"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


28 September 2009

ISMA + UMNO vs PMRAM

Bila aku teringatkan kata-kata Hassan Al Banna dalam Risalah Ta'lim, aku agak kendur untuk mengatakan sesuatu kepada ISMA. Bila baca web dan blog-blog pimpinan mereka, apatah lagi Presiden mereka di Malaysia bersahabat dengan PAS, lagilah membuatkan aku terpinga-pinga. Kehadiran Presiden ISMA dalam Muktamar PAS juga membuatkan bahawa Pimpinan PAS benar-benar memahami apa yang mereka dapat dalam tarbiah.

Di Malaysia kondisinya amat berbeza. Di Mesir tidak sama kondisinya untuk melakukan siasah yang serupa dengan PAS. Presiden Gerakan Mansuhkan ISA dari JIM, beliau merupakan Setiausaha Agung JIM. Juga beberapa pimpinan PAS yang dahulunya lahir dari pelbagai jenis gerakan Islam lain. Walaupun pada akhir-akhir ini terutama selepas pilihanraya 2008 lalu, mereka sudah menjelaskan wajah sebenarnya mereka dalam PAS. Tak mengapalah, itu wajah PAS di Malaysia. Menjaga suasana politik kadang-kadang lebih sukar dari menjaga fikrah.

Di Mesir lain bunyinya. Mungkin juga di IPT tempatan. Hal merebut mahasiswa baru masih berlaku. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sudah dikenali di Mesir sejak 1930 lagi. Sekian lama mahasiswa dan mahasiswi bernaung dibawah satu-satunya persatuan ini, dari sudut kebajikan, pengajian dan ukhuwah dan fikrah. Namun akhir-akhir ini hal-hal sedemikian direntap oleh beberapa persatuan lain yang cuba bertapak di hati mahasiswa-mahasiswi di sini.

Apa yang aku pasti persatuan-persatuan ini bernaung di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Kelab UMNO, ISMA, ABIM dan sebagainya semuanya bernaung di bawah JPMK. Kalau satu hari nanti Kedutaan Besar Malaysia di arahkan untuk ditutup, persatuan-persatuan tersebut juga ditutup kecuali PMRAM yang berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir sebagai NGO.

Semasa Haflah Aidilfitri PMRAM, aku semeja dengan Yang DiPertua Keluarga Pelajar Terengganu (KPT), dan bersama pimpinan lain dari PMRAM. Tiada isu lain yang kami bualkan, sekitar isu ISMA dan Kelab UMNO yang merampas kedudukan KPT sebagai persatuan rasmi anak-anak Terengganu Mesir menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru. Mereka dibantu oleh pegawai kebajikan anak Terengganu sendiri. Yang peliknya Pegawai mereka sendiri bersama Kelab UMNO dan ISMA dan menghalau YDP dari bas untuk menjemput mereka. Cerita lanjut klik sini.

Kalau tengok struktur organisasi amat cantik dan kemas. Presiden dan Badan Pengurus serta Hal Ehwal Wanita Islam (Pusat), Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM). Struktur yang amat berkesan untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar di sini. Namun semua ini tidak diakui oleh ISMA dan Kelab UMNO dan persatuan-persatuan lain. Ternyata mereka tidak senang dan berbulu biji mata mereka dengan PMRAM. Dari sudut mana pun tak tahulah. Kalau mereka sama-sama yang beri kebajikan, kenapa tak sama-sama bersama PMRAM yang menjangkau 75 tahun ni?

Kesimpulannya sama seperti di Malaysia. PAS sebagai gerakan Islam wujud awal sebelum wujudnya jemaah-jemaah lain. Ada yang kata PAS tak cukup tarbiah, maka buat jemaah lain. Tak cukup tasauf, buat jemaah lain. Tak pandai ekonomi dan tak reti tackle golongan-golongan profesioanal, buat jemaah lain. Tak buat kerja-kerja dakwah, buat jemaah lain. Akhir sekali kemenangan Islam jadi lambat dengan masyarakat menjadi terlopong dengan banyaknya jemaah-jemaah Islam ini. Apatah lagi, kalau berlaku seperti di Mesir ini. Jemaah lain mengganggu jemaah lain.

Baik, tadi teori biasa kita dengar. Hakikatnya mereka (ISMA dan Kelab UMNO), ada tujuan tersendiri. Mereka juga ada kerja-kerja perkaderan untuk dibekalkan di Malaysia. Sebab itu entry aku yang lepas sebut pasal ini. Yang kita duduk bawah naungan PMRAM ini, tak payah fikir teori lain atau buat sebab musabab lain. Kita buat cara kita.

26 September 2009

Mesir pusat perkaderan pembangkang! Apa masalah?

Korang bacalah sendiri artikel di blog saudara Faizal Sabhon. Tergelak aku. Dunia dihujung jari sekarang ni, masih ada pemikiran begini? Sudahlah berkongsi strateginya untuk mempengaruhi mahasiswa di Mesir. Dikatakan pula Mesir ni pusat perkaderan pembangkang.

Pertamanya, saya syorkan saudara Faizal duduk dalam realiti dan bukan fantasi. Benar, mungkin dek kerana lama sangat UMNO memerintah Malaysia, bunyi "pembangkang" tu macam jahat bunyinya. Padahal ianya kata lawan bagi pemerintah. Bila ada pemerintah ada pembangkang. Dari sudut demokrasi pun ianya dibenarkan. Malah Tun Dr Mahathir pun pernah mengatakan mesti ada pembangkang supaya ada check and balance.

Baik, suasana di Mesir khususnya masyarakat pelajar di sini. Sejak sekian lama mereka bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Sebelum wujud Kedutaan Malaysia lagi, bahkan PMRAM meminta kerajaan mewujudkan kedutaannya di Mesir.

Tak dinafikan, mereka yang lahir dari kem PMRAM ini, di Malaysia banyak mewarnai wajah-wajah pimpinan politik. Kebanyakan mereka menyertai kem parti behaluan kiri (menentang penjajah), antaranya Parti Kebangsaan Melayu Malaya, sebelum itu Hizbul Muslimin, Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani SeMalaya (BATAS), dan banyak lagi.

Namun tidak kurang juga yang menyertai parti-parti politik berhaluan kanan (kawan British). Antaranya, Dr Yusuf Noor, Dr Abdul Hamid Othman, Wan Mokhtar Ahmad dan beberapa lagi dalam kem Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO. Kebanyakan mereka juga dalam saf Biro Agama UMNO. Ustaz Firdaus bekas imam masjid negara antaranya. Sejarah Biro Agama UMNO juga menceritakan bahawa mereka yang duduk dalam Biro ini tidak senang dengan pimpinan negara, terutama dalam soal judi, loteri dan beberapa program berunsurkan maksiat yang berjalan di muka bumi Malaya ketika itu. Mereka dan beberapa lagi persatuan Melayu di seluruh negara sepakat menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya dan akhirnya kepada Parti Islam Semalaysia (PAS) pada tahun 1951 (UMNO 1946). PAS bukanlah serpihan UMNO, ianya wujud dari kesedaran Islam para pejuang kemerdekaan dahulunya.

Ini realitik politik demokrasi dan sejarahnya. Berlaku hingga hari ini. Sejak pilihanraya 1955 PAS masih konsisten dan beberapa kerjasama politik dalam bentuk tahaluf siasi dijalankan dengan baik. Pernah bersama Parti Negara kemudian dikhianati, juga bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang berjaya memerintah Kelantan penuh tahun 1990, kemudian Semangat 46 lenyap kembali bersama UMNO, hinggalah sekarang dalam Pakatan Rakyat (dahulu Barisan Alternatif). Juga beberapa kali bergerak sendiri tanpa sebarang pakatan.

Bukan nak bincang baik buruk PAS dalam pakatan atau bersendiri. Tetapi nak membawa Faizal supaya terbang jangan tinggi sangat. Terbang rendah sikit, lihat realiti. Saudara Faizal Sabhon boleh sahaja terus istiqamah dengan UMNO kesayangannya. Mungkin tiada yang iri hati pun jika satu hari nanti saudara jadi Presiden UMNO.

Sebenarnya Faizal lupa, dan mungkin cepat sangat buat telahan. Malah pukul rata mungkin. Sahabat-sahabat dari Kelab UMNO Mesir mesti tidak bersetuju dengan kenyataan Faizal. Juga sahabat dari ISMA atau dari ALAMI dan ABIM. Mereka ini juga dikaderkan bukan untuk menjadi pembangkang. Ternyata telahan Faizal tersilap.

Faizal terlupa, perkaderan ini bukan hanya di Mesir tetapi di seluruh dunia. Hatta di negara matahari terbit dan Russia sekalipun mereka balik ada yang menyokong pembangkang. Malah menjadi pimpinan profesional PAS. Di kalangan pimpinan PAS sendiri ramai dikalangan lepasan Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, juga ramai yang lahir bahkan mejoriti mungkin dari universiti tempatan. Adakah Faizal nak katakan mereka-mereka ini lahir dari pusat perkaderan pembangkang?

Tapi hakikatnya ada juga bahkan ramai juga yang lepasan dari negara-negara ini menjadi pimpinan UMNO dan BN. Inilah realiti yang Faizal wajar lihat. Bahkan mungkin satu hari nanti UMNO jadi pembangkang, dan Kelab UMNO dihalau dari kedutaan dan terpaksa pula buat usul mengumpul dana bagi membina pejabat operasinya. Hal-hal seperti ini tidak mustahil. Bahkan mungkin setahun dua lagi.

Apa yang dirisaukan? Bukannya melahirkan mat-mat dadah, bohsia kurap, mat rempit atau kaki mabuk. Bahkan ini merupakan satu aktiviti sihat berlumba-lumba melakukan kebaikan. Aku harap Faizal bangun dari mimpi. Sekarang ni dah 2009.

Video dari warga Malaysia di UK.



Iklan raya pilihan

Iklan ni tak tahu tahun bila. Mungkin sekitar tahun 2000 hingga 2003 rasanya. Tapi banyak-banyak iklan petronas. Ini iklan raya paling best bagi aku.

Taklikan aku:

1. Dia hon pakcik suruh ketepi nak cepat.

2. Dia berhenti, sebab simpati dengan pakcik, niat nak tumpangkan.

3. Pakcik lambat sangat jalan. Dia tak nak tunggu. (sebenarnya pakcik tu nak bagitahu sesuatu, bukan nak tumpang rasanya)

4. Tak sempat pakcik tu nak beritahu. Bam! langgar pokok tumbang. Hujan lebat berderu, cermin kelabu, Mana perasan masa terkejar-kejar nak buka puasa.

5. Pakcik ada payung dan bekalan berbuka. Dia kereta ranap, bekalan pun tiada...



20 September 2009

Pagi Aidilfitri 1430 di H10, Kaherah

Seawal 6 pagi, ramai kan? Kami menunaikan solat sunat Aidilfitri di padang. Sekali pandang macam kat Mekah la.

6.30 pagi: Antara bangsa melayu yang khusyuk mendengar khutbah

....pun sama.

6.50 pagi: Peluk-peluk minta maaf

7 pagi: Posing ramai-ramai (Ustaz Firdaus Ahmad tengah posing ke tuh?)

7.30 pagi: Ishaq menumpukan perhatian terhadap hidangan. Manakala Bad dan Malik menumpukan tayangan ulangan Arsenal vs Wigan.

.... masih sama.

9 pagi: Beraya di rumah Qistas (Mendokong: Penulis, didokong: Nur Wafa' Nafisah, anak Qistas)


18 September 2009

Selamat Hari Raya I'dulfitri 1430


Perutusan Aidilfitri 1430 Tuan Guru Mursyidul Am PAS

Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.

Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.

Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.

Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam.

Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS


Perutusan Aidilfitri 1430 Tuan Guru Presiden PAS

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan al-Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ia merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita: bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Eid Mubarak kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ikhlas,

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

17 September 2009

Ifthor Jamaei PMRAM

Bagi sahabat-sahabat yang berada di Mesir ni. Ada berita baik.

Iftor Jamaie dan Munajat Perdana PMRAM

18 September 2009 (Jumaat)

Di Dataran Kompleks Melayu, Hayyul 'Asyir.

Tentatif:

Lepas zohor-Gotong-royong masak bubur lambuk,

4.30 petang: Majlis khatam Al-Quran beramai-ramai,

5.15 petang: Tazkirah oleh Ust. Syeikh Yusoff Haji Ahmad (Pegawai Kebajikan Pelajar Kedah Mesir)

5.45 petang: Tahlil dan doa selamat.

6.05 petang: Berbuka puasa beramai-ramai.

Lepas tarawih: Majlis Muhadharah Bersama Prof.Dr. Rif'at Fauzi Abdul Muttalib.

Jangan lupa bagitau orang lain. Ajak anak bini semua memeriahkannya!

16 September 2009

Lirik Lagu: Pertama Ramadhan

Pertama Ramadhan
Artis: Fotograf

Bila tiba akan kehadirannya
Pertama Ramadhan ini
Bersambutlah mereka seadanya
Dengan penuh keinsafan
Mencari pengertian

Walau jauh dari kemahuanmu
Pertama ramadhan ini
Agar tidak mencampuri sesuatu
Tiap gerak dan lafaz
Hanya izinanMu jua

Dan seringkali kita terlupa
Hakikat puasa sebenarnya

Dan seringkali kita terlena
Maksud tersirat sebalik makna

Pertama Ramadhan ini
Aku tidak berlapar lagi
Kerna mengingatiMu

Pertama Ramdahan ini
Aku tidak kehausan lagi
Kerna merinduiMu

Aku telah tahu segala-galanya
Erti sebenarnya puasa



15 September 2009

Isu Draf Cadangan: Penjelasan Setpol MB Kedah

Isu Arak : Cadangan 'DPPP' Mesti Lebih Kemas Daripada Peraturan Sedia Ada

Saya berada di sebelah MB Kedah sewaktu wartawan akhbar cina mengajukan pertanyaan tentang hasrat Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengemukakan ‘pekeliling’ untuk menghadkan penjualan arak di kawaan majoriti penduduk Islam di Negeri Pakatan Rakyat.

Istilah ‘pekeliling’ ini yang mengundang jawapan daripada MB bahawa DPPP tiada local standi untuk mengeluarkan apa-apa pekeliling kepada kerajaan negeri. Pekeliling biasanya hanya dikeluarkan oleh KSU Kementerian, JPA dan Setiausaha Kerajaan. Hari ini apabila akhbar menulis tentang ‘kertas cadangan’ (bukan pekeliling) daripada DPPP, barulah terang isu local standi dan ‘hak’ DPPP ke atas kerajaan negeri sebenarnya tidak timbul.

MB menambah lagi bahawa isu penjualan arak ini perlu dilihat dari semua sudut (Enekmen Kerajaan Negeri, Akta Parlimen, penguatkuasaan undang-undang, hak bukan Islam dan kesan buruk arak kepada masyarakat umum seluruhnya - penulis), tidak boleh dibuat dasar umum bagi semua negeri sehingga wujud ruang bagi sesetengah pihak mendakwa Kerajaan Negeri menafikan hak bukan Islam meminum arak.

Arak bagi agama lain tidak dilarang, tetapi apabila peminumnya mabuk ia bukan sahaja memudaratkan peminum, tetapi mendatangkan kesan yang buruk kepada masyarakat. Kedah sedang meneliti langkah-langkah yang perlu dari semua sudut dalam isu ini supaya dapat ditangani sebaik mungkin. Ia jangan sampai menimbulkan isu sampingan seterusnya ia bakal mengundang polemik yang berpanjangan seperti yang berlaku di sesetengah negeri. Ini yang disebutkan oleh MB Kedah kepada wartawan.

Buat masa ini, Enekmen dan undang-undang berkaitannya yang ada di Kedah sudah ada untuk membendung orang Islam dari meminum arak, yang tidak kemas ialah penguatkuasaan dan pelanggaran hukum agama oleh peminum arak. Kedah hanya membenarkan lessen premis menjual arak kepada kedai-kedai tertentu sahaja milik bukan Islam. Jika DPPP ada pandangan lain untuk melaksanakan tuntutan Islam dalam isu ini , sila kemukakan dengan cara yang betul, bukan dengan membuat sidang akhbar sahaja. Ini penegasan MB semalam.

Apa yang saya fahami dari sidang akhbar sambil berdiri di Istana Anak Bukit itu dan penjelasan dalam akhbar hari ini ialah:

1. Istilah pekeliling telah digunakan oleh wartawan, sedangkan ia adalah kertas cadangan. Istilah inilah yang mengejutkan MB lalu mempersoalkan hak DPPP untuk mengeluarkan pekeliling.

2. Kedah tidak bermaksud membiarkan sahaja arak yang diharamkan dalam Islam memusnahkan kehidupan beragama rakyat Kedah, tetapi sebarang cadangan penambahbaikkan mestilah lebih kemas dari apa yang sedia ada. Langkah-langkah menghadkan lessen premis sudah pun dibuat di semua PBT di Kedah.

3. Perlu ada perbincangan yang mendalam dari semua sudut, termasuk kajian terhadap Enekmen dan Akta berkaitan serta penguatkuasaan undang-undang yang ada dalam bidang kuasa kerajaan Negeri (khususnya dalam konteks Kedah) untuk memperkemaskan pelaksanaan hukum Islam berkaitan arak.

4. Negeri Kedah tidak berdiam diri dalam usaha melaksanakan hukum pengharaman meminum arak kepada umat Islam dan kesan arak kepada masyarakat seluruhnya, tetapi ia tidak dibuat menerusi publisiti di media.

5. Sebarang perubahan dalam dasar dan polisi kerajaan Kedah harus dipersiapkan dan dikemukakan dengan penuh kekuatan dari semua sudut sama ada strukturnya, kandungannya, kredibiliti dan integritinya, supaya ia boleh dilaksana dan dipertahankan. Jangan sampai sesuatu pembaharuan dalam pentadbiran dicabar dan kalah di mahkamah.

6. Kaedah ‘pukul anak sindir menantu’ tidak sesuai, dan tidak cukup kekuatan dalam isu perundangan dan pendekatan politik dalam bab melaksanakan tuntutan terhadap hal-hal yang sensitive (dalam konteks budaya dan sosio-politik Malaysia) seperti arak dan judi.

7. MB bersedia menerima cadangan dan saranan sesiapa sahaja untuk kebaikan, dan bersedia bertemu DPPP dalam isu ini.

Setahu saya, di zaman pemerintahan Khalifah Syaidina Umar Al-Khatab, beliau telah mengambil cukai ke atas arak, tetapi bukan bertujuan mencari dana negara, tetapi untuk membebankan industri itu. Hal-hal seperti ini perlu dibincangkan dengan serius dalam konteks Malaysia hari ini.

Harapan saya ialah supaya langkah awal DPPP dalam isu ini, walaupun bermula dengan sedikit ‘panas’, akan membuahkan hasil yang mampu membuka jalan keluar yang terang-benderang. Kesan yang kita mahukan ialah kerajaan mampu menyelamatkan rakyat dari terus terjerumus dalam dosa dan kesan buruk arak selaras dengan tuntutan Allah s.w.t. Saya telah dihubungi oleh Setiausaha DPPP, Saudara Kamarulzaman Mohamad untuk mengadakan pertemuan dengan MB untuk memberikan maklumat lanjut DPPP dalam isu ini.

Muhammad Sanusi Md Nor
Setpol MB Kedah

14 September 2009

Jangan angkuh!

Sebagai sebuah gerakan Islam. Antara tunjang kekuatannya ialah Al Amru Bil Makruf Wan Nahyu Anil Munkar (Menyeru kepada kebaikan dan membasmi kemungkaran). PAS tidak terlepas dari tanggungjwab ini. Samada sebelum atau selepas berjaya memerintah negeri. Sekarang baru 5 negeri berjaya diperintah. Walaupun Pulai Pinang dan Selangor dari rakan komponen lain tanggungjawab sebagai gerakan Islam tetap sama bahkan wajar dipertingkatkan.

Ustaz Azman Shapawi sebelum ini menyatakan garis panduan Pemuda PAS bagi mengawal jualan arak di negeri-negeri Pakatan Rakyat bukanlah retorik politik. Bahkan ianya dibincang lama dalam peringkat pemuda PAS. Draf cadangan ini sebenarnya sebagai langkah awal yang diambil oleh pemuda untuk kerajaan negeri yang ditadbir pakatan rakyat. Nama pun draf cadangan, dan cadangan boleh diterima atau ditolak. Itu tak jadi masalah.

Yang menjadi masalahnya, apa yang lahir dari pandangan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau menyatakan antaranya:

Azizan dilaporkan beranggapan cadangan Pemuda PAS bukan keperluan mendesak kerana Kedah sudah ada undang-undang sendiri berhubung kaedah penjualan minuman itu.

Beliau juga melahirkan rasa terkejutnya mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam.
"Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," Azizan dipetik sebagai berkata.
Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak patut dikeluarkan oleh seorang Menteri Besar apatahlagi ia datang dari kalangan ulama PAS dan dari kem Pakatan Rakyat. Usaha yang dilakukan oleh Dewan Pemuda merupakan usaha yang terpuji. Sepatutnya tidak mendatang polemik lain dari pimpinan. Bahkan draf ini bukanlah draf pertama dan terakhir. Akan datang akan tersedia beberapa draf cadangan terutama berkenaan dengan undang-undang murtad dan lain-lainnya yang dirasakan sangat diperlukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Tindakan Dewan Pemuda PAS jika dipandang sepi oleh pimpinan ianya menampakkan tiada kesaksamaan fikrah dan amal. Satu fikrah dan satu amal yang sering diucapkan oleh pimpinan boleh sahaja termakan diri sendiri nanti. Budaya seperti ini jarang berlaku dalam PAS.

Dalam kertas putih, memang tiada termaktub PAS tiada sebarang hubungan dengan Kerajaan Negeri Kedah. Apatah lagi mahu memaksa MB menerima setiap cadangan. Tetapi harus diingat bahawa kita semua dalam PAS merupakan satu jemaah. Apa gunanya duduk dalam gerakan Islam apabila ada negeri yang berjaya diperintah, tidak dapat melakukan apa-apa perubahan? Bahkan darf cadangan pun dipandang sepi, malah diperli lagi?

Jangan diperlekeh usaha-usaha dari peringkat akar umbi. Merekalah yang bersusah payah, tampal poster, ceramah sana-sini, korban tenaga dan harta.

Aku harap Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dapat kerap melakukan mesyurat bersama pesuruhjaya-pesuruhjaya setiap negeri bagi menyelaraskan hasrat dan kerja-kerja Islam ini tidak terganggu kelak!

08 September 2009

Kepentingan UMNO atau kepentingan umat?

Kepentingan umat Islam dipelihara bukan di masa terdesak sahaja. Perjuangan yang dibawa PAS merupakan mata rantai dari perjuangan Islam orang terdahulu. Ya, PAS mungkin ada kelemahan. Kelemahan itu bukanlah bermakna perjuangan ini salah. Perjuangan menegakkan kebenaran sentiasa dipandu Allah. Dalam meneruskan perjuangan ini, musuh tak kira dari atas, kiri, kanan mahupun bawah. Ianya menjanjikan seribu ujian.

Kita yang duduk dalam penjara demokrasi ini, menjadikan kita bebas dalam menentukan masa depan negara. Kuasa besar sentiasa memerhatikan negara-negara yang mempunyai gerakan Islam aktif. Samada gerakan Islam tersebut yang dikatakan liberal mahupun fudamental ataupun ekstrim. Mengikut keadaan. Apakah Hamas di Palestin boleh dikatakan ekstrim? Dan apakah PAS di Malaysia dikatakan liberal yang menerima jalan demokrasi sebagai wasilah?

Kita ada mauqif (pendirian) tapi kita juga ada uslub (kaedah).

Najib Razak sekali lagi menyatakan sedia untuk berunding dengan PAS untuk kepentingan umat Islam. Dan pejuangan PAS bukan semata terhadap umat Islam walaupun ianya menjadi salah satu keutamaan. Perjuangan Islam bersifal universal. "Ramatan lil a'lamin" memberi rahmat ke seluruh alam. Ianya bukan terbatas dalam sesetengah aspek sahaja.

Sepanjang negara kita merdeka aku lihat UMNO merupakan parti yang angkuh. Bahkan sanggup menikam kawan sendiri untuk kepentingan sendiri. Hakikat ini perlu UMNO terima. Walaupun sesetengahnya berat. Tetapi ianya hakikat.

PAS sudah lama bersedia memberi nasihat. Bahkan sejak sebelum merdeka lagi nasihat telah disampaikan. Dalam parlimen mahupun dalam sektor-sektor lainnya. Sehinggalah UMNO tak makan nasihat dan kita berjaya memerintah beberapa negeri.

Ahli dan pimpinan kita pernah dibunuh. Ramai yang pernah penat dan lelah dalam perjuangan ini. Tak kiralah dari sisi mana pun dia datang. Perjuangan suci ini bukan untuk menuntuk kepentingan peribadi atau kesenagan duniawi. Bahkan ada di antara kami kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petang.

Najib kata "PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam tidak sepatutnya berlagak warak dan menilai akidah orang Islam yang lain kerana mereka daripada parti berlainan." Ini bukan masalah ertinya berlagak warak dan menilai akidah. Apa yang disampaikan oleh PAS merupakan tuntutan Islam. Jika ada salahnya, tunjukan di mana? Baru kita tahu.

Hal-hal yang berkaitan dengan akidah dan syariat bukanlah hal sekecil kita nak buat nasi lemak. Ianya berkaitan dengan hidup di duni dan selepas mati.

Najib kata lagi "Dan (tindakan) persoalkan keIslaman kita ini bukan kerja manusia, ini kerja Allah. Ia jelas dalam Quran dan hadis". Kalau ini bukan kerja manusia. Nescaya Allah tak kirimkan Nabi s.a.w sebagai manusia. Ataupun Nabi s.a.w itu bukan di kalangan manusia.

Bahkan Abu Bakar r.a mungkin hanya membiarkan sahaja gejala riddah berlaku. Apa nak pening-pening? Itu semua kerja Allah dan Nabi. Nabi dah wafat. Biarlah sampai kiamat dunia ini. Tanpa lakukan apa-apa.

Wahai Najib, aku bersyukur jika UMNO luput di dunia ini. Benteng perkauman diruntuhkan. Islam akan berkembang pesat. Hakikatnya di Malaysia, perkembangan pesat Islam terbantut bukan dek kerana orang kafir, tetapi dek kerana umat Islam itu sendiri!

07 September 2009

Mandi kat bilik air jer

Al Kisah dari fadang fasir...


Burkini jadi isu di Mesir

LAWATAN ke Mesir membuatkan Omayma Mansour tergamam dan berasa Islam bukan sahaja tidak diterima di negara bukan Islam tapi juga di negara yang majoriti penduduknya menganut agama itu.

Ibu dua anak keturunan Mesir-Amerika itu terkejut apabila dilarang terjun ke dalam kolam renang untuk membantu anaknya dengan berpakaian Burkini, baju renang yang menutup seluruh tubuhnya ketika menginap di Hotel Moevenpick di bandar peranginan El Gouna, Hurghada.

Pengawal yang mengarahkan Omayma keluar daripada kolam serta-merta menegaskan dia tidak dibenarkan berenang dengan menggunakan burkini.

"Ini satu diskriminasi kepada wanita Islam yang ingin menutup aurat dan ia melanggar kebebasan hak beragama," tegasnya.

Pengurusan hotel itu turut memberi alasan tidak munasabah kepada Omayma ketika dia meminta penjelasan terhadap larangan itu.

"Saya rasa pengurusan hotel ini memandang rendah terhadap pakaian Islam dan mereka tidak mahu ia dilihat di perkarangan hotel lima bintang mereka," katanya.

Omayma pastinya tidak dapat menerima larangan seperti itu, lebih-lebih lagi di Mesir yang 90 peratus daripada 80 juta penduduknya menganut Islam.

Namun, insiden itu bukan yang pertama kerana pekerja hotel itu mengaku ada rakan sekerjanya dipecat kerana membenarkan wanita berburkini masuk kolam renang.

Wartawan Mesir, Nadia El-Awadi turut mengalami nasib sama di bandar peranginan Ain Sukhna. Lebih teruk lagi, Nadia yang bertindak meninggalkan hotel pertama berdepan masalah mencari hotel yang membenarkan di berenang di kolam dengan memakai burkini.

"Saya tidak faham menganapa keadaan senario ini berlaku. Saya lebih sedih kerana ia berlaku di Mesir, " kata Nadia, 40.

Ramai kini percaya kempen tertentu dilaksanakan oleh hotel dan pusat peranginan yang sering dikunjungi warga Barat untuk melarang memakai pakaian itu.

"Kami tidak berdepan masalah pelanggan memakai burkini tapi masalahnya, ada di antara bahan pakaian ini berbahaya untuk pemakainya," dakwa pengurus sebuah hotel lima bintang.

Namun, alasan itu ditentang mereka yang memakai burkini.

"Alasan itu tak masuk akal dan keterlaluan. Burkini yang saya pakai diperbuat daripada lykra, bahan sama yang diguna menghasilkan pakaian renang lain," tegas Omayma.

Penyelidik undang-undang Islam, Manal Youssef berkata, insiden itu menggambarkan percanggahan yang berlaku antara golongan sekular dan juga mereka yang ingin mengamalkan Islam.

"Meskipun kerajaan tidak melarang atau mengarahkan jenis pakaian yang patut dipakai, ia juga membiarkan pemilik hotel dan premis lain menentukan apa jua yang mereka ingin laksanakan terhadap pelanggan mereka," katanya.

Apapun, ramai pegawai agama menyatakan, pemilik hotel yang terletak di pantai indah berhadapan Laut Mediterranean dan Merah melaksanakan larangan untuk memuaskan hati pelancong Barat yang membanjiri negara itu setiap tahun.

"Hotel melakukannya untuk memuaskan hati pengunjung bukan Islam. Mereka melarang memakai burkini dan membenarkan pelancong Barat berenang separuh bogel," kata Nadia.

Tahun lalu, lebih 11 juta pelancong mengunjungi Mesir. Bank Pusat melaporkan industri pelancongan menghasilkan pendapatan RM37.28 bilion pada tahun lalu.

Tindakan Mesir itu bagaimanapun agak pelik kerana banyak negara Barat membenarkan wanita Islam berenang di kolam renang dengan memakai burkini.

Awal minggu ini, majlis bandaran Oslo, Norway membenarkan wanita Islam berburkini berenang di kolam renang awam. Ia turut dibenarkan di Australia, Britain dan Amerika Syarikat.
Mandi kat bilik air jer la... Nak bogel (walaupun makruh) pun takde sape larang...

06 September 2009

Agen Dana Syaqah


Aku ada baca blog Chaon. Kawan yang seangkatan tahun 3 dan 4 di Mesir. Alhamdulilah dia dan beberapa lagi kawan yang lain Binjai, Hariz, Hadi Faiz Abidin dah menamatkan zaman bujang selaku pelajar ijazah sarjana muda Syariah. Cuma aku dan beberapa kawan tasfiah masih ada lagi yang perlu dibereskan.

Chaon ceritakan pasal bekas pimpinan PMRAM yang telah berkhidmat di Malaysia antaranya:
  1. Mohamad Hud Salleh Huddin - Bank Negara Malaysia (kepimpinan tahun 2006, 2007)
  2. Mohd Nazim Md Noor - Pensyarah di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis juga sebagai usahawan di Al-Hira Learning (kepimpinan tahun 2006, 2007)
  3. Abdul Fatah Jaafar - Pegawai di pejabat kerajaan negeri Kelantan Darul Naim (kepimpinan tahun 2005, 2006)
  4. Nabil Ahmad - Pegawai Hal Ehwal Islam di JAKIM, pengacara rancangan Jemputan Umrah Astro dan perantara Forum Perdana Ehwal Islam RTM (kepimpinan tahun 2004,2005, 2006)
  5. Mohd Fadzlah Abd Rashid - Penolong Pegawai di Darul Quran, JAKIM (kepimpinan tahun 2006, 2007)
  6. Mohd Hafiz Mansor - Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Mufti Johor (kepimpinan tahun 2004,2005,2006)
Keenam-enam bekas pimpinan ini aku pernah berkhidmat bersama mereka. Terutama akhi Hud dibawah Badan Perancang dan Panitia PMRAM.

Kalau akhi Hafiz sebagai Penasihat AJKT BKPJM, aku sebagai AJKT yang selalu terima nasihat dan latihan dari beliau.

Yang lain-lain aku hanya kenal begitu sahaja, dan hanya membantu apa yang berkaitan antara BKPJM dan PMRAM.

LE300 seorang, telah diusulkan oleh Ustaz Hairul Nizam juga mantan pimpinan. Ianya diterima semasa Muktamar PMRAM yang lepas.

Bila aku baca blog Chaon. Apa kata mereka-mereka yang disebut oleh Chaon itu, dijadikan agen dana syaqah PMRAM di Malaysia. Kalau tengokan mereka amat berpotensi yang mewakili utara, selatan, barat dan timur.

Bayangkan Hud yang duduk di BANK NEGARA, dapat ngurat beberapa staff senagkatan dengan beliau. Apatah lagi bos-bosnya. Aku rasa LE300 lebih kurang RM 192 boleh tercapai. Malah bila dikatakan sebagai agen. Selayaknya lebih pada sasaran boleh capai. Ribu-ribu pun boleh!

Hud ngurat Zeti Akhtar, Nabil ngurat Ananda Krishnan, Hafiz ngurat Mufti. Silap-silap RM1 juta boleh dapat. Hahaha.

Aku pandai cakap jer...

Lembu mengamuk di bulan puasa


Lembu mengamuk lagi! Kali ini mengamuk depan tuan. Tuan ajak masuk kandang baik-baik. Dia mengamuk. Nasib tiada kepala lembu lain dipijaknya. Tapi siap menanduk kerusi. Apa punya marah lembu kali ni! Nak kata tak bagi rumput. Habis sebemban dia baham.

Marah lagi rupanya. Dia nampak tuannya nak buat pondok. Di ingat tuan dia nak suruh dia pindah ke situ kot.

Sampai sekarang marah lagi!

Bulan puasa pun boleh marah-marah. Eh, lembu puasa ke? Lebih elok tuan dia pujuk kat masjid lepas tarawih. Mungkin lepas tarawih sejuk sikit ye tak? Eh! Lembu mana nak bertarawih.

Susah cakap dengan lembu ni. Silap-silap kita ditanduknya!


05 September 2009

Catatan Merdeka. Lambat ke?

1. Baru 5 September. Baru 5 hari negara aku sambut merdeka kali ke 52. Taklah lambat aku buat catatan sikit. Kali ini sambutan merdeka terkena pada bulan puasa. Kerajaan pun buat sambutan ala kadar (yang sepatutnya begitu) di perkarangan bangunan parlimen. Aku tak tengok siaran langsung tersebut.

2. Dulu-dulu aku suka tengok perarakan sambutan kemerdekaan kat tv. Pagi-pagi dah tercongok kat depan tv. Suasana pagi meriah betul, adik beradik masing-masing kat rumah. Arwah abah pun join kami adik beradik. Tapikan, kami pun dulu tertunggu-tunggu acara Singapore National Day. Sebab acaranya lebih hebat dari Malaysia. Masa sekolah rendah dulu. Apa yang aku tunggu-tunggu perakan bala tentera tak kiralah dari tentara darat, laut atau udara. Sebab kawat diorang smart! Teratur. Paling best ada sekali kereta-kereta kebal, yang membuatkan aku terpegun. Tak tahulah sekarang macam mana.

3. Sepangjang aku hidup kat Malaysia ada beberapa perarakan kemerdekaan yang aku pernah sertai. Antaranya:
  • Kali Pertama: Mewakili PAS sebagai salah sebuah parti politik di Malaysia. Masa ni aku masih bersekolah di Madrasah Al Masriah. Tak ingat tahun bila. Ustaz Abdullah Hussin sebagai ketua kontinjen kami. (Antara 1996-1998)
  • Kali Kedua: Mewakili Kontinjen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan. Sambutan ini, di sambut di Kelantan. Masa tu aku masih belajar di situ. Tahun berapa pun tak ingat hehe. (Antara 2002-2004)
4. Sejak aku berangkat ke Mesir aku tak sangka pula ada buat sambutan besar-besaran. Kalau kat negara-negara lain aku rasa tak semeriah budak-budak Mesir ni sambut. Kalau kat UK, Australia, Russia, Jordan atau mana-manalah. Aku rasa tak semeriah dan semembazir sambutan di Mesir. Mungkin sekadar ucapan, makan-makan, kibar bendera.

5. Kat Mesir pun aku tak terlepas dari dijadikan kontinjen perbarisan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan anjuran PMRAM.
  • Kali Pertama: Tahun 2007 tak silap aku, mewakili BKPJM. Perbarisan di waktu pagi yang kepanasan pakai baju melayu, bersongket tak bersongkok. Bawa bendera Johor di perkarangan Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA).
  • Kali Kedua: Tahun 2007 juga. Juga Mewakili BKPJM. Tapi sambutan kemerdekaan anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.
  • Kali Ketiga: Tahun ini. Juga mewakili BKPJM, dan menang perbarisan pulak tuh! Mungkin perbarisan buat waktu malam. Kami agak semangat jugalah. Walaupun aku tak masuk latihan. Hahaha. Sempena Ekspo Gempak PMRAM (Acara sambut merdeka juga lah).

Gambar: Perbarisan Kontinjen BKPJM semasa Ekspo Gempak PMRAM 2009 harituh. Psst!! Korang nampak tak bendera Malaysia besar kat belakang tu? Bendera tu menutup sebahagian Asrama Pelajar Selangor Mesir. Besar kan! Gempak tuh! Gambar ni Chaon punya.

01 September 2009

Kuliah Puasa - Ustaz Azhar Idrus

Perkongsian di bulan Ramadhan.













Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai