"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


29 April 2008

ISA Menurut Perspektif Hukum Islam (2)


"Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan."
(Surah Shad, ayat 26)

2. Seksyen yang digunakan dalam kes tahanan ISA terkini

Dalam rencana ini tertumpu kepada peristiwa penahanan sepuluh orang aktivis reformasi sebagai bahan kajian, untuk melihat sejauh mana kedudukan akta yang juga ditafsirkan sesetengah orang sebagai ‘Ikut Suka Aku’ ini daripada pandangan Islam.


Menurut sumber polis, para aktivis reformasi itu ditahan di bawah seksyen (s.) 73 (1) ISA. Sebelum menyebutkan seksyen yang digunakan untuk membuat penahanan itu, eloklah kit
a sebutkan secara salinan semula beberapa seksyen penting yang menarik untuk kita ketahui daripada keseluruhan 85 seksyen (termasuk s. 9, s. 84 dan beberapa subseksyen yang telah dimansuhkan) yang terdapat di bawah akta ini.

Perlu diterangkan bahawa s. 8 akta ini dipecahkan kepada subse
ksyen-subseksyen seperti berikut:

S. 8 (1)
“Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang adalah perlu dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (yang kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh tidak lebih daripada dua tahun.


Melalui Akta A705 (1969) penambahan (pindaan) telah dibuat ke atas s. 8 (1)
ini dengan menyatakan bahawa penahanan dalam ‘tempoh peralihan’ antara Akta ibu (iaitu akta asal, yang digubal pada 1960) dan Akta A705 ini (1969), adalah sah dan menurut undang-undang; dan dengan menyatakan bahawa “Tiada tindakan guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk , boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuatkuasanya Akta ini…”


S. 8 (2) Dalam subseksyen (1) “perkhidmatan perlu”, ertinya apa-apa perkhidmatan, perniagaan, tred, perusahaan, pengilangan atau atau pekerjaan yang termasuk dalam Jadual Ketiga (senarai perkhidmatan perlu kepada orang awam – penyalin)

S. 8 (3)
Tiap-tiap orang yang ditahan menurut suatu perintah tahanan hendaklah ditahan di mana-mana tempat (yang kemudian daripada ini disebut tempat tahanan) sebagaimana Menteri boleh mengarahkan dan mengikut apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Menteri dan apa-apa kaedah yang dibuat di bawah subseksyen (4).


S. 8 (4) Menteri boleh melalui kaedah-kaedah memperuntukkan bagi penyenggaraan dan pengurusan tempat-tempat tahanan dan bagi disiplin dan perlakuan terhadap orang-orang yang ditahan di dalamnya, dan boleh membuat kaedah yang berlainan bagi tempat-tempat tahanan yang berlainan.

S. 8 (5)
Jika Menteri berpuas hati bahawa bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) adalah perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau bahawa sekatan-sekatan dan syarat-syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu adalah tidak perlu untuk menahannya, Menteri boleh membuat satu perintah (yang kemudian daripada ini disebut perintah sekatan) mengenakan ke atas orang itu semua atau apa-apa sekatan dan syarat berikut:


(a) bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktiviti dan tempat kediaman dan pekerjaannya;

(b) bagi melarangnya daripada berada di luar rumah di antara apa-apa waktu sebagaimana dinyatakan dalam perintah, kecuali di bawah kebenaran suatu permit bertulis yang diberi oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan sedemikian;

(c) bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya dalam apa-apa cara pada sesuatu masa dan kepada mana-mana pihak bverkuasa atau orang sebagaimana dinyakatan dalam perintah itu;


(d) bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada mana-mana organisasi atau persatuan, atau daripada mengambil bahagian dalam aman-mana aktiviti politik; dan

(e) bagi melarangnya daripada mengembara luar dari sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu melainkan mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

S. 8 (6)
Tiap-tiap perintah sekatan hendaklah terus berkuatkuasa bagi apa-apa tempoh, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan di dalamnya, dan boleh meliputi suatu arahan oleh Menteri bahawa orang yang berkenaan dengannya arahan itu dibuat, hendaklah mengikat suatu bon dengan atau tanpa penjamin dan dengan apa-apa jumlah sebagaimana dinyatakan bagi pematuhan sewajarnya sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan ke atasnya.

S. 8 (7) Menteri boleh mengarahkan supaya jangka masa apa-apa perintah tahanan atau perintah sekatan dilanjutkan bagi apa-apa tempoh selanjutnya, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan olehnya, sama ada –

(a) atas alasan-alasan yang sama seperti mana perintah asal dibuat;


(b) atas alasan-alasan berlainan daripada alasan-alasan atas mana perintah asal dibuat; atau


(c) sebahagiannya atas alasan-alasan yang sama dan sebahagiannya atas alasan-alasan yang lain;


Dengan syarat bahawa jika suatu perintah tahanan dilanjutkan atas alasan-alasan yang berlainan atau sebahagiannya atas alasan-alasan yang berlainan, orang yang kepadanya perintah itu berkaitan, hendaklah mempunyai hak-hak yang sama di bawah seksyen 11 (salinan perintah daripada Menteri dan hak rayuan kepada Lembaga Penasihat – penyalin) seolah-olah perintah yang dilanjutkan sebagaimana tersebut dahulu adalah suatu perintah baru, dan seksyen 12 (1) (Lembaga Penasihat menimbang dan membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh rayuan diterima atau lebih lanjut berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong – penyalin) adalah terpakai dengan sewajarnya.


S. 8 (8) Menteri dari semasa ke semasa dengan notis bertulis boleh menyampaikan kepada seseorang yang adalah subjek suatu perintah sekatan mengubah, memotong atau menambah apa-apa sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas orang itu oleh perintah itu, dan sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang diubahkan dan apa-apa sekatan atau syarat tambahan yang dikenakan hendaklah, melainkan terlebih dahulu dipotong, terus berkuatkuasa bagi bahagian tempoh yang belum tamat yang dinyatakan di bawah subseksyen (6) atau (7)”.

Selain subseksyen di atas, ada beberapa pecahan lain lagi yang tidak perlu disebutkan semuanya di sini.


Manakala S. 73 (1) pula menyebutkan, “Mana-mana pegawai polis boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum selesai siasatan yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai-


a) bahawa ada alasan-alasan yang akan menjustifikasikan penahanannya di bawah seksyen 8; dan

b) bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”

S. 73 (2) “Mana-mana pegawai polis, sebelum selesai siasatan, boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu mengenai identitinya atau mengenai maksud-maksud dia berada di tempat di mana dia dijumpai, dan pegawai itu mengesyaki orang itu telah bertindak atau hampir bertindak dengan apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam atau kepada kehidupan ekonominya.”


S. 73 (3) “Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak lebih daripada enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.”

Berdasarkan sebutan seksyen 73(1) di atas, adalah difahami bahawa aktivis reformasi itu ditahan dengan kuasa polis atas alasan-alasan yang sama seperti alasan arahan penahanan oleh Menteri dalam seksyen 8(1), iaitu untuk mencegah daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia; ATAU atas alasan bahawa para aktivis itu “telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”

(bersambung)

27 April 2008

The Wedding Of The Year


Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada Kak Ani dan Suami (baru dapat gambar, kira baru kahwin la kan huhu). Didoakan semoga kekal ke hujung nyawa dan ke syurga hendaknya Amin.

Firman Allah:


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Surah Ar Ruum ayat 21)

ISA dari perspektif hukum Islam

Oleh: Ustaz Ali Muda Olahan: Ibnu Ali


1. Pengenalan ringkas

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al Maidah ayat 8)

ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan oleh parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos 1960 dan di Malaysia Timur pada ‘Hari Malaysia’ (16hb. September 1963). Akta yang dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) dan tersohor dengan singkatan ISA ini bertujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan orang yang substantial dari dalam dan luar Malaysia:

  1. untuk menyebabkan keganasan berancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; dan
  2. untuk mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, (terhadap) Kerajaan Malaysia yang sah ditubuhkan menurut undang-undang.

Sehingga tahun 1969, akta ini telah mengalami perubahan dan pindaan sebanyak tidak kurang daripada 15 kali, iaitu sekali pada tahun 1962, tiga kali pada 1963 dan juga 1964, dua kali pada 1965, masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969 dan sekali pada 1989. Sejak 1989, tiada sebarang pindaan tercatat sehingga hari ini. (Lihat Panduan Undang-Undang Am, Jilid I, International Law Book Services, K. Lumpur, 1998, m.s: 177)

Melihat kepada tujuan penggubalan akta ini, ia jelas bermaksud mencegah perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan negara dan percubaan menggulingkan secara tidak sah (subversif) sebuah kerajaan yang tertubuh dengan sah di bawah perlembagaan negara (melalui pilihan raya demokrasi).

Menurut bekas Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta ini kerana berpegang kepada sebab-sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua (Tun Abdul Razak) ketika beliau membentangkan ISA di Parlimen dahulu atas sebab ancaman subversif dan pengganas komunis (Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000).

Sepatutnya bila pergerakan dan ancaman komunis telah tidak wujud lagi, akta ini dimansuhkan terus oleh Parlimen. Tetapi nampaknya kelebihan majoriti 2/3 wakil UMNO/BN di Parlimen sehingga kini lebih berminat untuk mengekalkan akta ini demi survival kediktatoran mereka mencengkam rakyat yang tidak mengikut arus perdana.

Berdasarkan objektif mencegah ancaman keganasan dan subversif, nampaknya ia tidak bertentangan dengan prinsip maslahah `aammah (kepentingan awam) yang dibawa oleh Islam, jika kerajaan yang tertubuh itu adalah kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.

Tetapi sejarah membuktikan bahawa kewujudan akta ini menjadi lesen terbesar bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa pihaknya sentiasa benar, sentiasa memelihara ketenteraman awam atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama kerajaan memiliki super power untuk menekan suara kedua atau pendapat alternatif yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang tidak mampu dijawab dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang memerhati dapat memahami bahawa ‘ketenteraman awam atau kepentingan rakyat’ yang dilaung-laungkan itu, dalam banyak keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan pihak pemerintah.

Penangkapan musuh-musuh politik para pemimpin pemerintah pada tahun 70-an seperti A. Samad Ismail, Said Azhari dan lain-lain, penangkapan di bawah Operasi Lalang 1987 dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan seperjuangannya dengan bermulanya kes pemecatan beliau pada September 1998, adalah amat sukar untuk diterima bahawa akta ini digunakan untuk tujuan memelihara ketenteraman negara. Lebih-lebih lagi apabila memerhatikan sebab-sebab tangkapan di bawah akta ini terhadap tujuh aktivis reformasi pada 10 dan 11 April lepas (beberapa hari menjelang penyerahan memorandum rakyat kepada Suhakam, 14hb. April 2001), penangkapan Dr. Badrul Amin Baharom pada 20 April, Lokman Noor Adam 24 April dan Pak Din 27 April lalu.

(bersambung)

25 April 2008

Malaysia Bagaimana?

SINGAPURA 25 April — Sebuah rangkaian televisyen milik kerajaan Singapura didenda S$15,000 oleh pihak berkuasa penyiaran negara kerana menyiarkan satu episod televisyen yang mempromosikan gaya hidup homoseksual.

Penguasa Pembangunan Media Singapura (MDA) berkata episod itu disiarkan dalam program kediaman dan hiasan “Find and Design” pada 13 Jan.

Dalam episod itu, hos rancangan membantu pasangan homoseksual mengubah bilik permainan mereka menjadi sebuah bilik tidur kanak-kanak untuk bayi angkat mereka, kata MDA menerusi satu kenyataan semalam.

MDA berkata episod itu mengandungi beberapa babak yang menunjukkan pasangan homoseksual bersama bayi manakala pengacara pula mengucapkan tahniah dan mengiktiraf mereka sebagai sebuah unit keluarga melalui cara yang melazimkan gaya hidup homoseksual dan struktur keluarga yang luar biasa.

berita selanjutnya (more)


Malaysia bagaimana? Apa tindakan kerajaan terhadap ASWARA yang terang-terang baru ini menerbitkan filem pendek berjudul COMOLOT, yang berkisarkan tentang kehidupan 2 orang lelaki gay?

Ternyata filem laknat ini bebas dipertontonkan kepada khalayak umum. Para pelakon dan pengarahnya masih bebas berkarya. Mungkin sekarang mereka sedang memikirkan apakah filem homoseksual lain yang boleh diterbitkan lagi?

Malaysia setakat ini menuju ke arah industri perfileman laknat! Tiada lagi filem-filem yang boleh menaikkan semangat patriotisme negara, keinsafan, kemanusiaan dan sebagainya. Terdahulu filem-filem seperti Syukur 21, Leftenan Adnan dan lain-lain sememangnya filem yang mempunyai nilai tinggi di kalangan peminat-peminat filem. Saya juga mengakui filem-filem seperti ini boleh diperbanyakkan lagi selain memperbaiki sedikit sebanyak gaya dan penyampaiannya agar lebih "Islamik".

Nah! ambillah sajian filem seperti comolot, akhirat, sepet dan filem-filem lain yang ternyata mengundang laknat Allah. Adakah filem-filem ini terus diangkat di masa akan datang? Anak cucu kita akan merasai sindrom ini jika ia dibiar membarah!

Suasana seperti ini ternyata telah mendesak para karyawan Islamik agar terus memikirkan sesuatu supaya impak karya-karya laknat tadi tidak terus disemai segar pada masa akan datang. Para da'i mempunyai tugas berat dan tidak akan putus selagi nyawa dikandung badan. Saya mendoakan agar pada satu hari nanti lahirnya pengarah filem dari golongan azhari dan pencinta Islam untuk melahirkan filem-filem yang boleh memberi manfaat kepada ummat.

23 April 2008

Derita anak-anak mangsa ISA menggamit kebahagiaan yang tidak ditemui

Tatkala melihat kanak-kanak seusianya bergelak ketawa bersama ibu bapa, mulut petahnya terdiam seketika. Dia termenung, sebelum melepaskan satu keluhan kecil. Air matanya bertubir di sudut matanya, dan dia berlari menuju ke rumah. Biar hilang pandangannya dari melihat kebahagiaan itu.

Hatinya sayu. Sayu mengenangkan nasibnya yang tidak seuntung kanak-kanak tadi. Masakan tidak? Sudah sekian lama dia tidak dapat berkumpul, bergembira dan bermesra dengan bapa kesayangannya. Sudah lama dia terpisah dari bapanya. Bukan kerana Allah menjemput bapanya ke alam roh, tetapi satu-satunya akta zalim ISA yang bertindak demikian!

Bagi Suhaib Mat Sah, tidak tercapai di fikirannya bahawa satu ketika nanti dia tidak dapat mengecapi kebahagiaan bersama bapanya angkara ISA. Dia sentiasa berasakan bahawa kasih sayangnya bersama kedua ibu bapanya sentiasa berpanjangan. Namun, impian itu bukanlah realiti baginya. Kini, hampir enam tahun beliau tidak dapat bermesra dengan bapanya.

Enam tahun! Bapanya masih meringkuk di Kemta tanpa sebarang bukti kukuh yang boleh disabitkan ke atasnya. Kekecewaan anak berusia 14 tahun ini, jelas tergambar apabila dia pernah bertanya kepada uminya..."apa lagi yang PM nak?", "apa lagi yang cuba Pak Lah nak buktikan kesalahan abah?".

Aduhai hati, siapalah yang tahu penderitaan dan kesayuan yang dirasai Suhaib ini. Bagi kita yang dewasa, jika kehilangan orang tersayang pun sudah cukup meruntun hati. Apatah lagi bagi Suhaib, yang menyaksikan sendiri bapanya dibawa pergi, di tengah malam, enam tahun lalu.

Bermula saat itu, hidupnya tidak seindah kanak-kanak lain. Hatinya tersentuh setiap kali melihat kemesraan kanak-kanak lain bersama ibu bapa mereka. Hati kecilnya sering tertanya-tanya, bilakah abah yang dikasihinya akan menghirup udara kebebasan dan berpeluang kembali mencantum kebahagiaan mereka sekeluarga.

Seringkali Suhaib mendengus dan merungut, seolah-olah menyesali dengan apa yang terjadi. Apalah anak sekecil itu, yang sememangnya memerlukan kasih sayang seorang bapa mampu menghadapi dugaan maha perit ini?

Namun, dalam rontaan hatinya yang membenci tindakan ISA itu, dia tetap seorang anak yang kuat dan tabah. Walapun sesekali dirinya tewas dengan ketabahan yang dipupuk uminya sejak abahnya diheret pergi. Dia tetap seorang anak yang cekal, biarpun di hatinya hanya Allah yang mengetahui bebanan perasaan yang ditanggungnya.

'Kehilangan' abahnya cukup membuatkan perkembangannya tergugat. Anak yang kini sedang dalam proses membesar ke alam remaja sudah tentu memerlukan seorang bapa bagi membantunya menempuh alam baru.

Jika bapanya memang sudah tiada di dunia, mudahlah hati anak kecil itu dipujuk dan dikhabarkan berita itu. Malah, jika bapanya di penjara dalam tempoh yang diketahui akan berakhir sekalipun, pasti mudah dia menerimanya.

Namun, apa yang dilakukan ISA ini, benar-benar tidak berperikemanusiaan. Sudahlah terkepung tanpa bicara yang boleh membuktikan bapanya bersalah, pembebasan bapanya juga menjadi tanda-tanya dan mengikut sesuka rasa pihak pemerintah.
Baik lagikah ISA ini dalam masyarakat? Apakah ketenteraman negara ini akan terjejas sekiranya akta ini dimansuhkan seperti yang dituntut Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) selama ini?

Sedangkan adanya ISA inipun keselamatan rakyat di negara ini sudah tidak tenteram. Sana sini dikhabarkan berlaku penculikan, pembunuhan, rogol, samun dan sebagainya. Tenteramkah negara ini? Selamatkah kita dengan adanya ISA ini?

Aduhai pemimpin Malaysia, hentikanlah penderitaan keluarga mangsa tahanan ISA ini. Sapukanlah air mata yang mengalir di pipi anak-anak kecil ini. Bukan Suhaib seorang menanggung derita ini, masih ada 70 keluarga lain yang menangisi dan menderita akibat ISA.

Wahai rakyat Malaysia yang prihatin, bangkitlah. Bangkitlah sekali lagi bagi membantu GMI dalam rangka usaha mereka untuk membebaskan semua tahanan ISA, selain memansuhkan akta zalim ini.

Bangkitlah menunjukkan kuasa anda mendesak kerajaan dengan kepimpinan 'baru' ini agar mendengar dan menunaikan tuntutan semua pihak seperti yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri yang baru, Dato' Seri Syed Hamid Albar dalam Utusan Melayu tidak lama dulu..."Saya akan memenuhi tuntutan semua pihak..."

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.

Sumber: HarakahDaily

19 April 2008

Terima Kasih Lim!

Lim Guan Eng, nama seorang lelaki cina meniti di bibir masyarakat Malaysia. Beliau dikenali terutama selepas penahanan beliau yang membela seorang gadis melayu. Teringat saya semasa itu bising dengan ungkapan "melayu rogol melayu, cina masuk jel!". Ungkapan ini sering disebut dalam ceramah-ceramah politik pembangkang. Namun siapa sahaja yang perasan?

Namun kali ini agak berbeza sedikit. Penampilan bari beliau selepas pilihanraya umum ke 12 ternyata berbeza. Dahulunya pernah merengkok dalam penjara, tetapi kini selaku Ketua Menteri Pulau Pinang. Apa yang menarik perhatian umum sejak beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Pulai Pinang ialah berkenaan dengan DEB. Kecoh sekejap orang melayu. Ada yang menyokong tindakan beliau tidak kurang juga yang menentang. Apa yang dikata Lim ialah "kerana pelaksanaan yang penuh dengan korupsi, rasuah sebab itu beliau "mengharamkan" DEB di Pulau Pinang". Ternyata UMNO tak lama nak melayan "kerenah" Lim kerana rumahtangga UMNO dan BN sedang bergolak.

Satu lagi ungkapan beliau yang sangat menarik perhatian terutama orang-orang Islam ialah

"Semasa saya di penjara, antara orang yang kerap mengunjungi saya ialah Dato' Fadhil Noor (Al Marhum Presiden PAS). "Dan dialah yang membekalkan kepada saya buku-buku berkaitan Islam, termasuk satu buku tentang Umar Abd Aziz. Bermula dari situ saya kenal tokoh yang hebat ini...."


Mungkin ada yang prejudis dengan apa yang disebutkan oleh Lim terutama selepas beliau menang dan menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang, tentunya mahu menarik perhatian masyarakat Melayu di sana.

Namun pada saya apalah salahnya, dan sebenarnya bila direnung tidaklah terlalu pelik. Malah ramai kalangan orang-orang Islam yang mengambil tokoh-tokoh bukan Islam sebagai idola.

Hal ini terus mengikatkan saya kepada Al Marhum Dato Fadzil Noor. Rupa-rupanya "kerja" beliau hinggakan Guan Eng tidak merasa janggal dengan menyebut Khalifah Zuhud Umar Abdul Aziz di khalayak umum. Bahkan mahu mencontohi beliau. Terima kasih Lim kerana menonjolkan seorang tokoh Islam terbilang!

Semoga ia menjadi lebih dari idola Lim! InsyaAllah.

16 April 2008

Sabarlah Wahai Sahabat



Assalamualaikum.
Buat seorang sahabat bernama Wan Mohd Shukri Wan Abdullah. Sabarlah dalam menghadapi ujian ini. Ianya tidak lain ti dak bukan, datang dari Allah menguji iman setiap hambaNya. Tidak kira ia datang bagaimana, dengan cara apa. Apa yang Dia mahu ialah iman kepadaNya tetap thabat dengan segala ketentuanNya.

Dalam kita mengharungi ujian ini, semestinya kita kena fahami hujung jatuh dunia ini ialah syurga atau neraka. Ujian ini tidak seperti pemain bola. Ikut lagu mana pun cara, skill, mahupun ganjaran yang diperolehi tidak lain tidak bukan mahu menang. Hujung jatuhnya ialah menang.


Ujian yang menimpa kamu ialah ujian-ujian yang pernah dilalui oleh ramai sahabat. Tetapi sepertimana firman Allah s.wt:

Maksudnya: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. "

Ayat ini jelas Allah SWT telah merungkaikan sedikit sebanyak kecamuk yang berlaku dalam masa kita menghadapi ujianNya. Lihat sahaja bagaimana Allah menjelaskan Maha Mengetahuinya Dia sehinggakan kadang-kadang perkara yang kita benci adalah baik bagi kita, jika pun kita menyukai sesuatu atau si dia barangkali ia buruk bagi kita.


Buruk ini boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud. Terpulanglah bagi kita menilainya dan perasan dengan apa yang diuji kepada kita.


Ubat yang paling mujarab dalam hal ini ialah sabar dan banyakan berdoa dan bertaubat kepada Allah SWT. Inilah beruntungnya kita sebagai orang Islam, hujung jatuh kita semua berharap kepada Allah, zikir mengingatiNya lebih membuatkan kita tenang menghadapi ujian InsyaAllah.
Ada lagu buat sahabatku...
Rasa cinta
Adalah satu anugerah tuhan pada hambaNya
Dan kerananya manusia sanggup apa saja
Asalkan dia memiliki apa yang dicita

Kerna cinta
Sanggup berkorban apa saja, harta dan nyawa
Setiap detik hanya memikirkan tentang si dia yang tercinta
Ingin bersama sepanjang masa

Tetapi pastikah cintamu dihargai
Mungkinkah si dia kan tetap setia
Setelah kau serah jiwa dan ragamu
Mungkinkah kau pastikan tidakkan dihancurkan

Jika kau mencintai bunga
Sedarlah engkau bunga itu akan layu

Jika kau cintakan manusia
Sedarlah suatu hari dia akan pergi

Jika kau mencintai harta
Harta itu nanti kau akan tinggalkan

Jika kau mencintai Ilahi
Hanya Dia yang akan kekal abadi

Cintailah Ilahi

10 April 2008

Hudud: Melayu mudah lupa?

Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Islam mula diterima di Melaka pada tahun 812 hijrah (1409 Masihi). Ini menjadikan Melaka sebagai kesultanan Melayu Islam pertama di tanah air ini. Parameswara telah memeluk Islam dan menukar namanya kepada Sultan Iskandar Syah. Baginda diIslam kan oleh seorang pendakwah dari Jeddah yang bernama Sayyid Abd Aziz.

Ketahuilah bahawa, Kesultanan Melayu Melaka ini telah menjadikan Undang-Undang Islam sebagai undang-undang negara. Dan usaha untuk mengkanunkan undang-undang ini telah dimulakan sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah. Hukum kanun Melaka ini meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir.

Hukum Kanun Melaka telah memperuntukkan hukum Qisas dalam fasal 5:1,3 , 8:2,3, 18:4, dan 3. Antaranya ialah berkenaan dengan pembunuhan dengan sengaja yang dilakukan oleh orang Islam ke atas orang kafir, orang merdeka ke atas hamba dan bapa ke atas anaknya. Hukum kanun Melaka tidak mengenakan qisas bagi kesalahan-kesalahan tersebut.

Hukum Kanun Melaka memasukkan kesalahan melakukan hubungan sesama jenis (liwat) dan hubungan kelamin dengan binatang seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 43:5. Dalam Fasal 42 pula, memperuntukkan 40 kali sebat ke atas orang merdeka dan 20 kali sebat ke atas hamba yang melakukan kesalahan meminum arak. Dalam Fasal yang sama itu juga ada diperuntukkan hukuman bagi kesalahan berjudi iaitu dirampas semua barang perjudiannya.

Antara contoh lain iaitu hudud dalam Hukum Kanun Melaka yang meliputi kesalahan zina, qazaf, merompak, mencuri, murtad, dan meninggalkan sembahyang.

Kenyataan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika menjadi MB Terengganu:

Beliau merasa dukacita kerana ada yang bercakap apabila hudud dilaksanakan ramai orang akan kudung tangan. Turut sama yang bercakap merendah-rendah syariat ialah golongan beragama dari kakitangan Kerajaan di bawah JHEAT. Sepatutnya golongan agama dalam Kerajaan mendokong cita-cita menegakkan agama bukan menghancurkannya.

Yang penting kata beliau ialah orang ramai gerun dengan hukum itu dan tidak timbul lagi dakwaan menghina bahawa jika hudud dilaksanakan maka tangan rakyat Malaysia kudung. "Yang penting ialah 70,000 pencuri di Malaysia takut dengan undang-udang Islam itu," tegasnya.

Mengimbau kembali sejarah Terengganu beliau berkata, pada tahun 1928 hukum Islam pernah dilaksanakan di Terengganu. Katanya, orang tua yang berumur 80 tahun boleh menceritakan bagaimana hukum Islam dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada masa itu.


Sumbang pula "bunyinya" apabila ada sebahagian ustaz-ustazah pegawai kerajaan menjadi orang yang menyusah-nyusahkan pemahaman rakyat terhadap hukum ini. Sepatutnya mereka menjadi penyuluh apabila rakyat dalam kegelapan. Kalau bukan mereka yang mengaji agama siapa lagi? Ayuhlah kita sebagai orang yang mengaku beriman dengan kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya teguhkan iman kembalikan ketakwaan kita. Firman Allah:





Hudud: Pas Perlu Kuasai Pusat - Dr Haron Din

Berikut adalah jawapan yang diberikan oleh Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am Pas) .

Soalan |
Apakah apabila PAS menjadi pemerintah sesebuah negeri, undang-undang hudud Islam menjadi keutamaan? Wajib disegerakankah atau pun bukan keutamaan. Jika bukan, apa pula keutamaan PAS dalam pemerintahannya. Mohon Dato' perjelaskan. - Ubaidah Salim, Sepang

Jawapan | Anda perlu memahami terlebih dahulu bahawa sistem pemerintahan di Malaysia terbentuk daripada dua sistem perundangan iaitu, pertama, pemerintah Kerajaan Pusat atau 'Federal Government' dan kedua, Kerajaan Negeri atau 'State Government'

Kerajaan Pusat dibentuk selepas parti politik memenangi majoriti kerusi-kerusi Parlimen. Demikian juga di negeri-negeri, mana-mana parti yang dapat membentuk majoriti mudah, maka merekalah yang membentuk kerajaan.

Kuasa tertinggi adalah Kerajaan Pusat, mengikut kehendak Perlembagaan, kerajaan negeri perlu patuh dan tertakluk dengan kuasa Kerajaan Pusat.

Kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang sendiri yang bercanggah dengan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana itu, persoalan hudud adalah termasuk dalam peruntukan undang-undang yang dibolehkan oleh Kerajaan Pusat atau tidak. Buat sementara ini Kerajaan Pusat tidak meluluskan undang-undang berkait hudud dilaksanakan di peringkat negeri.

Ini bererti bahawa undang-undang hudud perlu patuh kepada Parlembagaan Malaysia, maka dengan sendirinya, jika PAS tidak menguasai Kerajaan Pusat atau Perlembagaan yang ada belum diubah, ia tidak dapat dilaksanakan.

Jika sekiranya negeri mahu melaksanakan undang-undang hudud, ia mesti mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

Dengan pemahaman yang mudah, kerajaan-kerajaan negeri PAS, belum diizinkan untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kita perlu bersabar sehingga Kerajaan Pusat dikuasai oleh PAS sehingga Perlembagaan Persekutuan dapat diubah, maka barulah ia menjadi keutamaan.

Untuk sekarang ini kita mengambil panduan daripada al-Quran, tentang apakah keutamaan PAS dalam soal pemerintahan.

Ia mesti berpegang kepada dasar PAS, ia termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (1) yang menyebut bahawa, "Adapun hukum yang tertinggi sekali pada pegangan PAS adalah Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya."

Merujuk kepada al-Quran, Allah memberi keutamaan, panduan kepada pemerintah Islam yang perlu melakukannya apabila berkuasa sebagaimana firman Allah (mahfumnya): "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj, ayat 41)

Kesimpulannya, keutamaan yang perlu disegerakan; pertama, memperkukuh hubungan dengan Allah menerusi menanam aqidatuttauhid yang sebenar, membasmi kesyirikan kepada Allah, menyebarkan ilmu Islam bagi memahamkan manusia umum akan Islam yang sebenar, mengajak mereka mengamalkan ajaran Islam, menghidupkan institusi agama agar ianya benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kedua, memberi perhatian dan tindakan yang sewajarnya kepada pertumbuhan dan perkembangan ekonomi, khususnya kepada golongan bawahan, fakir miskin agar mereka terbela menerusi pemberian zakat.

Sebagainya perintah Rasulullah s.a.w. (mafhumnya) "Ambillah harta daripada golongan berada dan bahagikannya kepada golongan kurang berada." Itulah yang dilambangkan dengan zakat.

Sekiranya semua zakat yang wajib atas umat Islam yang berada (kaya) di sesebuah negeri (khususnya di Selangor), dikumpul dengan cara yang berkesan dan sempurna, serta diagihkan kepada golongan yang miskin dengan cara yang betul, maka bayangkanlah apa yang akan berlaku.

Ketiga, makruf ditegakkan. Makruf ialah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT. Apa sahaja yang diperintah, hendaklah dicari jalan bagaimana mahu melaksanakannya sehingga syiar Islam tertegak dan kebaikan Islam terserlah, serta nilai-nilai murni menjadi amalan masyarakat.

Keempat, mencegah kemungkaran. Mengikut aturcara yang sesuai dan langkah-langkah pencegahan yang efektif lagi berwibawa, menuju penghapusan nilai-nilai negatif yang tidak disukai wujud dalam masyarakat.

Kelima, berserahlah kepada Allah SWT untuk menentukan yang sebaiknya dalam perlaksanaan semua urusan yang dilaksanakan menurut perintah-Nya. Wallau'alam.

Sumber: HarakahDaily

UMNO sama di mana-mana

Komentar seorang graduan Al Azhar yang pro-UMNO di blog saya: KLIK UNTUK BESARKAN


Boleh klik di sini



juga di sini

07 April 2008

FITNA: Kemuncak filem penghinaan terhadap Islam?

Agak sibuk sejak kebelakangan ini, sehingga memakan hampir sebulan blog saya tidak diupdate. Ini dek kerana tugasan yang banyak perlu diselesaikan terdahulu. Sehingga terlepas beberapa isu penting. Sejak hari Maulid Ar Rasul SAW, barulah hari ini sempat saya mencuri masa sedikit. Inipun selepas selesai beberapa urusan kuliyah yang tertangguh juga kerja-kerja persatuan yang perlu dibereskan terdahulu. Namun tidak mengapa, sebab jika mahu dibandingkan dengan penulis-penulis maya yang lain seumpama Ustaz Hasrizal Jamil dan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman bagai langit dengan bumi. Jika lambat untuk update blog, terutama setelah muncul isu-isu terbaru, ia bakal diperingatkan oleh pengunjung-pengunjung setia. Sementelah saya tiada siapa yang perasan mungkin di celah-celah kesibukan alam maya ini.

Rasa seperti terlambat, tapi rasanya tidak, lambat atau tidak bukan pengukurnya, tetapi sejauhmana kita mengambil tahu. Terutama berkenaan dengan isu filem pendek dari Belanda yang bertajuk "Fitna". Saya mula menggeledah maklumat dari "sahabat" saya iaitu Google dan Youtube. Ini kerana mungkin ada maklumat-maklumat awal yang boleh diterima dari "sahabat" saya tersebut. Nah! banyak sekali pelanggan-pelanggan YouTube telah meng-upload filem pendek yang dibuat oleh seorang ahli parlimen Belanda Geert Wilders.

Apa yang saya lihat, tajuk yang diberikan oleh pencipta filem tersebut seperti "ikhlas" menghina agama suci kita. Tidak lain tidak bukan ia sememangnya fitnah. Ia menggambarkan Geert Wilders tidak segan silu atau rasa bimbang dengan apa yang dia buat, yang secara terbuka membuat fitnah.

Apabila melihat selama lebih kurang 15 minit filem pendek tersebut. Fikiran melayang sejenak. Tersentak seketika teringat semasa Khilafah Islam dahulu. Mana mungkin orang-orang kafir bermudah sahaja menghina dan melanyak maruah Islam dan ummatnya.

Dunia Islam seumpama meletup sekejap, bahkan terlalu sekejap. Letupan tersebut umpama letupan kecil mercun. Asapnya sekejap sahaja dan terus menghilang. Tak tahu ummat Islam ditenggelami dengan apa. Tapi ternyata setelah kenyataan serang balas dan kutukan terhadap peristiwa ini dan siri-siri demonstrasi kecil yang tidak sebesar gelombang kuning 10 November 2007 lalu, ianya terus senyap dan terlalu cepat. Entah mengapa.

Jangan pula nanti, ramai ummat Islam terpengaruh dengan fitnah yang dimainkan oleh filem "Fitna" ini sudahlah! Tidak cukup dengan peristiwa 11 September 2001 ummat Islam menjadi sasaran fitnah tersebut. Malah ummat Islam ternyata terikut-ikut dengan rentak barat dengan terus melancarkan fitnah besar-besaran. Sekaligus menampakkan bahawa ummat Islam kini tenggelam dengan fitnah atas kejahilan mereka terhadap agama mereka.

Kita sudah merasai perit selepas peristiwa 11 September, semua kerajaan ummat Islam di dunia termakan fitnah dan dek kerana "takut" dengan desakan barat, lalu rakyat menjadi mangsa. Sudah lupakah tentang tahanan ISA yang dituduh pengganas ditahan dan ada tidak dibebaskan hingga ke hari ini? Lupakah kita dengan serangan habis-habisan terhadap sekolah agama rakyat serta pondok-pondok pengajian Islam seluruh negara! Masih ingatkah kita Universiti Al Azhar didesak agar mata pelajaran Jihad dikaji semula! Siapa yang menyambung rentetan fitnah besar yang dilakukan Amerika dan Israel ini?

Kejahilan ummat abad ini sememangnya mengundang padah. Fitna bagi saya merupakan kemuncak terhadap penghinaan Islam dan ummatnya. Ini selepas siri-siri penghinaan yang dilakukan oleh ummat Islam itu sendiri terhadap agamanya. Sebelum ini di negara kita sering sahaja mengundang kontreversi dengan kelahiran filem-filem fitnah terhadap agama sendiri. Pengarahnya sahaja sudah cukup mengundang fitnah dengan filem yang dilahirkan. Malah lambakan filem-filem tersebut menjadi kebanggaan kepada negara. Kononnya inilah usaha dalam menobat filem-filem negara ke arena antarabangsa!

Aksi ghairah, separuh bogel, kata-kata lucah dan banyak lagi yang terang-terang dikaitkan dengan agama suci, malah dengan selamba menyebut ini realiti masyarakat hari ini. Tanpa segan silu pula mengajak supaya banyakkan lagi filem seperti ini. Orang-orang ini juga sering mendapat tempat dalam media-media arus perdana. Media cetak lebih-lebih lagi media elektronik memberi tempat yang sewajarnya kepada mereka. Siri-siri kuliyah agama boleh dikatakan hanya sejam seminggu. Adakah mereka-mereka ini sensitif dengan apa yang berlaku sekarang? Malah mungkin mereka tidak tahu menahu dengan penghinaan oleh barat terhadap Islam, dek kerana kerja mereka lebih kurang sama sahaja!

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai