"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


29 Mac 2009

PAS Perlu Bertindak!

YUSUF ABDULLAH, 50:

“SAYA masuk Islam ketika berumur 20 tahun dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Sabak Bernam, Kuala Selangor, Selangor pada 1977.

“Saya menjangka akan menerima bantuan dan bimbingan, tetapi tiada siapa pedulikan saya. Akhirnya saya tidak mengamalkan ajaran Islam biarpun selepas berkahwin dan mempunyai tiga anak,” katanya.

Apabila tiada siapa peduli, Yusuf yang berasakan kurang kasih sayang daripada masyarakat Islam di sekelilingnya terus murtad dan mengamalkan hidup lamanya kira-kira 30 tahun hinggalah dia didekati Ustaz Hisham, dua tahun lalu.

Selepas diambil perhatian dan diberi didikan serta bimbingan Ustaz Hisham, Yusuf kembali mengucap kalimah syahadah.

“Yang saya kesalkan, ada di kalangan masyarakat Islam sendiri memandang serong pada mualaf hingga akhirnya individu seperti saya kembali kepada agama asal.

“Saya bukan mahu bantuan kewangan atau apa-apa imbuhan. Saya memeluk Islam secara ikhlas berkat hidayah Allah SWT,” katanya yang kini mengikuti kelas fardu ain dan fardu kifayah setiap minggu.

Yusuf enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap agensi berkaitan serta masyarakat tidak meminggirkan mualaf atau mereka yang mahu memeluk Islam kerana ia bukan saja ‘membunuh’ sifat Islam itu yang menyayangi umatnya tanpa mengira kaum, malah menjadi penyebab mualaf tidak teragak-agak untuk murtad.

WAHAB ABDULLAH, 80-an:

Warga emas ini memeluk Islam sejak puluhan tahun lalu, tetapi akhirnya tinggal di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar kerana tiada siapa mempedulikannya, selain dipandang serong agensi kerajaan yang sepatutnya membantu orang sepertinya.

Akibatnya, dia menjadi jahil mengenai Islam dengan tidak melakukan amalan diwajibkan. Lebih teruk lagi, kerana tiada bantuan mana-mana pihak, dia terpaksa bekerja di sebuah rumah ibadat bukan Islam kerana disediakan penginapan di sana.

“Saya bekerja sebagai mekanik ketika muda dan masuk Islam selepas mendapat hidayah Allah SWT. Namun saya sukar mendapat didikan serta bimbingan kerana ramai tidak peduli.

“Saya mengharapkan ada pihak hadir dan memberi saya semua itu tetapi selepas puluhan tahun, saya hampa hinggalah akhirnya terpaksa tinggal di rumah ibadat bukan Islam,” katanya yang mempunyai seorang isteri serta seorang anak lelaki berpenyakit mental.

Menurut Wahab, walaupun hidupnya susah dan terpaksa makan semangkuk nasi dibahagi dua dengan isterinya sekali sehari, dia tetap bersyukur kerana akhirnya muncul Ustaz Hisham yang mengambil berat masalah dihadapinya.

Katanya, dia cuma mahu menjadi penganut Islam yang baik, tetapi jika tiada siapa mahu atau mampu memberi didikan serta bimbingan, bagaimana dia mahu melakukannya.

“Saya dibawa keluar oleh Ustaz Hisham dari rumah ibadat itu dan ditempatkan di sebuah kediaman usang di Sungai Burung, Kuala Selangor. Biarpun di situ saya hidup serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, saya tetap bersyukur kerana ada juga insan yang prihatin.

“Saya terpaksa mengharapkan bantuan orang lain untuk meneruskan hidup kerana saya sudah tua dan tidak mampu bekerja. Saya bukan mengemis atau mahukan kemewahan, tetapi berilah apa yang patut saja,” katanya dengan linangan air mata.

HARUN ABDULLAH, 80-an:

BELIAU mendakwa diberi gelaran Datuk ketika era almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri atas sumbangannya mengislamkan ratusan penduduk kampung di sekitar Sungai Besar.

Bagaimanapun, beliau akhirnya murtad selepas turut gagal diberi didikan serta bimbingan, malah dituduh mengamalkan ajaran agama asalnya sejak lima tahun lalu.

Harun yang kecewa akhirnya menetap di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar sebelum Ustaz Hisham mengetahui perkara itu dan berjaya memujuknya kembali ke pangkuan Islam.

Sejak lebih setahun lalu, Harun turut giat membantu aktivis Islam mengesan beberapa mualaf yang murtad sebelum diberi didikan selain bimbingan. Sehingga kini beliau berjaya menarik semula empat individu murtad untuk kembali ke jalan Allah SWT.

SALIM CHIA ABDULLAH, 69:

“AWAK boleh makan babi ketika bersarapan. Itu tidak salah. Apabila selesai sembahyang Zuhur, dosa itu diampunkan Allah SWT,” itu antara yang diajar oleh seorang lelaki bergelar ustaz dalam kelas fardu ain.

Bagi Salim yang memeluk Islam sejak 33 tahun lalu, perkara terbabit sangat menyedihkan kerana mualaf seperti mereka dilayan seolah-olah orang bodoh yang tidak tahu langsung berkaitan Islam.

Dia yang berkahwin dengan wanita Muslim dan mempunyai enam anak memaklumkan, mualaf lain yang turut belajar dalam kelas itu terkejut dengan kata-kata lelaki terbabit.

“Kami terus maklumkan ustaz itu, kami tidak mahu dia mengajar kami lagi kerana kami tahu dia tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana ada masanya dia menuduh kami minum arak dan masih mengamalkan ajaran agama asal.

“Mengapa itu berlaku? Kami bukan masuk Islam kerana mahukan wang, menerima taraf Bumiputera atau keistimewaan lain, tapi kami ikhlas. Kami mahu belajar berkaitan keindahan Islam, ajarannya dan pelbagai lagi yang baik dan bukan sindiran atau tuduhan tidak berasas,” katanya geram.

Menurut penternak kambing itu, kadangkala ada masanya mereka perlu mendapatkan bantuan individu lain yang ikhlas memberi didikan dan bimbingan kerana tidak mahu terpesong akidah dan berlaku pelbagai lagi perkara buruk.

Katanya, jangan kerana mereka mualaf, masyarakat atau agensi berkaitan tidak memberi walau sedikit peluang untuk belajar atau menjadi sebahagian daripada komuniti Islam kerana ia bukan saja tidak adil, malah boleh dianggap zalim.

“Yang kami mahu ialah keredaan di dunia dan akhirat. Beri kami panduan dan sayangi kami sebagai saudara Islam, bukan mualaf yang mahukan kemewahan hidup atau wang zakat,” katanya.

ABDUL RAHMAN CHIA ABDULLAH, 43:

“SAYA kenal beberapa mualaf yang juga rakan akhirnya murtad kerana tidak menerima didikan serta bimbingan pihak berkaitan.

“Lebih teruk lagi, mayat beberapa mualaf tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan tidak tahu mereka meninggal dunia. Bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku?” soalnya.

Menurut nelayan itu, dia mengetahui beberapa kes kematian mualaf yang mayat mereka tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan gagal melaksanakan kewajipan sepatutnya.

“Tolong lakukan sesuatu. Jangan hanya sibuk bercakap mengenai halal haram atau agama saja, tetapi dalam masa sama membiarkan mualaf terkapai-kapai tanpa bimbingan sempurna.

“Kepada pegawai agensi berkaitan di Sabak Bernam, jangan hanya memarahi mualaf, sebaliknya lakukan sesuatu untuk kebaikan. Tidak perlu marah-marah menyatakan mahu terus dalam Islam atau murtad kepada mualaf. Kita mahu dikasihi dan disayangi, bukan dijadikan musuh,” katanya tenang.

Sumber: Harian Metro

Jangan biarkan ianya terus berlaku. Saya melihat, dalam hal ini, pihak kerajaan tidak boleh diharapkan lagi. Perlunya pihak PAS selaku gerakan Islam mengambil alih dalam urusan ini. Isu ini bukan isu kecil yang perlu ditempat kedua selepas pilihanraya! Ianya isu akidah, keterikatan hamba dengan Tuhannya.

PAS perlu melakukan sesuatu! Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan. Kita boleh terus mengambil langkah proaktif. Kerana gerakan Islam tidak sematas berorientasikan siasah sahaja Bahkan meng-Islamkan orang merupakan keutamaan pergerakan dalam harakah Islamiah!

Dengan orang bukan Islam kita boleh mewujudkan satu kelab bagi mengharapkan sokongan politik, apakah tidak boleh ada satu jawatankuasa khas bagi membimbing muallaf? Teringat dengan beberapa orang yang memeluk Islam di pejabat agung PAS di Jalan Raja Laut, bagaimana perkembangan mereka ye?

2 ulasan:

  1. Saya sangat menyokong saranan Ust Kemal. Waktu saya mengikuti Mesyuarat Agung Tahunan PAS di salah satu kawasan di Johor, saya pernah bertanyakan hal yang sama di atas tentang perihal keterlibatan PAS dengan warga baru Islam.Memang ada usaha ke arah itu, namun ianya sangat perlahan dan mungkin disebabkan PAS sangat menumpukan kepada politik sehingga terlupa bahawa PAS merupakan parti yang syumul yang memperjuangkan semua aspek yang ada di dalam Islam.

    Mungkin elok jika ia diletakkan terus di bawah dewan Ulamak dengan kawal selia dari pertubuhan NGO khas yang diwujudkan khas menangani hal ini..

    TAKBIR!!!

    BalasPadam
  2. @ Mohamadfairuz,

    Nampaknya peranan kita selaku Azhari terutamanya, boleh beri fokus secara langsung dalam hal ni kelak. Setiap kawasan boleh ada Kelab Penyokong PAS, kenapa tidak ada Lajnah Dakwah Muallaf kan..

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai