"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


29 November 2009

Ustaz nganggur atau gugur?

"Ulama pun menganggur?" "Ustaz tak kerja kah hari ini?" "ustazah dari Mesir ni bila balik suka duduk rumah tunggu orang minang, nak jaga kulit, takut kecut, lama duk Mesir kulit dia di sana gebu"

Banyaklah aku dengar dari mulut-mulut sahabat yang pulang. Aku sangat hairan kenapa ini berlaku kepada mahasiswa Al Azhar yang tamat pengajian. Masing-masing telah pun memegang ijazah sarjana muda tetapi masih dikatakan menganggur. Aku tak pastilah kerja yang bagaimana yang sesuai buat ulama atau para ustaz mahupun ustazah yang boleh menghilangkan title menganggur di kalangan mereka.

Hakikatnya, mereka wajar meletakkan diri mereka di tempat yang sebenar. Kawasan aku sendiri di Parlimen Pulai mahupun Johor Bahru masih ketandusan ustaz dan ustazah mengisi ruangan dalam perjuangan Islam dengan wadah PAS. Lihat sahaja hiraki pimpinan kawasan mahupun cawangan yang ada. Boleh dikatakan mereka sangat-sangat ketandusan ustaz ustazah sebagai pimpinan. Sehinggakan sesetengah kawasan tiada Ketua Urusan Ulama, maka mereka yang belajar agama sikit-sikit ala-ala me celup inilah yang mengisi tanggungjawab tersebut. Lebih malang lagi apabila pihak pimpinan kawasan terpaksa mengimport ustaz-ustazah dari negeri luar untuk mengisi program seperti usrah, kuliah dan sebagainya. Tak melampau rasanya jika aku petik kalam dari saudara Faizal Sabhon yang mengatakan ustaz-ustaz ramai yang jadi "lembu kenyang".

Nah! Ini kerja kamu wahai graduan Al Azhar! Mengapa? Tiada gaji bulanan? Tak cukup nak tampung anak isteri? Namun sehinggakan kamu sanggup mereka yang bekerja sebagai buruh kasar, peniaga pasar sebagai pemimpin. Bukanlah menidakkan kebolehan mereka sebagai pemimpin, namun inilah realitinya. Allah memilih mereka yang "mahu" berjuangan dan mengaut keuntungan besar dalam jual beli dengan Allah SWT. Maka sejahteralah PAS dipimpin oleh mereka dari kalangan buruh kasar, peniaga pasar, bekas polis yang sedikit ilmunya namun luas pemahamannya untuk menggalas perjuangan Islam.

Ada pula setengah ustaz yang hidupnya diputarligatkan dengan perniagaan MLM. Samada yang dikatakan syarei mahupun tidak. Kepetahan lidahnya berbicara mengenai MLM sangat mengagumkan. Tapi apakah mereka meletakkan lidah mereka tadi ditempat yang lebih sepatutnya? Bayangkan bila setaip bulan boleh mencecah 3 hingga 4 ribu kemasukan sebulan, apakah ringan tulangnya untuk mengisi ruang-ruang kosong di dada-dada umat Islam? Bayangkan sahaja alasan yang diberi, menghadiri seminar atau mana-mana perjumpaan MLM dan menolak mentah-mentah sebagai pengisi-pengisi program dakwah dan tarbiah.

Aku merasakan, perkara ini amat malang bila berlaku kepada sahabat-sahabat seperjuangan aku di sini dahulu. Pemegang Ijazah Dakwah, pemegang Ijazah Syariah mahupun apa-apa yang berkaitan dengan Islam masih dikatakan "menganggur". Sedangkan kerja-kerja "sebenar" mereka menanti dengan penuh harap, dan "jual-beli" dengan Allah masih dibuka 24 jam.

28 November 2009

Berjemaah itu apa?

Aku jarang menyentuh isu persatuan kecil Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) di blog ini. Ini kerana sepanjang aku di sini (bermula tahun 2005) aku masih belum melalui satu rasa kerisauan yang amat sangat. Aku menyatakan bahawa gelak tawa aku yang kadang-kadang nampak tidak serius semasa atau diluar mana-mana mesyuarat bukanlah menggambarkan bahawa kerisauan itu tiada.

Bagi pesatuan peringkat pusat (PMRAM) mempunyai masalah tersendiri dan bagi peringkat negeri juga mempunyai masalah tersendiri termasuk BKPJM. Aku tak nak mambandingkan masalah pusat dan negeri yang mana lebih susah mengendalikannya. Aku mahu menyatakan hanya satu, iaitu setiap persatuan negeri yang ada sekarang ialah membentuk pusat. Maka setiap masalah negeri ialah masalah pusat. Ketandusan pimpinan atau individu-individu penting pada negeri bakal dialami oleh pusat.

Ada yang bangga yang kerjanya banyak di peringkat pusat berbanding negeri. Bahkan jika di-list-kan memang nampak terbeban. Namun dari kebanggaan tersebut adakah semua kerja-kerja kebanggaan tersebut semuanya selesai dengan baik? Bukan kerja aku nak nilai baik atau tidak kerana itu bukan tujuan aku.

Aku suka hidup berjemaah, malah apa-apa kerja yang aku dipertanggungjawabkan oleh pimpinan jemaah maka aku galas. Tapi aku tak minat jika jemaah "mengerjakan aku"! Boleh faham kah?

Aku pernah menyatakan beberapa isu ini kepada peringkatan pimpinan tetapi malangnya ianya dipandang sepi. Tapi sebaliknya peringkat pimpinan mahukan terbaik dari ahli-ahlinya. Aku merasakan ianya telah berlaku ketidakseimbangan. Mungkin ada sahaja yang boleh menidakkan kenyataan aku ini tapi terpulanglah untuk menilai dengan hati yang mendalam.


Gambar: Pimpinan pusat yang mengharapkan pelapis.

Khutbah raya Aidilaha tadi di Masjid Musa dibacakan oleh Tuan Presiden Abdul Muizz Mohammed. Namun intipatinya tidak menyentap hati hadirin dengan masalah yang dialami pimpinan PMRAM sekarang. Dengan masalah-masalah yang berlaku sebelum ini yang boleh dikatakan serius tetapi ruh pada khutbah tadi seperti di bawa angin lalu. Nasib baik Tuan Presiden mengenakan ridak "Kita PMRAM" ianya sedikit membantu.

Pusat pada akan datang semestinya mengharapkan pengganti mereka pada akan datang. Ini hakikat yang perlu kita terima dahulu. Tetapi sedarkah pimpinan pusat bahawa masalah yang melanda peringkat negeri sangat membimbangkan. Pantauan khusus dari peringkat pusat semestinya dilakukan segera. Aku tak tahu ini kali ke berapa aku sampaikan, namun ini mungkin kali pertama dalam blog rasanya.

Aku pernah mengalami "sindrom melenyapkan hanset". Tapi belum sampai pergi bersembunyi di mana-mana pyramid di Mesir ini. Aku tak pasti samada pernah juga berlaku kepada mana-mana sahabat lain. Walaupun banyak sudah kursus-kursus kepimpinan yang telah disertai namun realiti yang berlaku menidakkan teori kursus-kursus tadi. Sehinggakan realiti yang berlaku berjalan atas momokan teori bukan disiplin teori.

Berbalik kepada perenggan atas sekali tadi. Aku menyatakan BKPJM sekarang hilang pelapis untuk pusat. Malah untuk memenuhi kerusi pimpinan yang ada di peringkat negeri pun seakan semput apatah lagi mahu mengisi kekosongan yang bakal diisi di peringkat pusat. Dan tidak keterlaluan jika aku menyatakan ada pimpinan pusat sekarang yang syok sendiri dan membuat keputusan-keputusan yang membelakangkan ahli-ahli.

Bagi mereka yang baru merasakan menjadi pimpinan. Hal ini bukan meremehkan kemampuan kamu akan datang. Tetapi mahu kamu bersedia dan jangan sampai nanti kamu juga terkena sindrom melenyapkan hanset malah lebih teruk lari bertapa di mana-mana pyramid kosong di Mesir ini!

26 November 2009

Korban 1430

Takziah buat abang ipar Razali bin Asro atas pemergian ayahanda tercinta. Semoga arwah ditempatkan bersama mereka dalam saf bersama para Nabi dan mereka yang soleh. Amin.

Syukur Alhamdulillah dan tahniah buat bonda tercinta serta rombongan yang selamat menunaikan ibadat demi ibadat tanpa sebarang halangan. Diberikan juga kesihatan. Semoga dapat menghayati ruh ibadat haji ini.

Syukur Alhamdulillah dan tahniah buat sahabat serumah Ishaq Hanis Ismail kerana akhirnya berjaya juga ke Mekah. Walaupun tertinggal kapal terbang kali pertama. Semoga dapat haji mabrur.

Tahun ni korban unta lagi. Walaupun unta ni tak banyak dagingnya. Tapi orang tetap nak korban unta. Sebab di Malaysia unta tiada. Jadi di sinilah kesempatan untuk mengorbankan unta unti yang ada. Murah pun murah berbanding dengan lembu.

Selamat Hari Raya Aidiladha khusus buat kekanda Roslan. Semoga raya tahun ini memberikan serbu makna bila menyambutnya seorang sahaja. Hehe.

Selamat Hari Raya Aidiladha juga kepada adik beradik yang lain.

Kak Fatimah dan abang Abdullah sekeluarga.
Abang Rosman dan kak Ani sekeluarga.
Kak Hafizah dan abang Razali sekeluarga.
Kak Norizah dan abang Yusuf sekeluarga.
Kak Noranizah dan abang Nazli sekeluarga.

Juga kepada para pengunjung Kalami.

Semoga semangat korban 1430 ini benar-benar memberi kesan terhadap perjalanan kehidupan korang!

23 November 2009

Ye saya tahu banjir, tapi...


Banjir ialah satu fenomena bencana alam. Kadang-kadang ia dianggap sebagai bala atau ujian Allah. Kadang-kadang juga ada yang mengatakan ianya lumrah alam terutama pada musim-musim tengkujuh. Bagi mereka yang tinggal atau menetap di pantai timur fenomena ini dianggap biasa dan ianya lumrah kata mereka.

Banjir juga menimbulkan perasaan yang berbeza bagi sesetengah manusia. Bagi mereka dan dewasa ianya memeritkan kerana terpaksa berhempas pulas memindah barang, menyelamatkan ia daripada banjir, namun ianya tidak bagi kanak-kanak yang menganggap banjir ini menyeronokkan. Ianya umpama pesta air yang ditunggu-tunggu saban tahun.

Tapi, selebat-lebat hujan atau sehebat mana pun banjir. Tiada kaedah fiqh yang membenarkan penganutnya bebas membuka aurat. Saya tak pasti, mungkin sahabat-sahabat lain ada membaca atau bertalaqi dengan mana-mana mua'llim ada terjumpa masalah tersebut, sila beritahu saya.


Gambar: Menunjukan bahawa banjir menjadi penyebab para muslimah yang berjilbab tiba-tiba memakai skirt paras lutut. Moral- Jangan gatal keluar rumah ketika banjir. Sumber dari Mstar Online.

17 November 2009

Tanggungjawab membantu Presiden PAS

Tulisan menarik dari Mohd Rashidi Hassan. Sumber dari HarakahDaily.


Seminar Memperkasakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diadakan pada 7 November lepas telah berlalu hampir dua minggu.

Tetapi ramai yang masih tertanya-tanya apakah PAS mampu untuk melakukan perubahan sebagaimana yang diharapkan, selepas dibedah dengan sebegitu rupa oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari dan Dr Abu Hassan Hasbullah.

Sebenarnya bukan senang untuk menghadapi kritikan secara terbuka. Bukan PAS tidak boleh menerima kritikan, tetapi untuk Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengundang orang luar membedah parti yang dipimpinnya, merupakan satu langkah politik yang besar dan belum pernah dilakukan mana-mana parti politik dalam negara.

Tindakan ini diibaratkan seumpama, Ustaz Hadi 'mengundang orang luar ke dalam rumah untuk memarahi dan menampar mukanya di hadapan anak-anaknya.'

Sepanjang sehari suntuk seminar diadakan wajah Presiden PAS itu penuh dengan ketenangan. Ternyata beliau berlapang dada dan menerima segala kritikan yang dilemparkan dengan penuh keterbukaan.

Keterbukaan Presiden PAS ini seharusnya dijadikan suatu titik tolak yang amat positif oleh semua golongan dalam PAS, sama ada seseorang itu ulama, profesional, AJK PAS Pusat, pimpinan peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Harus disedari bahawa, hakikatnya penganjuran seminar tersebut merupakan suatu perubahan dan keterbukaan PAS yang hebat dikritik sejak akhir-akhir ini, sehingga ada yang mengandaikan, pada waktu ini sokongan terhadap PAS semakin menurun berbanding Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008.

Harus difahami kebanyakan yang mengkritik PAS bukannya musuh PAS. Mereka amat menyayangi PAS. Mereka memberikan pandangan yang praktikal. Pandangan dikemukakan kerana pada mereka, hanya PAS sahaja yang mampu menggantikan Umno dipersada politik negara. Tiada parti lain.

PAS kini diakui sebagai sebuah parti yang besar. PAS mempunyai mempunyai asas disiplin kepimpinan dan ahli yang amat dinamik. Susunan kepimpinan PAS dilihat cukup matang dan mempunyai kredibiliti tersendiri.

PAS tidak lagi dilihat sebagai parti pembangkang sahaja. Sebaliknya PAS sudah diterima sebagai sebuah parti yang mampu mengurus dan mentadbir sesebuah kerajaan dengan baik. Jauh lebih baik daripada Umno.

Oleh kerana meyakini masa depan PAS, maka mereka-mereka yang mengkritik ini sebenarnya, meletakkan harapan yang besar kepada PAS. Mereka mahu melihat PAS, sebagai parti yang memartabatkan dan perlaksanaan Islam dalam negara.

Mereka mahu melihat PAS menjadi juara memperjuangan serta melindungi hak kepentingan orang Melayu dan memelihara kepentingan semua kaum dan agama dalam negara.

Mereka mahu meletakkan kepercayaan kepada PAS, sebagai sebuah parti yang bersih dari gejala rasuah jika diberi amanah menguasai kerajaan.

Segala pengharapan ini mahu disandarkan kepada PAS dan PAS bukannya hanya Ustaz Hadi seorang. PAS adalah milik semua ahli dan pemimpin PAS. Jika Presiden PAS dipalit dengan persepsi yang menyebabkan PAS lemah, maka menjadi tanggungjawab semua kita untuk membantu memulihkan imej PAS dengan membantu Ustaz Hadi. Untuk itu imej Presiden PAS harus 'dipolish' kembali.

Kita tidak akan dapat membantu Ustaz Hadi, jika kita di kalangan pemimpin atau ahli bawahan terus bercakaran sesama sendiri.

Jika Ustaz Hadi dilihat cenderung melihat satu aliran pandangan, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk mengemukakan pandangan alternatif kepada beliau, untuk membuat pertimbangan dan ijtihad yang lebih adil dalam mengemudi bahtera PAS.

Hakikatnya, untuk memulihkan PAS, bukan tanggungjawab dibahu Presiden PAS seorang, ianya adalah tanggungjawab kita semua secara kolektif.

Mujur kita 'dikejutkan dari tidur sekarang', kerana dengan kejutan ini, kita mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan sewajarnya, menjelang PRU ke-13 nanti.

13 November 2009

Bai'ah Talak: Apa isunya?

Bai'ah suatu perkara yang ada di sisi syarak. Ianya bukannya asing dalam Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa bai'ah ini dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW. Bagaimana bentuk dan caranya ada disertakan. Jika disemak dalam kitab-kitab karangan ulama semestinya ada. Antara kitab yang membahaskan masalah bai'ah ini ialah At Tahaluf As Siyasi fil Islam (Pakatan Politik dalama Islam) yang dikarang oleh ulama haraki yang masyhur Dr Munir Mohd Ghadban. Namun banyak lagi kalau kita nak baca, dalam Risalah Ta'alim pun ada, begitu juga dengan Fiqh Sirah karang Dr Ramadhan Al Buthi.

Media perdana kecoh bila dapat tahu ada di kalangan mereka dalam PAS mengamalkan bai'ah dan disertakan dengan lafaz cerai ta'lik. Bai'ah satu hal yang lain, lafaz ta'lik merupakan satu hal yang lain. Kebetulan saudara YB Khalid Samad Ahli Parlimen PAS Shah Alam mengakui akan adanya lafaz bai'ah sebegitu dan beliau pun telah memohon maaf kerana masalah ini. Tapi apakah isunya?

Kita lihat antara komen yang sempat aku ambil:


YB Zulkifli Nordin

Mempertuhankan Politik: Bai'ah Talaq

Bagi saya, ini adalah satu dasar yang paling tidak masuk aqal lagi memeranjatkankan yang pernah saya dengar. Amatlah malang bagi mana-mana gerakan yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan menjadikan bai'ah seumpama itu sebagai dasarnya!

Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, dimana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian.

Pertama, tak perlu perbesarkan hingga jauh perginya. Sehingga memburukkan hal bai'ah ini pada pandangan masyarakat. Aku tak pastilah bagaimana bai'ah Zulkifli Nordin dahulu semasa menyertai PAS dan setahu aku sememangnya ada lafaz bai'ah dalam PAS jika seseorang itu menjadi ahli PAS bukan sahaja ketika mahu bertanding dalam pilihanraya.

Beliau mengungkapkan bahawa perkara ini tak masuk aqal. Dalam ertikata ianya tidak logik dan akal manusia yang waras tidak boleh menerimanya. Baik, jika itu yang beliau katakan. Jangan pula nanti kisah sahabat yang mahu "menyerahkan" isterinya kepada sahabat yang lain ketika awal peristiwa Hijrah dahulu dikatakan tidak masuk akal. Jangan pula nanti lafaz ta'lik yang dilafazkan setiap pengantin baru dikatakan juga tidak masuk akal, sebab baru menikah dah nak sibuk lafaz ta'lik.

Benar, perkara yang halal tetapi sangat dibenci Allah ialah talak. Namun perlu diingatkan ianya bukanlah satu perkara yang mendatangkan dosa! Berdosa jika dilakukan pada waktu-waktu haram dilafazkan talak seperti ketika isteri dalam keadaan haid atau dalam keadaan mengandung. Walaupun ianya haram namun ianya tetap sah!

Tambah beliau lagi, wanita kembali kepada zaman jahiliyah dan perempuan didagangkan. Nampaknya kata-kata itu sangat bertentangan dengan maqasid atau tujuan pensyariatan lafaz ta'lik dan talaq itu sendiri. Zaman jahiliah sememangnya wanita didagangkan, dijual di khalayak ramai, dijadikan hamba, dan dilacurkan, serta bayi perempuan ditanam hidup-hidup. Tapi ianya amat berlainan dengan apa yang berlaku dalam bai'ah yang disertakan lafaz ta'lik ini. Kerana setiap apa yang disyariatkan dalam Islam mempunyai dasarnya tersendiri, ianya bukan ditentukan oleh mana-mana pihak yang memandai-mandai.

Jika ada lafaz ta'lik yang dilafazkan oleh mana-mana calon PAS, jika mereka keluar atau lari dari perjuangan ini maka tercerai atau tertalak isteri mereka, menunjuk keyakinan yang tinggi dan istiqamah dalam perjuangannya. Bahkan mereka faham bahawa nilai sebenar perjuangan ini perlu membuat satu pengorbanan demi memohon nusrah (bantuan) Allah. Apakah dengan rela hati mereka yang melafazkan bai'ah seperti ini, tiada bantuan dari Allah atas perjuangan mereka?

Secara tidak langsung kita boleh melihat perjuangan ini membawa semua pihak ke dalamnya. Tidak seperti kata-kata YB Zul yang bangga mengatakan Islam nombor satu parti nombor dua! Bagi mereka yang bergerak dalam gerakan Islam ini, tiada istilah seperti itu, kerana jemaah ini sentiasa dibawah "tangan" Allah. Bagi mereka yang lari dari jemaah maka terlepas dari "tangan" Allah. Benar PAS itu hanya wadah atau platform perjuangan Islam yang menyertai sebuah pilihanraya. Maka sebuah parti diwujudkan. Ianya juga memenuhi tuntutan kaedah fiqh. Namun adakah jemaah ini hilang atau bubar jika pilihanraya tiada? Atau PAS diharamkan? Sama sekali tidak! Kerana tanzim ini dibentuk atas asa akidah dan syariah yang jitu. Ianya diwujudkan bukan atas sentimen kepartian merebut kuasa atau memenuhi konsep demokrasi itu! Ianya bukan! Ianya lebih dari demokrasi dan perjuangannya tidak selesai hingga kiamat! Inilah komitmen PAS!

Bagi YB Zul ianya menjijikkan kerana YB Zul antara mereka yang melompat dari PAS. Maka istilah mempertuhankan politik itu keluar bila melihat situasi ini. Mungkin beliau lupa politik ialah aspek penting yang berada dibawah jagaan Islam itu sendiri, ianya sebahagian dari Islam, tiada pengasingan!

Kesimpulannya, Bai'ah itu syar'ie dan lafaz ta'lik itu syar'ei!

Tumpang bahagia

Apabila membaca keratan akhbar online KOSMO, terjumpa artikel ini. Berkenaan dengan sebuah keluarga "hafiz" Al Quran. Terasa bahagia melihat keluarga begini. Kalami tumpang bahagia.

Memperoleh keputusan cemerlang iaitu pencapaian 11 agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah pasti Asni mudah menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya iaitu perubatan.

Apatah lagi, sejak kecil, beliau memang mempunyai impian untuk menjadi seorang doktor kerana menganggap ia satu pekerjaan yang mulia dan dapat membantu mereka yang berada dalam kesakitan.


Tetapi kuasa Allah s.w.t mengatasi segala-galanya. Sewaktu sibuk memerah otak ketika menghadapi peperiksaan SPM, wanita yang berasal dari Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan itu terbaca sepotong hadis dan terus mengubah pendiriannya dalam memilih hala tuju masa depan.

Hadis yang berbunyi: "Barangsiapa yang menghafaz al-Quran, nescaya Allah akan memakaikan ibu bapanya di akhirat kelak dengan mahkota yang begitu indah dan bersinar cahayanya melebihi cahaya matahari yang menyinari dunia," ternyata berjaya meresap masuk ke dalam lubuk hatinya.

"Saya sendiri tidak menyangka betapa besarnya kesan yang diterima sebaik sahaja membaca hadis tersebut di dalam sebuah buku bertajuk Fadilat Al-Quran. Niat asal saya cuma untuk merehatkan fikiran selepas puas menelaah buku-buku ilmiah.

"Alhamdulillah, dengan ungkapan yang penuh indah itu, ia berjaya membuka pintu hati saya untuk bergelar hafiz al-Quran. Hasrat saya cuma satu iaitu menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa dengan memberikan 'hadiah' paling bernilai untuk mereka," ungkap Asni penuh makna ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Bandar Baru Bangi.

Selanjutnya klik sini

12 November 2009

Kenyataan Terbuka


Kenyataan ini terbuka buat para pegawai-pegawai Jabatan Penuntut Malaysia (yang berkenaan) dan pegawai-pegawai kebajikan anak negeri (bagi persatuan yang ada pegawai).

1. Isu menuduh PMRAM sebagai pembangkang sudah lama saya dengar. Sejak sebelum saya sampai di sini lagi sudah kedengaran desas desus tersebut. Di sini saya mahu menyatakan bahawa mereka yang menyatakan kenyataan demikian adalah kenyataan dangkal. Apakah asas mengatakan demikian? Sedangkan PMRAM diwujudkan sejak tahun 1930 sebelum parti-parti politik yang ada sekarang di Malaysia wujud lagi. Dan mereka yang lahir dari PMRAM lah yang memeriahkan parti-parti yang ada di Malaysia sebagai ahli ataupun pimpinan.

2. Istilah "pembangkang" yang membodohkan pemikiran cerdik pandai dari kalangan pegawai-pegawai MSD dan pegawai-pegawai kebajikan anak-anak negeri. Kerana istilah ini wujud dalam kamus demokrasi berparlimen di Malaysia dan setiap negeri di bawahnya. Jika kita lihat sistem demokrasi ini (yang dicipta oleh barat/UMNO) telah membodohkan para pegawai MSD dan para pegawai kebajikan anak negeri. Mereka yang mencipta pilihanraya supaya rakyat boleh memilih parti-parti yang mereka suka, tetapi dalam masa yang sama mereka membodohkan diri dengan istilah "pembangkang". Jika istilah "pembangkang" ini menjadi masalah bagi para pegawai, maka usulkan kepada kerajaan Malaysia supaya mansuhkan sistem demokrasi yang mengizinkan istilah "pembangkang" ini. Jangan jadikan istilah "bodoh" ini membodohkan diri mereka lagi.

3. Saya mengetahui ada laporan seorang pegawai mengatakan supaya menjauhkan diri (jangan amalkan) cara berdakwah Parti Islam Se Malaysia. Saya mahu menyatakan di sini bahawa pegawai tersebut ada hak memberikan pendapat, tetapi tiada hak untuk menghalang mana-mana orang Islam di Malaysia menyertai gerakan Islam ini. Jangan pula membutakan mata dengan bahan-bahan sejarah dunia dan Malaysia tentang gerakan-gerakan Islam ini. Bahan-bahan terbentang luas, sejak dari bangku sekolah lagi kami didedahkan dengan Parti Islam Se Malaysia di dalam buku-buku teks sejarah Malaysia. Masakan mereka yang cenderung dengan gerakan Islam ini, dibodohkan juga dengan kedangkalan pegawai yang malas menilai? Saya menegaskan bahawa kami mahasiswa mahupun mahasiswi adalah mereka yang membaca dan membuat penilaian. Apakah dengan apa yang kami baca dan berkuliah di Al Azhar (terutama kuliah usuluddin yang secara langsung mengaji bab sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan ideologi-ideologi yang lain yang bertentangan dengan Islam) dan kami menilai dengan kacamata pengajian ini menjadikan kami "bodoh"?

4. Dalam masa yang sama membenarkan Kelab UMNO Mesir beroperasi di Mesir dan memberikan segala sokongan dan dokongan kepada kelab tersebut. Padahal Kelab UMNO ini juga boleh jadi kelab dari parti pembangkang jika UMNO di Malaysia kalah dalam Pilihnaraya Umum akan datang! Padahal sekarang pun UMNO ialah parti pembangkang di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan sebelum ini di Perak. Jadinya sekali lagi para pegawai yang mengatakan PMRAM ini pembangkang membodohkan diri.

5. Akhir sekali, saya minta para pegawai MSD mahupun pegawai-pegawai kebajikan anak negeri sedar tanggungjawab anda di sini. Jika tidak sedar saya sediakan tugas-tugas penting yang wajar kamu ambil perhatian:

Isu kebajikan mahasiswa.
  • Kelewatan kenaikan nama para pelajar baru Al Azhar
  • Peperiksaan Imtihan Qabul yang dikenakan kepada pelajar-pelajar baru (bermakna peperiksaan STAM seperti tidak laku di Al Azhar)
  • Zakat bagi pelajar-pelajar (pelajar-pelajar Johor, terutama sekali pelajar tahun 1 dan 2 yang masih dinafikan hak mereka menerima zakat)
  • Pengakuan Pengarah JPMK menghalang program Kutub Sittah (Bacaan hadith) yang dikatakan program konvokesyen anjuran PMRAM.
  • Isu pengakuan pegawai-pegawai JPMK mencuri (mengambil tanpa izin) kain rentang tandatangan mahasiswa (simbolik membantah tindakan JPMK). Lebih jijik mengupah arab tempatan dengan menggunakan kenderaan kedutaan Malaysia untuk membuat aktiviti terancang tersebut.
  • Mengamalkan sikap doubel standard apabila membenarkan Kelab Politik seperti Kelab UMNO Mesir bertapak di Mesir dalam masa yang sama menuduh PMRAM seperti pembangkang. (UMNO juga pembangkang di Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan sebelum ini di Perak)
  • Jarang melaksanakan program-program thaqafah dan keilmuan untuk kebaikan pelajar-pelajar, melainkan jika ada tetamu dari Malaysia yang datang (seperti para pensyarah). Jika ada program yang dilaksanakan atas inisiatif PMRAM ianya diusahakan untuk dibatalkan.
  • Masalah lambakan pelajar-pelajar perubatan yang tidak memenuhi standard, tetapi dibenarkan untuk menyambung ke sini. Akhirnya lahir masalah-masalah sosial di kalangan mereka (membuka aurat, pergaulan bebas dan sebagainya)
  • Kurang pula pelajar-pelajar dari pengajian Islam. Pelajarbaru dari negeri Johor sahaja hanya 28 orang. Tiada usaha-usaha dari pihak pegawai untuk mempromosikan pengajian Islam di Mesir dalam masa yang sama mahu palajar pengajian Islam membanteras fahaman Wahabi. (Cakap tak serupa bikin!)
  • Banyak lagi, cukup sekadar ini.

Mohd Akhmal Mohd Ali

Ahli Jawatankuasa DESAK

08 November 2009

5 Resolusi 7 November 2009


PAS secara lebih proaktif akan memperkukuh Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13.

PAS melalui Dewan Pemuda dan Nisa' juga akan berusaha menarik kembali sokongan pengundi muda yang dilihat sedikit terjejas disebabkan beberapa faktor agar memberi undi mereka kepada PAS.

PAS juga mahu bertindak lebih agresif untuk mengaktifkan kelab penyokong PAS di setiap kawasan terutama di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Islam yang ramai.

PAS bersetuju untuk memantapkan pendirian parti berdasarkan maklumat, informasi selain menguatkan parti di peringkat akar umbi.

Menyediakan satu pelan tindakan untuk menguatkan parti antaranya memperkasakan kempen nasional iaitu PAS For All.

06 November 2009

Sudut Pandang

Pandangan menarik dari Naib Presiden PAS 1, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, berkenaan dengan penahanan Dr. Mohd Asri.

TAULIAH - APAKAH KERANA DIA DR ASRI ATAU KERANA UNTUK MENGAIBKAN PAKATAN RAKYAT, ATAU ADA AGENDA LAIN.

Isu pendakwaan terhadap Dr Asri bukanlah perkara aneh atau pelik. Bahkan PAS konsisten membantah tindakan tersebut. Cuma yang anehnya ialah kenapa UMNO bersungguh-sungguh membantah dakwaan terhadap Dr Asri, sedangkan sepatutnya kita kena konsisten terhadap kes, bukan siapa yang terlibat.

Isu larangan ceramah tanpa permit bukan perkara baru. Bahkan sebelum ini pun bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom pernah dihalang menyampaikan ceramah di Selangor. Lagi pelik, beliau bekas Mufti Selangor, tak dibenarkan ceramah di Selangor. Begitu juga Dato' Dr Harun Din juga pernah dihalang, sedangkan ribuan pelajarnya di UKM menerima ilmu darinya, bahkan yang nak halang dia pun bekas anak muridnya. Begitu juga Dato' Ismail Kamus, Mufti Perak Dato' Harussani juga dihalang menyampaikan kuliah di beberapa negeri.

Apakah istimewa Dr Asri berbanding tokoh lain? Bagi saya isunya bukan Dr Asri, sebenarnya isu yang besar adalah bagaimana untuk memburuk-burukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Kerana itulah media membesar-besarkan isu ini.

Saya sangat tidak bersetuju bila mana tokoh agama dilarang menyampaikan kuliah dan ceramah atas alasan tiada tauliah. Kita telah kenal ilmunya dan kemahiran yang ada, tetapi itulah hakikat yang sedang berjalan. Sebenarnya tindakan JAIS itu betul dengan peraturan, yang sepatutnya kalau dilihat dari sudut penceramah yang menyampaikan ceramah tanpa tauliah, memang melanggari peraturan dan JAIS mengambil tindakan tepat pada kesalahan tersebut. Yang pelik bukan tindakan JAIS, tetapi tindakan pemimpin UMNO membela mereka yang bersalah mengikut undang-undang Jababan Agama Islam Selangor. Jawapannya bukan kerana Dr Asri, tetapi kerana ia berlaku di negeri Selangor. Sebagai perbandingan kalau ia berlaku kepada Dr Harun Din, dan tangkapan dibuat pula di negeri Johor, saya yakin kenyataan dari pemimpin UMNO akan berubah bentuk. Inilah hakikat yang cuba disembunyikan.

Sekali lagi saya nyatakan bahawa jabatan-jabatan agama setiap negeri harus bezakan antara tokoh agama yang mempunyai ijazah dalam bidang agama, dan diiktiraf oleh masyarakat. Takkanlah mereka ini pun perlukan tauliah juga. Kena tengoklah siapa mereka, bukan tengok di negeri mana mereka berceramah sahaja. Kerana itu, pimpinan PAS kita konsisten menentang keperluan tauliah bagi golongan yang memang diketahui keilmuannya, diiktiraf oleh masyarakat dan mempunyai kepakaran dalam bidang agama untuk menyampaikan ilmu agamanya di mana sahaja.

Sumber di sini.

03 November 2009

Al Fatihah

Semalam dapat berita gembira. Akhi Fairuz dan Ukhti Maria dikurniakan cahaya mata. Tapi sekejap tadi dapat pesanan ringkas dari Malaysia. Akhi Selamat bin Bachok (sahabat semasa bersekolah di Madrasah Al Masriyah, Simpang Renggam) dan zaujahnya kehilangan cahaya mata tersayang.

Al Fatihah buat arwah.

Sebelum ini hanya mendapat berita yang anak beliau dihantar ke IJN untuk pemeriksaan jantung. Tapi hari ini lain beritanya. Semoga ujian Allah ini ditempuh dengan tenang bagi Akhi Selamat dan zaujahnya.

Tahniah buat akhi Fairuz dan ukhti Maria


Alhamdulillah syukur. Seorang lagi warga BKPJM dilahirkan di Mesir. Ukhti Maria isteri kepada Akhi Fairuz selamat melahirkan anak lelaki. Semoga dengan kelahiran cahaya mata ini memberi makna besar kepada keluarga dan seterusnya menjadi tunas-tunas perjuangan Islam akan datang! Amin


02 November 2009

Wahabi kena tangkap! SIS bila pula?

Baca Harakahdaily, tapi Harakahdaily bela Dr Asri. Baca pun tak seronok mana. Baca blog Ustaz Nasruddin Tantawi pun sama. Lemah kepala otak aku baca keratan ni:


"Saya sangat kesal...sedang JAIS boleh menumpukan operasi membenteras aktiviti maksiat dan mungkar yang masih berleluasa di negeri Selangor,"
Setiap jabatan agama di Malaysia ada pembahagian tugasnya. Bahagian penguatkuasaan juga banyak cabangnya. Alasan macam ni banyak kali aku dengar. Sebagai orang yang profesional tak boleh menyatakan sikap kita begitu. Lebih-lebih lagi ini melibatkan kuasa yang dimiliki oleh Jabaan Agama.


Aku cenderung bahawa penangkapan Dr Asri ni lebih kepada motif fahaman beliau. Beliau yang sememangnya popular sebagai ustaz wahabi (istilah dari golongan yang benci beliau dan fahamannya) ditangkap bukan atas motif politik. Tapi mungkin ada. Ramai datang back-up dia aku tengok kat akhbar internet. Marina Mahathir pun datang woo, Zainah Anwar (SIS) pun datang nak back-up. Siap Marina Mahathir beritahu pada wartawan:

"Kalau dikatakan mengamalkan fahaman Wahabi, mereka faham kah makna Wahabi itu? Mereka kena faham terlebih dahulu, barulah buat tuduhan," kata Marina dalam nada marah.

Alamak aci! Hang faham kah wahabi tu apa benda? Takkanlah pegawai JAIS tu nak sambung ceramah, jelaskan pasal wahabi kat penyokong depa? Itu belakang ceritalah. Tunggu masa hang pula dengan geng-geng SIS nak kena tangkap!

Cuma bagi aku, kesesuaian untuk memberkas Dr Asri dengan alasan ini masih belum boleh dilakukan. Memandangkan Malaysia bukanlah diperintah oleh orang Islam yang jelas pegangan akidahnya. Ini bukan zaman khilafah Islam. Dulu Ibnu Taimiyah ditangkap zaman khilafah Islam. Kalau Dr Asri kena tangkap kerana wahabinya, puak-puak UMNO lebih wajar ditangkap kerana fahaman sekularnya!


Ulasan Zamihan Al Ghari. Baca sini.

01 November 2009

Malam 29 Oktober

1. Sampai di dataran Hayyu A'syir bersama Kamal dan Yahya. Nak ikuti majlis ramah mesra bersama Anwar Ibrahim (Ibrahim Bechah nama sebenar Anwar dalam mimpi aku hehe, nak tahu call aku ler). Bersama beliau Dr Badrul Amin dan Saifuddin Nasution. Aku terperasan kain rentang DESAK yang tertulis sokongan 3 tuntutan kepada pengarah JPMK hilang.

2. Aku terus ke rumah Selangor cari Alang (seorang mahasiswa Selangor yang menjadi AJK DESAK). Tanya YDP BKASM dia tak tahu. Jumpa mamat mana ntah dia kata pun tak tahu. Tengah-tengah berbual dengan sapa ntah aku lupa nama dia, lalu kelibat Alang nak ke rumah Selangor. "Nah! Alang, ni!" aku serahkan surat tandatangan-tandatangan budak-budak yang sokong DESAK pada dia.

3. "padan muka!" Alang sebut. "Apasal?" aku tanya. "Dapat sekat kat Syabrawi" jelas Alang. Aku tanya lagi "apasal?". "tu kain rentang kena ambil arab, dah lapor polis padan muka!" jelas Alang. Aku malas nak tanya lagi. Aku dah faham.

4. Lepak warong cafe Selangor sementara tunggu Dr Badrul Amin nak solat isyak dan hajat beramai-ramai. Layan coklat ais bersama Kamal dan Yahya. "Psst, ustaz akhmal nak tanya ka nanti?" ada sorang tanya aku. "Hajatnya macamtu lah." aku jawab. "Hmm jangan blame ya, biar kita sokong Pakatan Rakyat" jelas dia. Maybe dia AJK Gerakan Suara Rakyat, dia takut aku nak blame Anwar. "aish! Dok aih.." aku menafikan. Hehe.

5. Ceramah start, tapi aku ke cafe Pahang melantak nasi goreng. Sebab yang mula-mula ceramah mesti Along (Presiden SUARA). Malas nak dengar "goreng-goreng" (bak kata Ustaz Hairul) dia. Baik aku isi perut dulu, lapar. Majdi belanja, heh.

6. Dr Badrul Amin ceritalah pengalaman dia masa belajar di Mesir ni. Dia juga mengaku pernah menjawat jawatan sebagai salah seorang Badan Pengurus PMRAM tahun 81-82. Entah ya entah tidak aku pun tak tahu. Kena check semula. Dia kata PMRAM zaman dia ada "tongkat sakti" macam Nabi Musa kalau dihentak ke bumi terbelah laut merah. Dia umpamakan begitu. Aku tengok muka buka ISMA ternganga dan terlopong. Saifuddin Nasution macam biasa, ceramah yang berfakta tanpa membawa sebarang kertas dan catitan semuanya masih segar dalam kepala.

7. Mula Anwar ceramah. Macam-macam cerita, dari mula dia berpolitik dari ABIM bersama arwah Ustaz Fadzil Noor dan Hj Abdul Hadi hinggalah sekarang selaku Ketua UMUM PKR. Cerita fasal budak saiful tu sikit. Cerita fasal Pakatan rakyat sedikit. Dia ada sebut dia datang sini atas jemputan majlis bersama Liberal Demokrat sedunia. Kemudian dia akan ke Bombay India menghadiri Persidangan Islam.

8. Sesi soal jawab. Aku orang pertama. Nik Azran orang kedua. Hairul Nizam orang ketiga. Mamat rambut panjang orang keempat. Faizal Sabhon orang kelima. Zanki orang keenam dan seorang siswi yang terakhir.

9. Macam biasa, Faizal kena balik dengan Dr Badrul Amin dan Saifuddin Nasution juga. Anwar juga bagi nasihat sudah-sudahlah duduk dalam UMNO. "Saya ni dulu Timbalan Presiden UMNO juga pernah memangku Perdana Menteri" kelab-kelab ni apalah sangat.

10. Soalan aku ada tak berjawab. Mungkin dah banyak sangat, tak perasan. Sebab ulasan Dr Badrul Amin pun tak kukuh, dan nak bangkitkan soal Nakhaei masuk UMNO pun tak kena. Saifuddin mengangguk-ngangguk semasa aku menyoal, ingat dia nak jawab tapi tak juga. Syeikh Anwar Ibrahim pun tak jawab juga.

11. Cerita best fasal curi mencuri ni di sini.

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai