6. ISA dari perspektif Islam
Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam. Bagaimanakah pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang sebegini menindas rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam sebarang hukum yang membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan tanpa bicara terhadap yang tertuduh?
Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran, kitab hadis dan kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam hubungan rakyat-pemerintah.
Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili rakyat ditaati selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Allah s.w.t. berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."
(Surah An-Nisaa’ ayat 59)
Dalam mentaati Ulil Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang mutlak kerana sekiranya begitu, ia (Ulil Amri) itu telah menjadi At-Toghut dan ini bertentangan dengan kehendak ayat ke 36 dalam Surah An-Nahl yang dibawakan sebelum ini. Sedangkan ketaatan kepada Allah dan Rasul itu tidak boleh dijual beli atau dikompromi dengan sesuatu apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang dikompromi dengan selain Allah dan Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang berpura-pura beriman di atas kekufuran yang diselindungi.
Jadi Ulil Amri yang wajib ditaati ialah pemerintah yang telah taatkan Allah dan Rasul sedangkan dia tidak mengeluarkan perintah melainkan yang bertepatan ataupun tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil Amri itu mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan Islam, maka tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan haram mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh. Ini adalah hukum untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini bertepatan dengan ajaran Baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf”
(Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah 8/39)
(Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah 8/39)
Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan perbincangan hukum dalam hubungan rakyat dan pemerintah. Bahkan ada bab khusus yang membahaskan persoalan ini dalam kitab fikah yang dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan kepada perundangan lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan hadis. Bab tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang Pemberontak Bersenjata) dalam kitab-kitab fikah.
Gambar: Mustafa Kemal Attartuk (kanan), orang penting yang menjatuhkan sistem khilafah Islamiah Uthmaniah yang berakhir pada tahun 1924 di Turki.Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari ialah Ulil Amri ketika zaman ulama penulis kitab-kitab itu merupakan pemerintah yang sedang mentadbir sebuah daulah (negara) Islam dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber perundangan dan pentadbiran mereka. (Perlu disebutkan bahawa sistem khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah telah dihapuskan secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada Mac 1924). Walaupun di kalangan khalifah yang menjadi pemerintah ketika itu ada yang disejarahkan sebagai zalim atau fasiq (tanpa pengesahan jelas tentang kezaliman mereka selain daripada tulisan para penulis buku sejarah), namun perundangan masih bersumberkan dua sumber wahyu Allah s.w.t. itu.
Ulil Amri umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka bukan lagi menjalankan amanah rakyat di bawah daulah Islam, tetapi negara moden dengan sistem pentadbiran sekular yang dianugerahkan oleh penjajah kepada mereka setelah penjajah selesaikan ‘tugas’ mereka di tanah jajahan. Antara ‘tugas’ penjajah ialah:
- menyelenggarakan undang-undang di tanah jajahan berdasarkan restu kerajaan mereka
- menyediakan pelapis daripada kalangan anak tempatan yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas anugerah ‘kemerdekaan’. Para pelapis ini disediakan melalui sistem pendidikan dan media; dan
- meninggalkan undang-undang (seperti undang-undang ISA) yang boleh memelihara survival kerajaan baru yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka.
Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka mereka tiada hak lagi bagi mereka untuk mewajibkan ketaatan daripada rakyat berdasarkan ayat 59 surah An-Nisaa’ itu.
Ulil Amri kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang digunakan di zaman pemerintahan beraja dan diktator berkuku besi yang memaksa rakyat tunduk tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat tidak mampu menyoal ‘kenapa?’, apatah lagi untuk berkata ‘tidak!’ terhadap kehendak pemerintah.
(bersambung)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan