Dalam mengharungi hidup sebagai muslim, ujian dan dugaan hidup menandakan Allah memberi perhatian kepada kita. Ianya merupakan "hadiah" sebenarnya, jika kita benar-benar memahami hakikat hidup ber-Tuhan. Manusia yang sedar bahawa dia hamba kepada Allah ialah manusia yang memahami hakikat kejadiannya.
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. - Az Zariyat 56
Inilah tujuan utama Allah menjadikan manusia. Tidak lain tidak bukan untuk menjadi hamba kepadaNya. Namun hamba kepadaNya tidaklah sama maksudnya dengan hamba kepada manusia. Ianya juga tidak membawa manusia terawang-awang dengan hidup mereka di atas muka bumi ini. Bahkan sejak mula kejadian manusia itu, Allah mengirimkan manusia di kalangan mereka sebagai wakil Tuhan untuk memberitahu hakikat sebenar peranan manusia.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain). - Fussilat 6
Hakikat inilah yang sangat sukar diterima oleh sebahagian manusia. Malah menganggap bahawa hidup ini hanya sekali dan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya, dan tiada kehidupan selepas kematian. Oleh kerana itu, mereka yang bertuhankan dunia ini, menjadikan dunia ini sebagai tempat taruhan bermati-matian, berlumba mengejarnya sehingga susut nilai manusiawi. Mula bertindak zalim sesama mereka, melangkah sombong di atas muka bumi Allah, menempelak dan memperlekeh manusia yang mengajak kepada Allah.
Ingatlah, bahawa hidup kita ini diberi peluang untuk membuat pilihan. Tiada istilah berkecuali sehinggalah kita menemui Tuhan Rabbul Izzati. Buatlah pilihan yang tepat yang diredhai Allah, kerana jawapan untuk memilih yang baik atau yang buruk itu telah tersedia buku panduannya. Tinggal hanya kita yang membuat pilihan, samada neraka dengan kemurkaanNya atau syurga yang penuh dengan keredhaanNya.
Ramadhan Kareem 1432H