Gambar: Air Terjun, Sungai Bantang, Bekok, Segamat. |
Adakala melihat kawan-kawan yang sudah berumahtangga seakan-akan memberi tekanan pula kepada diri. Masakan tidak umur yang menjangkau 30 ini masih lagi dalam keadaan bujang, sudahlah bujang masih mengaji pula. Bagaimanapun alhamdulillah, syukur kepada Allah di atas segala kurnia-Nya.
Kadang-kadang sampai terfikir adakah aku bujang sampai mati? Melihat keadaan aku dan sekeliling, wajah ibu dan keadaan keluarga, merasakan "mungkin" betul aku akan bujang. Bukan tidak pernah hampir ke alam rumahtangga, bahkan sangat-sangat hampir. Tapi itu semua ketentuan Allah, Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui di atas segala sesuatu.
Nikmat yang paling aku syukuri di dunia ini ialah tidak lain tidak bukan dipilih oleh Allah untuk terlibat dengan jemaah atau gerakan Islam di Malaysia. Nikmat ini (jika boleh dikatakan nikmat) tidak semua boleh merasainya, bahkan tak semua boleh thabat dan terus bergerak dalam membawa risalah dakwah ini. Ujian-ujian demi ujian yang dilalui sehingga merintis akar kemanisan. Bayangkan bila hidup tanpa tarbiah dan dakwah, hidup ini bagai pondok usang yang tunggu masa untuk runtuh dimamah anai-anai.
Ibtilaa yang diterima, jika tiada amal jamaei kadang-kadang menjadikan ianya pahit, tapi ianya tidak! Bahkan manis! Air mata dan keringat terus mengalir menyampaikan dakwah. Terkenang seorang Murabbi Ustaz Abdullah Hussin (Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor) yang sering membawa aku ke medan-medan dakwahnya. Bertemu para mad'u yang pelbagai. Ini semua membakar semangat jiwa muda pada waktu itu untuk terus thabat dalam medan ini. Tuah ini bukan datang bergolek, tetapi diusahakan oleh Almarhum Ayahanda Mohd Ali yang mahukan aku bersekolah di Madrasah Al Masriyah. Disekolah inilah aku mula mengenali Ustaz Abdullah dan dunia tarbiah.
Nikmat inilah yang kadang-kadang dapat menghilangkan sedikit tekanan melihat kawan-kawan berumahtangga. Bayangkan sekarang, jika aku tidak dipilih berada dalam jemaah, mungkin fikrah, tindakan, amalan dan peribadi aku bukan sepertimana sekarang. Malah mungkin lebih teruk dari yang disangka!
Tapi ini bukanlah untuk melupakan terus hasrat untuk berumahtangga, bahkan dengan berumahtangga ini juga salah satu medan yang perlu dilalui oleh muslim. Bermula dengan pembentukan perbidai muslim kemudian rumahtangga muslim sehinggalah ke tahap yang paling tinggi ustaziatula'lam. Manakan pula mahu menidakkan sunnah yang dituntut oleh Nabi s.a.w.
Hanya berbicara pada diri yang serba lemah di sisi Penciptanya.