Bagi saya mengharapkan sesuatu yang terbaik buat diri adalah satu perkara yang menyenangkan. Namun ianya bukan mudah. Terutama apabila perkara yang baik itu bakal mengundang kritikan pedas. Tekad memilih satu jalan untuk mendapatkan yang terbaik, kadang-kadang mengundang seribu satu masalah, samada dari dalaman mahupun luaran.
Bagi saya tiada yang lebih baik dari mengharapkan satu perubahan diri dan mentaliti yang terbuka selagi ianya berlandaskan dengan syarak. Benar, ianya bukan sesuatu yang mudah. Namun ia tetap menjadi satu harapan. Usaha ke arah itu mengalami pelbagai rintangan.
Sifat thabat dalam memegang satu pendapat yang sememangnya benar sekali pun terkadang membuatkan kita timbul keraguan apabila berdepan dengan satu perkara yang bersifat fleksibel. Kadang-kadang mudah sahaja kita menolak pendapat yang selama ini kita pegang apabila bertembung dengan perkara tadi.
Keyakinan dan konsisten dalam diri sememangnya ada kaitan rapat dengan iman. Ketika inilah sebenarnya iman kita di"main"kan dalam situasi-situasi berbeza. Terkadang kita merasakan perkara yang kita alami perlu diberikan ruang dalam hati, namun sebenarnya ianya bakal mengurangkan iman. Terkadang kita merasakan perkara yang kita alami perlu diabaikan, namun sebenarnya ia bakal menambah keimanan kita. Benar, susah untuk merasakan kemanisan iman apabila kita belum teruji. Manisnya rasa memperjuangkan iman apabila kita teruji.
Kadang-kadang kita terasa tersangat berdosa setelah menjalani satu ujian, namun ada keuntungan disebalik ujian tersebut, membuktikan bahawa Allah tidak melupakan kita. Sejauh mana kita tidak melupakan Allah dalam saat-saat kita diuji.
Namun kita tetap sukar untuk menduga. Apa yang boleh dibuat, tetap redha dengan ketentuanNya, usaha menyelesaikan masalah yang diberikanNya. Natijah yang bakal diperolehi sememangnya bakal adalah ujian sekali lagi bagi kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan