Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat kerana firman Allah s.w.t:
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (Surah Al-An'aam, Ayat: 32).
Ekoran dari rendahnya nilai dunia jika dibandingkan dengan akhirat maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan oleh Allah.
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Surah Az-Zariyaat, Ayat: 56).
Orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya.
Seluruh hidup mereka baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran mereka semuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah. Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan segala kurniaan tersebut demi untuk memuaskan hawa nafsu dan keinginan syahwat.
Kenyataan ini telah dibuktikan dengan sebahagian besar ciptaan-ciptaan (kemajuan) zaman moden ini dan kebanyakan hasil perahan daya fikiran manusia bertujuan untuk menyogokkan kepada manusia kelazatan dan kerehatan jasmaninya bukan bertujuan untuk membangunkan alam sejagat ini dengan nilai-nilai kebaikan, kedamaian dan ketenangan. Kemajuan alat-alat rekaan baru seperti kereta, pesawat, kapal terbang, mesin basuh, peti sejuk, alat-alat solek, perabut rumah, pakaian, alat-alat hiburan, malahan ribuan ciptaan yang dioleh kilang perusahaan yang moden dan canggih pada hari ini, semuanya bertujuan memberikan kerehatan, keselesaan kepada hidup manusia.
Dalam konteks ini walaupun Islam sama sekali tidak melarang mengkaji (menyelidik), mencipta dan menghasilkan sesuatu, namun ia haruslah dilakukan dengan syarat:
1. Dengan kadar yang tidak membawa manusia kepada kemudaratan atau bahaya.
2. Dalam bentuk yang boleh mendatangkan kebaikan dan kebajikan dalam masyarakat.
Ertinya, kerja-kerja tersebut hendaklah diperhatikan dari segi penyesuaiannya dengan syarak dan akhlak.
Dalam hubungan ini Imam Hasan Al-Banna di dalam risalah, "Ke Mana Kita Menyeru Manusia" mengatakan: "Demi Tuhanmu, wahai saudara yang dimuliakan; adakah umat Islam memahami pengertian ini (dari Kitab Allah) yang menyebabkan jiwa mereka akan menjadi tinggi, semangat mereka akan meningkat malah mereka akan bebas dari belenggu kebendaan. Mereka akan terhindar dari godaan syahwat dan keinginan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tujuan-tujuan yang penuh kehinaan. Dengan kefahaman ini mereka dapat meluruskan tujuan dan haluan mereka kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas mempertahankan kalimah Allah, berjihad pada jalan-Nya, menyebarkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya atau sebaliknya mereka ditawan oleh syahwat dan menjadi hamba kepada kerakusan nafsu serakah. Seluruh impian mereka hanyalah untuk mengisi uncang perut mereka dengan makanan yang lazat, kenderaan yang cantik, tidur yang nyenyak dan gelaran-gelaran yang kosong".
Seorang penyair menyatakan:
Mereka bersenang-senang dengan angan-angan khayalan,
Sedangkan segala pemberian adalah ujian,
Mereka mendakwa telah mengharungi lautan dengan,
Sesungguhnya mereka belumpun bertemu ujian,
Sesungguhnya benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dinar, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dirham. Celakalah (orang yang) menjadi hamba kepada pakaian" - Riwayat Imam Bukhari
Kita perlu lakukan sesuatu untuk tenang berdepan dengan dunia ni!
Sumber: Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Syeikh Fathi Yakan r.h.a