"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"
Adakalanya aku berfikir sejenak, adakah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan sudah layak dengan gelaran atau istilah "Malaysiaku Gemilang"? Bagaimanapun terpulang kepada individu menilainya dalam hal ini. Samada istilah yang digunakan ini hanya sekadar istilah kerana tak tahu dah nak letak apa kah istilah yang sesuai setelah mencapai 50 tahun merdeka ataupun di zaman pemerintahan Pak Lah ini kaya dengan istilah-istilah. Almaklumlah, beliau merupakan graduan agama dan berlatar belakangkan keluarga agamawan. Mungkin atas sebab tersebut banyaknya istilah-istilah yang digunakan oleh zaman Pak Lah. Hasil daripada tersebut, diawal kenaikan beliau sebagai PM, Islam Hadhari adalah satu istilah yang hangat diperdebatkan. Bukan setakat lughawiyun yang memperdebatkan istilah berikut hatta orang awam atau bukan profesional agama pun sama naik untuk bercakap hal tersebut.
Dalam kita juga bersyukur dengan kemerdekaan negara kita selama 50 tahun ini. Kita hanya melihat dan selalu terngingau dengan pencapaian Malaysia. Samada ekonomi, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Namun sering kita terlupa selama 50 tahun ini juga, kemana sebenarnya kita dibawa. Di awal-awal kesultanan melayu dahulu rakyat mulai nampak, mengapa raja mereka memeluk agama Islam dan mempunyai satu matlamat jelas kemana mereka dibawa dengan Islam yang dianuti. Di mana satu ketika dahulu tanah melayu ini pernah mandaulatkan undang-undang Islam sebagai undang-undang utama negara. Tak kira dalam segala hal, Islam menjadi rujukan utama pemerintahan. Islamnya tanah melayu bermula dari seorang raja. Perubahan juga bermula dari pemerintahan baginda.
Namun setelah ummat Islam melayu dijajah dengan pelbagai penjajah dan rupa bentuk penjajahan. Islam sudah mula dicorakkan semula. Islam yang dibentuk semula ialah Islam yang hanya pada kes-kes atau ruangan-ruangan tertentu. Nampak seperti Islam juga mendapat tempat setelah ianya diletak di bawah penguasaan raja-raja melayu. Tetapi hakikatnya tidak seperti yang disangka. Ramai dikalangan kita sudah mula nampak helah penjajah dalam hal-hal ini. Namun memang betul, benggali putih bukanlah sekejap menjajah, mentaliti sebahagian ummat melayu tidak seperti awal kebangkitan dahulu. Kemerdekaan menjadi agenda utama, tidak kiralah apa syarat, apa yang dikenakan oleh pihak inggeris oleh kita tidak penting, yang penting merdeka.
Banyak perkara-perkara yang kita tidak ketahui, apakah begitu mudah kita dimerdekakan. Banyak perkara-perkara yang tersirat yang kita tidak ketahui. Yang tersurat tidak perlulah kita ceritakan di sini. Namun rupanya setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan seperti kita ketahui sekarang apakah perkara tersirat yang kita tidak ketahui. Mungkin bagi sesiapa yang perasan dan mengambil penting tentang hal ehwal negara kitam dia akan perasan. Tapi jika dia hanya orang yang seperti sifatnya "adanya ia seperti tiada" dia tidak akan perasan.
Hmmm... Malaysiaku Gemilang....
Satu lagi perancangan licik pihak Kedutaan Besar Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dengan mencadangkan agar menubuhkan satu jawatankuasa pimpinan pelajar ala Majlis Perwakilan Mahasiswa di Mesir ini. Persepsi awal saya berkenaan tujuan mewujudkan MPM ini tidak lain tidak bukan untuk melemahkan lagi kesatuan yang sedia ada, terutama PMRAM dan persatuan-persatuan yang bernaung dibawahnya.
Hari ini saya bersama YDP ke Majlis Kolokium Sehari Mahasiswa Mesir. Saya diberi peluang setelah memangku jawatan Setiausaha Agung. Bukan ini yang hendak diceritakan, cuma apa yang dibincangkan dalam Kolokium Sehari Mahasiswa Mesir ini amat kelakar dan sangat-sangat tidak profesional.
Kita di Mesir ini, selalu digembar-gemburkan supaya menjadi mahasiswa Islam yang profesional menguasai segenap perkara dalam bidang. Hatta juga perlu mahir dalam bidang elektronik dan elektrik bak kata Pegawai HEP Badan Anak Selangor. Beliau menyebutkan dalam selingan perbincangan ini, malu bila "keling" yang membetulkan alat pembesar suara masjid atau surau. Beliau juga menambah, pelajar al azhar perlu mengusai segala bidang disiplin ilmu, baik sains dan sebagainya, dengan tujuan mestiu menandingi bangsa-bangsa lain di Malaysia terutama Cina dan India yang nampak jelas mengusai peluang-peluang di Malaysia. Bagaimanapun kolokium ini yang berobjektifkan untuk membentuk sebuah Majlis Perwakilan Mahasiswa akhirnya ditolak mejoriti pimpinan persatuan-persatuan pelajar di sini, termasuklah sahabat kita dalam Kelab UMNO Mesir.
Persoalan demi persoalan ditimbulkan oleh para pimpinan pelajar terutama ketidakjelasan mekanisma jawatankuasa ini akan bergerak. Sedangkan mejoriti dan agak sebatinya pelajar-pelajar di Mesir ini bergerak atas satu persatuan yang dinamakan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir yang penubuhannya lebih awal dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Berkenaan dengan hubungan pelajar agama dan perubatan yang semakin meningkat juga tidak mendatangkan sebarang masalah. Hubungan semakin rapat, bahkan ada sahaja program-programn atau aktiviti bersama PMRAM dan PERUBATAN.
Pengarah JPMK, pernah satu ketika muncul di kaca tv atas kes pembunuhan pelajar Mesir tempohari sering mengutarakan pendangan-pandangan yang tidak sepatutnya ditujukan ke muka para pimpinan pelajar. Ia sepatutnya disemburkan ke atas para pimpinan negara. Terutama dalam hal pengusaan bangsa Melayu dalam sektor ekonomi, pendidikan, sains dan sebagainya. Saya melihat di sini bukan masalah tersebut datang dari kami pelajar-pelajar. Ia lahir dari suasana negara kita. Jika kembali di negara kita, kita lihat ummat Islam duduk dalam kerangka ekonomi kapitalis, yang bergelumang dengan penipuan dan riba. Sejauhmana ekonomi Islam yang dipraktikkan telah berjaya?
Pengarah JPMK juga sering menyatakan kita perlu merebut peluang-peluang yang diberi kerajaan. Masalahnya di sini, saya tidak lihat kerajaan serius dalam pembangunan Islam secara menyeluruh, ia hanya memenuhi tuntutan sebilangan kecil pendesak dalam UMNO yang mahu menjaga survival politik mereka terutama bersama rakyat bangsa Melayu Beragama Islam. Ini kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku dalam negara kita sekarang. Pihak kerajaan tidak boleh menafikan hal-hal ini. Ianya berlaku di hadapan mata rakyat itu sendiri.
Baik, berbalik kepada MPM ini. Perlu dijelaskan di sini, PMRAM telah melalui 70 tahun penubuhannya dan melalui pelbagai latar belakang objektif penubuhan. Ada kadangkala berada dalam zaman ago-go hingga ke zaman tarbiyyah Islamiyah. Kadangkala dengan muslimahnya berskirt akhirnya berjubah dan bertudung litup. Ini berlaku dalam perjalanan PMRAM itu sendiri. Melihat pula dari sudut PMRAM di peringkat antarabangsa, boleh dikatakan PMRAM satu-satunya persatuan Melayu yang berjaya dalam mendahului dalam hal-hal internasional ini. walaupun pejabat tidak sehebat persatuan-persatuan lain, hanya menyewa sebuah rumah untuk dijadikan pejabat, namun PMRAM dilihat terkehadapan dari sudut ini. Sebagai contoh yang boleh saya bawa di sini adalah berita yang saya quotekan dari laman web rasmi PMRAM:
1 April 2007, Kaherah – Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT) telah menatijahkan satu persepakatan mahasiswa-mahasiswa Islam Mesir, Syria, Yaman dan Jordan yang diharapkan menjadi titik permulaan kepada kesatuan tindakan dan kefahaman Islam bagi mahasiswa Islam Timur Tengah dalam memperkasakan misi dakwah kepada masyarakat Islam di Malaysia.
Hasil daripada persidangan meja bulat yang diwakili oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS), Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) dan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM), tertubuhlah satu sekretariat yang bakal menjadi wadah kesatuan suara seluruh mahasiswa Islam Timur Tengah yang dinamakan ‘SEKRETARIAT MAHASISWA ISLAM ASIA BARAT’ (SMART).
Para pimpinan pelajar dari Mesir, Syria, Jordan dan Yaman telah sebulat suara bersetuju untuk melantik Mohd Akmal Kamaruddin yang merupakan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) sebagai Setiausaha Agung ‘Sekretariat Mahasiswa Islam Asia Barat’ atau nama ringkasnya ‘SMART’. Dalam perbincangan bersejarah ini juga para pimpinan mahasiswa 4 negara tersebut telah bersetuju untuk mengambil 9 resolusi sebagai Deklarasi Persidangan Mahasiswa Islam Timur Tengah (PERMIT) yang telah berlangsung selama dua hari bermula dari 31 Mac hingga 1 April.
Juga ini:
Jumaat - 13 Julai 2007.
PMRAM sekali lagi memahat di kanvas sejarah agungnya apabila Persatuan Pelajar Kambodia Republik Arab Mesir atau dalam bahasa Inggerisnya Cambodian Student's Association In Arab Republic of Egypt (CSAE) telah bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) secara rasminya pada Jumaat lepas.
CSAE yang diketuai oleh saudara Mansur Sabri telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun lepas. Beliau telah diamanahkan untuk menjadi Presiden CSAE semenjak ditubuhkan hingga ke saat ini.
Dalam lawatan rasmi para pimpinan CSAE ke pejabat PMRAM ini, saudara Mansur Sabri menjelaskan kepada Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam Mat Husain bahawa bilangan pelajar Kambodia yang menuntut di Mesir adalah seramai 28 orang lelaki sahaja.
Dalam perbincangan dua hala antara PMRAM dan SCAE yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar ini, saudara Mansur Sabri selaku Presiden SCAE mengharapkan tunjuk ajar dan nasihat PMRAM dalam membawa persatuan yang muda ini. Para pimpinan SCAE juga mengharapkan buah fikiran yang bernas dalam menjana ekonomi yang merupakan antara perkara terpenting di dalam mana-mana persatuan.
Presiden PMRAM, saudara Hairul Nizam di dalam ucapannya mengharapkan agar para pelajar Kambodia tidak malu untuk menyatakan masalah yang dihadapi oleh mereka agar pihak PMRAM dapat mencari jalan untuk menyelesaikan dan meringankan kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar Kambodia di Mesir.
Turut hadir dalam pertemuan dua hala ini Naib Presiden 1, saudara Mohamad Hud bin Saleh Huddin.
Semoga kemasukan SCAE ke dalam naungan PMRAM akan mengukuhkan lagi tali persaudaraan Islam antara para mahasiswa Malaysia dan Kambodia.
Dan yang terkini:
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir melancarkan kutipan derma besar-besaran untuk semua ahli dan pendokong PMRAM bagi menyahut kesepakatan para pimpinan mahasiswa Asia Barat yang telah bersetuju untuk bergandingan bahu dalam mengumpulkan dana untuk membantu masyarakat Palestin yang dizalimi oleh rejim haram Yahudi.
Tindakan untuk melancarkan derma secara besar-besaran ini telah dikuatkan lagi apabila Kementerian Kemasyarakatan Mesir meminta jasa baik Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir agar mengumpulkan sumbangan daripada para ahli untuk diserahkan kepada rakyat Palestin melalui Bulan Sabit Merah Mesir.
Maka dalam pertemuan secara maya pada 20 Julai lepas, seluruh kepimpinan mahasiswa Islam di Asia Barat yang menyertai Sekretariat Mahasiswa Islam Asia Barat (SMART) yang terdiri dari kepimpinan mahasiswa Islam dari Syria, Mesir, Jordan, Sudan dan Yaman telah bersetuju untuk melancarkan kutipan dana besar-besaran secara bersama dan sekata dalam menjiwai kepedihan perjuangan umat Islam di Palestin.
Hasil dari kesepakatan ini, PMRAM yang mewakili mahasiswa Islam Mesir telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak yang bernama Projek Sumbangan Amal Palestin 2007 atau lebih dikenali dengan PROSMA membuka ruang seluas-luasnya untuk para mahasiswa Islam di Mesir bagi menyalurkan derma dari sudut wang dan pakaian atau apa sahaja bentuk yang sesuai untuk menjadi sumbangan ikhlas kepada rakyat Palestin yang tertindas.
Sumbangan yang berbentuk bukan wang akan dilelong semasa program A MIND untuk dijual dan wang yang terhasil dari pembelian dan lelongan tersebut akan disumbangkan kepada rakyat Palestin melalui Bulan Sabit Merah Mesir.Sebenarnya banyak lagi berita-berita yang saya nak selitkan di sini, tetapi rasanya ini memadai untuk mebuktikan PMRAM terkehadapan dalam isu-isu nasional dan internasional. Boleh rujuk sendiri di laman web PMRAM.
Berbalik semula dalam isu MPM ini, maka tidak nampak adakah relevan ianya ditubuhkan, bahkan jika ianya berlaku ianya dilihat bakal menimbulkan pertubuhan atas pertubuhan, pimpinan atas pimpinan. Keserabutan jelas akan berlaku terutama dalam menyelaraskan kerja dan hubungan di antara persatuan yang sedia ada dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia, dan sebenarnya masalah timbul bukan dari pihak mahasiswa. Ianya timbul dari pihak lain. Persatuan-persatuan yang sedia ada sebenarnya sudah memadai untuk menggalas tugas menjaga kebajikan mahasiswa di sini. Ia tertakluk pada "penerimaan" pihak kedutaan dan jabatan penuntut.
Wallahua'lam
"DUA bulan diperlukan Jawatankuasa Khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi melakukan bedah siasat secara mendalam dan mencari jalan penyelesaian berikutan kegagalan teruk pasukan kebangsaan pada pusingan akhir Piala Asia baru-baru ini. - Berita Harian
Dalam hal ini, jika sekali kita imbas, kerajaan Malaysia pimpinan UMNO sangat cepat mengambil tindakan. Sehinggakan mahu tubuhkan Jawatankuasa Khas. Begitu seriusnya pihak kerajaan mengambil tindakan setelah prestasi pasukan Malaysia jatuh merudum teruk di kejohanan Piala Malaysia lalu. Satu-satunya pasukan tuan rumah yang sangat longlai bermain bola. Seperti baru beberapa hari belajar main bola. (Sedap jer aku cakap) Padahal hari-hari main, liga super lagi. Tapi tahap permainan langsung tak mencerminkan gaya sebenar.
Bagaimanapun kecewa dengan sikap kerajaan dengan mengamalkan double standard dalam menangani masalah-masalah dalam negara. Melihat prestasi pasukan bola yang teruk begitu cepat membuat beberapa tindakan, bagaimana dengan masalah murtad di negara kita? Masalah yang semakin lama semakin membarah, kes terbaru Siti Aisyah. Tiada pula kedengaran Jawatankuasa Khas dibuat. Prestasi akidah lebih utama dari prestasi bola, namun awlawiyatnya disalah letak tempatnya.
Kita ni kalau kalau melayarkan kapal, guna kompas, pandu pesawat guna kompas. Begitu juga hidup ni kena guna kompas, baru tahu halatuju kita nak ke mana. Agama ni ibarat kompas yang hala tujunya ke syurga Allah dan redhaNya. Bila tiada "kompas" ini dalam hidup kita nak ke mana? Maka amat malanglah jika ada yang menganggap agama ini candu bagi manusia. Lebih malang jika yang bercakap itu orang melayu dan beragama Islam.
Ingatlah! Sedikit pun Allah SWT tidak rugi sekelumit pun bagi hambaNya yang sombong.
"Sebuah negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu agama kerana ia bertentangan dengan prinsip sekularisme. Namun, di Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak lagi."
Klik di sini untuk artikel penuh.
Adalah saya berdukacita dengan hujjah seorang peguam syarei dengan hujjah sebegini. Mengajak berincang secara ilmiah, tetapi langsung tidak mencerminkan ilmiahnya hujjah anda.
Saya tidak berkenan untuk quote beberapa hujjah anda. Kerana semakin saya baca semakin rasa jelek di hati ini. Apabila sorang peguam syarei, menilai dengan fakta lemah untuk mempertahankan bahawa Malaysia sebuah Negara Islam.
Negara barat seperti Amerika Syarikat, Britain, Prancis malah Spanyol merupakan sebuah negara sekular. Bagaimanapun sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai rakyat berbilang kaum, etnik dan agama tidak dapat menafikan peranan dalam member kebajikan terhadap rakyat. Termasuk yang beragama Islam. Mereka (Muslim) mendapat dana untuk membangunkan prasarana mereka dalam hal-hal kepentingan mereka dalam agama. Begitu juga dengan agama-agama lain.
Singapura, Thailand antara contoh terdekat yang mempunyai rakyat yang beragama Islam. Bahkan ada Majlis Agama dan Majlis Mufti Negara mereka sendiri. Adakah negara mereka kita boleh mendakwa sebagai sebuah negara Islam?
Setakat pembinaan Masjid, sekolah Islam dan sebagainya negara-negara tersebut juga membantu. Bahkan Amerika, Britain dan juga Spanyol mempunyai ratusan ribu buah masjid. Sebanyak mana atau seikhlas mana tak perlu dibincangkan.
Tidaklah sebodoh yang anda gambarkan kepada para pemimpin sekular, terus menerus mendiskriminasikan agama dalam pemerintahan terutama Islam. Sejauh mana mereka terus mahu bersifat demikian. Demi menjaga hati setiap rakyat yang diperintah, semestinya mempunyai tindakan yang bijak. Sepertimana Presiden Bush yang pernah beberapa kali menganjurkan jamuan berbuka puasa di White House.
Secara kasarnya beginilah, saya tak berkenan untuk memanjangkan tulisan. Berkenaan dengan denifisi sebuah Negara Sekular atau Negara Islam, semestinya perlu kepada rujukan yang muktabar. Sirah perjuangan Nabi SAW sehingga jatuhnya Khilafah Islamiyah terakhir di Turki. Rujukan tersebut mestilah bersandarkan kepada sumber-sumber yang soheh lagi diktiraf dari jumhur ulama, bukan dari minoriti mahupun orang perseorangan.
Saya juga menasihati diri saya sendiri juga saudara supaya kembali kepada ilmu Islam yang syumul, lengkap dan melengkapi. Tiada sejernih keikhlasan melainkan apabila kita fahami konsep "Tiada Tuhan Melainkan Allah, nabi Muhammad Itu Pesuruh Allah".
Sekian,