Tarik Rambut Dalam Tepung!
Tindakan kerajaan Negeri Selangor pada 26 Mei lalu, ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun, di Shah Alam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali, mengumumkan kerajaan negeri Selangor tidak mengizinkan sebarang bentuk program berkonsepkan Islam Hadhari, memandangkan Islam yang selama ini sudah cukup sempurna rasanya kurang tepat.
Pengumuman seperti ini tidak perlu dilakukan, apa yang perlu dilakukan ialah lakukan apa yang perlu dilakukan. Banyak lagi kerja-kerja besar yang belum dilakukan. Tetapi disibukkan dengan Islam Hadhari, yang mana Pak Lah dan UMNO sekarang pun entah ke mana diletaknya Islam Hadhari.
Masyarakat umum mengetahui bahawa Islam Hadhari ialah gagasan dari kerajaan pusat yang ditadbir oleh UMNO dan Barisan Nasional. Sejak dari mula digagaskan bertempek habis seluruh Malaysia. Hakikatnya apa yang berlaku tiada sebarang perubahan dari gagasan tersebut. UMNO tetap dengan dasar kebangsaannya, Malaysia tetapi dengan perlembagaan Lord Reidnya. Wanita UMNO yang "togel" tetap tiada perubahan. Rakyat memerhati semua ini. Di kalangan bukan Islam pula juga tiada merasakan perubahan, bahkan semakin berani mempersoal tentang hak agama Islam.
Yang pentingnya kita jalankan, dasar yang kita pegang sekarang. Pedulikan Islam Hadhari dari setiap program di Negeri Selangor, kembangkan dan fahamkan rakyat dengan Islam sebenar, tanpa perlu dipukul canang seluruh kampung "kami haramkan Islam Hadhari", takut-takut nanti termakan diri. Kelantan pun tak pukul canang haramkan Islam Hadhari, yang dipukul canang "Islam Hakiki". Mungkin Exco-exco PAS di Selangor kena lihat awlawiyatnya. Kamu bukan sahaja exco, tetapi pendakwah dikalangan anggota-anggota exco dan rakyat seluruhnya.
Saya tertunggu-tunggu pengumuman Kilang Carlberg di Shah Alam itu di arah tutup, disko dan kelab malam juga begitu. Pusat-pusat perjudian juga diambil tindakan serupa. Tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan. Selain dari masalah babi yang menjadi perkara pertama kerajaan negeri selangor.
Apabila diajukan masalah ini, dikatakan masalah kita berbilang kaum dan agama. Kenapa alasan ini sering keluar? Adakah kerajaan Kelantan dan Terengganu juga tidak berbilang kaum dan agama? Walaupun mejoritinya orang melayu/Islam. Baik, jika alasan ini diberikan, adakah tiada cara yang terbaik? Benarkah selain agama Islam membenarkan arak, seks bebas, berjudi dan hiburan melampau seperti di disko? Pernahkah dibuat perjumpaan diantara ketua-ketua agama lain di negeri Selangor seperti yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan dahulu? Bilakah mahu dilakukan? Jika tidak pandai nak buat, bilakah nak bertanya? Pulau Pinang dan Perak dah membuat lawatan ke Negeri Kelantan, Selangor pula bila?
Sebenarnya yang menjadi persoalannya bukan agama-agama lain. Tetapi pengaruh sekular yang meresap ke dalam jiwa-jiwa manusia zaman sekarang. Walaupun mendakwa mereka beragama. Yang Islam mengaku dia Islam, yang kristian mengaku dia kristian, tetapi hakikatnya sekular. Memisahkan agama dalam hidup dan hanya pada perkara-perkara tertentu sahaja yang tidak bertentangan dengan nafsu mereka. Siapa yang tidak suka sambutan Hari Raya? Tetapi bila puasa ramai yang buat-buat lupa!
Jangan dilupa dengan kuasa dan janji Allah, apabila kita menolong agama Allah. Hakikatnya memang ada yang bising bila kita melaksanakan apa yang Allah suruh, orang munafik dan orang kafir sememangnya bising. Tetapi kesan dari itu lebih utama lagi, dan janji Allah lebih berkuasa dari kuasa benci orang munafik dan orang kafir.
Tuan guru Nik Abdul Aziz juga pernah diberi sekalung bunga terima kasih, dan puji-pujian dari suri-suri rumah bukan Islam di Kelantan, kerana suami-suami mereka sudah tidak berjudi dan bermabuk-mabuk. Rumahtangga menjadi tenang. Masyarakat bukan Islam mengakui kesan baik yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.
Apa yang penting ialah konsisten dan Istiqamah dengan apa yang diperjuangkan bukan hanya diluahkan dimulut tetapi tindakan. Kerajaan juga perlu memikirkan alternatif-alternatif lain kepada tokey-tokey judi, arak dan lain-lain perniagaan maksiat kepada perniagaan-perniagaan yang boleh memberi kesan baik kepada peniaga juga orang ramai. Peluang yang ada ini jangan disia-siakan, gunakan penggal ini dengan sebaiknya, kerana penggal akan datang belum tahu.
Ezam dan kuncu-kuncunya
Sah! Ezam Mohd Noor kembali ke pangkuan UMNO! Banyak sumber terutama dari KLpos, Utusan Malaysia, Mstar Online telah mengesahkan berita tersebut berserta gambar.
Saya kecewa, dan sedih walaupun tidak terlalu terkejut. Sedih kerana ezam tidak berjaya dilembutkan untuk menyertai Pas setelah keluar dari PKR dahulu. Sedih kerana sebab yang diberikan untuk kembali kepada UMNO. Sebabnya ialah;
“Kenapa saya berubah? Saya tidak berubah, saya menyokong dasar, bukan parti atau individu, dasar UMNO kini berubah, jadi saya kembali menyokong UMNO dan sudah tentulah menyokong kepimpinan yang berani mengubah dasar tersebut”
Dasar UMNO berubah? Apa yang berubah? dari kebangsaan kepada Islam? Tiada apa-apa pengumuman pun oleh Perdana Menteri? Sejak pilihanraya umum dahulu, hanya pencegahan rasuah dan kehakiman sahaja yang ada perubahan. Tapi itu bukan bermakna kerajaan berubah dasar. Itu hanya struktur-struktur tertentu sahaja yang "diperbaiki" setelah impak dari pilihanraya lalu. Ternyata Pak Lah mencari formula besar untuk memperbaiki kepercayaan rakyat kepada UMNO dan BN. Adakah itu pun Ezam tidak nampak?
Isu agama Islam masih tiada perubahan, pendidikan Islam di semua peringkat masih berada ditakuk lama. Bahkan menjadi lebih parah terutama selepas kerajaan membatalkan MoU dengan Al Azhar. Boleh dikatakan Islam masih bertapak di negara ini dek kerana sesetengah pejuang Islam dan komitmen dan merasa penting dengan wajibnya Islam itu di Malaysia sebagai The Way Of Life.
Mereka-mereka yang sedar sahaja yang seiring membawa Islam bersama. Lihat sahaja sekolah-sekolah agama rakyat, siapa yang memperjuangkannya? Orang-orang UMNO? Siapa yang menarik bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat? Orang-orang UMNO!
Kalau Ezam hanya melihat perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sekarang sebagi perubahan dasar, maka Ezam silap! Ternyata silap! Perubahan tidak akan berlaku jika kerajaan tidak kembali kepada Islam secara syumul.
Ingatlah janji Allah di akhirat nanti! Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan