Sebenarnya, aku tak berapa suka nak cerita hal-hal diri sendiri di blog ni. Tapi kali ini rasa seperti perlu pula menulis tentang diri.
Dua, tiga hari sebelum ini, berlangsungnya piala Presiden PMRAM 2008 di Abbasiyah, belakang Asrama Rumah Melayu Abbasiyah (ARMA). Aku mengambil peluang untuk berniaga. Pilihan aku ialah menjual roti john. Harga yang ditetapkan hanya LE 1.50 sahaja. Aku jual juga di Rumah Johor. Atas sebab mahu menampung perbelanjaan di sini, aku mengambil langkah ini sebagai permulaan. Dengan bermula dengan modal yang tak sampai LE50, alhamdulillah, selama 4 hari aku berniaga roti john, aku dah boleh bayar duit sewa rumah untuk bulan Februari. Alhamdulillah syukur kepada Allah.
Namun aktiviti ini bukan mudah seperti disangka. Penyediaannya membuatkan aku letih sekali. Semasa keadaan letih dan penat inilah, hati aku berdetik dan teringat mak di tanah air. Bukan kah mak dahulu juga seperti ini? Bahkan lebih dari ini aku rasakan. Menjual 3 jenis atau 2 jenis kuih setiap hari. Karipap, donat, apam ialah menu pilihan yang selalu mak jual setiap pagi. Mak dulu 3 jenis, aku jual 1 jenis jer bahkan sempoi sahaja penyediaannya. Bagaimanapun penat dan letihnya memang terasa. Bayangkan mak dahulu bagaimana mencari rezeki tambahan untuk keluarga. Letih dan penat mak mungkin bukan kepalang. Aku masih teringat kalau kuih-kuih yang ditinggalkan setiap subuh untuk arwah abah dan anak-anak sarapan. Kadang-kadang mak dah tiada di rumah menghantar kuih di kedai sebelum aku ke sekolah. Hanya kuih sebagai salam perpisahan sebelum ke sekolah.
Keledek, kentang, rempah kari, tepung gandum adalah barang yang selalu diminta aku tolong beli. Kadang-kadang malas, minta kakak aku beli. Bukan faham erti mencari rezeki pada waktu itu. Tahunya aku juga dapat merasa kuih muih mak. Tengaharinya aku diminta ke kedai mengambil bekas dan duit untung jualan kuih muih. Alahai berapa sangatlah ketika itu. Seringgit boleh dapat 5 biji karipap. Sekarang mungkin seringgit 2 biji sahaja.
Jual roti john inilah menjadikan aku lebih matang dalam hidup yang semakin menua ini. Menilai setiap masa, kesungguhan, kecermatan dan melawan sikap malas. Ianya sangat membuatkan aku insaf dengan kerja-kerja mak dahulu. Nilai rezeki yang halal itulah yang membawa keberkatatannya sehingga aku ke Mesir ini. Aku sangat bersyukur dengan apa yang Allah berikan aku dalam dua, tiga hari ini. Sangat memberi kesan mendalam dalam jiwa.
Jiwa mak memang kuat membina keluarga hingga sekarang. Terima kasih mak, semoga Allah sentiasa memayungi mak dengan hidayahNya. Amin
salam. baik kau mal. terharu aku baca entry ni. teringat kat arwah ayah aku...
BalasPadam