7. Al-Bughah dalam perundangan Islam (Pengenalan serta dalil dari Al Quran dan As Sunnah)
Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat:
“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”
Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. Antaranya:
1. Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu.” (Riwayat Muslim)
2. Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalau dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.” Kami berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?” Baginda menjawab, “Jangan! Selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu dan jangan sekali-kali mencabut ketaatan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)
4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzayfah) bertanya, “Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat dengan suasana itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu) menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.” (Riwayat Muslim, al-Bayhaqi dll.)
5. Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,
“Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
6. Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,
“Wahai Abu Dzar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta al-faie ini?” Jawab Abu Dzar, “Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan.” Baginda pun bersabda, “Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.”
(Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)
Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh didapati dalam kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-kitab lain.
Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam tentang al-Bughah (pemberontak bersenjata) seperti di bawah:
1. Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’
(Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48)
2. Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’
(Syarhu al-Zurqani, m.s. 60)
3. Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’
(Nihayah al-Muhtaj, 8/382)
4. Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’
(Asna al-Matolib, 4/111)
5. Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’
(al-Muhalla, 11/97,98)
6. Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’
(al-Rawdh al-Nadhir, 4/331)
Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.’
(Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami, 2/674)
Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap jenayah al-Bughah iaitu:
- menentang pemerintah
- penentangan secara kekerasan atau bersenjata
- ada niat melakukan jenayah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan