Virus merebak dari tekak ke telinga tengah boleh jejas pendengaran, keupayaan bertutur
ADAKAH anak kecil anda sering demam, menangis sambil menunjukkan telinganya atau anda mendapati ada cecair yang keluar dari telinganya itu?
Jika ada anda perlu segera membawanya ke doktor kerana jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan pekak. Inilah bahayanya masalah jangkitan telinga tengah (otitis media) yang kerap ditemui di kalangan kanak-kanak di negara ini.
Malah di Malaysia misalnya, kajian Kementerian Kesihatan pada 2006, menunjukkan hampir 500,000 kes otitis media (OM) itu dicatatkan setiap tahun yang lazimnya membabitkan kanak-kanak di bawah usia dua tahun.
Daripada jumlah itu, separuh daripada mangsa cenderung mendapat serangan otitis media akut yang boleh menyebabkan pekak.
Otitis media merujuk masalah radang pada telinga tengah dan terbahagi kepada enam kategori berdasarkan simptom, tahap serius dan tempoh pesakit mengalaminya.
Umumnya pada usia tiga tahun dianggarkan tiga perempat kanak-kanak pernah mengalami sekurang-kurangnya OM sekali dalam hidup mereka, manakala satu pertiga daripadanya akan mengalami jangkitan berulang (tiga atau lebih dalam tempoh setahun). Kemuncak insiden OM selalunya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia enam bulan ke 18 bulan.
Ada kala OM bukan hanya mendatangkan rasa sakit tetapi turut menjadi punca komplikasi yang lebih serius jika tidak dirawat. Jangkitan akan merebak ke telinga tengah, malah boleh ke otak. Dalam sesetengah kes ia boleh menyebabkan pekak. Bagaimanapun, pekak hanya bersifat sementara jika OM dirawat. Namun, tanpa rawatan pesakit akan kekal pekak.
Biasanya cecair seakan-akan nanah yang keluar dari telinga menyebabkan kadar pendengaran kanak-kanak terjejas, sekali gus akan menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk bertutur dan menguasai bahasa.
Pakar Runding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Nordin, berkata OM terjadi apabila bakteria atau virus merebak dari bahagian atas tekak (nasopharynx) ke telinga tengah melalui tiub eustachian (tiub yang menghubungkan tekak, saluran pernafasan dan telinga tengah).
Oleh kerana OM disebabkan pergerakan jangkitan bakteria dari nasopharynx ke telinga tengah, ia diklasifikasikan sebagai jangkitan saluran atas pernafasan.
“Lebih daripada separuh OM disebabkan oleh bakteria. Dua bakteria utama ialah Streptococcus pneumoniae (S pneumoniae) dan Haemophilus influenzae (NTHi),” katanya.
S pneumoniae adalah penyebab utama penyakit seperti pneumonia, meningitis dan keracunan darah di kalangan kanak-kanak, manakala NTHi pula kerap dikaitkan dengan masalah seperti sinusitis, konjuktivitis juga pneumonia.
Pakar Runding Pediatrik, Pusat Perubatan Selangor Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata OM adalah satu daripada lebih 90 senarai penyakit pneumokokal yang membawa kepada masalah kesihatan yang serius bukan saja di kalangan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa di seluruh dunia.
“Bakteria S.pneumoniae tidak hanya menyebabkan OM tetapi turut mengancam nyawa seperti radang paru-paru, meningitis dan keracunan darah (bakteremia),” katanya.
Setiap tahun bakteria S pneumoniae dianggarkan membunuh hampir sejuta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh dunia terutama di negara membangun.
Bagaimanapun, OM adalah sebahagian penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Bagi melindungi kanak-kanak daripada OM dan beberapa penyakit lain di bawah kategori penyakit pneumokokol, anda boleh berbincang lanjut dengan doktor.
INFO: Simptom OMJenis-Jenis OM
- Resah
- Susah tidur
- Kerap menarik telinga
- Demam
- Cecair keluar dari telinga
- Hilang keseimbangan
- Selesema
Sumber: Berita Harian
- Otitis media akut (AOM) - jangkitan telinga tengah yang disertakan dengan rasa sakit, nanah, demam.
- OM dengan nanah (OME) - nanah tanpa simptom kesakitan atau jangkitan.
- OM yang berulang - mengalami AOM lebih dari tiga kali dalam tempoh setahun.
- OM kronik - mengalami AOM lebh dari enam kali dalam tempoh setahun.
- OM kronik dengan nanah - OME didefinisikan sebagai kronik apabila nanah dari telinga sekurang-kurangnya tiga bulan.
- OM dengan nanah kronik - radang kronik dengan telinga tengah bernanah.
Ibnu Ali: Artikel ini menunjukan peratusan kanak-kanak lebih besar tanpa menyebutkan peratusan bagi dewasa. Atau adakah penyakit ini berubah nama bila terkena pada dewasa? Mungkin sahabat dari pengajian perubatan boleh membantu?
Tapi dari simptom-simptom OM yang diberikan, aku semacam tidak semua mengalaminya. Hmmm?
- Resah - Tiada
- Susah tidur - Kadang-Kadang
- Kerap menarik telinga - Tiada
- Demam - Jarang-jarang
- Cecair keluar dari telinga - Kerap, tapi tak meleleh hanya terhenti di dalam telinga menyebabkan gangguan pendengaran.
- Hilang keseimbangan - Tiada
- Selesema - Jarang-jarang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan