkataan "kamu" dalam ayat adalah ditujukan kepada semua orang Islam.

Dalil halalnya sembelihan Ahli Kitab ialah firman Allah SWT:

وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ حِلٌّ۬ لَّكُمۡ


"Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu." - Al Maidah ayat 5

Ahli Kitab atau salah seorang datuk neneknya menjadi Ahli Kitab sebelum berlakunya penyelewengan atau pemansuhan.

Oleh itu, sekiranya orang mulhid pada hari ini masuk agama Nasrani, sembelihannya tetap tidak halal. Begitu juga orang Nasrani atau Yahudi yang diketahui datuk nenek mereka yang terdahulu asalnya adalah penyembah berhala, kemudian mereka memeluk agama Nasrani setelah berlakunya penyelewengan atau setelah perutusan Nabi Muhammad SAW, maka sembelihan mereka tidak halal.

Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Syahr bin Hausyab R.A yang bermaksud:

"Nabi SAW melarang memakan sembelihan orang Nasrani berbangsa arab (iaitu dari Kabilah Bahra', Tanukh dan Taghlib)"

Sebab berlaku larangan ini kerana mereka memeluk agama Nasrani setelah berlaku penyelewengan terhadapnya.

Wallahua'lam

- Rujukan Al Fiqh Al Manhaji (Mustofa Al Khin, Mustofa Al Bugho dan Ali Asy Syarbaji)

03 Disember 2009

Apa yang positif?

Mula-mula aku lihat gambar sebelum baca berita. Aku ingatkan kenapa pula "perempuan" ni tak nak balik Malaysia? Mungkin takut berlaku pada satu kes sebelum ini yang ibunya minta nikahi orang lain kerana tidak merestui perkahwinan mereka. Tapi setelah membaca perenggan pertama sahaja sudah terbaca "transeksual warga Malaysia, Mohammed Fazdil Min Bahari berasa takut untuk pulang ke Malaysia" membuatkan kepala otak aku sedikit kemalangan.

Ah sudah! Satu lagi masalah besar menghangatkan negara. Ini bukan masalah kecil. Ini masalah besar walaupun mungkin satu ini sahaja berita yang dilaporkan. Ini belum lagi menanyakan status agama dia, adakah dia masih Islam? Banyak perkara perlu difikirkan.

Terbaca pula komen dia,


Fatine kesal kerana masyarakat Melayu berasa tersinggung ekoran perkahwinan mereka, walhal mereka cuma ingin hidup bersama di UK memandangkan mereka tidak boleh berbuat demikian di Malaysia.

Fatine sedar orang-orang Melayu memegang nilai-nilai tradisional dan "tidak dapat menerima orang sepertinya".

Ini bukan sahaja melanggar nilai-nilai tradisional orang Melayu tetapi termasuklah nilai-nilai tradisional orang bangla orang afrika juga orang yang berada di kutub utara. Ianya juga melanggar fitrah kejadian manusia itu sendiri. Kerana masalah inilah kaum Nabi Lut dibinasakan!

"Saya takut untuk pulang ke tanah air. Saya bimbang akan keselamatan saya," katanya yang mengulas tentang laporan akhbar tersebut yang didakwa memberikan gambaran kurang tepat mengenai kisah percintaan mereka sehingga mencetuskan reaksi negatif.

Apa yang positif? Awat tak buat novel?

Tak nak balik Malaysia tak kesahlah. Tapi baliklah ke pangkal jalan! Takutlah balasan Allah di akhirat kelak bukan takut ancaman balik Malaysia. Ancaman Allah lebih dahsyat lagi tidak diketahui oleh makhluknya.

Nilai iman lebih berharga, dari nilai cinta yang tersasar dari landasan. Balasan syurga Allah lebih nikmat yang tidak boleh dibayang oleh makhlukNya dari nikmat "menjadi isteri lelaki".

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai