Tulisan: Subky Abdul Latif
MAHKAMAH Turki membatalkan keputusan Parlimen yang meluluskan pencalonan Menter Luarnya, Abdullah Gul untuk menjadi Presiden Turki yang baru.
Hujah penolakan itu ialah isteri Abdullah Gul bertudung.
Dengan alasan itu membuktikan Abdullah adalah seorang konservatif Islam. Ia bahaya bagi fahaman sekularisma yang menjadi ideologi negara Turki.
Perlembagaan Turki memperuntukkan ideologi sekularisme yang diasaskan oleh Kamal Ataturk tidak boleh diganggu gugat.
Tentera, mahkamah dan universiti diberi kuasa untuk mematahkan mana-mana pihak yang mengancam sekularisme.
Abdullah Gul adalah calon parti AK – Parti Keadilan – yang memerintah sekarang. Dia adalah calon pilihan setelah ura-ura untuk mencalonkan Perdana Menteri Reccep (Rejab) Tayyip Erdogen dibantah oleh ribuan tunjuk perasaan kumpulan pembangkang.
Mulanya penentang Erdogan merasa reda dengan pencalonan Abdullah Gul, kerana dia dilihat lebih sederhana. Sasaran pembangkang pada mulanya adalah Erdogan kerana dialah tunggak kepada kekuatan politik baru Turki.
Kejayaannya sebagai Datuk Bandar Istanbul dalam kerajaan Parti Refah, pimpinan Necmettin Erbakan dulu menyebabkan rakyat Turki menyokong Parti AK yang diasaskan untuk menguasai Parlimen dalam pilihan raya empat tahun lalu.
Pertama kali sejak kelumpuhan puak kemelis – kumpulan yang mendukung Kamal Ataturk – beberapa dekat kebelakang berjaya memenangi majoriti Parlimen.
Sebelumnya tidak pernah ada parti yang mendapat sokongan majoriti. Semua kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan campuran. Semua kerajaan tidak stabil dan ekonomi Turki lumpuh.
Parti AK, pecahan dari Parti Refah yang dipimpin bersama oleh Erdogan dan Abdullah Gul berjaya menguasai Parlimen dengan Abdullah Gul menjadi Perdana Menteri disebabkan oleh Erdogan ketika itu masih dalam edah hukuman penjara yang dihadapinya atas kesalahan membaca sebuah sajak Islam.
Setelah edah itu tamat, dia memenangi satu pilihan raya kecil, maka dia menjadi Perdana Menteri dan Abdullah Gul menjadi Menteri Luar.
Latar belakang Erdogan dan Abdullah Gul adalah pejuang gerakan Islam yang komited dalam Parti Refah, tetapi mereka melunakkan pendirian apabila menubuhkan Parti AK. Akibatnya buat kali pertama sambutan kepada pimpinan Erbakan merosot dan tidak mendapat kedudukan di Parlimen.
Sejak Erdogan memimpin kerajaan, ekonomi dan kewangan Turki pulih dan perkembangannya begitu pesat dan baik.
Apabila Presiden yang tamat tempoh bulan ini, maka Parti AK bercadang mencalonkan Erdogan.
Belum sempat pencalonan dibuat, puak sekular melancarkan tunjuk perasaan besar-besar, maka tolak ansurnya ialah mengulangi peristiwa menonjolkan Abdullah Gul sebagai calon Perdana Menteri ketika Parti AK menuyertai pilihan raya buat pertama kali dulu dengan mencalonkan beliau untuk menjadi Presiden.
Parlimen meluluskannya. Tetapi kumpulan sekular yang disokong oleh tentera membawa perkara itu ke mahkamah, maka mahkamah menerima bantahan puak sekular itu.
Keputusan mahkamah itu tidak boleh dirayu dan tentera akan bertindak kiranya keputusan mahkamah itu dicabar.
Keputusan mahkamah itu segera meletakkan Turki dalam satu krisis politik yang tegang dan boleh mengancam kestabilan politik dan ekonomi yang baru dinikmati dalam masa empat tahun ini.
Erdogan segera membubarkan Parlimen dan menyegarakan pilihan raya dari bulan November yang dijadualkan kepada bulan Julai ini. Setakat ini tiada satu parti dari parti-parti berfahaman sekular yang tersusun seperti Parti AK.
Sekalipun Erdogan dan Abullah Gul dan pengikut-pengikutnya mempunyai latar belakang perjuangan Islam yang jelas, tetapi Parti AK tidak memimpin kerajaan sebagai yang dicita-citakan seperti semasa mereka dalam Refah dulu.
Pada kaca mata perjuangan Islam, banyak yang dijanjikannya dalam pilihan raya dulu tidak dilaksanakannya.
Dasar luarnya tidak banyak berbeza dengan kerajaan-kerajaan sebelumnya, malah Erdogan membuat kunjungan ke Israel seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Turki sebelumnya.
Sebagai kumpulan yang pernah ada latar belakang perjuangan Islam, ada kelainannya dibandingkan dengan kengan kerajaan sekular. Ada amar makrufnya.
Tetapi sebagai kumpulan yang pro Islam, ia tidak menjadi contoh bagi kerajaan-kerajaan negara Islam lain. Ia tidak dapat menjalan nahi mungkar.
Berbeza dengan kerajaan sekular yang rasuah dan pentadbiran yang tidak cekap, kerajaan pimpinan Erdogan dan Abdullah Gul, adalah kerajaan yang bersih dan cekap. Ekonomi dan kewangannya sangat buruk kektika mereka mula mengambil pentadbiran, tetapi dalam waktu yang singkat mata wangnya kukuh dan ekonominya stabil.
Secara peribadi kumpulan itu hidup sebagai orang yang beragama dan menganjurkan supaya umat Islam Turki hidup beragama.
Di bawah pentadbirannya ia mengajar orang berbuat baik. Wanita mereka majoriti bertudung di khalayak umum.
Justeru itu Turki muncul sebagai negara pengekspot tudung yang terkenal di dunia.
Pada umum pentadbiran Parti AK tidak dilihat menjalankan pentadbiran yang dikehendaki oleh sebuah gerakan Islam.
Tidak ada yang dapat dijadikan hujah oleh kumpulan sekular pentadbiran Erdogan melanggar larangan ajaran sekular Turki seperti yang diajar oleh Ataturk.
Tidak ada apa yang dapat dibantah oleh puak sekular tentang pentadiran dan tindakan kerajaan bagi menuduh mereka mengancam sistem sekularisme.
Adalah sukar bagi mereka untuk menghalang Erdogan dari mendapat sokongan rakyat.
Apa yang dapat mereka bangkitkan untuk menghalang Erdogan dan Abdullah Gul dari menjadi Presiden ialah bahawa isteri mereka bertudung. Bertudung adalah budaya bangsa Turki yang beragama Islam sejak beratus tahun dulu. 90 peratus dari penduduk Turki adalah Islam.
Apa yang ditentang oleh kemelis itu adalah budaya Turki. Dan sekular Turki itu adalah satu sekular yang anti Islam.
Erdogan tidak bimbang dengan sokongan rakyat Turki. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah tentera yang mengancam untuk campur tangan dan tidak suka isteri dan anak para pemimpin bertudung.
Pemimpin Turki tidak terancam atas rasuah dan penyelewengan tetapi mereka terancam ssemata-mata isteri mereka bertudung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan