"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


21 April 2006

IKHWAN ALMUSLIMIN DI BAWAH HASSAN AL BANNA

Gerakan Islam dan proses politik di Mesir: Satu analisis terhadap kegagalan-kegagalan Ikhwan al-Muslimin dalam perebutan kuasa

Tulisan Asal: Muhammad Redzuan Othman
Olahan: Mohd Akhmal Mohd Ali

Bahagian Kedua

IKHWAN ALMUSLIMIN DI BAWAH HASSAN AL BANNA

Ikhwan Al Muslimin diasakan di Ismailliyah oleh Hassan Al Banna pada tahun 1928. Beliau bukanlah seorang ahli falsafah atau seorang pemikir dalam erti kata sebenar tetapi beliau adalah seorang yang mempunyai kemampuan yang tinggi dan kefahaman Islam yang mendalam. Di bawah kepimpinan Hassan Al Banna, Ikhwan Al Muslimin berjaya menjadi model sebagai gerakan Islam yang mampu menghadapi cabaran semasa. Pendekatan yang diberi penekanan oleh Hassan Al Banna dalam proses melatih ahli-ahlinya ialah membina fikrah mereka supaya menjadi muslim dalam erti kata sebenarnya. Ini dilakukan melalui pendekatan usrah dan tarbiyah yang terbukti berjaya melahirkan ahli-ahli yang mempunyai disiplin yang tinggi terhadapo perjuangannya.

Sebagai sebuah gerakan massa, Ikhwan Al Muslimin turut memberikan tumpuan dalam bidang ekonomi dan sosial dalam usaha menyebarkan lagi kegiatan dakwahnya. Dalam bidang ekonomi Ikhwan Al Muslimin berjaya menubuhkan kilang tekstil, syarikat perniagaan, syarikat pengiklanan dan sebagainya. Untuk program sosial pula Ikhwan Al Muslimin menubuhkan sekolah, pusat perkhidmatan kesihatan, mengadakan kelas petang dan sebagainya di seluruh negara.

Kegiatan Ikhwan Al Muslimin bukan sahaja mendapat sambutan di Mesir, tetapi juga di negara-negara arab yang lain di timur tengah. Di kemuncak kegemilangannya Ikhwan Al Muslimin berjaya mewujudkan lebih 2,000 cawangan di seluruh Mesir dengan keanggotaan dianggarkan seramai dua juta orang. Di samping itu juga berjaya menubuhkan cawangan-cawangan di Syria, Iran, Afrika Utara dan Pakistan. Walaupun berjaya menarik ramai ahli, namun penganalisaan terhadap latarbelakang mereka yang menyertai gerakan tersebut memperlihatkan bahawa ia lebih berjaya menarik keahlian dari kalangan kelas menengah dan penduduk bandar. Walaupun terdapat ramai petani dan penduduk desa yang menyertai gerakan tersebut, tetapi peratusnya agak kecil.

Sebagai gerakan Islam yang memperjuangkan Islam secara menyeluruh, Hassan Al Banna sering menegaskan bahawa Islam yang menjadi landasan perjuangan Ikhwan Al Muslimin bukanlah Islam yang hanya menekan persoalan Ibadah dalam ertikata yang sempit, tetapi merangkumi perkara yang berkaitan dengan urusan negara dan ummah. Seluruh ummat Islam dianggap sebagai satu ummah dan tidak boleh dipisahkan di antara satu dengan yang lain oleh batas-batas geografi. Sebarang bentuk pencerobohan ke atas mana-mana wilayah yang diduduki oleh ummat Islam dianggap sebagai pencerobohan ke atas ummat Islam secara keseluruhannya.

Walaupun dengan pendekatan Islam menyeluruh diperjuangakan oleh Ikhwan Al Muslimin, namun Hassan Al Banna masih berpendapat keagungan Islam hanya boleh dicapai dengan mengembalikan keagungan bangsa Arab. Untuk itu beliau menekankan betapa perlunya perpaduan Arab sebagai pra-syarat bagi mengembalikan keagungan Islam. Beliau tidak yakin Islam boleh dibangunkan oleh bangsa lain selain bangsa Arab.

Besesuaian dengan suasana yang bergolak selepas tamatnya Perang Dunia Kedua dan bagi menghadapi ancaman zionis di Palestin, Hassan Al Banna telah menubuhkan Pasukan Bersenjata yang diletakkan di bawah pengawasannya. Pasukan ini mendapat sanjungan kerana peranan yang dimainkan semasa meletusnya Perang Arab-Israel tahun 1948-49. Kekalahan yang dialami oleh Arab menyebabkan timbulnya kebencian terhadap pemerintahan beraja.

Pendudukan Inggeris di Mesir juga dipertanggungjawabkan sebagai sebab utama kekalahan tersebut. Dengan pengalaman dan pemilikan senjata. Anggota Pasukan Bersenjata Ikhwan Al Muslimin ini memainkan peranan mencetuskan tindakan bersenjata. Sasaran utama mereka ialah kepentingan Inggeris serta penyokong-penyokongnya dan kumpulan-kumpulan lain yang menjadi saingan mereka.

Pasukan Bersenjata Ikhwan Al Muslimin ini turut memainkan peranan dalam mencetuskan suasana politik yang tidak stabil di Mesir terutamanya di sepanjang tahun 1948 dan 1949. Tindakan yang dilakukan oleh segelintir anggota Ikhwan Al Muslimin ini di luar pengetahuan dan tidak direstui oleh Hassan Al Banna. Antara keganasan-keganasan politik yang dipertanggungjawabkan ke atas anggota Ikhwan Al Muslimin termasuklah pengeboman rumah Abdul Fatah Amr Basya seorang tokoh politik pro-British, pengeboman rumah Mustaffa Nahhas Basya, serangan ke atas pejabat kumpulan akhbar Eropah di Kaherah, Oriental de Publicate dan percubaan bunuh ke atas Komandan Polis Kaherah, Salim Zaki Basya.

Dengan alasan Ikhwan Al Muslimin terlibat mencetuskan kegiatan keganasan ini, pemerintah Mesir di bawah pemrintahan Parti Sa'dist pimpinan Nikrasyi Basya telah mengisytiharkan pengharaman ke atas gerakan tersebut pada 8 Disember 1948. Serentak dengan itu kerajaan mengumumkan penangkapan 32 orang yang dikatakan anggota Ikhwan Al Muslimin bersama-sama dengan sejumlah senjata, bahan letupan dan dokumen yang dihubungkan dengan kegiatan keganasan yang berlaku.

Hassan Al Banna menafikan senjata dan bahan letupan ini digunakan untuk kegiatan keganasan kerana bukan dasar gerakan tersebut untuk mencetuskan kegiatan sedemikan. Sebaliknya senjata dan bahan letupan ini digunakan untuk peperangan menentang zionis di Palestin dan kewujudannya di dalam pengetahuan pemerintah Mesir. Walaupun ramai anggota Ikhwan Al Muslimin ditangkap setelah pengharamannya tetapi Hassan Al Banna tidak ditangkap kerana tidak ada bukti yang boleh menghubungkan beliau dengan kegiatan ganas yang berlaku.

Pengharaman dan penangkapan anggota Ikhwan Al Muslimin oleh Perdana Menteri, Nokrasyi Basya menyebabkan beliau menjadi sasaran cubaan bunuh oleh beberapa kalangan anggota gerakan tersebut. Pada 28 Disember 1948 Nokrasyi Basya telah mati ditembak ketika berjalan masuk ke pejabatnya di kementerian luar. Pembunhnya ialah seorang anggota Ikhwan Al Muslimin, Abdul Meguib Ahmad Hassan, pelajar Veterinar yang menyamar sebagai anggota polis. Pembunuhan Nokrasyi Basya ini menyebabkan meningkatnya lingkaran keganasan antara penyokong Ikhwan Al Muslimin dengan pemerintah. Tindakan keganasan yang dilakukan oleh beberapa kalangan anggota Ikhwan Al Muslimin ini ditentang oleh Hassan Al Banna namun beliau sendiri tidak berjaya mengawal kegiatan tersebut. Ini bukan sahaja menjejaskan imej gerakan tersebut tetapi membahayakan kewujudan masa hadapannya. Jawatan Perdana Menteri kemudiannya diambil alih oleh Ibrahim Abdul Hadi yang menjalankan dasar kekerasan terhadap Ikhwan Al Muslimin.

Anggota gerakan tersebut ditangkap secara beramai-ramai dan ditahan di khemah-khemah tahanan dan harta benda mereka dirampas. Usaha Hassan Al Banna bagi mengendurkan suasana dengan memberi jaminan bahawa bukan niat gerakan tersebut untuk mencetuskan suasana tidak stabil dalam negara dianggap hanyalah sebagai helah untuk meyakinkan pemerintah supaya tidak mengambil tindakan ke atas gerakan yang dipimpinnya itu.

Tindakan pemerintah tidak menangkap Hassan Al Banna menandakan bermulanya zaman pancaroba yang terpaksa dihadapi oleh Ikhwan Al Muslimin. Walaupun beliau masih boleh bergerak bebas tetapi setiap pergerakannya diintip. Pada malam 12 Februari 1949, Hassan Al Banna telah mati (syahid) ditembak di hadapan ibu pejabat pertubuhan Syukbanul Muslimin oleh mereka yang kemudiannya terbukti terdiri dikalangan Pasukan Polis Rahsia Mesir.

Kematian beliau bukan sahaja mengubah nasib masa depan gerakan yang diasaskannya tetapi juga masa depan politik Mesir. Kematian Hassan Al Banna melenyapkan peluang Ikhwan Al Muslimin untuk berkuasa di Mesir. Organisasi tersebut sukar untuk mencari pengganti yang mempunyai daya dinamik seperti beliau. Kematiannya dianggap menyelamatkan pemerintahan beraja di Mesir untuk beberapa tahun lagi daripada cubaan rampasan kuasa kerana ketiadaan tokoh yang setanding dengan beliau yang mampu menggerakkan usaha tersebut. Kematian Hassan Al Banna juga meninggalkan kesan negatif kepada organisasi yang diasaskannya.

Di samping terpaksa menghadapi tekanan daripada pemerintah, ia juga terpaksa berhadapan dengan pergolakan dalaman bagi menentukan siapakah yang paling layak untuk mengambil alih jawatan Mursyidul Am . Kepimpinan Hassan Al Banna selama 20 tahun di dalam Ikhwan Al Muslimin tanpa dicabar memberikan kesan positif dari segi pembinaan gerakan tersebut, tetapi meninggalkan kesan negatif dari segi penyediaan pelapis kedua dalam kepimpinan. Perebutan kuasa di kalangan pucuk pimpinanlah merupakan faktor dalaman terpenting yang akhirnya menyebabkan hancurnya penglibatan Ikhwan Al Muslimin dalam politik Mesir.

5 ulasan:

  1. adakah ikhwan al-muslimin diasaskan berdasarkan nama seseorang tokoh islam?

    BalasPadam
  2. @ Anonymous, menurut dari pembacaan saya. Tiada pula yang menyatakan begitu.

    Tak pastilah kalau dari anda bagaimana. Boleh sahaja kita kongsikan.

    BalasPadam
  3. say fikir penerangan ini tidak menyelruh...ia banyak menceritakan keburukan berbanding kegemilangan....bukankah perubahan sosio politik di beberapa negara berteraskan kaedah atau mirip cara im contoh di sudan, hamas palestin.

    BalasPadam
  4. @ FAsyu89,

    Tulisan ini tidak menafikan kegemilangan yang berlaku kepada Ikhwan Muslimin. Ianya bersifat rentetan sejarah yang berlaku. Mungkin di kalangan kita terlepas dari beberapa sejarah Ikhwan Muslimin yang sepatutnya menjadi pengajaran.

    Sejarah itu mengajar kita.

    BalasPadam
  5. ikhwan ini bemaksud saudara seislam. gerakan ini dianggap sebagai ibu bagi segala gerakan di dunia. apa yg diceritakan oleh penulis bukan keburukan tetapi sejarah yg benar-benar berlaku. hamas juga adalah rangkaian ikhwan yg terkuat.gerakan ini diyakini sebagai satu gerakan yang paling berstruktur dan tersusun di Mesir.

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai