"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


21 Mac 2008

Sollu A'la An Nabi!



"Aku tinggalkan dua perkara kepada kamu. Jika kamu berpegang teguh kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat buat selamanya, Al Quran dan Sunnahku"

18 Mac 2008

UMNO akan dimuziumkan?

Ini sekadar sangkaan saya tanpa sebarang selidikan khusus. Tetapi mungkin benar, cuma tunggu danlihat. UMNO akan dimuziumkan! Ini pun jika UMNO dengan dasar dan sikap pemimpinnya seperti ditunjukan hari ini. Ini bukan perkara remeh. Walaupun ramai yang tak perasan tetapi hakikat kebenarannya semakin terserlah. UMNO akan dimuziumkan!

Pesan Tok Guru kepada pemimpin UMNO dah banyak kali, namun sayangnya Tok Guru kepada pemimpin UMNO masih tidak berhenti memberi nasihat kepada mereka supaya kembali kepada Islam sepenuhnya. Jelas, inilah akibatnya (lihat Malaysia sekarang) apa UMNO tidak secara Kaffah dengan Islam. Islam hanya pada juzuk tertentu. Kasihan kat Nabi, pernah patah giginya, pernah dibaling najis, pernah diherdik, pernah melalui zaman getir . UMNO akan dimuziumkan!

Perubahan boleh berlaku jika dari peringkat akar umbi UMNO bangkit dengan selaraskan Islam sebagai method perjuangan dalam UMNO. Kita akan lihat masalah kritikal dalam negara akan pulih sedikit demi sedikit. Walaupun masalah perkauman. DEB jangan diperalat sebagai faktor keratakan kaum di Malaysia. Ia hanya mekanisme. Banyak lagi faktor-faktor lain yang menyumbang kepada keretakan kaum.

Paling ketara ialah ketuanan Islam. Ketuanan Islam saya melihatkan ia lebih penting, bukan ketuanan Melayu. Faktor orang bukan Islam susah nak bangkit kerana adanya kuasa Istana di negeri-negeri bersekutu dan tertera undang-undang tubuh yang menyatakan pemerintah tertinggi mestilah Melayu/Islam. Tapi sejauhmana ianya boleh bertahan? Jika UMNO sendiri tidak amalkan Islam secara kaffah? Sejauhmana masyarakat majmuk ini boleh dipertahankan? Mereka hidup dengan undang-undang yang sama dengan orang Islam. Dalam masa yang sama jelas menunjukan ada unsur-unsur berat sebelah dalam polisi DEB.

Ruginya kita, sepatutnya bukan DEB yang diusulkan kerajaan tahun 1971 dahulu, tetapi penerapan Islam secara total dikesampingkan. Lihatlah masalah hindu dan budha masih tidak selesai di negara kita. Di Mesir ni selalu masyarakat arab tanya hal ini kepada saya, sepatutnya zaman sekarang tiada lagi kepercayaan seperti hindu dan buddha. Tiga agama utama dunia sekarang ini Islam, Kristian dan Yahudi. Tetapi bila saya mengatakan masih ramai penganut Hindu dan Buddha, mereka menganggap itu masalah serius. Juga mereka pelik kerana Malaysia ada lagi yang menganut dua agama tersebut. Pernah hal ini disebut oleh Syeikhul Azhar sekarang Dr Sayyid Tantawi, mengatakan graduan Malaysia harus memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih beragama Hindu dan Buddha. UMNO akan dimuziumkan!

Saya tak pasti, adakah pemimpin kerajaan Malaysia memikirkan hal ini? Ketika Syeikhul Azhar nyatakan hal ini pun hadir sama Penasihat Agama Perdana Menteri Dr Abdul Hamid Othman dan Duta Besar Malaysia Mesir TYT Dato Zainal Abidin. Sejauhmana dibawa hal ini kepada kepimpinan negara saya tak pasti. Pernah ke dalam sejarah negara pemimpin utama kita menyeru rakyat Malaysia yang bukan Islam memeluk Islam? Tak pernah bukan? UMNO akan dimuziumkan!

Kelantan dan negeri yang berjaya diperintah oleh PAS boleh memainkan peranan penting. Ketika Nabi baru menguasai Madinah ternyatakan peluang itu tidak disia-siakan dengan usaha kerajaan dakwah kerajaan. Apatah lagi apabila mengusai semenanjung tanah arab. Mengutuskan utusan kepada raja-raja kerajaan-kerajaan dunia ketika itu untuk memeluk Islam. "Islamlah kamu, necaya kamu selamat". Kita bagaimana? UMNO akan dimuziumkan?

Bagi saya UMNO sekarang tiada apa-apa. Mereka dikelilingi dengan orang-orang yang mengamalkan rasuah. Dalam pemilihan UMNO pun penuh dengan rasuah. Pemimpin diangkat dengan amalkan rasuah. Tiada langsung unsur demokratik dalam UMNO. Lihat sahaja mereka yang mengkritik pimpinan akan dikenakan tindakan disiplin. Mereka yang berpendidikan tinggi dalam UMNO terus dikesampingkan walaupun mereka berpotensi. Ini kerana mereka bukan mengamalkan rasuah untuk jadi pemimpin. Kelayakan akademik tidak menjamin mereka kekal sebagai pemimpin UMNO. Maka UMNO akan dimuziumkan!

16 Mac 2008

www.ezoegypt.blogspot.com hanya respon soalan BLUR!

Setelah beberapa respon pembaca dari sangkaan dia mungkin agak blur dan rasanya dia boleh "cedok", dia siarkan dalam ruangan respon blognya. Ini amat menjengkelkan kerana banyak respon-respon saya sendiri dipadam seperti apa yang saya beritahu sebelum ini.

Sebab itu betul apa yang pernah disebut oleh Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat:

"UMNO dengan demokrasi yang direka sendiri pun tidak boleh nak hormati, apatah lagi dengan hukum Allah!!"

Saja nak layan kepala, saya siarkan dari blog www.ezoegypt.blogspot.com (Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas):



Saya juga sertakan salinan surat rasmi dari pihak Setiusaha UMNO Bahagian Kapar, saya tidak mendakwa bahawa surat ini benar atau palsu, tetapi terpulang kepada juak-juak UMNO untuk menilai dan kalau nak selidik lagi bagus. (Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)




15 Mac 2008

Muhasabah Pilihanraya


"Jamaah itu ialah kebenaran itu sendiri, kamu dikira sebagai jamaah Islam walaupun kamu seorang kerana kamu dilandasan kebenaran, Nabi Musa A.S dikira jamaah walaupun dia berseorangan, Nabi Isa A.S dikira jamaah walaupun ia berseorangan"

Artikel menarik ini dipetik dari: www.al-ghari.blogspot.com

HARI MENGUNDI :
Saya faqir yang hina berkesempatan membuang undi di DUN Galas, Gua Musang. Harapan saya dan semua pengundi agar calon muslim dan parti yang disokong mendapat kuasa dalam pilihanraya. Sekaligus mandat mulia ini dipergunakan untuk membela ummat dan mendaulatkan agama tercinta. Saya tiba di pusat mengundi kira-kira jam 10.00 pagi.

Pengundian di awal pagi sememangnya dirancang kerana saya perlu bergegas ke DUN Chempaka, Kota Bharu untuk memberi ruang kepada zaujah tercinta membuang undi bagi DUN Tok Guru. Namun, terpaksa beratur panjang di DUN Galas kerana pengundi saluran 3 begitu ramai. Maklumlah dibarisi orang muda yang pertama kali mengundi. Kelihatan mereka begitu teruja. Sungguh mereka teruja dengan hari mengundi! Apakah mereka juga teruja dengan hari Kiamat. Rukun Iman yang ke-5. Allahu Allah.

GELAGAT MANUSIA :
Saya memerhati pelbagai gelagat manusia yang berbaris. Ada yang menutup aurat. Dan ada juga yang tidak. Seseorang dua pula hampir telanjang walau berpakaian. Orang kampung yang berhijrah ke bandar katakan!. Ada juga golongan warga emas yang datang dengan bantuan petugas hari pegundian. Tahniah kepada warga emas yang bersusah payah datang mengundi. Apakah mereka juga sanggup bersusah payah untuk ke masjid menunaikan solat.

Ada pula si anak kecil yang merengek-rengek minta belas kasihan. Ibu-bapa pula terpaksa melayan karenah anak-anak mereka. Begitulah lumrahnya manusia, bila kecil menagih kasih sayang. Bila besar tiada belas kasihan.

BARISAN :
Melihat barisan beratur yang panjang. Teringat pula barisan manusia, binatang dan jin di padang Mahsyar. Pelbagai gelagat dan keadaan dipertontonkan. Diriwayatkan dari Sayyidatina Aisyah r.a : “Kamu akan dihasyar di padang mahsyar dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhatan. Aisyah bertanya : "Apakah manusia tidak berasa malu berpandangan sesama sendiri antara lelaki dan wanita pada hari itu? Rasulullah menjawab : "Wahai Aisyah, sesungguhnya (kesibukan) urusan Allah menyebabkan hilang perasaan malu manusia sesama manusia” -riwayat al-Baihaqi m/s 667 juz 1, al-Nasa'ie m/s 114 juz 4

Hari merdeka, hari raya atau hari mengundi kita dapati tidak ada manusia yang merayakannya berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhatan. Namun, hari akhirat menjanjikan segala kesulitan dan pelbagai kejutan besar.

Justeru, jika kita mampu melihat gelagat barisan nasional atau alternatif, lihatlah pula gelagat barisan kita di padang Mahsyar. Terdetik hati dengan nyanyian : 'Inilah barisan kita. Yang Ikhlas berjuang..siap sedia- berkorban. Untuk Rabbul Jalil."

MENUNGGU :
Menunggu untuk membuang undi 4 tahun sekali hanya seketika sahaja. Berbanding lamanya manusia perlu menunggu di padang mahsyar. Ada riwayat mengatakan kita terpaksa menunggu di Mahsyar selama 25 ribu tahun. Masya Allah. Dalam tempoh itu, setiap manusia tidak lagi mampu menunggu. Apatah lagi berdiri untuk ‘memberi undi.’ Kesemuanya termasuk Agung, Raja-raja, PM, TPM, Menteri, Menteri Besar, EXCO dan hamba rakyat tunduk dan akur pada pilihan Allah. Kerna Allah Maha Besar! Tunggulah saatnya nanti. Samada kita ini dipilih sebagai calon syurga atau calon neraka.

Oleh itu, jangan hanya terbayangkan calon DUN dan Parlimen sahaja. Bayangkan juga tentang pencalonan kita di akhirat sana. Insya Allah, bayangan ini sedikit sebanyak menjadikan iman kita bertambah lengkap dan sempurna.

PETUGAS :
Sempena pilihanraya, ramai petugas dilantik. Samada SPR, pihak keselamatan dan pemerhati wakil parti politik bertanding. Begitu juga keadaan di dunia dan di Mahsyar. Ramai juga tentera Allah bertugas pada saat ini dan hari berkenaan. Tentera Allah benar-benar adil. Keadilan mereka tidak seperti SPR, pengawal keselamatan atau petugas peti undi. Mereka sesekali tidak mendurhakai Allah. Dan bertugas mengikut bidang yang diperintahkanNya. Subhanallah.

CUAI TANGGUNGJAWAB:
Rukun Islam yang ke-2 ialah solat. Lihatlah berapa ramai umat Islam kita yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana terlalu excited dengan pilihanraya. Saya dengar ada calon bertanding, anggota SPR, pengawal keselamatan, petugas peti undi, perayu undi dan pengundi tidak mendirikan solat. Allah akbar. Apa nak jadi dengan umat Islam kita. Sanggup berjuang mendirikan negara dengan meruntuhkan agama. Allahu Allah.Setakat ini, peratusan mereka yang meninggalkan solat sempena pilihanraya masih tiada kajian dan paparan. Maka selama itu juga masih tiada kesedaran. Justeru, walaupun menang. Masih juga tiada keberkatan dan pertolongan Allah Tuhan Sekalian Alam.

VARIASI PEMIKIRAN :
Sesetengah dari kita berpilihanraya secara sekular. Mengundi adalah hak kita. Dan terpulang kepada kita. Mereka tak fikir hak Allah SWT dan ketentuan baik-buruk, dosa-pahala, syurga dan neraka. Sebahagian kita pula berpilihanraya kerana dunia semata-mata. Bila ada barang diundi. Bila tiada habuan diketepi dan dikeji. Pemilih seperti ini hanya mengutamakan perut untuk hidup. Hidup untuk makan. Makan untuk hidup. Dan sesekali mereka tak terfikir bahawa hidup untuk dimakan. Tiada langsung kamus akhirat dalam hidup mereka. Apatah lagi untuk berfikir tentang kebangkitan hidup selepas kematian. Masya Allah.

PERAYU:
Diluar pusat mengundi terdapat perayu undi. Kemanakah hala tuju rayuan mereka. Ingatlah firmanNya : ‘Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat jahat. Sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dan karuniaNya. Dan Allah Maha Luas kurniNya lagi Maha Mengetahui”- surah al-Baqarah 268

Kalau setakat rayuan undi di dunia ternyata ia tak sampai kema-mana. Tapi jika rayuan anda menuju Allah ia akan sampai ke pintu maghfirah dan kurniaNya. Insya Allah.

BENDERA PARTI :
Melihat bendera parti yang bertanding teringat pula kepada bendera mahsyar Liwa al-Hamd yang berwarna hijau. Bendera ini akan dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh golongan yang beriman. Mana-mana pejuang kafir, munafiq, fasiq, zalim dan pengikut mereka dihalang dari mengikutinya. Pada hari itu, Allah memisahkan darjat kedudukan mereka. Gembira dan mulialah golongan yang beriman. Celaka dan sengsaralah golongan yang sekutu dengan kekafiran.

SOKONGAN:
Pelbagai kempen dilancarkan untuk meraih sokongan. Gerombolan yang hidup di kota pulang menunaikan tanggungjawab. Perjalanan menjadi sesak. Jika Kesesakan perjalanan dunia sudah terasa. Bagaimana pula dengan kesesakan perjalanan kita ke alam Mahsyar. Bukankah semua makhluk terpaksa pulang ke sana dalam satu seruan, satu masa dan satu tempat sahaja. Jika kita bersedia balik mengundi, kita juga perlu bersedia untuk balik ke sana. Allahu Allah.

ANAK PERANTAU:
Ramai anak perantau balik mengundi. Ada pengundi pejuang, pengundi atas pagar dan pengundi hantu petualang. Di dunia, golongan ini memainkan peranan. Di akhirat, segala hantu-setan sedikitpun tidak diberi ruang. Semua terpaksa meletak jawatan. Ingatlah, merantau dari satu daerah ke daerah, satu negeri ke negeri adalah satu kebiasaan. Namun, bagaimana nasib perantauan dari dunia ke negeri akhirat. Tentu kita tiada pengalaman. Untuk itu, kita memerlukan pengetahuan dan keyakinan.

Saya tak kisah status golongan diperantauan. Saya juga anak perantau. Janji dalam perut pedal kita adanya iman. Dan semua perbuatan di balas oleh Allah Yang Maha memerhatikan.

ELAUN :
Bagi anak-anak diperantauan kepulangan mengundi dikampung halaman dijanjikan elaun perjalanan. Elaun dunia menjadi perhatian dan bualan. Sedihnya, bila elaun akhirat dilupa dan tidak dipedulikan. Sedarlah bahawa majikan kita adalah Allah. Dialah yang akan membayar segala kebaikan yang dilakukan.

PENGIRAAN UNDI:
Saya juga sempat mengikuti penjumlahan undi. Kita asyik mengira undi tetapi lupa pula untuk mengakauntabiliti diri sendiri. Muhasabalah diri sendiri sebelum kita dihisab Rabb al-Jalil. Calon pemenang diisytihar SPR. Jika pembangkang menang..keputusanny a agak lewat. Bagi yang menang, wajah ceria terang bersinar. Calon yang kalah wajahnya pudar. Hatinya turut berpinar. Penyokongnya pula terkejut besar. Begitu juga peristiharan di akhirat. Wajah pemenang beriman penuh bercahaya. Wajah si kafir berdebu dan kehitaman pula. Itulah hakikat pembalasan dariNya.

KESIMPULAN :
Bersamalah kita muhasabah diri dengan memperkasakan rukun iman kita. Semoga pilihanraya ke-12 mendewasakan pemikiran dan kehidupan kini. Sekaligus mematangkan perjalanan kita menuju akhirat.

Alhamdulillah, kita selesai memilih. Dan Allah telah memberi kemenangan kepada sebahagian pejuang agamanya. Laksanakanlah amanah dengan sebaik-baiknya. Demi Agama, Bangsa dan Negara.

Saudaraku, sedarlah, bahawa kita masih ditahap buta akhirat. Hidup selesa tidak digunakan untuk mencapai hakikat. Sebaliknya digunakan untuk melanggar syariat. Bagaimana pula untuk mengecapi makrifat. Sekarang, tiba masanya pula untuk kita bersiap. Semoga Allah memilih kita dalam keadaan selamat dan terhormat. Dijauhkan dari kematian yang jahat. Amin.

14 Mac 2008

Muktamar PMRAM: Bersediakah kita?

Tanggal 19 Mac 2008 ini merupakan satu lagi detik bersejarah buat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Muktamar Sanawi kali ke 75. Badan kebajikan yang tertetua ini di kalangan mahasiswa-mahasiswi Malaysia di Mesir akan bertukar barisan pimpinannya. Bagi yang sedar atau tidak PMRAM boleh dikatakan satu anugerah Allah bagi kesatuan Melayu/Islam di rantau asia tenggara ini. Detik bersejarah pada tahun 1930 penubuhan rasmi PMRAM tercatat dalam logo rasminya.

Jika sesiapa yang berjaya menyelidik atau membuat kajian berkenaan dengan PMRAM secara terperinci akan dapat melihat bagaimana susur galur serta kesinambungan perjuangan mahasiswa di bawah panji PMRAM ini. PMRAM di awal penubuhannya boleh dikatakan tercetus atas rasa sifat nasionalis melayu asia tenggara ketika itu yang merasakan perlunya suara-suara anak-anak melayu ini disatukan di bawah satu naungan. Walaupun begitu di awal penubuhannya boleh dikatakan proses Islamisasi dalam pentadbiran agak tidak ketara, walaupun ianya digagahi dengan mahasiswa-mahasiswi Al Azhar. Saya tidak pasti samada pembaca boleh menerima apa yang saya tulis ini atau tidak. Ada yang mengatakan bahawa PMRAM lahir kerana kesan dari kejatuhan khilafah Islamiyah sekitar 1924 masehi, seterusnya membawa kepada penubuhan PMRAM.

Ada beberapa tokoh atau ustaz-ustazah senior yang boleh dikatakan datuk dan nenek zaman sekarang, pernah berpesan kepada anak, cucu mereka yang belajar ke Mesir supaya tidak menyertai atau mendekati PMRAM. Ini kerana PMRAM yang mereka kenali dahulu tidak sama dengan PMRAM yang ada sekarang. Corak dan gaya pentadbiran, biah atau suasana kepimpinan yang ada sekarang berbeza mungkin dengan PMRAM yang mereka kenali dahulu. Ikhtilat tanpa batasan, hiburan melampau, aurat tidak terjaga menyebabkan persepsi itu terbawa-bawa hingga kini. Boleh dikatakan inilah antara sebab-sebab generasi penuntut dahulu agak tidak menyenangi dengan PMRAM.

Namun realitinya berbeza dengan sekarang. Terdapat juga dalam lipatan sejarah proses Islamisasi dalam pentadbiran dan pembinaan biah atau suasana solehah berlaku sekitar tahun 70an. Dapat dilihat gambar-gambar dari awal-awal penubuhan hingga kepada proses islamisasi tadi membuktikan berlakunya proses tersebut. Angin perubahan serta revolusi Islam yang bertiup kencang juga melanggar organisasi PMRAM ini. Dari muslimatnya yang berskirt dan tidak bertudung kepada bertudung sehinggalah sekarang ternyata proses Islamisasi tadi berjaya. Para mahasiswa dan siswi sudah tidak segan atau merasa janggal dengan pakaian yang menjadi syiar Islam. Kalau berkesempatan mengunjungi Mukatamar Hewi PMRAM anda merasa sejuk mata memandang dengan suasana dan keadaan Muktamar Hewi PMRAM yang boleh boleh dikatakan "keputihan". Suasana ini terus kuat sehingga tercetus untuk menubuhkan sayap kiri PMRAM iaitu Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) dengan organisasinya tersendiri dibawah pantauan Presiden yang juga Pengerusi HEWI PMRAM.

Jika hendak diceritakan sejarah PMRAM ini memang panjang, rasanya elok sahaja lawat ke laman rasmi PMRAM.

PMRAM merupakan satu persatuan yang tua ni melalui zaman-zaman peralihan dan perubahan yang ketara. Semangat dan kekentalan mereka yang mendokong perjuangan PMRAM wajar diberi penghormatan. Generasi sekarang hanya merealisasi perjuangan suci ini perlu memikirkan dan menggembleng tenaga supaya kesatuan ini terus kekal hingga kiamat hendaknya demi merealisasikan hadaf suci untuk disemai di tanah air kelak.

Saya selaku anggota PMRAM secara ikhlas mendoakan kesejahteraan Badan Pengurus PMRAM serta AJK HEWI PMRAM samada yang bakal turun atau yang bakal menggalas tugas yang bakal mencabar. Namun jangan bimbang kerana KITA PMRAM. Yakinlah, Allah bersama orang-orang yang mendokong panji kebenaranNya.

Faizal Sabhon melenting?

Agak terkesima sekejap dengan apa yang baru saya tahu dari sebuah blog seorang graduan Mahasiswa Al Azhar. Saya agak berminat dengan tulisan beliau, menulis artikel-artikel yang menarik dan bagus untuk dibaca, namun terpulang bagi mereka yang menilai. Namun bagi saya blog beliau ada juga nilai.

Bagaimanapun artikel terbaru beliau kali ini, amat mengejutkan saya. Terutamanya muat satu perenggan berkenaan dengan saya. Saya tak pasti, kenapa dan mengapa, cuma yang saya amat pasti, ianya satu tindakan yang mahu melihat kesan dan implikasi selepas tersiarnya artikel yang seperenggan berkenaan dengan saya.

Tajuk artikel tersebut membicarakan berkenaan dengan pelajar-pelajar Al Azhar yang pro Barisan Alternatif. Perincian yang diberikan ternyata satu persepsi rambang dan ianya boleh dikatakan betul atau salah. Namun seperti yang saya katakan tadi, seperrenggan berkenaan dengan saya membuatkan saya terkejut dan sedikit tergelak. Namun saya tidaklah mahu menafikan apa yang ditulis ataupun tidak juga mahu meng-ia-kan. Bagaimanapun terima kasih daun keladi kepada beliau kerana secara tidak langsung mempromosi blog saya kepada umum.

Begitupun, saya sudah memberi respon terhadap artikel tersebut, juga artikel-artikel beliau sebelum ini. Namun banyak yang beliau padam. Entah mengapa tanya sendiri kepada beliau. Bagi saya, pelajar cemerlang seperti beliau tidak perlu ego dengan respon-respon yang diberi, langsung padam tanpa memberi sebarang respon. Mungkin hanya menanti respon yang blur dan mengampu hanya disiarkan.

Mungkin pelajar-pelajar di Mesir boleh memberi jawapan, sejauhmana saya berkempen untuk BA di Mesir? Ataupun rata-rata pelajar Mesir hanya melihat sebuah kelab parti politik sahaja yang mewarnai pelajar Malaysia iaitu Kelab Umno Mesir. Siapa yang tidak menghormati suasana pelajar di sini saya tak pasti, adakah saya yang menulis secara peribadi dalam blog sendiri atau Kelab UMNO yang tidak segan silu berkempen tak sudah di bumi Mesir ni?

Untuk akhirnya mungkin pembaca boleh menilai apakah bezanya antar blog saya dan blog beliau. Bagi saya sama sahaja, cuma wadah yang dipaut adalah berbeza. Beliau memilih UMNO dan saya memilih PAS. Mungkin bagi beliau hanya UMNO yang layak memerintah hingga kiamat dan hanya UMNO yang Melayu mesti ikut.

12 Mac 2008

DEB - Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu Umno

Saya ada buka laman web Harakahdaily, lebih-lebih lagi selepas isu DEB ini kembali diperkatakan oleh pimpinan negara kita, apabila Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru menyatakan Pulau Pinang "bebas DEB". Setelah itu ramailah bising apabila kenyataan itu dibuat, terutama pemimpin UMNO kerana itulah dasar yang selama ini mereka agung-agungkan.

Namun sejauhmana rakyat tahu tentang dasar ini? Kajian rambang saya terhadap pengetahuan rakyat Malaysia tentang dasar dasar ini terutama bangsa melayu menyatakan mereka tidak tahu. Kebanyakan mereka mebalas begini:

"30% utk melayu, ade ape ngan DEB, tak, boleh jugak, apa dia?, tak tau, tak kenapa? ade dengar jek, tak tau sangat, ermm, Pulau Pinang nak buat DEB baru?"

Inilah jawapan yang banyak saya terima dari orang-orang melayu berkenaan dengan pengetahuan mereka tentang DEB ini. Saya bawakan satu artikel yang saya rasa boleh menjentik fikiran kita dan pengetahuan kita tentang DEB ini.

DEB - Jangan salahkan kaum Cina, salahnya Melayu Umno
Mohd Rashidi Hassan

Jangan lupa bahawa Umno yang banyak mengkritik Parti Gerakan dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana menjalankan dasar yang mendiskriminasikan orang-orang Melayu.

Akhbar Utusan Malaysia adalah antara media propaganda Barisan Nasional yang menyiarkan kenyataan beberapa Ketua Umno Bahagian di Pulau Pinang, yang secara lantang mengkritik Tsu Koon sehingga memeningkan kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Hakikatnya semakin jelas kelihatan sejak berpuluh tahun kerajaan negeri diterajui Gerakan dari kelompok kaum Cina, Melayu Pulau Pinang semakin terhakis, mereka hanya menguasai dan memiliki aset di Seberang Prai, manakala di bahagian pulau, hanya tinggal di sekitar Balik Pulau.

Lain-lain tempat, Jelutong, Bayan Lepas, Georgetown, Melayu sudah semakin terpinggir dan semakin pupus. Hanya yang ada saki baki Melayu tinggal di kawasan flat. Rumah kampung sudah tiada, pangsapuri mewah pun tiada, kawasan elit pun Melayu hampir tiada. Jika ada pun Melayu dari kalangan Umno.

Penulis tidak pernah berhasrat untuk membangkitkan soal kaum. Siapa yang menjadi Ketua Menteri, siapa yang memerintah atau sebagainya.

Penulis sekadar mengharapkan rakyat berfikir, mengapa media dan Umno begitu jahat memfitnah Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari DAP?

Apakah paparan bahawa kononnya kaum Cina dari DAP akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang boleh diterjemahkan sebagai semasa Cina Gerakan, DEB terlaksana dengan baik?

Jahatkah Cina DAP terlalu baikkah Cina Gerakan atau MCA pada pandangan Utusan? Media tidak harus cuba mengelirukan rakyat, kerana, mereka harus tanya kepada pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang, apakah mereka begitu puashati dengan Gerakan selama ini?

Jangan cetuskan api perkauman

Paparan seburuk ini, dibuat dengan nada yang begitu jahat, boleh mencetuskan ketidakstabilan hubungan kaum dalam negara. Utusan jelas 'bermain dengan api', meniupkan api perkauman yang boleh menjejaskan ketidakstabilan politik dalam negara.

Apa yang disebutkan Lim Guan Eng sebagai DEB menjadi punca kronisme, rasuah dan tidak efisyen sebenarnya memang betul.

Tan Sri Khalid Ibrahim ketika ditemuramah penulis dua tahun lepas (sebelum menganggotai KeADILan), tidak mempertikaikan DEB, yang dipertikaikan soalan perlaksanaannya. Soal delivery dan ketelusan yang dibangkitkan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawa Islam tidak menerima sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai diskriminasi kepada mana-mana kaum.

Namun, PAS menerima beberapa keutamaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan terhadap orang-orang Melayu. Apa yang PAS pertikaikan ialah soal amalan korupsi, kronisme dan nepotisme yang dilaksanakan oleh BN.

Hakikatnya PAS mempertikaikan DEB kerana ia digunakan sebagai alat politik untuk kepentingan segelintir puak yang dikenali sebagai Umnoputra, bukan untuk bumiputra.

Bukan soal DEB sahaja, lihatlah dasar untuk kepentingan orang Melayu Islam sebacara keseluruhan untuk orang Melayu/ Islam sewaktu Umno berkuasa dengan bongkaknya?

Di mana ukuran Umno/BN berjuang untuk Melayu?

Siapa yang merobohkan surau kegunaan untuk orang Islam, jika tidak dengan arahan Menteri Besar berketurunan Melayu dari Umno?

Siapa yang meroboh setinggan-setinggan Melayu seperti di Kampung Berembang atas alasan tujuan untuk pembangunan?

Siapa yang 'mengalibabakan' projek kerajaan yang diterima atas nama kontraktor Melayu Umno dan kemudiannya di sub-kon kan kepada kontraktor Cina?

Siapa yang menghapuskan pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, untuk digantikan dengan bahasa Inggeris?

Siapa yang menghapuskan bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat, yang rata-ratanya diwujudkan untuk pendidikan anak-anak Melayu/ Islam?

Siapa yang menindas dan menafikan hak ekonomi serta geran perkapita kepada kerajaan pimpinan orang Melayu di Kelantan dan Terengganu sewaktu PAS memerintah?

Sebenarnya bukan PAS, KeADILan atau DAP yang menolak DEB, hakikatnya pemimpin Umno sendiri yang mengkhianati DEB!

Justeru, pemimpin Umno tidak harus mendabik dada bahawa mereka adalah pejuang Melayu tulen, walhal sebenarnya merekalah yang menindas orang-orang Melayu.

Jika Umno dan BN melaksanakan dasar-dasar negara dengan betul, sudah tentu orang-orang Melayu tidak akan menolak mereka.

Pilihan Raya Umum ke 12 menunjukkan orang-orang Melayu sudah menolak Umno/BN. Jangan salahkan rakyat, sikap pemimpin Umno sendiri yang menyebabkan penolakan besar-besaran berlaku.

Fikir dan renungkan. Rombak Umno, suruh Abdullah berundur, jika tidak masa depan Umno akan gelap dan tidak mustahil Umno akan tersimpan dalam muzium, menjadi bahan sejarah.

09 Mac 2008

Melayu "layu" kalahkan PAS di Perak, Selangor dan Perlis

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah dengan keputusan Pilihanraya Umum ke 12 ini. Pas dan BA telah menguasai 5 negeri, namun dua negeri target sebelum ini Terengganu dan Perlis Masih berada di tangan BN, namun Allah memberi Selangor dan Perak sebagai ganti.

Kejutan yang besar PRU kali ini ialah suasana tsunami politik rakyat Malaysia tidak sama seperti tahun 1999. Dilihat hanya bangsa melayu dan sebahagian kecil Cina dan India bangkit dan melihat Terengganu jatuh di tangan PAS dan Kedah hampir jatuh juga di tangan PAS. PKR sebelum ini dilihat masih belum menyerlah di beberapa kawasan, kali ini membuat kejutan besar di beberapa buah negeri terutama di Selangor. DAP dilihat sangat beruntung kerana walaupun tidak banyak kerusi yang ditandingi tetapi kerusi-kerusi tersebut menang, terutama di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan serta Johor.

Keadaan dilihat berbeza pada Parti Islam SeMalaysia, yang bertanding 19 Kerusi di Selangor tetapi hanya menang 8, juga di Perak sebanyak 21 kerusi PAS bertanding tetapi hanya menang 6 kerusi, Perlis 13 kerusi menang 1 kerusi. Berbanding DAP menyapu bersih 18 kerusi DUN yang mereka bertanding di Perak. Menang 13 kerusi dari 15 kerusi di Selangor. Kemenangan-kemenangan tersebut bukan sahaja menang dengan mejoriti sedikit, tetapi dengan mejoriti yang menjangkau hampir 1 ribu hingga 20 ribu.

Boleh dikatakan di sini, sebahagian besar rakyat dari golongan Cina dan India menunjukkan reaksi positif terhadap mana-mana parti oposisi. Tidak kira samada PAS, PKR mahupun DAP mereka memberi undi dengan tidak menoleh langsung terhadap Barisan Nasional. Bagaimanapun berbeza di kawasan mejoriti tinggi bangsa Melayu dilihat masih lagi tidur dengan angin perubahan ini sehinggakan mereka tidak peka dengan situasi semasa dengan tidak memberi undi kepada PAS di kawasan-kawasan tertentu seperti banyak di Perak dan Selangor.

Saya percaya DAP tidak boleh menafikan juga suara-suara hardcore dari PAS di kawasan-kawasan mereka memberikan mejoriti yang tinggi kepada DAP. Di sini DAP perlu bersikap realistik dalam menangani masalah setempat dengan tidak menafikan suara-suara tadi. Bagaimanapun Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana DAP Perak menepati serta meletakkan sikap berhemah yang tinggi dengan bersama-sama bermesyuarat bersama PKR dan PAS dan mencalonkan wakil PAS sebagai calon MB bagi barisan rakyat di Perak. Angin perubahan ini perlu dinilai dari banyak sudut oleh semua parti opsisi dengan tidak meletakkan suara rakyat dibelakang seperti apa yang dilakukan oleh BN dahulu.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu memainkan peranan penting di kerusi DUN di negeri-negeri yang ada kerusi yang dimenanginya. Suarakan dan bangkitkan isu-isu penting di negeri masing. Juga negeri-negeri yang dimenangi seperti di 5 buah negeri tadi sebolehnya menggabungkan manefesto-manefesto yang dijanjikan supaya ianya terlaksana. Jangan dilayan sangat dengan kejutan ini, tetapi kena fikirkan bagaimana negari yang bakal dibentuk. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS telah memberi peringatan awal kepada calon-calon PAS yang menang supaya kukuh dan berpegang dengan dasar dan agenda Islam yang dibawa. Walaupun tiada kerusi mejoriti PAS di Selangor dan Perak, namun isu-isu kepentingan Islam jangan dikesampingkan.

Apa yang telah PAS lakukan di Kelantan boleh dicontohi di negeri-negeri lain, namun 18 tahun PAS di Kelantan bukan mudah. Didikan rakyat dilihat dipandu oleh Menteri Besarnya sendiri. Minda Islam sememangnya ditanam cukup-cukup di Kelantan, peranan ini juga perlu dimainkan oleh negeri-negeri yang dimenangi PAS-BA.

Perkara-perkara penting yang saya lihat boleh diperjuangkan dan dilakukan perubahan di negeri-negeri pantai barat ini ialah berkenaan dengan kebajikan rakyat di sana. Isu-isu perkauman nampaknya tidak wujud, kerana dilihat perkongsian kuasa boleh dilakukan oleh PAS, PKR dan DAP. Perkara kebajikan yang penting ialah seperti:

1. Tol-tol yang berselerak di Selangor dan Kuala Lumpur
2. Kelab-kelab malam yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan juga kilang arak Carlsberg di Shah Alam
3. Jenayah yang terlalu banyak di Selangor
4. Memperbaiki institusi-institusi penting seperti perbankan Islam, Jabatan serta Majlis Agama Islam

Saya merasakan perkara-perkara ini perlu dilakukan dahulu oleh BA dalam menangani isu rakyat. Pihak berkuasa seperti Polis dan BPR janganlah masih mengikut telunjuk BN yang telah pun ternafi 2/3 kuasa mereka di Parlimen. Kabajikan pegawai-pegawai kamu lebih terjamin insyaAllah dibawah BA.

Bagi Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, perlu sedar dan insaf. Tiada lain untuk diungkapkan di sini tidak lain apa yang diperingatkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz "kembali kepada Islam yang sebenar". Yang sudah itu sudahlah. Dunia ini kita menumpang yang Allah menciptanya, pandai-pandai kita masih lagi memerlukan bantuan Allah, kerana pandai kita ini pun Allah yang beri. Terpulang kepada Pak Lah selepas ini bagaimana. Tepuk dada tanya iman.

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai