"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


28 Januari 2010

Solat Hajat

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru ahli dan penyokong untuk melakukan Solat hajat secara serentak diseluruh negara pada esok malam 28 Januari 2010, selepas waktu Isyak.

Program ini khusus bagi memohon kepada Allah swt semoga rakyat Kelantan mendapat hak mereka dalam tuntutan royalti dan Negeri Perak mendapatkan semula Menteri Besar yang dirampas jawatannya oleh Umno-Barisan Nasional tahun lepas.

Program ini boleh diadakan dimasjid surau serta markas-markas PAS sebagai menunjukan keprihatinan kita kepada rakyat di kedua-dua negeri yang tertindas ini.

PAS yakin doa-doa orang yang dizalimi akan dimakbulkan Allah dan kezaliman dapat ditumpaskan, kata Ketua Penerangannya, Idris Ahmad dalam satu kenyataan.

"PAS menyakini bantuan Allah dan sesekali kita tidak akan berputus harap sehinggalah Allah memberikan kemenangan kepada rakyat yang ditindas ini," katanya.

Bagi aku, kalau nak buat biar semua negeri Pakatan Rakyat. Termasuk Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Bukan setakat Kelantan dan Perak sahaja. Wallahua'lam

22 Januari 2010

HarakahDelay?

Terkini: Ustaz Hadi nafi laporan "God bukan Allah". Barulah keluar, sepatutnya Muzakarah tersebut diambil perhatian oleh HarakahDaily. Bila dah keluar ke akhbar lain, barulah terhegeh-hegeh nak buat berita tentang ni. Ini pun dah suam.

Keratan dari Mstar Online


Muzakarah: Penggunaan Kalimah Allah Sebagai Terjemahan Kepada 'God' Tidak Tepat

KUALA LUMPUR: Muzakarah Pakar, yang disertai tujuh ilmuwan Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada "God" adalah tidak tepat.

Pengerusi IKIM Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata muzakarah itu merumuskan bahawa terjemahan kalimah Allah sebagai "God" juga menyalahi hakikat sebenar kerana bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjurkan oleh agama Islam di Malaysia.

"Dalam perbincangan ini, kita semua setuju bahawasanya kita perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberikan kebebasan beragama diteruskan dalam suasana aman dan harmoni," katanya pada sidang akhbar selepas muzakarah itu.

Tujuh pakar itu ialah Prof Madya Dr Kamar Oniah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Mohd Nur Manuty; bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM Md Asham Ahmad.

Muzakarah bertajuk "Terjemahan God Sebagai Allah: Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya" berlangsung selama lapan jam dari pukul 8.30 pagi, dipengerusikan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Abdullah berkata muzakarah itu berjaya mencapai matlamat penganjurannya iaitu mengenal pasti punca dan penjelasan latar belakang permasalahan daripada perspektif agama, bahasa, sosial dan undang-undang.

"Muzakarah ini juga dapat menegaskan kefahaman dan konteks penggunaan Allah dalam Al-Quran, memurnikan tafsiran ke atas sumber-sumber hukum Islam berkaitan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh agama dan budaya selain Islam dan membentuk kesatuan fikiran di kalangan tokoh agama serta pemimpin umat Islam," katanya.

Abdullah berkata pendirian muzakarah itu akan dibawa kepada perhatian kerajaan dan akan dibincangkan dalam siri muzakarah akan datang bertajuk "Mengurus Krisis Antara Agama" anjuran IKIM pada 25 Januari ini.

Beliau berkata muzakarah yang membabitkan semua pemimpin agama serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST)bertujuan mengenalpasti krisis, jalan penyelesaian dan mencari persefahaman untuk keharmonian semua kaum di negara ini.

Abdullah berkata IKIM berharap agar semua penganut agama menghormati batas-batas agama masing-masing agar tidak berlaku lagi kekecohan seperti yang berlaku pada masa ini.

Kenyataan Presiden PAS sebelum ini.

Pendirian PAS berken
aan isu kalimah Allah.

Apa yang aku persoalkan. Berita ni tak keluar di Harakahdaily. Sama ada aku tak perasan, terlepas atau Harakahdaily dah jadi HarakahDelay? Sepatutnya di mana sahaja program yang disertai oleh Presiden PAS dilaporkan. Kerana para ahli PAS mahu mengetahui apa aktiviti Presidennya. Atau staff HarakahDaily lupa yang Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ni Presiden PAS?

Adakah kerana ini anjuran IKIM yang dinaungi Pak Lah, berita ini tidak diterima masuk? Atau ruh Harakah Islamiah hilang dalam HarakahDaily yang hanya ada HarakahSiasah (politik) sahaja?

20 Januari 2010

Mursyidul Am Ikhwan Muslimin ke 8


(Gambar 1) Dr Muhammad Badi’ dilahirkan pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir dan anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan 3 orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha.

Dr Muhammad Badi’ mendapat ijazah Sarjana Muda (B. Sc.) Veterinary Science (Kedoktoran Haiwan) dari Universiti Kaherah pada tahun 1965, ijazah Sarjana Vet Sc tahun 1977 dari Universiti Az-Zaqaziq, Ph.D Vet. Sc tahun 1979 dari Universiti Az-Zaqaziq, Professor Madya Vet. Sc. Di Universiti Az-Zaqaziq tahun 1983, Professor Vet. Sc. Di Universiti Kaherah cawangan Bani Suef tahun 1987, ketua Jabatan Patologi, Fakulti Vet. Sc. Tahun 1990. Beliau telah menyelia 15 thesis Masters dan 12 thesis Ph.D dan berpuluh kertas penyelidikan dalam bidang Kedoktoran Haiwan (Vet. Sc.). Sekarang beliau bertugas sebagai Professor di Jabatan Patologi, Fakulti Sains Veterinar di Universiti Bani Suef, selatan Mesir.

Dalam arena Dakwah Ikhwan Muslimin, beliau menjadi anggota Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1975, Masul Maktab Idari di Mahalla Kubra tahun 1977, Masul Tarbiyah di Ar-Rabitah, Yaman (1982 – 1986), anggota Maktab Idari di Bani Suef (1986), Masul Maktab Idari di Bani Suef (1990), Masul Tarbiyah Mesir (1994), anggota Maktab Irsyad (sejak 1996) dan anggota Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Antarabangsa (2007) dan Penyelia Biro Tarbiyah (2007).

Mursyid Am ke Lapan, Dr Mohd Badi’ mengucap hormat dan ukhuwwah kepada Mursyid Am ke Tujuh,
(Gambar 2) Ustaz Mahdi Akef di sidang akhbar antarabangsa jam 11.00 pagi tadi (waktu Mesir) yang mengumumkan keputusan pemilihan Mursyid Am yang baru bagi jemaah Ikhwan Muslimin.

Beliau bersama-sama sebahagian pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk ahli tafsir Fi Zilal Al-Quran, Asy-Syahid Sayyid Qutb dihadap ke Mahkamah Tentera pada tahun 1965 dimana Sayyid Qutd dijaatuhkan hukuman gantung sampai mati manakala beliau dipenjara 15 tahun. Selepas 9 tahu, beliau dibebaskan pada tahun 1974. Pada 1998, beliau dipenjara selama 75 hari atas isu “Persatuan Ad-Dakwah Al-Islamiah”. Pada tahun 1999, Mahkamah Tentera menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Pada tahun 2008, ketika musim Pilihanraya Dewan Undangan Negeri, beliau dipenjara selama sebulan.

Nama Dr Muhammad Badi’ tersiar dalam Ensaiklopedia Ilmiah Arab dikalangan 100 tokoh Arab yang diterbitkan oleh Badan Penerangan Mesir tahun 1999.

Biodata Dr Muhammad Badi'


Gambar sekitar pengumuman sebagai Mursyidul Am

19 Januari 2010

Mini Pavilion dikunci lagi. Kenapa?

Semalam Ustaz Abdul Muin Pengarah Mini Pavilion hubungi aku. Dia kata blog Mini Pavilion ada masalah. Aku cuba check tertera satu klausa berbunyi:


Klik pada gambar untuk lebih jelas.

Nampaknya blog ini diberi amaran sekali lagi setelah blog yang pertama dipadam blogger. Pihak blogger kata blog Mini Pavilion telah melanggar Syarat Perkhidmatan. Namun tidak dinyatakan pada perkara ke berapa yang telah kami langgar?

Aku baca punya baca, tak tahu mana satu syarat yang kami langgar. Akhirnya aku dengan Ustaz Abdul Muin menduga, pertama; mungkin kerana siaran langsung berita Al Jazeera versi internet. Kedua; mungkin kerana isi kandungan Mini Pavilion sendiri yang menjadikan pihak blogger tidak senang dengan blog ini.

Aku telah hantar Minta Kaji Semula Buka Kunci. Namun masih belum ada sebarang jawapan.


14 Januari 2010

Udah nikah? Kalau belum, pergi nikah!

BANDA ACEH - Polis pencegah maksiat di sini yang dikenali sebagai Wilayatul Hisbah giat memberi teguran kepada pasangan kekasih yang duduk di tepi pantai, wanita tidak bertudung, berjudi dan peminum arak.

"Kamu masih tidak berkahwin. Kamu sepatutnya tidak berada bersama-sama di sini.

"Kamu sepatutnya pergi dari sini," kata seorang pegawai pencegah maksiat itu kepada satu pasangan kekasih yang berjalan ke tempat meletak kenderaan sambil disaksikan oleh sejumlah orang di sini, baru-baru ini.

Gambar: SEORANG anggota polis syariah menyoal seorang lelaki yang duduk di tepi pantai bersama kekasihnya di Banda Aceh pada 18 Disember lalu.

Gadis-gadis yang memakai pakaian ketat turut diberikan amaran supaya tidak memakainya pada masa depan.

"Kamu tidak sepatutnya malu pada diri sendiri kerana memakai pakaian seperti ini," kata seorang pegawai pencegah maksiat itu.

"Pergi pulang dan pakai pakaian yang lebih sederhana," katanya.

Menurut Ketua Jabatan Undang-Undang Syarie Wilayah Aceh, Marzuki, pihaknya membuat pencegahan tanpa mengambil pendekatan keras terhadap pesalah sebagai salah satu cara untuk mereka memahami tujuan pasukan itu membuat teguran.

Wilayah Indonesia itu dibenarkan untuk menggunakan undang-undang syariah sebagai sebahagian daripada perjanjian autonomi dengan pemerintah negara tersebut pada 2002.


Sumber: Kosmo

Warta PMRAM baru?

Klik untuk lebih jelas.

Aku menunggu-nunggu juga kemunculan akhbar WARTA PMRAM yang baru. Bagaimana agaknya akhbar tersebut? Adakah masih mengekal pengolahan yang sama dengan yang dahulu? Aku mahukan warta yang berbentuk akhbar!

Mungkin warta akan datang seperti ini? Atau seumpama dengannya? Saudara Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM juga mungkin saudara Kamal Ariff boleh menjawabnya!

Sebelum itu dikhabarkan Warta PMRAM akan datang berwarna. Bagaimana agaknya ya. Harap-harap tidak menghampakan. Supaya menepati bentuk dan "suasana" seperti akhbar bila membacanya. Tidak seperti membaca Suara Kampus.

Semalam masa berbual-bual dengan Hj Emon, Ustaz Halim..

"Warta PMRAM macam mana sekarang ek? tanya Ustaz Halim.

"Hmm slow kot. Tahun lepas baru bilangan pertama" jawab aku.

"Bahan bacaan sekarang susahlah tengok.. Sekarang orang tengok blog, internet jer.." jelas Emon.

"Hmm aku rasa Warta PMRAM kena tukar style dia. Bagi boom sikit" jelas aku.

"Kira muka depan tu tajuknya.. Akhawat kena raba di pasar atau Akhawat Malaysia dirogol, macam Metro baru laku!" tambah aku.

"Hahaha" mereka tergelak sekali dengan aku. Emon lagi melekek-lekek.

"Kira macam berita tabloid la? hehehe" jelas Ustaz Halim.

Ada cadangan tajuk baik punya dari Emon. Tapi aku rasa tak perlu aku sebut dalam ni. Nanti jadi isu panas pula. Nak tahu tanya Emon. Hehehe.

07 Januari 2010

kalami.blogspot.com bukan Kalami

Semalam macam gatal tangan nak tukar alamat url blog ini kepada kalami.blogspot.com. Tapi sebelum tu tergerak hati nak cuba dahulu taip url ni, manalah tahu ada yang dah guna. Tiba-tiba ada! Tapi menghampakan. Kerana blog tersebut kosong tanpa sebarang pengisian dan bahasa yang tidak difahami.


Blog ini sebenarnya kalam-ummah.blogspot.com. Cuma semasa 'zaman awal' keghairahan membina blog ini. Alamat awal ini digunakan hanya untuk 'muqaddimah' sahaja kepada blog yang sedia ada ini. Tapi sampai terpanjang kerana ghairah nak kelainan. Bila baca blog saudara Tawel berkenaan dengan ini, rasanya betul apa yang ditulisnya.

Tapi hampeh, url kalami.blogspot.com dah diguna tanpa sebarang apa-apa faedah! Siapalah yang gatal tangan guna url ni? Mungkin aku akan cuba laporkan hal ini kepada Encik Blogger. Manalah tahu dia boleh bantu.

Tambahan:

Buku: Jesus Christ the Son of Mary and His Most Blessed Mother

A very comprehensive book written by Al Habib 'Ali Al-Jifri and translated by Gibril Haddad. This book is a must read for all those living amongst people of the Christian faith, as well as those who seek a pure understanding of the mission of our liege-lord Jesus (upon him be peace).

Versi PDF sila download di ruangan Kongsi Bersama.

05 Januari 2010

Si Pengembala Akhir Zaman

"Seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan orang yang bertelanjang, berkaki ayam, pengembala kambing berlumba-lumba dalam membina bangunan yang tinggi" -Riwayat Muslim

Akhirnya apa yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW semakin menampakkan tandanya. Si pengembala kambing berlumba-lumba dalam membina bangunan yang tinggi.

Sekitar Masjidil Haram, Makkah dalam proses pembinaan.

Gambaran Makkah akan datang

Burj Dubai yang menelan belanja USD1.5 bilion

04 Januari 2010

Di sini aku bermula

Bila masuk tahun baru masehi ini. Hal yang paling sibuk ialah sekolah kembali beroperasi apabila setalah lama di alam percutian. Bayangkan jika sepasang ibu bapa yang mempunyai 6 orang anak yang semuanya masih bersekolah. Apatah lagi jika anak-anak mereka hanya jarak umurnya setahun sahaja. Bagaimana agaknya mereka menguruskan keenam-enam anak mereka ya. Bayangkan kos persiapan anak-anak mereka. Kos buku dan seragam sekolah sahaja rasanya makan ribu banyaknya. Anak yang baru masuk daftar persekolahan semestinya semuanya baru, namun anak-anak lain juga mahukan yang baru sebelum sesi baru persekolahan bermula. Mahu tepuk dahi para ibu-bapa.

Namun, semuanya kan diuruskan samada baik atau tidak sahaja. Bagi para guru, semestinya tanggungjawab anda sebagai pendidik sekaligus ibubapa kedua mereka di sekolah perlu diteruskan. Mungkin ada guru yang mengeluh bila teringatkan sesi persekolahan kembali. Tiada lagi rehat-rehat panjang bersama keluarga. Bagi para guru yang baru pula, semestinya merasa teruja dengan tugas baru mereka. Kebetulan ramai sahabat-sahabat aku yang menjadi guru baru pada tahun ni, samada di sekolah-sekolah kerajaan mahupun sekolah agama rakyat, diharapkan dapat menjalankan tugas anda dengan ikhlas.

Aku teringat kisah aku dahulu ketika bermula bersekolah di Tadika Kemas di Plentong, Johor. Rasanya beberapa kali juga emak menunggu di sekolah kerana aku tak mahu berenggang dengan emak. Mahu menangis dan menjerit jika kelibat emak sudah tidak kelihatan. Hehe. Tapi lain jadinya bila sudah melangkah ke alam sekolah menengah. Aku bersekolah jauh dari rumah, duduk di asrama hingga makan 9 tahun juga lamanya. Malah hingga sekarang aku berjauhan dengan emak dan keluarga.

"Dulu bukan main takut lagi nak sekolah, sekarang jauh-jauh pula dia sekolah"

Hmm, setiap kali masuk sesi baru persekolahan sebenarnya setiap kali itu aku teringatkan dengan sekolah lama aku Madrasah Al Masriah di Simpang Renggam, Kluang. Sekolah yang memberi kesan mendalam terhadap perjalanan hidup aku sebagai seorang yang digelar Muslim. Sekolah ini adalah sekolah pembinaan fikrah Islamiah. Ianya mempunyai hadaf dan tujuan yang tersendiri. Di sini aku mempelajari apa itu Zikir al Makthurat, aku mengenali qiamullail, aku mengenali solat sunat rawatib dan aku mempelajari mengenakan serban yang aku sering lihat pemakaiannya melalui Ustaz Nor Ashid bin Sakib.

Namun yang paling istimewa ialah aku dapat mengenali insan-insan ikhlas yang mendidik aku di sekolah tersebut. Bayangkan sahaja, jika Mudir Ustaz Abdullah Hussin mengatakan guru-guru yang mengajar di sini sebenarnya tidak bergaji bahkan ianya hanya dipanggil upah sahaja kerana tak layak disebut sebagai gaji. Kadang-kadang gaji tidak menentu, rasanya seingat aku gaji para guru rata-rata hanya RM300 hingga RM500 sahaja. Malah kadang-kadang mereka yang banyak membantu menghulurkan sumbangan membangunkan madrasah ini.

Dari keringat mereka, dari tenaga mereka membancuh simen, membina bangunan sekolah. Mesin rumput pun kadang-kadang di kalangan mereka. Diadakan hari gotong royong perdana menjemput ibu bapa membina sekolah. Aduh barakah sekali sebenarnya madrasah ini.

Alhamdulillah, tahun berganti tahun, madrasah ini telah menerima bekalan air dan elektrik. Kerana pada zaman awal penubuhannya sehingga tahun akhir aku bersekolah di situ masih tidak menerima apa-apa bekalan air atau eletrik. Kami para pelajar dan guru hanya bergantung dengan air yang disedut dalam kolah yang dikorek dan elektrik yang dibekalkan dengan mesin penjanakuasa. Setiap jam 12 malam enjin ditutup, maka bergelaplah seluruh sekolah.

Teringat semasa enjin penjanakuasa tersebut mengalami kerosakan. Aku dan kawan-kawan keluar sekolah ke tempat punca mata air untuk mandi pada waktu awal subuh yang gelap di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit. Tak terfikir dalam benak ini akan terjumpa babi hutan atau anjing liar, tetapi hanya terfikir tentang sedapnya mata air yang jernih, sejuk memancut di celah-celah bukit. Pada malam harinya kami berbekalkan cahaya bulan untuk menjamu selera, masing-masing keluar dari kantin mengusung dulang. Berbekalkan lilin melakukan kerja-kerja sekolah dan menghafaz quran.

Kantin madrasah hanya berbekalkan kayu api untuk menyediakan makanan. Menu yang paling melemahkan nafsu makan ialah "NAMI" (nasi + mi digoreng sama), tapi tetap kami balun. Malah aku pernah menggunakan strika arang untuk menggosok baju. Tapi itu pun seminggu sekali, malas juga nak menggosok baju hari-hari guna arang hehe.

Aku merasakan mahu menabur jasa di sekolah ini nanti. Tapi adakah aku sekuat "mereka"?


Klik pada gambar untuk lebih jelas

Tambahan:

1. Madrasah Al Masriyah ini di bawah kelolaan Parti Islam Semalaysia.

2. Antara bekas pelajarnya yang menuntut di Mesir sekarang ialah:
  • Aku (Kuliah Syariah Wal Qanun, Universiti Al Azhar, Kaherah)
  • Abul Bashar Md Khamis (Kuliah Syariah Wal Qanun, Universiti Al Azhar, Tanta)
  • Ridwan Ali (Kuliah Lughah Arabiah, Universiti Al Azhar, Kaherah)

03 Januari 2010

Al Fatihah. Hidayatussaufi dalam kenangan.


Bersama pimpinan PAS Johor di Giza


Usrah di Qanater


Al fatihah. Tiada lagi teman yang rajin di dapur yang sering membuka selera kami. Tiada lagi teman bicara politik aku. Tiada lagi teman yang aktif dalam PMRAM dan BKPJM.


Dia seorang sahabat. Dia seorang teman. Dia seorang Naqib...

Kau Sahabat Kau Teman...

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati


Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai