"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


28 April 2009

Musim Exam Musim Cari Tiket?

Sekarang ni musim exam. Tapi musim exam di sini ternyata lain dari yang lain. Kerana musim exam ni lah musim pelajar-pelajar di sini cari tiket balik Malaysia. Saya ada baca satu artikel dalam blog Ustaz Zaharuddin. Saya rasa wajar saya kongsikan bersama di sini. Cuma pandai-pandailah nak cari titik persamaannya.

Balik Atau Merantau?

Sewaktu saya sedang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Jordan, ramai yang bertanya sama ada saya dan keluarga akan balik bercuti di Malaysia atau tidak, khususnya di hari raya. Biasanya, jawapan biasa saya adalah

"tidak"

Pastinya akan ditanya dengan soalan susulan,

"tidak balik langsung walau sekali?"

Jawapan saya adalah :

"ye, setakat tiga tahun, belum kuat keperluan untuk balik, sekiranya 10 tahun tu, mungkin ada lebih logik untuk balik sekali sekala"

"Tidak rindu ?" Tanya rakan saya lagi.

"rindu atau tidak, tugas menuntut ilmu memerlukan pengorbanan perasaan dan fizikal" jawab saya ringkas.

SEBAB-SEBAB LAIN

Jawapan saya untuk tidak balik bukan sahaja kerana tempoh 3 tahun yang saya rasakan pendek, malah dirasakan sebagai merugikan waktu dan kos juga. Kecuali jika ada keperluan penting seperti ahli keluarga yang sakit dan sepertinya, tatkala itu wajar untuk bertolak pulang.

Justeru, isteri dan anak-anak saya turut mengikut keputusan saya untuk berada di perantauan selama 3 tahun penuh semasa di Jordan. Selain itu, masalah kos juga menjadi sebab kuat untuk bertahan di Jordan.

Kini saya dan keluarga berada di United Kingdom pula, berdasarkan jadual asal, saya perlu menamatkan pembelajaran dalam tempoh 3 tahun. Sekali lagi, saya tidak berhasrat untuk pulang sama sekali. Jika ada kemampuan sekalipun, saya lebih cenderung untuk menambah ilmu dengan merantau di benua eropah, meraih ilmu tersirat dan tersurat dari alam ciptaan Allah swt.

PENTINGNYA PENGAJIAN LUAR NEGARA

Bagi saya, pengajian di luar negara dan berjauhan dengan ahli keluarga adalah perlu bagi seorang penuntut ilmu. Kita perlu belajar untuk berdikari dan sekali sekala mengurangkan ‘manja' dengan ahli keluarga di Malaysia. Cukup sekadar telefon bagi bertanya khabar dan berita. Bakinya adalah waktu menumpukan masa untuk ilmu dan pengajian. Wang biasiswa, pinjaman dan zakat yang dihulur bukan untuk kita memikirkan untuk pulang bercuti ke tanahair bermanja dengan keluarga, tetapi ia adalah suatu amanah untuk meraih sebanyak ilmu sebagai hadiah untuk masyarakat dan negara tercinta.

Ya, ia satu amanah dan jangan sekali menyalahgunakan ia dengan membeli sesuatu yang tiada faedah untuk kecerdasan minda dan kemantapan ilmu kita. Kelak nanti dipersoal oleh Allah swt, menyesal dahulu berguna, menyesal kemudian, azab pastinya.

Pengalaman untuk keluar dari kepompong pengajian, minda dan system pengajian Malaysia adalah perlu sebagai proses kematangan idea dan ilmu seseorang penuntut. Tidak saya nafikan ramai juga yang mampu berjaya dan cemerlang walau hanya menuntut di dalam negara; namun bagi mereka yang berpeluang ke luar Negara, peluang untuk menjadi lebih berjaya dan cemerlang terbuka amat luas, bagi mereka yang bijak memanfaatkannya.

Justeru itu, bagi penuntut yang mampu dan sedang mencari yang terbaik, amat disarankan mereka ke luar negara. Proses pembelajaran, merasai sistem pengajian di Negara asing, meneliti dan melihat gerak geri dan sikap manusia pelbagai bangsa, merasai perbezaan cuaca dan rupa fizikal sesebuah Negara dan ciptaan alam pasti akan mampu memberikan sesuatu yang berharga buat penuntut. Mutiara dari lisannya boleh sahaja menjadi lebih rencam dan mindanya lebih terkehadapan. Jika mereka bijak memanfaatkannya.

Imam Muhammad bin Idris as-Syafie turut berubah akibat perbezaan tahap ilmu di perantauan. Fatwanya di Baghdad berubah apabila berada di Mesir. Ulama kontempoarari yang hanya terperap di tanahair masing-masing tanpa dakwah keluar, amat berbeza fatwanya dengan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi seorang ulama antarabangsa dan berfatwa sambil menilai suasana dan manusia dari pelabagi Negara. Ilmu secara teori tidak sama dengan secara praktikal. Ini semua kesan dari ilmu dari perantauan yang tidak dapat dirasai oleh ilmuan yang tidak merantau.

MERANTAU DAN TEKNIK BELAJAR

Atas asbab itu, bagi penuntut Malaysia di luar negara, waktu cuti sepatutnya tidak menjadi masa untuk pulang ke kampung Malaysia, tetapi adalah waktu menuntut ilmu di Negara di sekeliling anda. Jangan pulang, kecuali dihambat hal penting atau arahan tanpa kompromi oleh ibu bapa.

Bagi penuntut ilmu Islam pula, secara peribadi saya amat kuat merasakan keperluan untuk mereka berada, menuntut dan merasai suasana pembelajaran sama ada rasmi atau tidak rasmi di negara Arab. Bercampur baur dengan bangsa arab dan mengenali rupa bentuk tanah arab adalah perlu bagi menajamkan pandangan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan menjiwai kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Ia adakalanya mampu mendekatkan kita dengan maksud kalimah arab di dalam al-Quran, juga mengahmpirkan kita dengan suasana kehidupan Rasulullah s.a.w.

Kepada para pelajar ilmu Islam di Mesir, Jordan, Syria, Maghribi, Yaman, Mekkah, Madinah, Pakistan, Lubnan, United Kingdom, Australia, New Zealand dan lainnya. Jauhkan fikiran untuk menikmati percutian di kampung, gunakan peluang keberadaan kita di perantauan untuk meluaskan jangkauan ilmu, melangkau benua dan bangsa.

Dalam pada masa perantauan ilmu, jangan pula meninggi diri, kerana pertambahan ilmu hanya akan lebih mudah apabila kita merendahkan diri. Lagi rendahnya perasaan keegoaan diri seseorang, lebih banyak individu boleh menjadi guru, malah alam dan binatang turut berkelayakan menjadi guru kita. Hasilnya, ilmu akan bertambah dengan cukup hebat. Ketinggian ego seseorang hanya akan memperbodohkan dirinya, akibat sumber ilmu mereka yang akan menyempit dan amat terhad.

Ramai orang yang enggan membuka buku dan membaca tulisan seseorang individu kerana merasakan dirinya tidak layak untuk membaca dan melihat luahan ilmu dari seorang yang ‘dianggap lebih rendah darinya. Akhirnya tersekatlah perkembangan ilmunya.

Ramai yang enggan mendengar ulasan kebaikan dari seorang individu lain hanya kerana merasa dirinya lebih mengetahui, akhirnya tersekatlah ilmunya. Dan begitulah tersekatnya ilmu si ego kerana keegoaannya.

Keegoaan sebenarnya akan menjadikan seseorang semakin ‘tidak pandai', lebih dari itu, akan menjadikan dirinya ‘ujub dan hebat pada matanya sendiri sahaja, namun ia kelihatan ‘bodoh' pada pandangan ramai. Ya Allah jauhi kami dari tergolong kumpulan ini.
Nabi s.a.w bersabda :

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Ertinya : harta tidak akan berkurangan kerana sedeqah, dan tidak akan Allah swt tambahi kepada seorang yang mengampunkan kecuali kemuliaan, dan TIADALAH seorang yang merendahkan dirinya kerana Allah kecuali akan ditinggikan kedudukan mereka oleh Allah swt. ( Riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)

SAYA PULANG JUGA KE MALAYSIA

Hasrat saya untuk tidak balik ke Malaysia sepanjang tempoh pengajian PhD di United Kingdom ini, akhirnya kelihatan tipis untuk dipenuhi apabila saya diperlukan untuk pulang ke Malaysia atas dasar kerja dan program, bukan percutian dan berehat. Saya akan pulang ke Malaysia pada 30 April 2009 selama seminggu sehingga 7 Mei 2009.

Kemungkinan saya akan sekali lagi terpaksa pulang pada bulan Julai 2009 untuk menghadiri tiga buah sebuah persidangan, forum dan konferen kewangan dan perbankan Islam, selaku pembentang dan panel. Selain itu, bulan Ogos 2009 sekali lagi mungkin terpaksa pulang atas sebab yang hampir sama di atas.

Sehingga ini saya masih memikirkan, bagaimana untuk memaksimakan manfaat pulangnya saya ke Malaysia dalam ketiga-tiga bulan yang disebutkan di atas.

Semoga Allah swt mempermudahkan perjalanan saya dan melorongkan ruang untuk saya boleh memberi manfaat kepada ummah dan belajar ilmu sepulangan saya ke tanahair. Allahumma amen.


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

14 April 2009

Saya Pernah Jatuh Cinta Dengan Maria

"Kalau saya bawa awak berjumpa paderi kami bagi membincangkan perkara ini bagaimana. awak setuju?"

"Tentu sekali, saya akan berbincang dengannya dengan apa yang saya tahu. Dengan izin Allah, saya akan membuatkan dia bersetuju dengan segala jawapan yang diberikan nanti dan kalaulah sebaliknya bererti apa yang ditanya sedikit pun tidak mendatangkan faedah, cuma sekadar ingin membangkang sahaja."

"Cukup! Saya mohon agar awak jangan mencaci paderi kami!"

"Sepatutnya Cik Maria, sayalah yang seharusnya memohon kemaafan. Saya tidak boleh mencaci mereka, kerana di kalangan mereka ada yang ikhlas kepada Allah. Kalaulah kata-kata saya tadi berbentuk cacian, maka saya tujukan kepada mereka yang membohongi agama kami, juga yang selewengkan agama Kristian sendiri."

"Maksud awak?"

"Ya, paderi-paderi awak telah selewengkan agama kristian kerana mereka mendakwa ianya sudah tidak sesuai dengan zaman sekarang. Saya harap awak jangan salah faham cik Maria. Saya tidak bermaksud untuk mencaci bangsa jerman atau paderi-paderi dari orang Kristian semua. Apa yang saya maksudkan ialah dalam dunia Kristian ada golongan yang cuba selewengkan setiap hukum yang tedapat dalam kitab Injil yang asal." Terang Abdul Wahab.

"Cukup! Abdul Wahab, cukup! Tak sanggup lagi saya mendengarnya. Saya akan aturkan pertemuan itu. Di sana nanti cakaplah apa yang awak ingin cakapkan!"

Aku terus meninggalkan Abdul Wahab dengan perasaan hampa.

Sedikit sedutan dari novel pertama dan mungkin terakhir yang saya baca, "Maria". Kerana saya bukanlah peminat novel. Saya baca ketika tahun pertama di Mesir tahun 2006. Saya membelinya di gerai ketika Muktamar Sanawi PMRAM. Ketika itu saya sekadar menjadi pemerhati. Hinggakan saya tak menghiraukan perjalanan muktamar dek kerana khusuk membaca. Orang kata ia ada 'daya penarik'. Tak percaya? Cubalah dapatkan!

Namun, saya anjurkan kepada peminat-peminat novel agar dapatkan novel ini segera. Saya sudah membacanya, dan menarik sekali jalan ceritanya.

"Antara atheis, kristian dan kebenaran Islam, tercipta sebuah memori seorang gadis eropah... MARIA"

Novel ini ditulis oleh Emine Uzqan Syenlikoghu, penulis terkemuka turki dilahirkan pada tahun 1953 di bandar Istanbul. Beliau sempat melalui zaman-zaman perubahan turki. Menjadi pengarah umum Majalah Mektup dari tahun 1985. Bergiat cergas dalam kegiatan Islam dan kesusasteraan antarabangsa. Beliau banyak menghasilkan karya-karya bermutu dan dipenjara beberapa kali kerana karya-karyanya. Beliau juga penuntut di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin.

Novel ini diterjemah oleh Ustaz Mohd Rofizi Dollah dari Kelantan. B.A (Hons) Bahasa Arab.

Ingin mendapatkannya? Sila ke Koperasi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Kalau di Malaysia saya pernah melihat novel ini di gerai-gerai buku. Di kedai buku tak pasti.

Novel ini wajar dibaca bagi penggemar-penggemar novel Islam, juga kepada aktivis-aktivis dakwah dan gerakan Islam.

08 April 2009

Al Kisah Tanjung Puteri dan Dua Bukit

Hampir dua minggu tidak kemaskini blog. Terasa gatal tangan ini apabila melihat papan kekunci. Faktor ini berlaku kerana agak sibuk dengan urusan pindah rumah. Sepertimana juga pengalaman yang diceritakan oleh Ustaz Nasruddin Tantawi sewaktu belajar di Mesir yang kerap berpindah rumah. Saya juga tidak terlepas dari fenomena tersebut.

Kini saya tinggal di Seksyen 10 setelah rumah lama di Seksyen 8 dinaikan harga sewa bulanan hingga LE2000 (RM1,290.79). Kami berpakat untuk berpindah ke rumah lain. Alhamdulillah sekarang rumah di Seksyen 10 sekitar LE700 sebulan dan tidaklah sebesar rumah Tanjung Puteri di Seksyen 8 dahulu. Tetapi bagi saya ia memadai dan mudah sekali untuk berkemas. Update blog pun tumpang di rumah Yazid Pardi.

Tanjung Puteri Hayyu Thamin (Seksyen 8) tinggal kenangan

Rumah Tanjung Puteri di Hayyu Thamin hanya tinggal kenangan. Boleh dikatakan hampir 10 tahun rumah tersebut bertahan. Bermula dengan LE400 sebulan hingga LE1000 iaitu harga terakhir sebelum kami berpindah.

Saya dan Ishaq Hanis boleh dikatakan junior di rumah tersebut setelah berpindah dari Zahraa pada awal bulan November 2008. Hampir lima bulan kami tinggal di situ akhirnya tidak mampu juga untuk bertahan. Harap-harap generasi terdahulu dapat menghidu hal ini. Nanti ada pula yang menekan loceng rumah.

New Tanjung Puteri Hayyu Asyir (Seksyen 10)

Rumah yang baru ini tidaklah seramai lapan orang penghuni Tanjung Puteri yang lama. Kami hanya berlima sahaja. Baki lagi tiga orang mencari tempat tinggal masing-masing. Basir di Rumah Johor, Sufi di Rumah Pahang dan Nizam di Asrama Rumah Melayu Abbasiyah (ARMA).

Memandangkan rumah sekarang ini tidaklah sebesar rumah lama, kondisi seramai lima orang ternyata agak selesa. Lokasinya juga berhampiran dengan Kompleks Melayu yang terdiri dari rumah Selangor, Terengganu, Pahang, Kedah dan Sarawak.

Pakatan Kuasai Dua Bukit, BN kekalkan Batang Ai

Tahniah buat Pakatan Rakyat, kerana berjaya mempertahankan kerusi di kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, namun masih tidak berjaya merampas DUN Batang Ai, Sarawak. Nampaknya rakyat Iban masih sayangkan Najib, mungkin rakyat Iban mahu melihat apakah tindakan susulan Najib setelah mereka memberi sokongan padu kepada beliau.

Ternyata kerusi Parlimen tidaklah bertambah, kerana Bukit Gantang sebelum ini dimenangi Pas pada PRU 2008.Tetapi ia dianggap signal buruk kepada UMNO/BN. Walaupun selepas Najib berjaya menjadi Perdana Menteri, tetapi mood rakyat tetap tidak berubah. Bahkan semakin bertambah menyokong Pakatan Rakyat. Najib semestinya akan memikirkan tindakan selanjutnya setelah melihat trend pengundi sekarang.

Bukit Gantang juga merupakan tanda awal bahawa rakyat negeri Perak tidak merestui tindakan Najib merampas kerajaan negeri melalui pintu belakang. Ternyata tindakan Pas meletakkan Nizar sebagai calon adalah tepat. Tidak dinafikan krisis politik yang bermula sejak Februari lalu memberi undi simpati terhadap Nizar. Bagaimanapun ini ialah tanda bahawa rakyat tidak mahu bernaung di bawah kerajaan yang kotor dan jijik.

29 Mac 2009

PAS Perlu Bertindak!

YUSUF ABDULLAH, 50:

“SAYA masuk Islam ketika berumur 20 tahun dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Sabak Bernam, Kuala Selangor, Selangor pada 1977.

“Saya menjangka akan menerima bantuan dan bimbingan, tetapi tiada siapa pedulikan saya. Akhirnya saya tidak mengamalkan ajaran Islam biarpun selepas berkahwin dan mempunyai tiga anak,” katanya.

Apabila tiada siapa peduli, Yusuf yang berasakan kurang kasih sayang daripada masyarakat Islam di sekelilingnya terus murtad dan mengamalkan hidup lamanya kira-kira 30 tahun hinggalah dia didekati Ustaz Hisham, dua tahun lalu.

Selepas diambil perhatian dan diberi didikan serta bimbingan Ustaz Hisham, Yusuf kembali mengucap kalimah syahadah.

“Yang saya kesalkan, ada di kalangan masyarakat Islam sendiri memandang serong pada mualaf hingga akhirnya individu seperti saya kembali kepada agama asal.

“Saya bukan mahu bantuan kewangan atau apa-apa imbuhan. Saya memeluk Islam secara ikhlas berkat hidayah Allah SWT,” katanya yang kini mengikuti kelas fardu ain dan fardu kifayah setiap minggu.

Yusuf enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap agensi berkaitan serta masyarakat tidak meminggirkan mualaf atau mereka yang mahu memeluk Islam kerana ia bukan saja ‘membunuh’ sifat Islam itu yang menyayangi umatnya tanpa mengira kaum, malah menjadi penyebab mualaf tidak teragak-agak untuk murtad.

WAHAB ABDULLAH, 80-an:

Warga emas ini memeluk Islam sejak puluhan tahun lalu, tetapi akhirnya tinggal di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar kerana tiada siapa mempedulikannya, selain dipandang serong agensi kerajaan yang sepatutnya membantu orang sepertinya.

Akibatnya, dia menjadi jahil mengenai Islam dengan tidak melakukan amalan diwajibkan. Lebih teruk lagi, kerana tiada bantuan mana-mana pihak, dia terpaksa bekerja di sebuah rumah ibadat bukan Islam kerana disediakan penginapan di sana.

“Saya bekerja sebagai mekanik ketika muda dan masuk Islam selepas mendapat hidayah Allah SWT. Namun saya sukar mendapat didikan serta bimbingan kerana ramai tidak peduli.

“Saya mengharapkan ada pihak hadir dan memberi saya semua itu tetapi selepas puluhan tahun, saya hampa hinggalah akhirnya terpaksa tinggal di rumah ibadat bukan Islam,” katanya yang mempunyai seorang isteri serta seorang anak lelaki berpenyakit mental.

Menurut Wahab, walaupun hidupnya susah dan terpaksa makan semangkuk nasi dibahagi dua dengan isterinya sekali sehari, dia tetap bersyukur kerana akhirnya muncul Ustaz Hisham yang mengambil berat masalah dihadapinya.

Katanya, dia cuma mahu menjadi penganut Islam yang baik, tetapi jika tiada siapa mahu atau mampu memberi didikan serta bimbingan, bagaimana dia mahu melakukannya.

“Saya dibawa keluar oleh Ustaz Hisham dari rumah ibadat itu dan ditempatkan di sebuah kediaman usang di Sungai Burung, Kuala Selangor. Biarpun di situ saya hidup serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, saya tetap bersyukur kerana ada juga insan yang prihatin.

“Saya terpaksa mengharapkan bantuan orang lain untuk meneruskan hidup kerana saya sudah tua dan tidak mampu bekerja. Saya bukan mengemis atau mahukan kemewahan, tetapi berilah apa yang patut saja,” katanya dengan linangan air mata.

HARUN ABDULLAH, 80-an:

BELIAU mendakwa diberi gelaran Datuk ketika era almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri atas sumbangannya mengislamkan ratusan penduduk kampung di sekitar Sungai Besar.

Bagaimanapun, beliau akhirnya murtad selepas turut gagal diberi didikan serta bimbingan, malah dituduh mengamalkan ajaran agama asalnya sejak lima tahun lalu.

Harun yang kecewa akhirnya menetap di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar sebelum Ustaz Hisham mengetahui perkara itu dan berjaya memujuknya kembali ke pangkuan Islam.

Sejak lebih setahun lalu, Harun turut giat membantu aktivis Islam mengesan beberapa mualaf yang murtad sebelum diberi didikan selain bimbingan. Sehingga kini beliau berjaya menarik semula empat individu murtad untuk kembali ke jalan Allah SWT.

SALIM CHIA ABDULLAH, 69:

“AWAK boleh makan babi ketika bersarapan. Itu tidak salah. Apabila selesai sembahyang Zuhur, dosa itu diampunkan Allah SWT,” itu antara yang diajar oleh seorang lelaki bergelar ustaz dalam kelas fardu ain.

Bagi Salim yang memeluk Islam sejak 33 tahun lalu, perkara terbabit sangat menyedihkan kerana mualaf seperti mereka dilayan seolah-olah orang bodoh yang tidak tahu langsung berkaitan Islam.

Dia yang berkahwin dengan wanita Muslim dan mempunyai enam anak memaklumkan, mualaf lain yang turut belajar dalam kelas itu terkejut dengan kata-kata lelaki terbabit.

“Kami terus maklumkan ustaz itu, kami tidak mahu dia mengajar kami lagi kerana kami tahu dia tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana ada masanya dia menuduh kami minum arak dan masih mengamalkan ajaran agama asal.

“Mengapa itu berlaku? Kami bukan masuk Islam kerana mahukan wang, menerima taraf Bumiputera atau keistimewaan lain, tapi kami ikhlas. Kami mahu belajar berkaitan keindahan Islam, ajarannya dan pelbagai lagi yang baik dan bukan sindiran atau tuduhan tidak berasas,” katanya geram.

Menurut penternak kambing itu, kadangkala ada masanya mereka perlu mendapatkan bantuan individu lain yang ikhlas memberi didikan dan bimbingan kerana tidak mahu terpesong akidah dan berlaku pelbagai lagi perkara buruk.

Katanya, jangan kerana mereka mualaf, masyarakat atau agensi berkaitan tidak memberi walau sedikit peluang untuk belajar atau menjadi sebahagian daripada komuniti Islam kerana ia bukan saja tidak adil, malah boleh dianggap zalim.

“Yang kami mahu ialah keredaan di dunia dan akhirat. Beri kami panduan dan sayangi kami sebagai saudara Islam, bukan mualaf yang mahukan kemewahan hidup atau wang zakat,” katanya.

ABDUL RAHMAN CHIA ABDULLAH, 43:

“SAYA kenal beberapa mualaf yang juga rakan akhirnya murtad kerana tidak menerima didikan serta bimbingan pihak berkaitan.

“Lebih teruk lagi, mayat beberapa mualaf tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan tidak tahu mereka meninggal dunia. Bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku?” soalnya.

Menurut nelayan itu, dia mengetahui beberapa kes kematian mualaf yang mayat mereka tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan gagal melaksanakan kewajipan sepatutnya.

“Tolong lakukan sesuatu. Jangan hanya sibuk bercakap mengenai halal haram atau agama saja, tetapi dalam masa sama membiarkan mualaf terkapai-kapai tanpa bimbingan sempurna.

“Kepada pegawai agensi berkaitan di Sabak Bernam, jangan hanya memarahi mualaf, sebaliknya lakukan sesuatu untuk kebaikan. Tidak perlu marah-marah menyatakan mahu terus dalam Islam atau murtad kepada mualaf. Kita mahu dikasihi dan disayangi, bukan dijadikan musuh,” katanya tenang.

Sumber: Harian Metro

Jangan biarkan ianya terus berlaku. Saya melihat, dalam hal ini, pihak kerajaan tidak boleh diharapkan lagi. Perlunya pihak PAS selaku gerakan Islam mengambil alih dalam urusan ini. Isu ini bukan isu kecil yang perlu ditempat kedua selepas pilihanraya! Ianya isu akidah, keterikatan hamba dengan Tuhannya.

PAS perlu melakukan sesuatu! Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan. Kita boleh terus mengambil langkah proaktif. Kerana gerakan Islam tidak sematas berorientasikan siasah sahaja Bahkan meng-Islamkan orang merupakan keutamaan pergerakan dalam harakah Islamiah!

Dengan orang bukan Islam kita boleh mewujudkan satu kelab bagi mengharapkan sokongan politik, apakah tidak boleh ada satu jawatankuasa khas bagi membimbing muallaf? Teringat dengan beberapa orang yang memeluk Islam di pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut, bagaimana perkembangan mereka ye?

25 Mac 2009

Tajdid Fikrah iii: Persepakatan Pendapat-Pendapat Ulama...

Persepakatan Pendapat-Pendapat Ulama Bahawa Bid'ah Yang Sesat ialah Perkara-Perkara Baharu Dari Susut Syarak Bukan Dari Sudut Bahasa.

1. Syeikh Bakhit Muthi' (Bekas Mufti Mesir)

Bid'ah syarei ialah yang sesat dan yang tercela. Adapun bid'ah yang dibahagikan oleh ulama kepada bid'ah wajib, haram dan sebagainya adalah bid'ah dari sudut bahasa dan ia lebih umum pengertiannya daripada bid'ah syarei adalah satu bahagian daripada bid'ah dari sudut bahasa.
-احسن الكلام فيما يتعلق بسنة والبدعة من الأحكام

2. Ibnu Rejab

Yang dimaksudkan dengan bid'ah ialah sesuatu yang dicipta di mana tidak ada usul di dalam syarak memperakuinya, adapun ciptaan baharu yang terdapat usul di dalam syarak maka ia bukanlah bid'ah yang haram walaupun dari sudut bahasa ia adalah bid'ah.
-جميع العلوم والإحكام

3. Imam Taftazani

Dan mereka tidak mengetahui bahawa bid'ah yang tercela ialah rekaan baharu di dalam agama di mana ia tidak wujud di zaman para sahabat dan tabiin dan tidak ada dalil syarei yang memperaku rekaan tersebut. Terdapat golongan jahil menjadikan semua perkara yang tidak wujud di zaman para sahabat itu adalah bid'ah yang tercela walaupun tidak terdapat dalil yang mencela perbuatan tersebut dengan berpegang dengan hadis:

"اياكم ومحدثات الأمور"
Maksudnya: Hindarilah rekaan-rekaan yang baharu (bid'ah)

Mereka tidak mengetahui maksudnya itu adalah menjadikan perkara baharu di dalam agama yang tidak ada usul atau nas yang menyokongnya.

Menjadikan perkara baharu di dalam agama yang tidak ada usul atau nas yang menyokongnya sama seperti kata Ibnu Rejab: "Barangsiapa yang melakukan perkara baharu lalu dia menisbahkannya kepada agama di mana perkara tidak termasuk di bawah usul syarei maka ia adalah sesat"
-شرح المقاصد

4. Ibnu Athir

Bid'ah terdapat dua bahagian iaitu bid'ah petunjuk dan bid'ah kesesatan , sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Rasulullah maka ia adalah perkara yang tercela, manakala perkara yang berada di bawah arahan Nabi secara umum maka ia adalah terpuji.

Bid'ah hasanah pada hakikatnya adalah sunnah maka di atas tafsiran ini maksud hadis كل محثة بدعة ditafsirkan kepada perkara yang bercanggah dengan usul-usul syarak dan tidak bertepatan dengan sunnah.
-النهاية

5. Imam Al Ghazali

Bukanlah semua perkara bid'ah adalah dilarang tetapi perkara yang dilarang ialah bid'ah yang bercanggah dengan sunnah yang tetap dan thabit dan membuang segala arahan syarak.
-إحياء علوم الدين

6. Imam Izzuddin Abdus Salam yang mana dinukilkan oleh Imam Nawawi

Bid'ah terbahagi kepada bid'ah wajib, bid'ah haram, bid'ah sunat, bid'ah harus..
-تهذيب الأسماء واللغات

Jadi disimpulkan dengan apa yang disebutkan sebelum daripada kata-kata ulama di dalam menentukan pengertian bid'ah bahawa setiap amalan yang disokong oleh syarak di dalam arahan walaupun ia adalah arahan umum walaupun nas itu tidak datang secara terperinci terhadap amalan tersebut dan ia tidak bertentangan dengan nas serta membawa kepada kesan buruk, maka ia tidak termasuk di dalam pengertian bid'ah yang sesat dan tidak dilemparkan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawah usul yang umum itu adalah bid'ah sesat.

7. Imam Baihaqi meriwayatkan di dalam kitabnya مناقب الشافعي bahawa Imam Syafie berkata:

Perkara-perkara baharu terdapat dua bahagian:

Yang pertama: Sesuatu perkara baharu yang bercanggah dengan Al Quran atau Sunnah atau athar atau Ijmak maka ini adalah bid'ah yang sesat.

Yang Kedua: Sesuatu perkara baharu daripada jenis kebaikan tidak wujud terhadap kebaikan ini, maka ini adalah bid'ah yang tidak tercela.

Pada hakikatnya, kesemua perbuatan dan tindakan hanya untuk merealisasikan tuntutan agama samada dalam urusan agama atau dunia tanpa ada sebarang gambaran bahawa ia adalah daripada agama seperti menyambut Maulid Nabi, maka bukanlah bid'ah sesat walaupun ia merupakan perkara yang baharu wujud di dalam kehidupan orang-orang Islam.

Seperti perbuatan dan tindakan yang tidak bercanggah dengan arahan syarak dan larangannya, maka hukum bagi setiap perbuatan-perbuatan tersebut berdasarkan kesan-kesan daripada perbuatan tersebut.

Maka mana-mana perbuatan yang membawa kepada merealisasikan salah satu daripada lima maslahah iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta maka ia adalah sunnah hasanah, yang berada di dalam lingkungan sunat, wajib berdasarkan keperluan merealisasikan mana-mana maslahah tersebut.

Adapun perbuatan yang menyebabkan kepada meruntuhkan salah satu daripada lima maslahah maka ia adalah sunnah saiyiah dan ia berada di dalam lingkungan makruh dan haram berdasarkan kadar kemudaratan yang menimpa maslahah-maslahah tersebut.

Mana-mana perbuatan yang jauh daripada memberi kesan yang baik atau buruk maka ia termasuk di dalam bahagian harus atau bahagian dimaafkan.

Disebabkan tidak terdapat pembahagian di antara bid'ah saiyiah dan bid'ah hasanah maka menyebabkan seseorang tersilap di dalam mengklasifikasikan sesuatu dalam bid'ah yang sesat dengan dakwaan bahawa ia adalah suatu ibadah taufiqiah iaitu ibadah yang dilakukan tanpa ada sebarang perubahan daripada tersebut, dan dengan dakwaan bahawa ia adalah penambahan di dalam agama serta perubahan di dalamnya sedangkan yang dimaksudkan daripada melakukan sebahagian perkara-pekara baharu ialah merealisasikan sesuatu maslahah tanpa ada sebarang gambaran bahawa ia (perbuatan) daripada sebahagian agama maka amalan tersebut dinamakan bid'ah sesat walaupun perbuatan tersebut ialah rekaan baru di dalam kehidupan umat Islam.

Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya اعتضاء الصراط المستقيم "sesuatu yang dipandang oleh orang-orang muslim sebagai sesuatu maslahah walaupun ia berlaku selepas zaman Nabi maka di sini dibolehkan mereka-reka sesuatu selagi mana wujud keperluan".

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai