"Jamaah itu ialah kebenaran itu sendiri, kamu dikira sebagai jamaah Islam walaupun kamu seorang kerana kamu dilandasan kebenaran, Nabi Musa A.S dikira jamaah walaupun dia berseorangan, Nabi Isa A.S dikira jamaah walaupun ia berseorangan"
Artikel menarik ini dipetik dari: www.al-ghari.blogspot.com
HARI MENGUNDI :
Saya faqir yang hina berkesempatan membuang undi di DUN Galas, Gua Musang. Harapan saya dan semua pengundi agar calon muslim dan parti yang disokong mendapat kuasa dalam pilihanraya. Sekaligus mandat mulia ini dipergunakan untuk membela ummat dan mendaulatkan agama tercinta. Saya tiba di pusat mengundi kira-kira jam 10.00 pagi.
Pengundian di awal pagi sememangnya dirancang kerana saya perlu bergegas ke DUN Chempaka, Kota Bharu untuk memberi ruang kepada zaujah tercinta membuang undi bagi DUN Tok Guru. Namun, terpaksa beratur panjang di DUN Galas kerana pengundi saluran 3 begitu ramai. Maklumlah dibarisi orang muda yang pertama kali mengundi. Kelihatan mereka begitu teruja. Sungguh mereka teruja dengan hari mengundi! Apakah mereka juga teruja dengan hari Kiamat. Rukun Iman yang ke-5. Allahu Allah.
GELAGAT MANUSIA :
Saya memerhati pelbagai gelagat manusia yang berbaris. Ada yang menutup aurat. Dan ada juga yang tidak. Seseorang dua pula hampir telanjang walau berpakaian. Orang kampung yang berhijrah ke bandar katakan!. Ada juga golongan warga emas yang datang dengan bantuan petugas hari pegundian. Tahniah kepada warga emas yang bersusah payah datang mengundi. Apakah mereka juga sanggup bersusah payah untuk ke masjid menunaikan solat.
Ada pula si anak kecil yang merengek-rengek minta belas kasihan. Ibu-bapa pula terpaksa melayan karenah anak-anak mereka. Begitulah lumrahnya manusia, bila kecil menagih kasih sayang. Bila besar tiada belas kasihan.
BARISAN :
Melihat barisan beratur yang panjang. Teringat pula barisan manusia, binatang dan jin di padang Mahsyar. Pelbagai gelagat dan keadaan dipertontonkan. Diriwayatkan dari Sayyidatina Aisyah r.a : “Kamu akan dihasyar di padang mahsyar dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhatan. Aisyah bertanya : "Apakah manusia tidak berasa malu berpandangan sesama sendiri antara lelaki dan wanita pada hari itu? Rasulullah menjawab : "Wahai Aisyah, sesungguhnya (kesibukan) urusan Allah menyebabkan hilang perasaan malu manusia sesama manusia” -riwayat al-Baihaqi m/s 667 juz 1, al-Nasa'ie m/s 114 juz 4
Hari merdeka, hari raya atau hari mengundi kita dapati tidak ada manusia yang merayakannya berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhatan. Namun, hari akhirat menjanjikan segala kesulitan dan pelbagai kejutan besar.
Justeru, jika kita mampu melihat gelagat barisan nasional atau alternatif, lihatlah pula gelagat barisan kita di padang Mahsyar. Terdetik hati dengan nyanyian : 'Inilah barisan kita. Yang Ikhlas berjuang..siap sedia- berkorban. Untuk Rabbul Jalil."
MENUNGGU :
Menunggu untuk membuang undi 4 tahun sekali hanya seketika sahaja. Berbanding lamanya manusia perlu menunggu di padang mahsyar. Ada riwayat mengatakan kita terpaksa menunggu di Mahsyar selama 25 ribu tahun. Masya Allah. Dalam tempoh itu, setiap manusia tidak lagi mampu menunggu. Apatah lagi berdiri untuk ‘memberi undi.’ Kesemuanya termasuk Agung, Raja-raja, PM, TPM, Menteri, Menteri Besar, EXCO dan hamba rakyat tunduk dan akur pada pilihan Allah. Kerna Allah Maha Besar! Tunggulah saatnya nanti. Samada kita ini dipilih sebagai calon syurga atau calon neraka.
Oleh itu, jangan hanya terbayangkan calon DUN dan Parlimen sahaja. Bayangkan juga tentang pencalonan kita di akhirat sana. Insya Allah, bayangan ini sedikit sebanyak menjadikan iman kita bertambah lengkap dan sempurna.
PETUGAS :
Sempena pilihanraya, ramai petugas dilantik. Samada SPR, pihak keselamatan dan pemerhati wakil parti politik bertanding. Begitu juga keadaan di dunia dan di Mahsyar. Ramai juga tentera Allah bertugas pada saat ini dan hari berkenaan. Tentera Allah benar-benar adil. Keadilan mereka tidak seperti SPR, pengawal keselamatan atau petugas peti undi. Mereka sesekali tidak mendurhakai Allah. Dan bertugas mengikut bidang yang diperintahkanNya. Subhanallah.
CUAI TANGGUNGJAWAB:
Rukun Islam yang ke-2 ialah solat. Lihatlah berapa ramai umat Islam kita yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana terlalu excited dengan pilihanraya. Saya dengar ada calon bertanding, anggota SPR, pengawal keselamatan, petugas peti undi, perayu undi dan pengundi tidak mendirikan solat. Allah akbar. Apa nak jadi dengan umat Islam kita. Sanggup berjuang mendirikan negara dengan meruntuhkan agama. Allahu Allah.Setakat ini, peratusan mereka yang meninggalkan solat sempena pilihanraya masih tiada kajian dan paparan. Maka selama itu juga masih tiada kesedaran. Justeru, walaupun menang. Masih juga tiada keberkatan dan pertolongan Allah Tuhan Sekalian Alam.
VARIASI PEMIKIRAN :
Sesetengah dari kita berpilihanraya secara sekular. Mengundi adalah hak kita. Dan terpulang kepada kita. Mereka tak fikir hak Allah SWT dan ketentuan baik-buruk, dosa-pahala, syurga dan neraka. Sebahagian kita pula berpilihanraya kerana dunia semata-mata. Bila ada barang diundi. Bila tiada habuan diketepi dan dikeji. Pemilih seperti ini hanya mengutamakan perut untuk hidup. Hidup untuk makan. Makan untuk hidup. Dan sesekali mereka tak terfikir bahawa hidup untuk dimakan. Tiada langsung kamus akhirat dalam hidup mereka. Apatah lagi untuk berfikir tentang kebangkitan hidup selepas kematian. Masya Allah.
PERAYU:
Diluar pusat mengundi terdapat perayu undi. Kemanakah hala tuju rayuan mereka. Ingatlah firmanNya : ‘Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat jahat. Sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dan karuniaNya. Dan Allah Maha Luas kurniNya lagi Maha Mengetahui”- surah al-Baqarah 268
Kalau setakat rayuan undi di dunia ternyata ia tak sampai kema-mana. Tapi jika rayuan anda menuju Allah ia akan sampai ke pintu maghfirah dan kurniaNya. Insya Allah.
BENDERA PARTI :
Melihat bendera parti yang bertanding teringat pula kepada bendera mahsyar Liwa al-Hamd yang berwarna hijau. Bendera ini akan dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh golongan yang beriman. Mana-mana pejuang kafir, munafiq, fasiq, zalim dan pengikut mereka dihalang dari mengikutinya. Pada hari itu, Allah memisahkan darjat kedudukan mereka. Gembira dan mulialah golongan yang beriman. Celaka dan sengsaralah golongan yang sekutu dengan kekafiran.
SOKONGAN:
Pelbagai kempen dilancarkan untuk meraih sokongan. Gerombolan yang hidup di kota pulang menunaikan tanggungjawab. Perjalanan menjadi sesak. Jika Kesesakan perjalanan dunia sudah terasa. Bagaimana pula dengan kesesakan perjalanan kita ke alam Mahsyar. Bukankah semua makhluk terpaksa pulang ke sana dalam satu seruan, satu masa dan satu tempat sahaja. Jika kita bersedia balik mengundi, kita juga perlu bersedia untuk balik ke sana. Allahu Allah.
ANAK PERANTAU:
Ramai anak perantau balik mengundi. Ada pengundi pejuang, pengundi atas pagar dan pengundi hantu petualang. Di dunia, golongan ini memainkan peranan. Di akhirat, segala hantu-setan sedikitpun tidak diberi ruang. Semua terpaksa meletak jawatan. Ingatlah, merantau dari satu daerah ke daerah, satu negeri ke negeri adalah satu kebiasaan. Namun, bagaimana nasib perantauan dari dunia ke negeri akhirat. Tentu kita tiada pengalaman. Untuk itu, kita memerlukan pengetahuan dan keyakinan.
Saya tak kisah status golongan diperantauan. Saya juga anak perantau. Janji dalam perut pedal kita adanya iman. Dan semua perbuatan di balas oleh Allah Yang Maha memerhatikan.
ELAUN :
Bagi anak-anak diperantauan kepulangan mengundi dikampung halaman dijanjikan elaun perjalanan. Elaun dunia menjadi perhatian dan bualan. Sedihnya, bila elaun akhirat dilupa dan tidak dipedulikan. Sedarlah bahawa majikan kita adalah Allah. Dialah yang akan membayar segala kebaikan yang dilakukan.
PENGIRAAN UNDI:
Saya juga sempat mengikuti penjumlahan undi. Kita asyik mengira undi tetapi lupa pula untuk mengakauntabiliti diri sendiri. Muhasabalah diri sendiri sebelum kita dihisab Rabb al-Jalil. Calon pemenang diisytihar SPR. Jika pembangkang menang..keputusanny a agak lewat. Bagi yang menang, wajah ceria terang bersinar. Calon yang kalah wajahnya pudar. Hatinya turut berpinar. Penyokongnya pula terkejut besar. Begitu juga peristiharan di akhirat. Wajah pemenang beriman penuh bercahaya. Wajah si kafir berdebu dan kehitaman pula. Itulah hakikat pembalasan dariNya.
KESIMPULAN :
Bersamalah kita muhasabah diri dengan memperkasakan rukun iman kita. Semoga pilihanraya ke-12 mendewasakan pemikiran dan kehidupan kini. Sekaligus mematangkan perjalanan kita menuju akhirat.
Alhamdulillah, kita selesai memilih. Dan Allah telah memberi kemenangan kepada sebahagian pejuang agamanya. Laksanakanlah amanah dengan sebaik-baiknya. Demi Agama, Bangsa dan Negara.
Saudaraku, sedarlah, bahawa kita masih ditahap buta akhirat. Hidup selesa tidak digunakan untuk mencapai hakikat. Sebaliknya digunakan untuk melanggar syariat. Bagaimana pula untuk mengecapi makrifat. Sekarang, tiba masanya pula untuk kita bersiap. Semoga Allah memilih kita dalam keadaan selamat dan terhormat. Dijauhkan dari kematian yang jahat. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan