"kalau tersinggung, memang sengaja. kalau marah, maafkan saja.
kalau suka, aku pun sama"


01 Mei 2008

ISA Menurut Perspektif Islam (3)

3. Tuduhan militan


Ketua Polis Negara memberitahu alasan penahanan mereka itu ialah kerana mereka didapati merancang mencetuskan demontrasi jalanan besar-besaran
bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004. Dikatakan ‘bercorak militan’ kerana kononnya pihak polis mendapat maklumat mereka merancang menggunakan alat letupan seperti bom dan molotov cocktail.

Namun sehingga kini polis belum berupaya menunjukkan kepada umum barang-barang kes, memaklumkan tempat di mana dan bila mereka membuat pertemuan sulit itu atau ucapan sulit mereka yang dikatakan ingin mengadakan demonstrasi ‘militan’.

Apabila disoal tentang bukti ‘rancangan jahat’ aktivis reformasi itu di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri Chor Chee Heung berkata itu ‘top secret’ polis, tak boleh ditunjuk atau diberitahu kepada umum.

Satu perkara yang amat tidak masuk akal, bahan bukti dan bukti tuduhan dianggap sebagai ‘top secret’.
Kalau begitu sesiapa pun boleh ditahan oleh polis dan boleh diarah ditahan oleh Menteri Dalam Negeri dengan alasan ‘mengancam keselamatan awam’. Bila ditanya apakah bukti orang itu dituduh mengancam keselamatan awam, pihak berwajib pun menjawab, “itu top secret polis, tak boleh bagi tau…”.

Ketua Polis Negara (KPN) pula apabila didesak bertubi-tubi oleh wartawan tentang adakah polis menemui sebarang senjata sebelum atau semasa penahanan aktivis itu, jawapan yang diberikan amat tidak bertanggungjawab,
“… the tongue is mightier than weapons…”. (Harakah, 1-15 Mei, 2001) Ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang senjata yang boleh dijadikan bukti kewujudan unsur perjuangan reformasi secara ‘militan’ yang menjadi alasan penahanan aktivis itu. Satu-satunya senjata yang mereka miliki ialah ‘lidah,’ yang disifatkan oleh KPN sebagai ‘lebih bahaya daripada senjata’. Jadi mereka ditangkap kerana berjuang dengan senjata ‘lidah’.

Nampaknya di Malaysia sekarang, bercakap dan berucap menjadi kesalahan, apabila ucapan dan percakapan itu tidak searus dengan aliran perdana yang memerintah. Polis boleh menangkap anda kerana bersenjatakan lidah (atau pena) mengkritik elit politik negara atas dakwaan membangkitkan perjuangan ‘militan’ dan ‘mengancam keselamatan negara’. ‘Militan’ tidak lagi merujuk kepada senjata api, bom dan pertempuran berdarah, tetapi dengan tafsiran baru iaitu ‘senjata lidah yang lebih bahaya daripada senjata api’.

Ini sudah jadi macam sebuah
police state, atau sebuah negara yang mempunyai polis rahsia seperti Israel. Polis menjadi polis, penyiasat, pendakwa dan hakim dalam satu masa untuk menjatuhkan hukuman di mahkamahnya sendiri (ibu pejabat atau balai polis). Apa sudah jadi dengan ‘negara Islam’ Malaysia ini? Polis bukan lagi memberi ketenteraman kepada rakyat, tapi sudah jadi alat untuk menekan dan menyakitkan rakyat, bermaharajalela dan berlagak seperti samseng di bawah seksyen 73 ISA, terutama terhadap rakyat yang tidak menyokong kerajaan.

Apa tidak samsengnya kalau segala tindakannya langsung tidak boleh dipersoal? Kalau dipersoal pun, si penyoal tidak berhak untuk mendapat jawapan tentang alasan sebenar penahanan itu dan bukti bagaimana alasan itu timbul. Polis juga mendapat kuasa menceroboh tanpa arahan mahkamah (waran) premis-premis persendirian seperti tindakan ala
Desprado yang berlaku semasa penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim di rumahnya. Polis juga telah membuktikan samsengnya di bawah akta ini melalui peristiwa lebam mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu semasa dalam tahanan. Bahkan polis diberi lesen untuk melepaskan tembakan jika orang yang diperintah untuk ditahan cuba melarikan diri - S. 74 (2) ISA. Ini juga semacam polis rahsia Israel, Mossad.

Mungkin polis berhujah mereka bertindak menurut kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan dalam ISA. Undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat sejak 1960.
Soalnya adakah undang-undang yang bertentangan semangat demokrasi, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Perlembagaan, lebih-lebih lagi bertentangan dengan hukum Islam, wajib dilaksana dan dikuatkuasakan juga oleh polis yang bertanggungjawab kepada ‘negara Islam’ Malaysia ini? Sedangkan banyak laporan tentang salah laku anggota pemerintah yang tidak dibuktikan proses penyiasatannya oleh polis, apatah lagi hendak menangkap. Dalam menguatkuasakan undang-undang yang memberi keuntungan kepada pemerintah dan melemahkan pembangkang, polis bertindak tegas seperti malaikat yang melaksanakan perintah Tuhan secara mutlak sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah ayat al-Quran yang bermaksud;


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan, ia dijaga oleh para malaikat yang kasar lagi keras, sedikit pun tidak mengingkari perintah Allah dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

Dalam menguatkuasakan ISA ini, polis seolah-olah telah memper"tuhan"kan orang yang memerintah undang-undang
draconian itu digunakan, tanpa sebarang bantahan, seperti malaikat yang tidak membantah perintah Tuhan. Malaikat terpuji dengan sifat itu, tetapi manusia terkeji apabila bersifat seperti malaikat terhadap manusia lain yang diberi kedudukan seperti tuhan.

Tulisan ini tidak sekali-sekali berniat untuk memburukkan imej polis di mata masyarakat, tetapi dalam kes penahanan ISA, untuk ke sekian kalinya mempamerkan imej yang buruk itu. Dan ini juga tidak menggambarkan semua unit polis, kerana unit-unit yang lain didapati menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang demi ketenteraman rakyat.

Sekiranya apa yang ditulis tentang penahanan ISA kali ini tidak benar, masyarakat akan menolak mentah-mentah tulisan ini. Tetapi demi Islam yang benar, demi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam, demi Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran rahmat untuk seluruh alam, menggagahkan diri untuk mencegah kemungkaran ISA setakat yang termampu.


(bersambung)

1 ulasan:

  1. SALAM...mungkin apa yang diperbincangkan adalah 'ISA menurut perspektif islam',TETAPI..apa yang ingin saya katakan disini bahawa dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum pada hari ini telah menuntut kerajaan untuk mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA).Tambahan pula anda(ibn ali)boleh merujuk akhbar tempatan b'tarikh 2 mei 2008, dimana DAtuk Tajuddin Abdul Rahman yang mana beliau merupakan salah seorang tahanan ISA!!Dan beliau jelas mengatakan,beliau sendiri merasa hakikat kebenaran Akta tersebut dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini.Dan yang PELIKNYA...HAL INI DI NAFIKAN OLEH SALAH SEORANG WANITA DRPD PARTI PEMBANGKANG!

    BalasPadam

Related Posts with Thumbnails
Kalami boleh dilanggan secara
Email atau pun RSS.


KEMPEN KIBARKAN BENDERA KELANTAN
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Kenapa aku kibarkan bendera Kelantan? [KLIK SINI]

Credit untuk DIMAN

Follow ibnuali1949 on Twitter

Pro-Tajdid Segar

Palestin & Tarbiah

Wasiat Sepuluh


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus-hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

 

Rukun Bai'ah

1. Faham
2. Ikhlas
3. Amal
4. Jihad
5. Pengorbanan
6. Ketaatan
7. Thabat
8. Tajarrud
9. Ukhuwah
10. Thiqah

Solawat!

My Days

Komen-Komen

Arkib

Promo


Mahu Menjadi Ahli PAS? [klik sini]

Klik pada iklan untuk maklumat lanjut

Blog Aku Juga

Mata Rantai